Bangunan DUN Sarawak. |
Jika diperhati dari sini apa lagi mengikuti laporan media arus perdana (PB), pilihan raya Sarawak seakan berjalan dengan baik dan sempurna. Laporan bersifat propaganda itu memberi gambaran parti pemerintah BN Sarawak akan menang dengan mudah. Sepanjang sejarah media di Malaysia setiap kali berlangsung pilihan raya mereka akan memberi gambaran selamat kepada parti sokongan mereka.
Jika mendengar laporan daripada media massa, eletronik dan cetak, seolah-olah parti pembangkang langsung tidak ada peluang. Sedangkan ada juga kadang kala parti pembangkang menang besar dan laporan media massa PB meleset jauh.
Di Sarawak ini sejak awal-awal lagi para propgandis BN menguar-uarkan yang BN akan menang besar. Media menjual "padi basah" kepada pemerhati politik. Jadi bagi peraih padi yang tidak bijak dan percaya kepada kejujuran media PB, akan kegeruman sendiri.
BN tidak ada masalah untuk mempertahankan kerajaan Sarawak. Pertukaran Ketua Menteri baharu, Adenam Satem menjadi faktor kemenangan besar kepada BN.
Pada umum alasan itu diterima oleh orang ramai. Tetapi apabila sebaik sahaja penamaan calon selesai, hujah itu seakan tidak semudah yang dianggapkan. Pelarangan terhadap beberapa orang pemimpin parti dari Semenanjung, seperti PKR, Amanah dan DAP, memberi gambaran sebaliknya.
Keadaan yang dikatakan selesa di pihak BN itu seakan ternafi. Logiknya, kalau Adnem Satem rasa akan menang mudah dan pilihan raya ini kerana popularitinya, tidak ada cabaran kenapa beliau menggunakan kuasa eksekutif dan hak istimewa Sarawak untuk halang kemasukan pemimpin parti dari Semenanjung? Bukankah halangan itu memjelaskan yang BN takut dengan kehadiran parti-parti berkenaan?
Di zaman Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri, walaupun ada larangan ke atas pemimpin parti dari Semenanjung untuk datang berkempen menyokong parti mereka, tetapi jumlahnya tidak sebesar apa dilakukan Adnem. Tindakan Adnem itu menunjukkan beliau (BN) takut dengan pembangkang?
Mungkin dengan cara itu BN khasnya PBB Sarawak dapat mengekalkan kekuasaan mereka ke atas Sarawak. Tetapi apa guna kalau kejayaan itu dengan menggunakan kuasa atau pun cara tidak demokratik yang bertentangan dengan semangat demokrasi? Bukankah cara itu menafikan hak rakyat?
Memang diakui Sarawak ada kuasa Imigresen tersendiri yang termasuk dalam 20 perkara yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia, kemasukan Sarawak ke dalam Malaysia 1963.
Tetapi keistimewaan itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Sepatutnya sesudah lebih 53 tahun Sarawak dalam Malaysia, larangan sebegitu tidak diperlukan lagi. Adnem dan PBB sepatutnya tahu menerima semangat demokrasi yang sebenarnya dan tidak terus mengguna pakai undang-undang hutan rimba.
Percayalah apa dilakukan Adnem itu tidak akan menjamin keselamatan kerajaan BN di Sarawak. Mungkin hari ini rakyat Sarawak yang rata-rata dikongkong dengan pelbagai undang-undang itu, sogokan wang poket dan berbagai-bagai janji manis boleh menjamin PBB terus berkuasa. Tetapi tidak untuk selamanya. Generasi yang mendokong PBB dan BN di Sarawak tidak kekal dengan usia dan kepercayaan mereka hari.
Satu hakikat perlu disedari, kekuasaan politik secara tradisi dan klasik di Sarawak sudah mulai berubah pada pilihan raya ke-11 lalu. Kesediaan pengundi kawasan bandar khasnya yang ditonjoli kaum Cina memberi isyarat jelas yang rakyat Sarawak generasi baharu bersedia untuk keluar daripada tempurung sekatan itu.
Akhirnya memerhati pilihan raya negeri Sarawak kali ini apa yang ditunggu ialah apakah bakal terjadi kepada parti pembangkang asal Semenanjung. Apakah kehadiran mereka khasnya kepada Pas dan Amanah membawa sesuatu bekas baharu di Sarawak. Kedua-dua parti ini menaruh harapan besar untuk mendapat sebarang kerusi, tetapi peliknya dalam tindakan politik mereka tidak banyak menunjukkan aksi positif.
Kalau dalam pilihan raya negeri tahun 2011 lalu kedua pemimpin Pas dan Amanah berganding bahu berkempen ada yang masuk ke dalam gereja, namun Pas tetap juga tidak mendapat apa-apa kerusi, apakah dengan cara mereka bergaduh sesama sendiri akan memberi harapan memenangi apa-apa kerusi buat mereka?
Misalnya mereka sanggup bertarung merebut kerusi sama, dan tidak bersungguh-sungguh untuk sama-sama mendepani BN. Cara kedua-dua parti ini seolah-olah sengaja mahu memberi kemenangan kepada BN, dan mereka sendiri rela berputih mata daripada berkompromi antara satu sama lain. Mereka sanggup melihat orang menang asalkan jangan mereka.
Begitu juga dengan PKR, yang telah meletakkan 40 calon yang turut sama melibatkan bertarung sesama sendiri dengan DAP di lima kerusi? Apakah PKR dapat menambahkan pencapaian sebelum ini daripada tiga kerusi kepada satu atau dua lagi kerusi. Pertarungan di lima kerusi antara PKR dan DAP itu juga menunjukkan tidak ada persefahaman mampan politik kedua parti berkenaan.
Kesan daripada itu mungkin membawa celaka kepada parti itu atau salah satunya. Dalam hal ini mungkin yang berdepan dengan masalahnya PKR?
Kali ini DAP telah meletakkan 31 calon, dengan harapan dapat mengekalkan 12 kerusi yang dimenangi sebelum ini. Dalam hal ini DAP sangat berhati-hati dan bersikap profesional berbanding dengan Amanah dan Pas. Misalnya walaupun partama kali bertanding tetapi Amanah telah meletakkan 13 calon sementara Pas 11 kerusi sahaja.
Seperti diakui pemimpin DAP, parti itu tidak mengharapkan kemenangan besar, tetapi cukup bagi mereka mengekalkan kerusi sedia ada dengan penambahan satu dua terutamanya di kawasan majoriti Cina. Pencapaian itu merupakan satu kejayaan besar kepada parti itu. DAP meletakkan sasaran untuk menguasai Sarawak dalam tahun 2021 seperti mana kata Lim Kit Siang. [wm.kl.2:00 pm 02/05/16]
1 comment:
Ayahanda MSO perlu menasihatkan AMANAH serta PKR kerna begitu bernafsu utk melawan PAS yg awal2 lagi telah isytiharkan kawasan utk bertanding. Sebaliknya dlm setiap penulisan tak terlepas menyiku PAS... Cukup2lah ayahanda MSO.
Post a Comment