Friday, January 25, 2008

Catatan Sulung Januari

Sepanjang Penerbangan Terkenangkan Pembangkang

MSO

SEWAKTU hendak melangkah menaiki ke pesawat KT 89 untuk kembali ke tanah air dan meninggalkan bumi penuh berkat Madinah Munawarah semalam, fikiran yang sengaja dikosong mengenai tanahair selama lebih 40 hari sudah mula ditumbuhi berbagai persoalan dan cetusan.
Berbagai pertanyaan dan persoalan mula berlegar dalam kepala.

Wajah Malaysia juga tiba-tiba terpeta-peta dalam mata. Seolah-olah pesawat MH 8287 itu datang khusus untuk meragut ketenangan selama lebih 40 hari itu dan membawa saya, khasnya, untuk terbelenggu semula dengan masalah-masalah politik negara.

Dalam banyak-banyak persoalan yang mula tumbuh itu ialah mengenai pilihan raya umum ke 12 bakal menjelang. Soal bila tarikh pilihan raya tidak timbul lagi sebab tiga bulan sebelumnya saya sudah meramalkan menerusi blog ini bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada Mac dan tepatnya selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Pilihan popular

Nampaknya secara kebetulan tarikh dan masa itu menjadi pilihan popular oleh umum termasuk juga oleh parti yang memerintah - BN.

Apa yang menjadi persoalan besar, ialah apakah nasib pembangkang dalam pilihan raya kali ini? Apakah pembangkang - Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada Pas, Keadilan dan DAP itu masih wujud dan dapat berfungsi dengan baik seterusnya memberi cabaran kepada BN. Ataupun BA sudah terkubur dan tidak wujud lagi dan pembangkang akan kembali beraksi atas tapak kaki sendiri mengikut nafsu nafsi dan kepercayaan politik masing-masing!

Selepas pilihan raya 1999 DAP telah mengambil sikap mengasingkan diri daripada Pas kerana mereka merasakan kerjasama menerusi Alternatif tidak mengutungkan mereka. Betapa tidak selepas pilihan raya itu DAP kehilangan posisinya di Parlimen apabila kerusi Ketua Pembangkang terlepas kepada Pas.

Soal BN atau Umno tidak payah lagi difikirkan. BN dan Umno dalam keadaan bagaimana dan apa sekalipun berada dalam kedudukan teguh dan yakin. Sebagai parti pemerintah dan bertanggungjawab menentukan tarikh pilihan raya pastikan ianya berbuat untuk kebaikan dan kelebihan kepadanya.

Jentera kerajaan

Begitu juga apakah parti itu akan terus menggunakan berbillion wang haram (termasuk wang judi dan komisyen) dalam pilihan raya atau terus memperalatkan semua jentera kerajaan. Perkara itu tidak payah ditanya dan disoal lagi. Sebab sudah sahih (meminjam istilah Zainuddin Maidin) bahawa parti itu akan meneruskan tradisi jelek dan busuknya itu demi meraih kemenangan.

Seperti dalam 11 pilihan raya lalu parti pemerintah akan tetap menggunakan apa saja opoturniti yang menguntungkannya tanpa melihat dan memikirkan apakah tindakannya itu benar ataupun salah. Sejak bila parti pemerintah meletakkan demokrasi atas prinsip dan tunggaknya! Sejak dari zaman Dr Mahathir Mohamad yang dianggap zaman 'gila' hingalah ke zaman Abdullah Ahmad Badawi ini.

Di sepanjang penerbangan pulang itu apa yang menjadi buah pemikiran saya apakah pembangkang lakukan dalam masa 40 hari sepeninggalan saya itu? Tidak banyak maklumat (sebenarnya saya tidak peduli langsung soal politik semasa di sana), mengenai pembangkang dan persediaan mereka dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

Walaupun ada jemaah yang gian nak bercakap soal politik saya cuba hadkan agar tidak menjadikan Makkah dan Madinah seperti Kuala Lumpur atau Kota Bharu.
Memang pembangkang sangat ghairah untuk menghadapi pilihan raya. Setiap kali menjelang tiba pilihan raya, pembangkang meletakkan konfiden yang cukup tinggi. Seolah-olah keyakinan yang dilontarkan itu akan meruntuhkan kerajaan BN pada bila-bila masa saja. Walhasilnya bila peti undi dibuka ternyata realiti masih tidak berubah.

Semasa meninggalkan negara 10 Disember 2007 lalu tidak banyak perkembang dan kemajuan dicapai pembangkang. Yang jelasnya kerjasama pembangkang kini tidak sekukuh semasa pilihan
raya 1999 yang mewujudkan Barisan Alternatif. Hubungan Pas dengan DAP, Pas dengan Keadilan masih tidak semantap mana. Kehadiran (pembebasan Anwar Ibrahim) tidak memberi banyak kemajuan.

Merasa kecewa

Keadaan ini menyebabkan ada orang berpendapat, Anwar seperti tidak memberi apa-apa advantage kepada pembangkang. Keadaan ini menyebabkan ada yang merasa kecewa dengan Anwar. Sukar untuk membaca sikap dan pendirian Anwar dalam hal ini. Cuma apa diharapkan tindak tanduk Anwar itu akan memberi kebaikan kepada dirinya sendiri dan juga pembangkang.
Begitu juga isu-isu yang timbul tidak banyak memihakkan kepada pembangkang. Apa yang dikatakan sebagai gelombang atau new wave tidak ada untuk merubah keputusan pilihan raya kali ini. Isu-isu yang ada masih lemah dan tidak boleh mengugatkan hati rakyat untuk menyembamkan BN. Maknanya BN masih berpeluang untuk meneruskan kerajaan yang didokong itu.

Kehebatan himpunan 100,000 rakyat yang dikira boleh mecetuskan suasana baru dan memberi semangat kepada rakyat penghujung tahun lalu, nampaknya tidak menjadi. Himpunan Gabungan Politik Adil dan Bersih (Bersih) itu gagal untuk membersihkan bayangan hitam Kerajaan yang 'ditebengkan' pembangkang selama ini.

Kehadiran kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Hindu Rights Action Force (Hindraf) telah menyapu gelombang dan simpati rakyat kepada kepada pembangkang yang dipamirkan oleh pembangkang menerusi himpunan Bersih itu.

Dalam konteks ini ada sedikit kesilapan sekiranya Hindraf itu adalah benar bikinan pembangkang seperti mana dakwaan parti Kerajaan. Namun hakikatnya antara Bersih dan Hindraf dan Hindraf dan pembangkang adalah subjek atau entiti yang berlainan maksud dan tujuan.

Protes kubra

Mengenai kenaikan harga barang dan kenaikan harga petrol yang disenandungkan oleh pembangkang dan diharap menimbulkan protes kubra oleh rakyat, nampaknya ia tidak memberi bekas kepada rakyat. Masalah ekonomi dan kemiskinan bukan isu yang boleh mengugah rakyat negara ini teristimewanya orang Melayu. Selagi rakyat boleh makan dan mereka terus mampu mengisi minyak kereta, isu kenaikan harga barangan dan minyak itu tidak akan memberi apa-apa kesan.

Jadi pembangkang mengharap kepada apa? Apakah isuyang dikira bileh mengusik hati dan jwia rakyat kemudian menggerakan rakyat untuk memangkah pembangkang. Sepanjang tujuh jam setengah penerbangan itu sesungguh saya tidak tahu kerana kosong dan buta politik dalam masa 40 hari.

Dalam penerbangan panjang itu saya terus membaca berbagai kebimbangan dan keresahan sendiri memikirkan pembangkang. Keresahan itu menjadi makin cemas apabila membaca berita utama dalam akhbar Utusan Malaysia yang dibekalkan oleh MAS berbunyi "Terus Beri Mandat" manakala di dalam Berita Harian pula berbunyi "Sokong Semua Calon BN".

Kedua berita muka depan itu dicemaskan lagi dengan kenyataan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang membuat ramalan BN akan menang besar dalam pilihan raya akan datang. Kenyataan itu walaupun berbau ejekan ataupun mempunyai mesej tersendiri kepada rakyat mengenai terhadap Abdullah, namun hakikatnya ia menggambarkan akan sokongan bekas PM itu kepada Umno.

Kenyataan itu cukup melukakan orang-orang yang selama ini mengharapkan Dr Mahathir tidak akan aktif dalam menyokong partinya di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa Mahathir masih kental dan taksub kepada partinya. Beliau juga tidak merubah prinsip dan cita-citanya yang mahukan Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Kesimpulannya kebencian Mahathir kepada Abdullah tidak boleh diambil kesempatan oleh pembangkang untuk untuk dimanfaatkan dalam pilihan raya raya kali ini. Maknanya pembangkang kena berdiri atas kaki sendiri dalam berhadapan dengan BN dan tidak berpeluang menggunakan dahan pokok yang sama untuk dijadikan ulu kepak untuk menebang berkenaan.

Catatan: Terima kasih kepada rakan-rakan yang mengucap selamat atas kepulangan saya dan isteri. Maaf tidak dapat dibalas satu persatu ucapan berkenaan menerusi sms dan pernyataan ringkas ini sebagai gantinya. [wm 3:20 pm 25/01/08]

No comments: