Thursday, September 14, 2017

Menjejaki bumi Khurasan, Uzbekistan selepas 24 tahun..

CATATAN MUSAFIR
(Muqadimah)

Bergambar kenangan di kompleks makam Imam Bukhari.
Alhamdulilah petang semalam saya bersama enam rombongan sahabat telah selamat tiba ke tanah air dari bermusafir selama lapan hari ke Uzbekistan, dari 6hb hingga 13hb September.

Selama enam hari kami disana dipenuhi dengan lawatan dan kunjungan ketat ke beberapa kawasan terpilih. Untuk meratai seluruh Uzbekistan mencatat segala-gala mengenainya memerlukan masa panjang, tidak mungkin dalam tempoh terhad."


Bumi ini mempunyai sejarah panjang untuk ditulis dan memerlukan masa," demikian ujar Husam Musa yang menjadi ketua dan mutawif musafir sekaligus.

Daerah atau wilayah yang menjadi kunjungan kami ialah di Ferghana, Bukhara, Samarkand selain dari Taskent. Ferghana merupakan sebuah lembah indah kawasan subur dengan pertanian dan juga industri mineral, bahan galian. Daerah ini dahulu merupakan sebuah negeri yang dikongsikan dengan tiga negara, Uzbekistan, Kyrgzstan dan Tajikistan.

Dihitung perjalanan kami meliputi ke empat-empat daerah berkenaan menerusi keretapi laju dan bermotokar memakan masa lebih 48 jam dengan jarak kira-kira 2,000 km.

Wilayah paling jauh dan perjalanan cukup mencabar ialah di Fergahna yang terletak di bahagian Timur Tashkent, manakala Bukhara dan Samarkand terletak di bahagian Barat Selatan.

Kunjungan saya ke Uzbekistan kali ini merupakan kunjungan kali kedua selepas berkunjung ke negara bekas jajahan Republik komunis Russia lebih 67 tahun itu. Ketika saya ke sana, Uzbekistan baru bebas dari cengkaman Singa Puteh, dua tahun, 1993. Uzbekistan merdeka pada tahun 1991 selepas berada di bawah kuasa komunis Kesatuan Russia sejak tahun 1924.

Dalam tempoh 24 tahun, ternyata Uzbekistan sebagai sebuah negara berdikari mengalami banyak perubahan dan evolusi minda di kalangan rakyatnya. Paling nyata sekali ialah dari segi pembangunan infastruktur untuk rakyat. Manakala kepentingan bagi Islam pula apabila segala khazanah Islam di zaman keagungan kerajaan Uthmaniyah dahulu yang dilenyapkan oleh kerajaan komunis Russia dibongkar semula.

Ketika saya ke sana 24 tahun lalu, keadaan bandar Tashkent masih berdebu yang keadaanya persis bandar cowboy yang penuh dengan "kegedebelan", bangunan kusam dan jalan-jalan raya juga meskipun saiznya sama namun kelihatan buruk dan huduh. Tidak sesemuringah seperti hari ini.

Ketika itu pemandangan di Tashkent dan bandar Bukhara masih kelihatan seperti sebuah bandar besar yang sepi lantaran ditekan dan ditindas oleh Russia.

Hari ini semuanya sudah berubah. Wajah Uzbekistan sebagai sebuah kota berdaulat terserlah sekali. Palingt nyata ialah kahzanah tamadunan Islam yang dibangunkan di zaman kerajaan Uthamaniyah yang ditenggelamkan oleh kerajaan kufar sedikit demi sedikit dibaik pulihkan dan diangkat untuk disaksi oleh dunia. Selama ini segala khazanah itu tidak dirawat dengan rapi, bahkan ada yang sengaja ditenggelamkan tujuan politik dan penghinaan terhadap Islam.

Banyak gedung-gedung atau monumen Islam kini dibangunkan kembali atau diperindahkan sejajar dengan keagungan Islam.

Sewaktu saya ke Uzbekistan 24 tahun dulu masih banyak arca dan patung-patung pemimpin besar komunis Russia, seperti Vladmir Lenin, Joseph Stalin dan lain-lain masih bercacangan di tempat strategik di bandar Tashkent. Penghapusan segala patung-patung ini berlaku sebaik sahaja Uzbekistan merdeka dan dipimpin oleh presiden pertamanya Islam Karimov.

Insya-Allah jika ada kelapangan nanti saya akan membuat catatan perjalanan ke bumi Kerusan itu dalam blog ini untuk tatapan penjengok budiman. Sebenarnya saya bercadang untuk memulakan catatan musafir ini hari ini, tetapi peristiwa yang menimpa Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 25 mangsa menganggu kosenterasi saya untuk menulis.

Dikesempatan ini diambil untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi menyedihkan itu. [wm.kl.5:30 pm 14/09/17]

No comments: