Saturday, May 7, 2016

Tidak salah Pas pecat Husam, tetapi apakah ia berlandaskan prinsip Islam?

RENUNANG SABTU

Kelmarin dahulu semasa dua orang rakan datang menziarahi saya dan membawa lima bungkus nasi kerabu, beliau membawa sama sekeping cd, (audio) rakaman ucapan Allahyarham Mohd Asri Muda pada tahun 1978, sehari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berjaya membawa usul undi tidak percaya kepada Mohamad Nasir sebagai MB Kelantan.

Ucapan Asri itu secara keseluruhannya mengulas mengenai apa dinamakan krisis politik Kelantan yang membabitkan Mohamad Nasir sebagai MB Kelantan yang enggan akur kepada keputusan parti (Pas) sebaliknya lebih akur dengan pihak lawan (BN). Gara-gara itulah menyebabkan krisis itu berpanjangan dengan berkesudahan akhirnya kerajaan Pas Kelantan berusia 18 tahun berjaya ditumbangkan oleh Umno yang mengambil kesempatan atas masalah yang menimpa Pas.

Umno telah menggunakan krisis itu dengan cekat dan penuh helah sekali untuk menumbangkan kerajaan Pas Kelantan.

Antara yang dihuraikan oleh Asri dalam ucapan penuh bersejarah itu ialah bagaimana Pas sebagai sebuah parti Islam bertindak begitu berhati-hati sekali untuk memecat Mohamad Nasir. Pas mengambil masa 22 jam bermesyurat dengan melalui beberbagai fasa untuk memecat seorang bernama Mohamd Nasir, yang tidak lagi setia dan akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

Masa diambil oleh Pas itu menurut Asri berbeza dengan masa diambil oleh Umno untuk memecat seorang MBnya ketika itu. Katanya Umno hanya mengambil masa setengah jam untuk memecat Harun Idris sebagai MB Selangor.

"Tertapi kita mengambil masa selama 22 jam dengan mengadakan beberapa kali mesyuarat sebelum memutuskan memecat Datuk Mohammad Nasir daripada Pas," kata Asri.

Perbezaan dari segi cara tindakan itu adalah menggambarkan begitulah juga kelainannya pendekatan politik di antara Pas sebagai parti berlandaskan Islam dengan Umno sebagai sebuah parti berfahaman sekular dalam soal mengambil tindakan ke atas seseorang ahli. Ternyata Pas begitu lunak, berhati-hati sekali dan sanggup berbincang panjang untuk memecat ahli bagi mengelakkan ianya dianggap sebagai parti zalim dan kejam kepada ahli dan tentunya akan dijadikan tauladan sejarah di kemudian hari.

Daripada apa yang berlaku itu menggambarkan kepada umum masa itu, Pas sebagai parti Islam yang mengutamakan prinsip dan semangat persaudaraan sesama ahli. Tentulah tujuan atau kesanggupan Pas melalui tempoh begitu panjang itu bagi tidak mahu memberi gambaran buruk kepada dunia luar bahawa tindakan memecat ahli hatta atas kepentingan parti tidak dibuat secara rakus dan zalim.

Apa membangga ahli Pas ketika itu, kata Mohad Asri, beliau boleh mengambil tindakan berdasarkan kuasa yang ada kepadanya selaku Yang diPertua Agung Pas, tetapi kerana mengenangkan Pas sebagai parti Islam yang sangat menitik beratkan saoal syura, maka ia dimesyuaratkan dibincang dan keputusan secara syura diambil.

Demikian keadilan dan keampuhan prinsip Islam diamalkan Pas dibawah pimpinan Asri ketika itu, amat cermat dan waspada dalam membuat sesuatu keputusan yang dilihat mudah, tetapi menjadi panjang kerana semata-mata mahu menjaga moral dan integriti Pas sebagai parti Islam. Begitulah akhak Islam sebenarnya yang sepatutnya dicontohi dan diingat sepanjang zaman.

Saya mengungkitkan peristiwa yang berlaku 39 tahun ini sebagai satu pengajaran dan ingatan kepada semua parti politik, khasnya Pas yang baharu melakukan satu tindakan yang pada saya sesuatu yang bukan sahaja mengejut dan merugikan politik parti itu, tetapi tidak berasaskan keadilan dan semangat persaudaraan Islam tulen yang diamalkan parti itu selama ini  masih terus dipraktikan, apabila telah memecat Husam Musa sebagai ahli Pas.

Tindakan ke atas Husam itu walaupun memenuhi perudangan (Perlembagaan) parti, dan ia boleh dibuat tanpa pun memanggil Husam untuk menjawab segala tuduhan, tetapi dari segi semangatnya ia lari jauh daripada semangat ukhwah Islamiah yang menjadi sanjungan dan slogan parti berkenaan.

Dan apakah pihak Pas (semua pihak) telah membuat penelitian dan kajian mendalam terhadap tindakan itu? Sebagai sebuah badan siasah seharusnya Pas melihat tindakan itu dari sudut siasah juga bukan dari pinggir perasaan dendam dan benci kepada Husam kerana sesuatu yang telah beliau lakukan. Malang sekali kalau tindakan itu bermotif politik kerana mahu berebut kuasa.

Dari segi politik Pas, parti itu tidak terjejas, sokongan tetap akan padu selagi ia bernama Islam dan mengakui parti pejuang agama, akan ada orang menyokongnya. Tetapi natijah politik ke atas pemecatan Husam itu ia tetap akan memberi bekas kepada Pas. Sebab itulah mungkin Asri mengambil masa begitu lama untuk memecat Mohamad Nasir dahulu, bukan kerana prinsip Islam dilanggari bekas MB Kelantan itu tetapi implikasi politik yang bakal terbit kesan dari pemecatan itu.

Husam mungkin ada melakukan kesalahan-kesalahan politik yang boleh diambi tindakan begitu, tetapi apakah proses pemecatan beliau itu dilakukan dengan penuh cermat, atau dalam konatasi lain dilakukan seperti mana proses untuk memecat Mohamad Nasir dahulu? Walaupun parti berhak memecatnya dengan kuasa yang ada kepada presiden atau pun diberikan kepada jawatankuasa disiplin, namun sebagai menandakan ia masih bersemangat Islam seharusnya Husam di panggil untuk bersemuka dan diberi kata nasihat secara lisan dan anak beranak.

Kita berharap sangat sebelum keputusan itu dibuat Husam dipanggil bersemuka dan telah menjawab dengan baik segala pertuduhan yang dikenakan ke atasnya? Dan jawatankuasa disiplin bukan bertindak sebagai Hitler dalam membuat keputusan memecat bekas Naib Presiden Pas itu.

Kenapa ini diragui dan ditimbulkan kerana ada bebeapa tindakan dan teknikal cara pemecatan Husam itu dilakukan dilihat tidak berapa lendek. Di sini saya tidak mahu lagi menyentuh soal apakah layak atau tidak pengerusi Jawatankusa Disiplin, Daeng Sanusi Daeng Meriok mempengerusikan bagi meneliti tuduhan ke atas Husam (kerana beliau sendiri telah melakukan prejudis kepada Husam), tetapi apa yang hendak dipersoalkan teknik pemecatan itu dilakukan, ia semacam satu cara bertentangan dengan prinsip dan nilai agama yang menjadi kebanggan parti itu.

Tidak sewajarnya Pas sebagai sebuah parti tua dan sudah hendak usang bertindak seperti itu.

Pengumuman pemecatan Husam itu dibuat menerusi satu siaran media massa milik parti berkenaan. Husam khabarnya tidak diberi tahu pun mengenai keputusan itu. Dalam erti kata lain, ribuan orang mengetahui mengenai nasibnya baharu dia mengetahui kedudukan dirinya. Husam tahu pun apabila menerima SMS dan pertanyaan daripada orang ramai mengenai berita beliau dipecat.

Wajarlah kalau Husam sedih dan mengalir air mata mengenang apa yang berlaku itu. Bukan sahaja beliau sesiapa pun sedih dan pilu. Sepatutnya beliau orang terawal mendapat tahu keputusan Jawatankuasa Disiplin berkenaan, bukan diberi tahu oleh orang ramai.

Dalam Islam ia sangat mementingkan konsep menjaga aib orang lain atau pun konsep nasihat menasihati dalam konteks ini bagi meringan kedukacitaan. Islam mengajar memelihara aib orang bukannya mendedah aib orang. Barisan ayat inilah juga yang selalu dituangkan dalam kotak komentar dalam blog saya bila setiap kali saya mengkritik mana-mana pemimpin. Sepatutnya barisan ayat ini juga dikunyah dan ditelah oleh semua orang.

Tetapi dengan cara dilakukan Jawatankuasa berkenaan, mengumumkan pemecatan Husam itu menerusi kenyataan media, satu tindakan liar yang berniat jahat. Ia bukan menutup atau meringan beban sahabat yang berat itu, tetapi menambahkan lagi kedukalaraanya. Sekali lagi ditanya, apakah ini cara Islam? Dan apakah ini dakwah dan terbiah yang kini dipraktikkan parti berkenaan?

Kenapa keputusan itu tidak disampaikan kepada Husam terlebih dahulu, baharulah ianya diviralkan? Viralkan dalam media massa tidak menjadi masalah, ia sudah menjadi satu kemestian dan stail di era ini. Tetapi akhlak dan moralnya hendaklah dijaga, Islam walaupun ia sebuah parti prograsif, tetapi tidak pernah berkompromi dengan tindakan tidak beretika dan rendah moral. Tindakan tidak beretika bukan progresif.

Islam tidak mengajar sesiapa supaya menambahkan kesakitan orang lain, melainkan mengajar meringan beban orang yang ditimpa musibah. Sebab itulah tatkala kita menziarahi orang sakit kita diminta berdoa dan tatkala menziarahi kematian kita diminta menenangkan jiwa kaum keluarganya. Memberi kata-kata semangat dan harapan baharu untuk menerusi kehidupan dan perjuangan dengan penuh beriman dan bertakwa. Itu ajaran Islam.

Apa yang berlaku dan dilakukan oleh jawatankuasa berkenaan khasnya dan Pas amnya, juga boleh dipertikaikan keran cara tindakannya semacam ia disengajakan untuk menyusah dan memalukan Husam. Semua tahu bahawa Pas kawasan Kubang Kerian akan mengadakan mesyuarat agung hari ini (7 Mei 2016). Apakah keputusan memecat Husam itu tidak boleh dibuat selepas mesyuarat berkenaan atau pun beberapa hari lebih awal.

Dengan mengumumkan pemecatannya tidak sampai 12 jam menjelang mesyuarat ia satu keputusan tidak bijak dan bermotif jahat. Apakah ia bertujuan mencegah Husam hadir mesyuarat berkenaan? Kalau benar begitu maka ia satu tindakan berniat jahat.

Tidak cukup dengan teknik yang sengaja dilakukan untuk memalukan Husam, cara beberapa pihak di Kelantan meraikan pemecatan itu juga memberi gambaran yang sangat mengecewakan terhadap Pas sebagai parti agama. Misalnya kenyataan dikeluarkan oleh Dewan-dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama yang menyokong keputusan Jawatankusa Disiplin memecat Husam itu, berbau keriangan atas apa yang berlaku dan serentak menunjukkan kebencian mereka kepada Husam.

Kenapa sejauh itu sekali yang terjadi? Dimanakah didikan dan ajaran Tokguru Nik Aziz selama ini. Apakah ia sudah hanyut dan hilir bersama pemergian jasadnya?

Tidak payah dewan-dewan itu menyokong keputusan jawatankuasa itu, cukup dengan apa yang berlaku. Dewan-dewan berkenaan tidak pun mengetahui secara mendalam macam mana cara atau kaedah Jawatankuasa Disiplin membuat keputusan, jauh sekali memahami permainan politik di sebalik apa yang berlaku.

Apa yang patut dilakukan, dewan-dewan berkenaan meminta orang yang kena pecat bersabar, banyak beristghfar, bukannya meraikan keputusan itu dengan cara membuat kenyataan "riang ria" begitu. Itu cara sebaik-baiknya. Seburuk-buruk Husam tetapi dia lebih baik daripada Anwar Musa bagi Pas. Ingat pemecatan Husam bukan kemenangan kepada Pas Kelantan. Kemenangan diharapkan ialah dalam pilihan raya.

Melihat begitu cepat dewan-dewan berkenaan memberi reaksi, Husam sendiri belum menerima secara rasmi keputusan beliau dipecat, semacam ada orkastra yang dimainkan di Kelantan. Semacam ada arahan pihak tertentu agar dewan-dewan membuat kenyataan drastik yang berupa buruk demikian rupa. Sekali lagi orang akan bertanya apakah semangat ukhwah dan Islamiyah dalam Pas sudah tandus?

Ingin saya tanya kalau mereka bencikan Husam, ia berlaku sejak bila? Apakah semasa zaman Tokguru Nik Aziz ada lagi. Kalau iya, kenapa mereka mendiamkan diri bahkan setengah menjadi pemuja Husam.

Yang menentang dan mengkritik Husam, semasa Tokguru masih hidup, adalah saya. Sejarah mencatat dan merekod segalanya. Tetapi sesudah Tokguru tidak ada baharu mereka memusingkan pedang kepada Husam, itu menunjukan mereka adalah munafik dan tidak jujur.

Tidak salah barang kali kalau dikatakan orang yang memerangi Husam ini adalah mereka yang memerangi politik Tokguru juga. Husam perlu dibuang dan dicampak keluar daripada Pas, agar legasi Tokguru juga hilang lenyap. Anak-anak muda dalam Pas hari ini tidak pernah tahu dan memahami dendam kesumat panjang ini.

Apakah selama berdekad Husam berada dalam Pas memperhambakan diri dan membantu Tokguru Nik Abdul Aziz selama memimpin Kelantan tidak perlu dikenang dan diingat langsung? Begitukah cara Pas meraikan mereka yang pernah berjasa dan berbudi kepada mereka?

Sebenarnya saya tidak hairan kalau keadaan ini berlaku. Dengan melihat kepada nasib yang diterima Mohd Asri Muda, memberi pengajaran dan ibrah besar kepada kita tentang Pas. Asri selepas sahaja beliau keluar darpada Pas, bukan sahaja segala jasa-jasa besarnya dalam parti itu dilupai, bahkan beliau dicemuh dan dimakin hamun. Beliau dianggap sebagai derhaka, bahkan ada yang sanggup mengatakan Asri sebagai kafir kerana meninggalkan perjuangan Pas. Nauzubalihiminazalik.

Justeru, apabila hal yang sama berlaku kepada Husam, ia tidak menghairankan kerana Pas bukan sahaja sehari dua ini menunjukkan kelainan dan perbezaanya dengan Pas sebelum ini, tetapi mula menunjukkan sikap dan perangai kontradiknya sebagai sebuah parti agama sejak beberapa dekad dahulu, tepatnya bermula pada tahun 1982, hanya berhenti sekejap pada tahun 1990an dan kini menjadi galak balik dengan fanatisme dan ekstrimenya.

Kalau Asri yang menjadi pemimpin agungnya boleh dihalau daripada Pas dengan perkataan "marakbar Asri", apa hendak pelik kalau Husam setakat pemecatannya diraikan dengan bedil buluh dan nyalaan bunga api.

Anak cucu cicit yang ada dalam Pas hari ini adalah peninggalan dari benih-benih Pas yang melaungkan "marakbar Asri" (pergi mampus Asri) 34 tahun dahulu; mereka yang kemabukan dan ego ditindih perasaan sendiri yang berasakan sebagai ahli syurga.

Mereka yang  lahir dari rahim lain telah pun perlahan-lahan memufarakah daripada Pas, meninggalkan parti itu atau tidak lagi betah bersama Pas yang dilihat sangat jauh bezanya dengan Pas dizaman mereka. [wm.kl.9:39 am 07/05/16]
Post a Comment