Monday, December 7, 2015

Nasib Muhyiddin dalam Umno ditentukan malam ini

ANDAIAN

Perhimpunan agung Umno (PAU), yang akan bermula 8 hingga 12 Disember, tampaknya akan bermula lebih awal dari itu. PAU kali ini juga luar biasa daripada sekala. Selalunya PAU dimulakan dengan majlis penerangan presiden (pre council), seperti mana kebiasaan, tetapi kali ini diubah dengan satu acara tersendiri.

Perubahan ini menyebabkan PAU kali ini melangkau tradisi dan sedikit suspen. Perubahan atau "pembaharuan" yang dimaksudkan itu ialah apabila malam ini Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin akan mengadakan ucapan dalam satu himpunan jam 8:00. Ianya dianjurkan oleh para penyokongnya yang tidak setuju dengan tindakan MT (baca Najib Razak dan Zahid Hamidi) yang tidak membenarkannya berucap dalam PAU.

Acara dan kejadian ini belum pernah berlaku dalam Umno. Walaupun ia bukan termasuk dalam susun atur mesyuarat, tetapi Majlis Bersama Timbalan Presiden itu diadakan bersemangatkan PAU itu. Sebab itu saya sifatkan PAU kali ini menarik dan luar biasa. Boleh juga dikatakan majlis malam ini adalah satu rampas kuasa mood PAU oleh TPM.

Para pemerhati kini sedang menunggu apakah kesan kepada majlis malam ini. Para perwakilan dan permerhati Umno di seluruh negara yang kini sudah mulai memasuki ibu kota juga pasti memberi fokus kepada acara menggepur PAU itu malam ini. Mereka yang ada di KL dan bersimpati dengan Muhyiddin pasti akan berjujutan ke majlis berkenaan.

Selain Muhyiddin yang akan berucap, ia juga dituruti oleh Shafei Afdal yang sudah pun menyatakan kesediaan untuk hadir pada majlis malam ini. Kombinasi antara TPM dan seorang Naib Presiden itu mampu menjadikan majlis itu lebih meriah.

Persoalan kini apakah himpunan bersama TPM itu mendapat sambutan atau sebaliknya? Sekiranya ia mendapat sambutan ia memberi kesan negatif kepada Umno. Apa lagi kalau yang hadir mencecah angka ribuan. Kehadiran itu memberi petunjuk yang mengerunkan kepada Umno. Apa yang ditegaskan oleh seorang Naib Presiden, bahawa Muhyiddin tidak akan menjadi fenomena, meleset.

Sebaliknya kalau yang hadir sekitar ratusan sahaja, himpunan itu tidak memberi apa-apa bekas sebaliknya ia menjadi "liabiliti" kepada Muhyiddin dan Shafei. Kegagalan himpunan malam ini juga ia memberi kesan buruk kepada masa depan kedua mereka itu, Muhyiddin dan Shafei dalam Umno. Apakah mereka berdua sudah membuat persiapan rapi mengenai nasib mereka?

Kegagalan majlis itu menyebabkan pihak disebelah sana akan membuat kesimpulan bahawa cara Muhyiddin bangkit membela diri atas apa dilakukan Umno (baca Najib) itu tidak berkesan.

Manakala indikator lain pula sekiranya majlis malam ini tidak mendapat sambutan ia menunjukkan bahawa ahli-ahli Umno sudah tidak peduli lagi kepada tindakan pengotoran demokrasi yang berlaku secara berlelusa dalam parti nasionalis itu. Salah laku, penganiayaan atau kezaliman sesama sendiri bukan menjadi perkara yang perlu dijadikan titik bengik lagi. Soal marol, maruah dan integriti sudah tidak ada lagi dalam Umno.

Apakah dengan keadaan itu orang-orang seperti Muhyiddin masih mengharap keadilan dan kebenaran baginya? Kita bercakap kemudian.

Sebaliknya kalau himpunan itu mendapat sambutan ia memberi satu petanda baru kepada kedudukan Najib dalam PAU kelak. Himpunan itu akan menjadi semangat dan pencetus untuk menyalakan api bantahan kepada Najib. Tidak mustahil kalau sahunya akan sampai ke peringkat boleh menghangatkan PAU kali ini.

(Namun saya tetap percaya tidak akan ada apa-apa kehangatan dan tindakan kontroversi dalam PAU, kerana PAU itu sendiri adalah proses pembiusan akal dan minda ahli yang dilakukan secara berkala setiap kali setahun. Ubat untuk membiuskan pemikiran ahli Umno cukup mudah ia memerlukan ubat bernilai RM500 hingga RM1,000 sahaja. Setelah dibiusbekukan itulah menyebabkan ahli Umno tidak mengetahui apa-apa lagi yang berlaku dalam parti itu).

Perhimpunan malam ini amat penting kepada Muhyiddin bagi menentukan nasib dan hala tujunya dalam Umno. Apakah dengan mengadakan himpunan itu menyebabkan beliau langsung tidak akan dibenarkan memasuki Dewan Merdeka pada 9 Disember kelak? Ada kemungkinan beliau akan digantung keahlian bagi mengelakkan dia lolos ke dalam Dewan Merdeka nanti kalau himpunan malam ini berjaya.

Jadi kita tunggu hasil dan reaksi malam ini terhadap himpunan berkenaan. [wm.kl.2:07 pm 07/12/15]
Post a Comment