Wednesday, January 30, 2008

Sorotan Senja

Pelancaran Buku Dr Mahathir Meriah

MSO

PAGI tadi (29/01/08) saya memulakan kerja rasmi di luar rumah/pejabat selepas lama bercuti dengan menghadiri majlis pelancaran (preview) buku Dr Mahathir Mohamad yang ditulis kata penghantar oleh bekas Duta Malaysia Ke Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) Tan Sri Abdullah Ahmad atau mesra dipanggil Dollah Kok Lanas bertempat di Yayasan Perdana di Putrajaya.

Dari rumah lagi saya sudah membayangkan mereka yang hadir pada majlis itu tentu orang ternama dan terdiri daripada rakan-rakan Dr Mahathir. Majlis itu juga mesti eksklusif sebab buku itu ditulis diterbit dalam bahasa Ineggeri.

Abdullah Kok Lanas sudah pasti akan menjemput kenalan hebatnya termasuk wakil-wakil kedutaan asing yang serasi atau tidak serasi dengan pemikiran dan stail Dr Mahathir.

Siapa tudak kenal dan arif dengan kerja-kerja psywar yang dilakukan Abdullah. Bekas ahli Parlimen Kok Lanas (kini Ketereh) ini memiliki sejarah hitam tersendiri di dalam hidupnya. Beliau juga dianggap tokoh politik yang liberal. Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) kerana pembabitan dalam penyebaran faham komunis pada tahun 70-an bersama Abdullah Majid dan Abdul Samad Ismail yang juga dikenali sebagai Tiga Abdul.

Ternyata ramalan saya tepat. Terkejut juga melihat para tetamu yang hadir pada majlis berkenaan. Mereka terdiri orang ternama termasuk juga bekas menteri Kabinet di zaman Dr Mahathir. Yang sempat tersilau oleh saya lapan orang menteri dan beberapa timbalan menteri.

Antara mereka Dr Ling Liong Sik, Yong Teck Lee (Sabah), Leo Moggie (Sarawak), Sanusi Junid, Kadir Sheikh Fadzil, Zaleha Ismail, Machael Chan, Law Hieng Ding dan lain-lain. Turut sama hadir ialah Dasuki Ahmad, Nakhaei Ahmad, Ibrahim Ali.

Manakala ahli korporat pula Vencent Tan, Tengku Mahalell dan lain-lain.

Apakah majlis berkenaan terkhusus kepada orang ternama dan para diplomat asing, dan sukar untuk difahamkan apakah tujuannya. Apakah majlis itu bermaksud mahu menunjukkan bahawa Dr Mahathir masih memiliki 'kemuliaan' selaku pemimpin dan tetap menjadi sanjungan umum? Yang jelasnya majlis berkenaan mendapat sambutan dan kehadirannya di luar dugaan dan ia seakan-akan demonstrasi untuk membuktikan bahawa Dr Mahathir masih berpengaruh!

Bagaimana pun kehadiran rakan-rakan blogger tidak begitu merangsangkan. Seorang blogger regular dengan Dr Mahathir ketika ditanya kenapa tidak muncul menjelaskan secara selamba majlis itu bukan untuk para bloggers. Alasan lain yang diberikan kerana majlis itu dikendalikan oleh Abdullah Kok Lanas. Kenapa dengan Abdullah?

Antara penulis veteran yang kelihatan ialah Kadir Jasin, Ruhanie Ahmad yang juga bekas ahli Parlimen Parit Sulung.

Buku berjudul ‘Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders’, mengandungi 71 surat-surat Dr Mahathir yang ditulis kepada pemimpin dunia termasuk Gorge W Bush, Margaret Thatcher. Tony Blair, Bill Clinton dan lain-lain yang membicarakan soal politik dunia dan juga mengenai isu-isu kemanusiaan sejagat. [p.jaya 12:30 30/01/08].

No comments: