Badiuzzaman Said Nursi |
Apakah beliau seorang penyair, ahli politik, ahli sejarah, sosiologi, pengembara, falsafah atau sufi, atau apa? Apakah dia seorang bertaraf wali warsatur anbia yang memimpin sebuah jemaah tarikat hakikat di pascra zaman Uthmaniyah.
Yang saya fikir dan kira, beliau adalah seorang tokoh rakyat, penggerak kemerdekaan dan pejuang kebebasan - kemanusiaan. Secara jujur juga saya tidak mengetahui di mana bumi kelahirannya serta latar belakang keluarganya dan bidang keilmuan yang dipanggunginya. Yang saya tahu dia adalah asal dari Mesopotamia - Asia Barat atau Eropah Timur.
Mengunjungi Hasnul Byrum di Istanbul, satu-satu murid Said Nursi yang masih ada. |
Cuma yang pastinya dalam kepala saya nama Said Nursi memang ada terdampar dalam bendul pemikiran saya. Namanya berdempetan dengan nama-nama Jamaluddin Rumi, Ibnu Khaldum, Syed Qutub, Muhammad Iqbal, Jamaluddin Al Afghani atau lain person.
Atau pun terfikir juga oleh saya apakah beliau seangkatan dengan Ibnu Sinna, Ibnu Rush, Ibnu Khaldum, Ibnu Batuta dan sebagainya.
Namun itu sebenarnya tidak, Badiuzzaman Said Nursi terkemudian daripada nama-nama hebat dan pencetus tamadun agung keIslaman dalam pelbagai bidang itu pada abad kegemilangan Empayar Uthmaniyah di abad ke 14 hingga abad ke 19.
Sebaliknya Said Nursi adalah orang yang menyelidik, menghadam dan mengimplimentasi segala ilmu dunia diterokai oleh pemuka-pemuka Islam itu dengan ilmu dan pengetahuannya yang diselongkari dari al Quran kemudian dipadankan dengan pelbagai ilmu yang digagaskan oleh para cendekiawan atau ahlu albab berkenaan. Said Nursi mengaturkan konsep dan prinsip keilmuan tersendiri.
Di bawah kubah itulah makam maulid Ibrahim, mungkin di sini Said Nursi dikebumikan. |
Sebatang jalan di Urfa. |
Almarhum adalah benar-benar penyambung tugas aulia untuk terus mendempekkan kita dengan Tuhan Rabul Jalil. Insan yang meletak dan mengingatkan insan lain dengan kebesaran Ilahi dalam segenap tuturkata dan gerak laku serta cetusan ingatan hatta juga dari mimpi. Konsep dan prinsip tasauf yang dianjurkan juga cukup indah dan damai. Itulah jawatan atau profesi sebenar Said Nursi sepanjang hayatnya 83 tahun.
Secara jujur dan bukan ada maksud hendak bodek dan jauh niat untuk mengangkat, cetusan menjadikan saya terkenang kembali dan menyebut nama itu (Nursi) apabila bermusafir ke Syria bersama Adun Salor Husam Musa dua minggu lepas dalam Misi Kemanusiaan Syria. Itu sebab dalam catatan sebelum ini saya ada menyebut misi berkenaan membuka rahsia hidup buat saya. Mungkin rahsia yang saya maksud itu boleh ditumpangi oleh orang lain di sini.
Sebelum kaki menyentuh bumi Turki negara tempat kelahiran Said Nursi, namanya disebut beberapa kali dan kisah hidupnya diceritakan. Husam telah membawa atau mengimbaukan kehebatan dan keagungan Said Nursi kepada saya di sepanjang perjalanan. Seolah-olah Said Nursi dan anak-anak yatim pelarian Syria berkongsi "tangan" mengamit jiwa beliau.
Di meja makan, di kaunter tikit, malahan sewaktu berjalan menuju ke kabin untuk berangkat, beliau asyik berceritera mengenai Said Nursi dan kekagumannya terhadap kebijaksanaan siasah Badiuzzaman itu. Sesekali dia membaca ayat-ayat semacam zikir, tasbeh atau tahmid atau doa-doa popular dalam Risalah an-Nur. Terdengar juga beliau membaca beberapa ayat dalam surah Yassin mungkin menghadiahkan kepada roh Said Nursi.
Husam bercerita menyebabkan minda saya terbelek-belek seakan sebagai memperbaharui pengetahuan saya tentang Nursi, yang dia kira tentu saya juga mengenali siapa Said Nursi. Itu yang mungkin Husam fikirkan. Fikiran begitu tentu sekali ada kepadanya kerana memandangkan kehebatan Said Nursi, tiada manusia yang ingin menemui Tuhan kalau tidak mengenali sosok ini. Nursi adalah petunjuk arah ke pangkuan Allah yang memantulkan cahaya kesejatian hidup.
Lanskap di bandar Urfa. |
Berihat di pinggir Selat Bosphorus sambil mengenang Said Nursi. |
Kaedah atau pun "menu" ini wajar diamalkan oleh sesiapa yang ini menjejaki mana-mana bumi anbia dan para Nabi. Sejarah hidup dan sejarahnya perlu diketahui secara rengkas, sebaik-baiknya seperti mana dinukilkan dalam Quran atau sirah (Hadith). Apa lagi kalau kita mengetahui dan hafal zikir-zikir dan doanya disunatkan kita membaca dalam perjalanan menemuinya itu sebagai tanda dan bukti kasih dan sayang kepada mereka.
Walaupun pemusafiran tempoh hari tujuan utamanya ke Aleppo, Syria bagi berjumpa dengan anak-anak pelarian Syria yang kehilangan ayah dan ibu dan menyampaikan sumbangan atas usaha Yayasan Darul Hijrah (YDH) yang berkerjasama dengan Omari Society for Orphans, tetapi sambiri menziarahi guru-guru agama, pemuka-pemuka setempat atau pun menyinggahi di mana-mana makam aulia. Turki, Syria, Palestin dan Jordan merupakan gususan negeri para nabi atau aulia dan anbia banyak meninggalkan kesan sejarah yang boleh menyentuh spiritual kita.
"Insya-Allah kalau berkesempatan selepas selesai dengan anak-anak yatim (pelarian Syria) kita akan ke tempat di mana Said Nursi pernah dikuburkan di bandar Urfa (Sanil Urfa). Tempat ini juga merupakan kota yang penuh bersejarah," begitu kata Husam lagi menyambung penceritaan mengenai Said Nursi. Cerita itu menambahkan minat saya.
Kata-kata itu terus membuka hati saya apabila beliau menyebut "tempat di mana pernah menjadi kubur" Said Nursi. Saya menangkap bahawa kubur Said Nursi bukan di situ lagi. Maklumat itu kian menjadi tarikan (suspen) untuk mengetahuinya.Mata juga membayang-bayangkan keadaan dan rupa bentuk bandar Urfa.
"Bandar Urfa, bandar purba peninggalan kerajaan Namrud ini juga merupakan tempat kelahiran Nabi Ibrahim a.s. Kita akan dapat tengok tempat itu, maulid - kelahiran. Ia juga dikenali dengan nama bandar Nabi Ibrahim, di sinilah Said Nursi menghembuskan nafas terakhirnya, dan diabadikan," sambung Husam lagi tanpa saya menyinggungnya.
"Said Nursi dikebumikan di perkarangan masjid Nabi Ibrahim selama 130 sahaja, kemudian kuburnya dibongkar oleh penguasa kufar. Sampai sekarang ini tidak diketahui dimana rangka atau jasad Said Nursi disimpan," cerita Husam lagi. Menurutnya Said Nursi sangat berhajat untuk dimakamkan di perkarangan tempat kelahiran Nabi Ibrahim itu dan hajat tercapai.
Nasib Said Nursi hampir sama dengan jasab Usamah bin Laden yang dibunuh oleh penguasa Amerika kemudian dilempar ke dalam laut, fikir saya. Demikian betapa takut dan gementarnya puak kufar kepada mereka.
Kolonial yang menguasai Turki menerusi perang dunia pertama tidak mahu pusara Nursi itu dikekalkan di situ kerana ia dibimbangi akan menjadi pembangkit semangat kepada rakyat Turki dalam menentang kuasa kuffar - kolonial. Pemerintah kolonial sangat takut kepada gerakan dan ajaran Said Nursi yang begitu teguh dan kuat berpegang kepada agama Islam.
Perdana Menteri Britih William Wrwt Goldstone, pernah menyatakan kepada para menteri dan panglima perangnya; "Selama al Quran berada ditangan kaum Muslimim kita tidak akan dapat menguasai mereka. Kerana itu kita harus melenyapkannya atau memutuskan hubungan kaum Muslimim dengannya."
Manakala apabila mendengar pernyataan itu Said Nursi pula berikrar dan bersumpah; Bahawa dia akan membuktikan kepada dunia bahawa al Quran merupakan mentari hakikat yang cahayanya tidak akan padam dan sinarnya tidak mungkin boleh dilenyapkan. Pernyataan beliau itu menyahut cabaran Gladstone itu dan ternyata kebenaran dipihaknya. Pernyataan ini menjadi slogan jihadnya.
Disebabkan Said Nursi seorang "Quranis" yang hebat dan mampu pula mentafsirkan serta mendidikan keberanian hati manusia, maka itulah mungkin menyebabkan jasad dan "momen-momen" beliau perlu dihapuskan dari muka bumi Turki. Sebenarnya tindakan itu sesuatu yang sia-sia dan begitulah tindakan orang yang tidak berpegang kepada kewujudan Allah.
Nursi seorang perjuang kebebasan yang utuh. Dia bergerak menerusi dua sisi, sebagai abid dan juga pejuang. Dia menjadi singa di siang hari dan menjadi abid di malam hari. Waktu malam dia bermunajak dan beramal kepada Allah, siang hari dia mengatur gerakan untuk menghalau penjajah sejaligus menentang sekularisme di Turki. Kombinasi ilmu siasah dan kerohanian menjadi teras dan prinsip perjuangannya.
Dalam mempertahankan maruah watannya dan menentang penguasa sekularisme, Nursi dipenjara sebanyak 18 atau 19 kali dan semasa dalam tahanan beliau diracuni beberapa kali. Namun usaha berkenaan tidak berjaya membunuhnya, Allah memeliharanya demi umat kemudian.
Sewaktu ditahan di penjara di Russia beliau berjaya meloloskan diri. Tidak ada maklumat tepat kenapa beliau berjaya melarikan diri, cuma apa ditulis, semasa di penjara beliau tetap istiqamah dengan amalannya dan mengajar pengawal penjara ilmu-ilmu mengenali Tuhan. Ada yang berpendapat beliau lolos atas bantuan pengawal yang menerima dakwahnya?
Apa yang berlaku ke atas beliau itu mejelaskan bahawa Nursi mempunyai kekuatan tersendiri. Ia membuktikan amalan dan tarruhnya kepada Allah menerusi zikir, wirid-wirid, doa dan sebagainya menjadi pelindung kepada setiap kejahatan yang hendak dilakukan kepadanya. Sekaligus ia menjelaskan amalan Said Nursi menjadi dinding tebal pelindungnya daripada dikhianti musuh seterus menjaganya bagi membolehkan beliau selesai menulis Risalah an-Nur untuk panduan generasi terkemudian.
Cerita mengenai diri dan kezuhudan Nursi memberi faham kepada saya, tentang kehebatan dan kewalian Said Nursi sehingga ia menjadi sebutan utama Husam, bukannya nama-nama seperti Kamal Artaturk, ataupun Recep Tayyip Erdogan. Kalau hendak dikira sebagai seorang ahli politik apa lagi dikaitan kembar kepada Erdogan di Malaysia, Husam patut menceritakan perihal keterujaannya kepada Erdogan, bukannya Said Nursi di sepanjang perjalanan melewati Istanbul, Hatay, Reyhanli dan Urfa untuk ke sempadan Syria itu.
"Said Nursi seorang yang hebat. Dia bukan sahaja agamawan, ahli tarekat dan sufi semata-mata tetapi dia juga tokoh siasah. Orang yang berjaya menggabungkan ilmu agama dengan ilmu moden. Apa yang dilakukan itulah patut dicontohi dan inilah yang diamalkan Erdogan," tutur Husam lagi.
Suatu masa dahulu wujud pemahaman khilaf di Turki di mana ilmu-ilmu moden; sains, matematik, fizik, kimia dan sebagainya dianggap sebagai sekular yang tidak boleh dicampur dengan ilmu agama. Keadaan itu menyebabkan ilmu agama apa lagi kerohanian, tarekat dan sebagai terpisah dengan ilmu sains. Para "ahliLah" menjauh ilmu berkenaan. Atas silap fahaman ini juga berlaku perpecahan puak mengikut aliran dan fahaman berkaitan ilmu.
Sehinggalah kemunculan Said Nursi yang berjaya mendekatkan ilmu sains dengan agama. Beliau berjaya menolak tentangan terhadap ilmu moden itu kemudian digabungkan dengan ilmu agama. Dalam kata lain beliaulah tokoh yang menggabungkan kedua ilmu itu yang kini meletakkan kekuatan yang ada kepada Turki. Kemunculan Recep Tayyip Erdogan yang merupakan salah seorang pengikut dan pengamal tegar amalan Said Nursi, Risalah an-Nur menjadikan keyakinan kepada umum.
Jika diselidik apa yang menjadi pegangan dan apa diusahakan Said Nursi itu menggabungkan ilmu dunia dan akhirat, sains dan tarekat, kekuatan zahir dan batin, syariah dan hakikat adalah kesinambungan apa yang pernah dicapai pada zaman daulah Islamiyah - Empayar Uthmaniyah dulu. Salah satu punca kenapa, kejayaan Salahuddin Ayub menakluki Konstantinopel (Istanbul) ialah dengan kembinasi kekuatan zahir dan batin, kekuatan strategi perang (politik) dengan sufisme.
Sedikit mengenai latar belakang Said Nursi. Sejak dari kecil lagi beliau dilihat seorang anak yang cergas dan cerdas. Penguasan bukan sahaja dalam ilmu tafsir tetapi dalam bidang hadith, fekah dan lain-lain juga. Kejayaan paling besar beliau ialah menggabungkan ilmu dunia dengan ilmu akhirat berjalan serentak secara mampan. Kehebatan inilah beliau dijuluki dengan nama Bidauzzaman - Keajaiban Zaman.
Memang tepat dan pantas gelar itu diberikan kepadanya. Kenapa tidak, sehingga hari ini segala amalan, zikir dan pemahamannya mengenai kerohanian masih terus diamalkan. Karya teragungnya, Risalah an Nur, menjadi penyambung persaudara Islam di kalangan pengamalnya ini menjadikan roh beliau yang masih bisa dirasai kewujudannya.
Dalam keadaan dunia hari ini seakan kehilangan tali persaudaraan yang dipecah menerusi berbagai-bagai fahaman, ideologi dan aliran, Risalah an Nur menjadi pengikat kejap, khasnya di kalangan rakyat Turki. Di mana sahaja mereka berada mereka bersatu dalam ikatan risalah berkenaan.
Hari ini rata-rata jemaah atau perkumpulan di Turki mengamalkan atau menggunakan Rislah an-Nur sebagai jalan berkembar menuju Allah dan juga mencapai kemajuan duniawi. Sesuai sangat dalam kita kabur dan keliru dengan solusi-solusi politik yang belum ada kesudahan kini kalau ianya kita mengambil jalan ilmu Ketuhanan ini sebagai jalan penyelesaiannya.
Mungkin kalau tidak misi musafir berama Husam, balada Said Nursi ini tidak terungkit sehingga begitu, ia mungkin tenggalam dan hayut dalam sungai pengetahuan saya mengenainya yang kecil dan sempit. Sekembali dari misi itulah menyebabkan saya obses untuk mengenali Said Nursi. Semacam ada gamitan kerohanian untuk mencari, menggali dan mendekatinya.
Ia juga mungkin hasil daripada kunjungan saya sewaktu Misi Kemanusiaan itu ke beberapa sekolah atau madrasah, kuliyah pengajian yang kebetulan menjadi pengikut dan pengamal kitab Said Nursi. Hubungan kemanusiaan yang ditunjukkan oleh ahlinya yang akrab, menjadi faktor kenapa saya sedia membongkar Said Nursi demi mengenalinya sedalam-dalam.
Sekembali dari misi itu saya terus ke Indoneisa untuk mencari buku-buku mengenai Said Nursi, mengenai ajarannya dan juga sejarah perjuangannya. Malangnya di gedung buku yang saya pergi tidak menemui satu pun buku beliau.
Kehadiran saya dalam satu seminar peringkat Asia Pasifik di Nila, Negeri Sembilan anjuran masyarakat Turki dari berbagai profesyen yang merupakan pengikut amalan Said Nursi menemukan saya kepada sumber Said Nursi. Beberapa dapatan dan maklumat dari para pengikutnya ini memberi pencerahan untuk saya terus mendalami serta mengenali Said Nursi yang penting sekali menghayati apa yang terkandung dalam Rislaah n-Nur.
Sedikit latar belakang Said Nursi.
Biduzzaman Said Nursi dari kaum Kurdis, di lahirkan di kampung bernama Nurs daerah Bitlis Anatolia (Turki) Timur pada 1877 M. Kelahirannya hasil perkahwinan Mulla Mirza dengan Nuriyah. Peringkat awal Said Nursi belajar agama dengan abangnya, Abdullah. Dalam usia remaja beliau telah mengembara mencari ilmu dari satu tempat ke satu tempat, menyinggahi di mardrasah ke madrasah untuk mempelajar semua bidang ilmu, tafsir, hadith, fikih dan sebagainya.
Dalam masa ini juga beliau mempelajari ilmu moden, matemetik, geologi, kimia, fizik, filsafat dan sebagainya. Ekoran berlaku pemberontakan terhadap kerajaan sekular Turki, beliau beberapa kali ditahan dan diasingkan.
Setelah melalui dunia ini selama 88 tahun, nafasnya terhenti pada 23 Maret 1960, di Urfa kira-kira setelah 50 hari saya dilahirkan ke dunia ini. Dan sesudah umur saya hampir menjamah 57 tahun, baharu saya menyedari kehebatan Said Nursi dan menjejak bumi di mana jasadnya pernah dimakamkan, Urfa. Aduh begitu lewat saya untuk mengenali Said Nursi si Badiuzzaman itu. Namun saya masih tetap berasa bertuah dan berterima kasih kepada pencinta Salahuddin Ayub, sdr Husam Musa. [wm.kl.6:11 pm 24/01/17]
1 comment:
Syabas, teruskan coretan yang sebigini, jauh lebih bermanafaat dari ulasan polotik yang terpalit dengan unsur-unsur fitnah.
Post a Comment