Monday, September 18, 2017

Tuan Ibrahim dan Pas kena jawab 8 soalan Dr Mahathir

NADA SENJA

Kerana geram dengan kritikan dan sindiran Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyuruhnya mencerminkan diri, Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan lapan soalan "cepumas" untuk dijawab oleh timbalan presiden Pas itu. Lapan soalan itu ialah;

1. Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai PAS tidak Islam?
2. Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya PAS?
3. Apakah ibu bapa orang PAS kafir kerana dilahir sebelum adanya PAS?
4. Apakah PAS tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP?
5. Mengikut PAS, Umno kafir. Jika PAS bekerjasama dengan Umno apakah PAS menjadi kafir?
6. Amanat Hadi dakwa pemerintah Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad, dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?
7. Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir?
8. Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dah empat orang polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir?

Soalan itu diajukan Dr Mahathir dalam blognya yang sudah dipetik oleh banyak portal berita.

Untuk menjawab kelapan-lapan persoalan dibangkitkan Dr Mahathir ini ia bukan sahaja menjadi tanggungjawab Tuan Ibrahim tetapi keseluruhan pemimpin Pas terutamanya mereka yang menerima dakwaan berkenaan khususnya yang menjadikan Amanah Abdul Hadi Awang sebagai fatwa politik yang meninggalkan kesan buruk sehingga boleh merosakkan akidah ummah Islam negara ini.

Majlis Syura Ulama (MSU) merupakan dewan tertinggi parti agama itu sepatutnya mengadakan ijmak mereka untuk merumuskan jawaban kepada soalan Dr Mahathir itu. Kita percaya jawaban Tuan Ibrahim nanti bukan sahaja menjelaskan persoalan Dr Mahathir, tetapi ia juga ditunggu-tunggu oleh orang lain yan juga keliru dengan dakwaan dan persoalan seperti dibangkitkan itu.

Tidak dinafikan disebabkan ada yang menerima dakwaan berkenaan telah berlaku "takfir" (kafir mengkafir) sesama Islam di negara ini, kalau dahulu di kalangan ahli Pas dengan Umno sahaja tetapi kini ahli Pas dengan ahli Parti Amanah Negara (Amanah). Ahli Pas kini semakin rancak mengkafirkan rakannya yang telah menyertai Amanah.

Kejadian pulau memulau oleh ahli Pas di kampung-kampung terhadap ahli Amanah berlaku sekarang ini seperti mana suatu masa dahulu ahli Pas memulau ahli Umno dalam beberapa aktiviti kehidupan, majlis kenduri, solat dan sebagainya.

Tuan Ibrahim tidak perlu bertamsil ibarat dalam menjawab persoalan Dr Mahathir yang mungkin dianggap jahil oleh orang Pas itu. Beliau seharusnya menyertai dalil-dalil dan nas yang kemas. Dan sekiranya persoalan didakwa Dr Mahathir itu tidak benar, Tuan Ibrahim dan Pas perlu menjelaskan dan memohon maaf ke atas keterlanjuran sesetengah ahlinya beranggapan benar apa yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu.

Kegagalan Tuan Ibrahim dan Pas menjawab dan menjelaskan persoalan dibangkitkan bekas PM itu ia boleh menjejaskan wibawa parti agama itu.

Dalam pada itu molek juga kalau Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Ulama Malaysia serta Majlis Raja-Raja juga turut meminta penjelasan daripada Tuan Ibrahim dan Pas berhubung apa dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu kerana ia sudah menjadi satu fenomen dalam politik amalan Pas hari ini yang boleh merusakkan akidah ummah.

Tidak seharusnya Majlis Fatwa Kebangsaan atau badan-badan bertanggungjawab termasuk juga Majlis Raja-Raja sendiri bersikap mendiamkan diri mengenai perkara itu. Ia tidak boleh dilihat apa yang dimainkan oleh Pas itu sebagai perkara terasing dan terpisah daripada tanggungjawab mereka. Kajian juga mungkin perlu dibuat berapa ramai umah Islam berpecah, bergaduh ekoran perkara-perkara dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu.

Saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir perpecahan di kalangan orang Melayu antara lain ialah kerana wujudnya politik yang menggunakan agama sebagai modal atau bahan kempen dan dakyah agar orang menyokong partinya dan menolak parti lain. Politik yang menggunakan agama sebagai alat ini sangat merbahaya kepada agama bangsa dan negara dan perbuatan itu bagi saya suatu penderhakaan (burah) kepada agama. [wm.kl.7:22 pm 18/09/17]

2 comments:

Unknown said...

salam mso...

saya rasa x perlu bagi apa2 respon soalan2 provoke che'det ni. x de faedah langsung. dia mereka2 soalan 'bodoh' sampai x dapat diterima akal yang waras..jadi jalan yang paling mudah ..baca dan 'tengok' aje! biarkan che' det dan sekutu2nya..'mati kering' menunggu jawapan dan komen dari pimpinan PAS..
Adios..wassalam!

shamy ardha said...

PAS perlu beri penjelasan terhadap perkara yg dibangkitkan oleh Tun.Jadilah anak jantan,jelaskan kepada rakyat jangan berselindung disebalik istilah soalan bodoh atau soalan provoke untuk mengelak.Penjelasan terhadap 8 soalan Tun itu menjadi cermin sejauh manakah Pas dipimpin oleh golongan yang suci lagi menyucikan dan dijamin halal masuk syurga kerana mereka suka menasihati orang lain bertaubat nasuha dan bercermin diri.Come on PAS,jangan sampai masyarakat gelar PAS dengan istilah PAS PIS PUS.