Monday, January 28, 2008

Problem Annuar Musa

Umno Kelantan Mengaku Kalah Sebelum Berjuang!

MSO


KETIKA Umno negeri lain menyatakan keyakinan luar biasa parti itu akan mampu mempertahankan Kerajaan negeri masing-masing yang dimilikinya berpuluh tahun lalu (kecuali Terengganu), Umno Kelantan seperti sudah mengaku kalah sebelum berjuang.

Sikap ini agak anih dan menyebabkan orang merasakan ia seperti satu tektik dan strategi pula. Namun apabila dilihat kepada realiti yang berlaku sebenar di dalam parti itu dan kerencaman masalah yang dihadapi para pemimpinnya, memang keadaannya menjadikan Umno Kelantan terpaksa mengaku kalah awal-awal lagi.

Walaupun semua pemimpin kecil dan besar Umno bercakap dan mendakwa Umno Kelantan akan mampu menumbangkan Pas, namun cakap itu hanya penyedap mulut sahaja. Mereka bercakap dalam keadaan panas sejuk dan ada kalanya sebagai mengulik diri sendiri kerana ianya kontras dengan hakikat yang berlaku.

Satu masa para pemimpin Umno mengwar-ngwarkan kepada rakyat yang mereka akan dapat merampas Kelantan. Kononnya keagungan Pas selama 18 tahun akan berakhir kali ini. Manakala di masa lain pula mereka masing-masing memperlihatkan rasa kurang konfiiden yang Umno mampu mengatasi Pas.

Lama sebelum ini beberapa kali Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa sendiri menegaskan yang partinya akan mempu meraih sekurang-kurang 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya akan datang. Kejayaan itu membolehkan Umno dengan senang akan memerintah Kelantan selepas bulan Mac nanti.

Strategi

Memang Umno berbuat kerja dan mengatur strategi untuk merampas setidak-tidak lima atau 10 kerusi yang dimenangi Pas dalam pilihan raya lalu di samping mengekalkan 22 kerusi yang dimenangi kini. Satu plan strategi yang ampuh dikatakan telah disusun sebegitu rupa sekali ini termasuklah bersekongkol dengan berbagai agensi Kerajaan secara tidak halal.

Mendengar kenyataan Annuar itu sedikit sebanyak menyebabkan ada juga pemimpin Pas menggeletar. Ahli dan penyokong yang berjiwa kecil terus dilamun kesedihan dan kedukacitaan bimbang kehilangan kerajaan Kelantan yang satu-satu Kerajaan bercirikan Islam sejati.

Kenapa tidak, strategi itu memang sesuatu yang praktikal dan dapat dilaksanakan oleh Umno yang terkenal dengan permainan politik wangnya.

Menghuraikan keadaan ini atau mencari jawaban apakah kenyataan itu benar cukup mudah sekali. Kalau benarlah apa yang dikatakan itu, masakan pemimpin Umno Kelantan takut untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Tetapi soalnya kenapa lagak dan wajah pemimpin Umno Kelantan tidak mencerminkan keriangan bila pilihan raya semakin hampir? Kenapa mereka menjadi seram sejuk?

Ketakutaan di kalangan pemimpin Umno ini semakin jelas. Rata-rata mereka menang di kerusi DUN pada pilihan raya lalu dikatakan telah membuat persiapan untuk menyelamatkan diri masing-masing dengan berpindah untuk bertanding di kerusi parlimen sehinggakan berlaku pencakaran sesama sendiri.

Katanya sudah dibuat satu persepakatan tidak rasmi di mana semua ketua-ketua bahagian bertanding di Parlimen, termasuk mereka yang pada masa ini menang di beberapa kerusi DUN. Persefahaman ini dikatakan telah dibuat oleh Pengerusi Umno Kelantan, Annuar dengan dipersetujui oleh pemimpin kanan yang menghadapi masalah sama dengannya.

Ekoran itu Annuar yang kini Ketua Pembangkang di DUN Kelantan dan juga Adun Kok Lanas dikatakan akan bertanding di kerusi parlimen Ketereh, Ramzi Abdul Rahman (Setiausaha Badan Perhubungan) yang kini menang di Dabong akan bertanding di parlimen Kuala Krai, Norzaidi Omar (Bendahari) yang kini Adun Pengkalan Kubur akan bertanding di kerusi parlimen Tumpat.

Lain-lain pemimpin kanan yang menang di kerusi DUN dulu seperti Hashim Shafin akan ke parlimen Tanah Merah, Kamaruddin Md Noor DUN Semerak akan ke parlimen Pasir Putih. Gara-gara cadangan dan hasrat Annuar itu menyebabkan keadaan ahli Parlimen Ketereh Md Alwi Che Amat dikatakan tidak tenang dan ada yang beranggapan cara Annuar itu sebagai menganiayakan Alwi.

Helah

Jelas persepakatan itu adalah helah untuk menyelamatkan pemimpin kanan berkenaan. Dalam pada itu ia secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak berani untuk berhadapan dengan Pas. Natijah daripada tindakan itu juga menjelaskan bahawa mereka tidak konfiden bahawa Umno akan mampu merampas Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Sudah pasti kalau mereka yakin Umno akan menang sampai 26 kerusi sudah pasti mereka tidak akan menyusun strategi dan helah demikian untuk menyalamatkan diri masing-masing. Bukankah selaku pemimpin kanan mereka juga bakal menjadi pemimpin dalam kerajaan kelak? Tetapi kerana mereka sendiri tidak yakin, tidak guna mereka menunggu atau mencari penyakit.

Mungkin kepada mereka strategi itu dianggap canggih untuk menyelamatkan diri masing-masing, tetapi pada satu masa ia menyerlahkan sikap hipokrit mereka selaku pemimpin. Satu masa mereka menyatakan Umno akan menang, tetapi di masa lain mereka kalut membuat persiapan untuk menyelamatkan diri. Bukankah tektik itu jelas menipu ahli!

Melihat kepada keadaan itu nyata bahawa dakwaan yang Umno mampu mengatasi Pas pada pilihan raya akan datang hanya omong kosong sahaja sedang hakikatnya mereka - para pemimpin kanan seakan sudah mengetahui untung nasib mereka yang bakal hanyut selepas ini.

Sebenarnya sesuatu yang menghairankan juga kenapa Annuar sendiri selaku pemimpin nombor satu yang turut sama takut dan menjadi tidak yakin kepada kebolehan dan kemampuannya sendiri. Kalau benar beliau berhajat untuk 'melari' dan menyelamatkan diri ini bermakna beliau tidak bertanggungjawab kepada perjuangan dan ahli Umno.

Umum arif kenapa Annuar tidak berminat untuk terus kekal di kerusi DUN Kok Lanas. Pertama kerana beliau sudah membaca yang Umno tidak akan mampu mengatasi Pas. Kedua kerana sekiranya Umno menang beliau merasakan beliau tidak akan dapat menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan.

Kesempatan

Itulah yang tersumbat di dalam kepala Annuar. Jadi adalah logik dan munasabah kalau beliau melayani pilihan raya ini secara sambil lewa sahaja atau mencari kesempatan untuk mendapat wang sebanyak mungkin.

Sebenarnya persepsi demikian tidak betul dan tidak harus ada dalam kepala seorang pemimpin berkarisma dan berpengalaman seperti Annuar. Beliau tidak patut memikirkan nasibnya akan jadi tidak baik kalau pun Umno menang di Kelantan. Sikap demikian adalah sikap oportunis.

Beliau seharusnya optimis dan yakin kepada diri sendiri. Perasaan rendah diri beliau tidak akan dipilih menjadi MB kerana masalah dengan istana di masa lalu seharusnya tidak menjadi phobia dan menganggu langkah perjuangannya. Beliau tidak patut menunjukkan kelemahan dirinya itu kepada ahli Umno yang lain.

Annuar harus membuang jauh-jauh bisikian itu dan perlu memberanikan diri. Anuar perlu ingat dan menyedari bahawa siapa yang tidak pernah bersalah atau melakukan perbuatan yang boleh menyinggung hati pihak istana. Beliau kena sedar dan ingat bukan beliau sahaja 'bersalah' dengan sultan tetapi orang lain juga termasuklah Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalau orang lain boleh berbaik dan diterima semula oleh Sultan Kelantan kenapa tidak beliau? Lagipun urusan melantik dan memilih MB kelak bukan atas kemahuan Annuar sebagai Pengerusi Badan Perhubungan seratus peratus tetapi mereka akan ditunjuki oleh Presiden Umno.

Apabila ianya ditunjuki oleh Presiden yang juga ketika itu Perdana Menteri apakah pihak istana tidak bersedia untuk menerimaya. Tergamakkah istana Kelantan disaat kepupusan keramatnya ini menolak cadangan Perdana Menteri?

Kalaulah benar Annuar layak sudah pasti pemimpin tertinggi Umno mempunyai formula atau penawar bagaimana hendak menyejukkan hati pihak istana. Tidak ada perbalahan yang tidak boleh diselesaikan!

Sikap takut tidak berhujung dan berani tidak bertepi yang ada kepada Annuar kini sehinggakan merasakan dirinya menimbulkan masalah kepada partinya adalah tidak betul. Annuar seharusnya mencuba dahulu. Biarlah istana menghalau beliau daripada mengangkat sumpah sebagai MB baru boleh disimpul atau disahkan bahawa Annuar sememangnya tidak diingini oleh istana.

Setakat merasa bimbang di dalam kepala itu adalah perasaan orang yang lemah semangat dan mudah merasa bersalah atas apa-apa yang sebenarnya yang belum pasti. Sifat dan sikap itu tidak seharusnya ada kepada manusia bernama pemimpin. [kb 3:00 pm 28/01/08]

No comments: