Wednesday, December 9, 2015

Khairy perlu sahut cabaran Rafizi

SUARA PETANG

Setuju dengan cadangan Rafizi Ramli supaya Khairy Jamaluddin melepas jawatan sekiranya ketua pemuda Umno itu benar menentang kenaikan harga barang. Tidak guna bagi Khairy kononnya menentang dan marah dengan kenaikan harga barang yang membebankan rakyat dalam gelanggang sendiri kerana tindakan itu tidak lebih daripada hendak tunjukkan jantan dalam kain palikat sendiri.

Kata Rafizi tindakan Khairy meletak jawatan ia mempercepatkan proses pengunduran Najib Razak yang merupakan punca bala segala masalah kini. Benar, memaksa Najib berundur merupakan salah satu penyelesaian terbaik terhadap masalah ekonomi dan mengembalikan penghormatan umum kepada negara.

Sekiranya Khairy hanya tahu berkata, (membantah) tetapi tidak membuat aksi, jelas suara beliau marahkan kenaikan harga barang itu sebagai satu tindakan populis sahaja untuk memberi gambaran dia seorang pemimpin yang berani dan terbuka.



Khairy mungkin sudah beri sorakan dengan tindakan itu, tetapi kalau beliau berani berundur, sudah pasti sorakan akan lebih bergema lagi.

Khairy juga ada menyebut perjuangan dalam Umno bukan untuk mengejar kekayaan dan harta benda, tetapi demi bangsa. Kalau benar begitu, tidak perlu berdolak dalik lagi untuk beliau membuktikan kata-kata itu dengan meletak jawatan.

Apakah Khairy berani menerima cabaran Rafizi itu?  Khairy sebenarnya telah mempamerkan dia bukan seorang pemimpin nigrat atau bangsawan apabila dikatakan menolak pengurnian darjah kebesaran membawa gelaran Datuk.

Pendirian itu akan lebih dihormati lagi kalau dia menyahut cabaran Rafizi.

Kalau Khairy pengecut, lebih baik beliau tidak membuat kritikan kepada kenaikan harga barang kerana kritikan tanpa tindakan itu tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat. Sekali lagi menjelaskan bahawa kritikan sebegitu hanya retorik oleh seorang pemuda Umno yang dilihat berani, terbuka dan berjuang untuk rakyat. [wm.kl.3:33 pm 09/12/15]

No comments: