Wednesday, May 31, 2017

Alhamdulilah saya sudah kembali berblog

CATATAN KEMBALI

Bersama rakan jemaah sebelum berlepas pulang.
Selama 13 hari blog ini sepi tanpa sebarang pengeposan apa-apa maklumat. Seperti mana yang dimaklum dan janjikan, insya-Allah mulai esok blog ini kembali untuk bersama para penjengok sekalian membicarakan isu-isu semasa politik negara. Saya sekali lagi memohon maaf atas "kekosongan" dan kesepian blog ini selama tempoh itu yang mana mungkin ada yang terpedaya apabila membukanya kerana tiada bahan baharu.

Sebenarnya selama tempo itu saya menutup mata, telinga dan juga mulut serta menghentikan jari jemari bermain dengan bonjol-bonjol abjad di atas keyboard laptop, kerana berada di tanah suci mengerjakan umrah bersama isteri. Saya mengambil keputusan kerana ingin memberi fokus kepada pemusafiran saya itu.

Sesudah usai tawaf.
Alhamdulilah saya bersama isteri selamat kembali dari mengerjakan umrah kelmarin, 29 Mei dalam keadaan sihat dan memuaskan.

Walaupun dari sana dapat juga menjenguk segala perkembangan politik negara, atau apa-apa isu berlaku dalam tanah air dengan ada kemudahan internet, tetapi saya sengaja mendiamkan diri. Biarlah buat seketika saya merihatkan diri untuk "berjibuh" dalam apa jua isu. Membicara soal politik tidak pernah ada titik akhir, hatta titik koma pun.

Peristiwa-peristiwa gimik dalam politik yang berlaku seperti tampar menampar memakin hamun dan lain-lain masih berdesing di telinga semasa di sana tetapi saya biarkan ia berlaku begitu sahaja dengan penuh kekesalan.

Alhamdulilah apa yang saya hasratkan dapat dituanikan. Di kedua tanah suci itu saya tidak bercakap sepatah pun mengenai politik di mana laman sosial saya, baik blog ini, twiter ataupun Facebook. Saya berpuasa zahir dan batin dengan politik. Saya berjaya menguncikan diri daripada berkata apa-apa mengenai politik. Walaupun rakan jemaah, yang mengenali saya ada bertanya soal politik atau "tertubik" bicara politik secara di bawa sedar, saya banyak-banyak istghfar untuk melarikan diri darinya.

Politik yang menjadi darah daging, tidak boleh dilupakan begitu sahaja. Apa lagi selagi politik menjadi sebahagian sistem membangun negara ia kena dipedulikan mengikut rukun-rukun dan biarlah ia bermaruah dan bermoral. Tetapi kalau terlebih memepdulikannya, sampai hal-hal sampah dalam politik diambil untuk dihadamkan ia sesuatu yang tidak baik.

Kerana kita berpolitik sudah ke tahap melampaulah menyebabkan saya seakan "tertegak" atau ralat untuk membicarakan soal politik terutamanya semasa di tanah suci. Iya, kalau politik kita masih sopan, masih lendik dan masih bermaruah tidak menjadi masalah kalau pun sambirin beribadat kita turut sama memikirkan tentangnya. Namun kerana politik yang kita gerak dan main kotor, ala-ala Abu Jahal, Abi Lahad atau Abdullah bin Ubay, Hendon bte Utba yang mengupah Wahsyi si pembunuh rasanya tidak tergamak untuk diseret ke dalam amal ibadat.

Maka itu saya mendiamkan diri selama berada di dua tanah suci itu.

Kekotoran dan kemelampauan cara kita berpolitik dan menggerakkan politik tidak boleh dinafikan apabila melihat kerencaman politik yang menghiaskan laman-laman media sosial. Kewujudan secara meluas laman media sosial menjadikan pemain dan peminat politik makin berani dan makin tergamak mengganyang politik. Apa yang tidak ditumpahkan dalam laman sosial, semuanya ada.

Kadang-kadang tidak tergamak untuk kita membaca dan mengikutinya. Sangat buruk dan huduh sekali. Tidak kira dari pihak mana, semuanya sama sahaja. Maka itu saya mengambil sikap tawakus dengan politik selama beberapa hari dan mungkin juga akan meneruskan tawakus dengan sikap dan tindakan itu untuk masa-masa akan datang.

Saya tidak nafikan juga, ada kalanya saya sendiri terikut beremotif dengan gelagat politik itu khasnya dalam membuat ulasan dan menggelarkan diri seseorang. Saya sedar itu semua tetapi ia masih dalam kawalan sempadanan yang masih harmoni saya kira. Semoga sahaja kita diberikan keinsafan dan kesedaran baharu yang dikutip dari semangat Ramadhan ini. [wm.kl.11:50 am 31/05/17]

2 comments:

as-s said...

Alhamdulillah selamat kembali tuan

man hymnz said...

Alhamdulilah. Selamat berkarya kembali