Memeluk jenazah Rusmini untuk ke liang lahad. |
Saya percaya semua daripada kita bergembira dan bersyukur kerana dapat menyambut raya Haji kemudian melakukan korban mengikut kemampuan masing-masing.
Semoga sahaja amal ibadat dan korban kita diterima disisi Allah Swt dan memberi pengertian penuh makna kepada kita. Apa yang pentingnya kita masih berpeluang untuk melakukan ibadah kepada-Nya bagi merealisasikan kita sebagai hamba-Nya. Korban itu adalah lambang pengabdian kita kepada-Nya. Mudah-mudahan keimanan dan ketakwaan kita bertambah.
Salah seekor dari 4 lembu korban di Sabah. |
Raya tahun ini menjadikan saya kalut dan sedikit keletihan ekoran apa yang menimpa ke atas diri adinda saya, Allahyarham Rusmini bte Omar, 52 yang dijemput Allah pada pagi hari raya ketiga, 3 September.
Sebahagian anak pondok di Tarbiatun Nissa solat raya. |
Saat mahu meninggalkan adik yang sedang kritikal, sangat berat hati rasanya tapi terpaksa juga ke Sabah bagi melaksanakan apa yang sudah dijanjikan. Prinsip saya janji harus ditunaikan, kecuali apabila sudah mati.
Petang Khamis saat mahu meninggalkan Allahyarham di wad 4 hospital Raja Perempuan Sultanah Zainab (HRPSZ) Kota Bharu, saya membisikan di telinganya, "maafkan aku Semini kerana terpaksa meninggalkanmu. Aku harapmu tenang dan damai... dan kita akan sempat berjumpa. InysaAllah."
Sambil mengeluskan dahi dan menggengam tangannya saya berjanji kepada diri sendiri sekiranya berlaku apa-apa, saya berharap Allah akan memberi kesempatan kepada saya untuk berbakti buat terakhir kali kepadanya, akan menurunkan jasadnya ke dalam lahad seperti mana yang saya lakukan kepada arwah ayah dan lain-lain.
Saat itu Rusmini dengan mata terpejam rapat mengangguk-angguk perlahan seolah-olah mengizinkan saya berlalu dan dia faham akan "kesibukan" saya pada ketika itu.
Lalu dengan berat hati saya meninggalkan hospital itu untuk terbang balik ke Kuala Lumpur, dan malamnya terbang pula ke Sabah. Sepanjang perjalanan dua jam setengah itu saya tidak berasakan berada di udara, melainkan diri dan hati berada di sisinya di katil wad di hospital itu. Wajah dan keadaan Rusmini yang lunyai kelemahan, mata dan pipi cengkung terbayang dalam mata, suaranya memanggil dan menanyai saya, kedengaran dan terhimbau ke dalam diri.
Beberapa hari sebelumnya Allahyarham memanggil-manggil saya, mahukan saya berada di sisinya.
Segala apa yang berlaku di sepanjang penerbangan itu sedikit pun saya tidak peduli, dan lamunan itu tersedar tatkala pesawat menjejak landasan.
Selama di Sabah sepanjang malam saya tidak melelapkan mata barang sekancing pun. Hati tetap berdoa semoga Tuhan memberi peluang kepada saya dan memberi ruang hidup kepada Rusmini selama-lamanya. Saya berjanji selepas selesai melaksanakan korban saya akan segera kembali ke Kota Bharu. Saya berharap korban saya dalam misi Kebajikan dan Kemanusiaan berjalan dengan sempurna dan diterimaNya.
Selepas korban di langsungkan di Tabiyatun Nissa' di Tuaran di mana sebanyak empat ekor lembu, selesai saya terus berlari ke lapangan terbang untuk pulang ke Kota Bharu. Sepatutnya saya berada di Sabah dua malam lagi kerana ada beberapa lokasi yang mahu diziarahi. Tikit yang sudah di ambil sebelum ini hangus begitu sahaja. Nasib menyebelahi saya, tikit untuk pulang masih ada, namun penerbangan langsung ke Kota Bharu tiada berkebetulan dengan jadualnya kerana penerbangan itu baru ada malam keesokannya.
Seperti mana di sepanjang perjalanan datang ke Sabah, suasana penerbangan pulang juga seakan tidak dirasai oleh saya. Ingatan dan perhatian tertumpu kepada adik yang terlantar kritikal di hospital. Dalam hati tidak habis berdoa dan berharap. Whatsap tidak habis-habis di hantar dan diterima, melaporkan perkembangannya minit demi minit. Sesekali saat hati tertekan saya membuat panggilan bercakap sendiri dengan isteri atau kakak, atau adik ipar yang setia menjaganya di hospital.
Alhamdulilah ketika saya tiba di Kuala Lumpur, Rusmini masih bernafas walaupun keadaan dilaporkan kian kritiklanya. Kira-kira enam jam sebelum nafasnya terlucut dari jasad, saya mendapat khabar melegakan sedikit apabila beliau dilaporkan dalam keadaan sedikit stabil dan dapat mengeluarkan suara. Isteri juga sudah dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur apabila melihat keadaan Rusmini ada perkembangan baik.
Perkhabaran itu saya mengira Allah memberi kesempatan buat saya untuk menggengam tangannya buat terakhir kali. Paling dirindui ialah ingin mendengar suaranya dan memastikan apa yang ingin diperkatakan. Namun itu adalah harapan saya yang tidak terpenuhi. Takdir mengatasi tadbir. Semasa di lapangan terbang saat menanti kapal terbang, terpancur whatsap duka dari kakak, Zaidah mengatakan Rusmini sudah tiada.
Saya tenang dan beristighfar panjang menerima perkhabaran itu. Isteri yang baru tiba dari Kota Bharu dan bersama saya untuk pulang semula, juga diam terpaku. Kami saling diam mendiami tanpa kata. Kesibukan di airport tidak terlantas langsung ke telinga kami. Saya mengagahkan diri untuk menulis catatan dalam Facebook memaklumlan berita sedih itu kepada rakan-rakan media sosial yang tidak habis berdoa untuk Rusmini dan memberi semangat kepada saya, yang Rusmini sudah tiada.
Saat mencatat perkhabaran itulah, air mata tiba-tiba laju menuruni ke kelopak, bagaikan terbongkahnya empangan. Kesebakan tidak dapat ditahan lagi. Saya tidak tahu kenapa perasaan itu melanda diri saya walhal saya seorang lelaki yang kuat. Mungkin kerana mengingatkan beliau tidak mempunyai cahaya mata dan hidup bersama suami, Ramli Mahmud dan ibu. Beberapa ketika saya menghentikan catatan itu kerana mata menjadi kabur diselaputi air jernih yang tebal, jari jemari juga terketar-ketar. Inilah catatan di Facebook itu:
INALILAH... ADINDA SAYA TELAH TIADA.
"Dik aku masih dalam perjalanan untuk terus menggengam tanganmu untuk kesekian kalinya. Pesawat masih juga belum tiba. Keletihan aku jua masih belum reda selepas berjam-jam terbang semalam.
"Dan dalam penantian penuh resah, cemas dan gelisah ini, kau sudah berangkat pulang, tanpa sempat untuk menerima genggaman tanganku yang terakhir kali. Airmata ini luruh semahunya.
"Dik, (Rusmini bte Omar) berjalanlah ke laman Tuhan kita dengan tenang dan penuh kesucian. Doa-doaku untuk mu terus berbunga dan berkembang sepanjang masa dan zaman. Inalilahiwaanilahirajiun. Wassalam Mso.
Selepas Asar 3 September janazah Rusmini dikebumikan di perkuburan Kampung Luar, Gual Periok. Kedudukan pusaranya istimewa kerana ia berada di sisi pusara gemulah nenek, berdekatan dengan gemula ayah, diapit arwah adiknya (Noriah) dan hanya selangkah sahaja dengan pusara gemulah datuk, Pak Tih Haji Seman.
Selamanya apabila mengenang adik saya itu apa yang tidak mungkin dilupakan ialah zaman kanak-kanak lebih setengah abad lalu. Sewaktu beliau masih kecil dan ketika Mek ingin masak, saya akan menguliknya sambil mengayunkan buai seraya menyanyikan lagu berjudul "tidur jaga digerak". Dan lagu ini kemudiannya menjadi ikutannya dan sering didendangkan pula apabila beliau memperolehi adiknya, Rodhiah dan Mohd Rozi saat dia hendak menidurkan adiknya dia akan menyanyikan lagu ini dengan bahasanya yang pelek yang masih tergantung dalam ingatan saya sampai kini.
Dan lagu itu saya ingat sepanjang hayat dan saya akan nyayikannya sebagai doa ingatan kasih saya buatnya.
Saya menghantar catatan ini untuk memaklumkan kepada penjengok blog ini akan keadaan saya menjelang raya Haji tahun ini yang agak kesedihan sehingga meninggal ruang ini. Pohon kemaafan atas ketergantungan blog ini beberapa hari sejak dari tarikh kematian adik saya itu dan juga beberapa hari lagi kerana petang nanti saya akan terbang ke luar negeri (Asia Tengah) dimana selama itu tidak mungkin untuk berblog.
Terima kasih atas doa khasnya untuk arwah adik saya. Ohya terima kasih kepada rakan budiman yang terus menyokog saya dengan menyertai korban di bawah misi Kebajikan dan Kemanusiaan blog Merah Tinta. Hanya Tuhan sahajalah yang dapat membalas segala kebaikan anda. Semoga segala usaha kebajikan kita diredhai Allah. Wassalam. [wm.kl.11:10 am 06/09/17]
6 comments:
Inalilahiwainalilahhirojiun
Dari Allah kita datang.
Kepada Allah kita kembali. Salam Takziyah
Al-fatihah.
Salam Takziah untuk tuan sekeluarga. Semoga Allah SWT merahmati arwah adik tuan dan memasukkannya bersama orang orang beriman.
Didoakan agar tuan beroleh kekuatan dalam mengharungi kehidupan dan kembali menulis untuk tatapan kami....
إنا لله وإنا إليه راجعون
Takziah Pak Sayuti & Keluarga
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga ayah ti..dikalungkan serangkap surah agung al fatihah buat peneman arwah di alam barzah sana..ak fatihah.
Takziah tuan.......
Innalillahi wainnailaihi rojiun. Salam takziah untk tn dan keluarga. Moga roh adinda tn senantiasa dirahmati Allah dan di tempatkn dikalangan mereka yang beriman
Post a Comment