Monday, January 8, 2018

Konvensyen PH sandingkan semula Mahathir - Anwar

ULASAN LEWAT

Melafazkan ikrar untuk membela rakyat dan negara.
Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung di Shah Alam sehari suntuk semalam berjalan mulus penuh bersemangat, tiada keriuhan jauh sekali terpaksa dikawal oleh sang kepala merah FRU atau pun polis simpanan.

Tiada asap dan koktail api melayang di sekitar bangunan IDCC tempat berlangsung konvensyen berkenaan. Syukurlah, kedamaian itu menandakan konvensyen itu mendapat restu dan ada keberkatan.


Sebelum ini ada terdengar kebimbangan, konvensyen itu menjadi medan provokasi dan perbalahan sesama sendiri apabila ada suara-suara syaitan kecil mengatakan konvensyen itu tidak mendapat maufakat sepenuhnya dan ia bakal diganggu. Begitu pun memang ada usaha untuk mengacaunya di atur, tetapi mujurlah hanya dihadiri oleh lima orang "jakun politik" sahaja, hadir mengangkat sepanduk robek dan bertempik di hadapan pintu masuk ke tempat konvensyen itu.

Aksi mereka tidak pun berbekas dan dipedulikan melainkan oleh lensa TV yang memang pelahap maklumat untuk memburuk-burukkan PH. 

Konvensyen semalam sangat penting dan ia mencatat satu lagi moment sejarah politik khasnya di kalangan pembangkang. Sejarah semalam persis mengulangi sejarah sebelum ini, perwujudan Pakatan Rakyat (PR) yang sudah menjadi gemulah. Bolehlah dikatakan sejarah semalam dilakar atas semangat dan roh sejarah lampau. Sekiranya Pakatan Rakyat sebelum ini menjadikan kerajaan UBN hilang majoriti di parlimen, menyaris-nyariskan Najib Razak "belup".. Pakatan Harapan pula diharap akan menumbangkan kerajaan UBN dalam Piraum 14 nanti.

Kemalangan dialami Pakatan Rakyat lalu adalah kerana sebuah daripada parti gabungannya mengambil keputusan keluar dengan niat dan sebab-sebab yang sudah menjadi cerita umum. Eloklah kita tidak menyebut nama parti itu untuk tidak mendedahkan keaibannya dan kita biarkannya dengan keyakinan dan sifir politik "dua kali kali duanya" sendiri.

Apa dimaksudkan konvensyen semalam ia menjadi sejarah, ialah apabila di konvensyen itu diumumkan deklarasi permaufakatan PH, sebuah lagi pakatan oposisi dalam semangat baru dan keyakinan baru yang penuh nekad terarca.

Kekuatan konvensyen semalam dapat disaksikan; sepanjang ia berjalan menyerlahkan semangat dan komitmen peserta sangat berenergi. Di jiwa peserta semacam ada dendam tidak sudah untuk diteruskan apabila pakatan sebelum terkubur. Seolah-olah peserta mahu menunjukkan PH lebih ampuh dari PR dengan hadirnya rakan baru Amanah dan PPBM. Penguburan PR sebelum yang bernisan condong seakan mencabar peserta membina pakatan lebih konkrit lagi.

Penuh bersemangat dari setiap hadirin dan beraura tinggi. Kombinasi warna menjadi milik empat parti komponen, Putih, Merah, Biru dan Oren bergemerlapan di seluruh dewan. Warna-warna empat itu berpadu menjadi satu warna baru bervariasi bernama HARAPAN. Peserta dari keempat buah parti berlainan ideologi dan pegangan agama sedia melupai perbezaan dan identiti untuk duduk sesaf demi rakyat. Tergambar keakraban itu dibina atas persaudaraan senegara sejati.

Kesepakatan dan azam yang lahir di konvensyen itu menjanjikan kejayaan besar bakal diraih oposisi. Laungan HARAPAN berkali-kali memberi petunjuk bahawa rakyat yang diwakili peserta sudah siap siaga penuh nekad dan dendam untuk berubah. Dicelah-celah semangat berkorban itu, sesekali perasaan peserta dan setiap yang berada dalam dewan itu turut sama terusik dan menjadi hibasebak menindih dada.

Ketika Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah mengumum satu demi satu butiran "Maufakat Pakatan Harapan" dikemuncaknya mengumumkan nama Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon TPM, banyak mata yang berair dan dada menjadi sebak terharu. Mereka yang rindu dan kesekian lama mengimpikan terbentuknya sebuah kerajaan yang adil, amanah dan bersatu, menjadi sebak dengan apa yang berlaku.

Pengumuman dua nama itu adalah persandingan dua tokoh yang baru bangkit dari kekhilafan di atas persada kekuasaan yang diredhai rakyat, menjadikan konvensyen semalam perfect dan begitu indah sekali kerana ia memenuhi kehendak setiap daripada mereka yang inginkan kemenangan.

Paling menyentuh perasaan ialah apabila Dr Mahathir dengan penuh takzim dan rendah diri mengucapkan terima kasih kepada Anwar Ibrahim dan seluruh anggota PH kerana memberi kepercayaan kepada dan meletaknya sebagai calon PM. Jelas sekali Dr Mahathir terharu atas peluang dan kepercayaan itu.

Apologetik menghiris jiwa

Ucapan terima kasih itu secara tidak langsung Dr Mahathir sekali lagi memohon kemaafan kepada Anwar dan keluarganya yang dibalun keseksaan selama 20 tahun lalu kerana keputusan politiknya. Apolegetik inilah menghiriskan setiap jiwa mereka yang hadir.

Seorang peserta perempuan separuh umur berada di sisi saya tidak dapat menahan perasaan, menangis semahu-mahunya mendengar upacan permafaan dan janji oleh Dr Mahathir. Beliau jadi histeri kepiluan menyaksikan apa yang berlaku.

Sesungguhnya apolegetik Dr Mahathir ini, lebih tinggi nilainya dengan opolegetik dan kesediaan Abdul Hadi Awang memaafkan Dr Mahathir kerana menmganggap bekas PM itu menuduhnya sesat dan kafir ekoran Amanat dikeluarkan di Telok Peradung tahun 1981. Kesanggupan Dr Mahathir menerima tanggungjawab itu suatu gambaran keseriusananya untuk membaiki semula reruntuhan negara angkara Najib Razak.

Bagaimana pun beliau mengakui ia bukan perkara mudah. Untuk menjatuhkan kerajaan UBN yang mempunyai wang bukan senang. Tetapi jika rakyat bersedia melakukan perubahan ia bukan sesuatu yang mustahil. Dalam pada itu beliau berharap semua pihak bulat bersamanya.

Kita dapat menyelami, penyerahan tanggungjawab itu kepadanya amat besar dan berat untuk dipikul, tetapi terpaksa ia menyanggupinya demi rakyat dan negara. Sikap negarawan menjadikan beliau yang sudah berusia 93 sedia untuk menggalas beban dan tanggungjawab. Dan pemilihan Dr Mahathir oleh pembangkang itu juga mereka percaya hanya Dr Mahathir sahaja selepas Anwar dapat melakukan yang terbaik. Atas kapasiti ini maka beliau dijulang.

Seharusnya terima kasih Dr Mahathir kepada Anwar itu, bukan sahaja dibalas besan oleh Anwar dan keluarga juga sebaliknya dibalas terima kasih oleh seluruh ahli parti komponen PH dan juga rakyat negeri ini yang mahu melihat perubahan. Kemenangan PH nanti adalah piala sumbangsih terbesar bagi Dr Mahathir untuk rakyat dan dari rakyat untuk dirinya.

Saat Dr Mahathir mengucap terima kasih dan membangkitkan penderitaan dan kesusahan ditanggung Anwar sekeluarga selama 20 tahun gara-garanya, ramai yang sebak dan pilu. Sebak itu ikut sama dikongsikan oleh Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Jiwa keibuannya lebih maklum apa yang ditanggung oleh Wan Azizah kerana tragaedi politik itu.

Dan bagi kita semua insiden mengharukan berlaku semalam menamatkan segala episod lama di antara keduanya, Dr Mahathir dan Anwar, dan segmen baru yang penuh optimis baru bermula.

Meskipun Anwar tidak hadir dalam konvensyen itu tetapi roh dan semangatnya bersama peserta konvensyen. Perutusan khasnya dari Sungai Buloh dilafazkan oleh anaknya Nurul Izzah. Sepotong pesanan besarnya ialah meminta orang menghormati keputusan pemimpin dan jangan sesekali lupa agenda membela rakyat. Keprihatinan Anwar kepada rakyat sangat terasa sekali sehingga beliau sanggup menitiskan darah dan air mata demi rakyat.

Dan atas pengorbanan kubranya itu beliau tidak dilupakan. Setiap kali slogan keramatnya, reformasi dilaungan, maka setiap kali itu wajahnya terpampang di ruang matanya dan talunya sampai ke Sungai Buluh. Skrin besar di hadapan atas pentas, pula melakar setiap detik perjuangan, penderitaan dan semangat yang ditumpahkan, menjadikan konvensyen semalam adalah persandingan kedua Dr Mahathir dengan Anwar.

Peristiwa semalam juga boleh disifatkan seolah-olah pemotongan riben atau perletakan batu asas negara untuk mencipta semula era kegemilangan Mahathir - Anwar sebelum ini. Ia seakan baru digagaskan untuk menuju puncaknya pada Piraum akan datang. Peristiwa semalam turut mengambus segala pengalaman lalu yang memedihkan.

Berbalik kepada perjalanan konvensyen semalam, ia dimulai dengan ucapan pengukuhan dan alu-aluan daripada, berbarapa wakil, seperti bekas polis dan penjawat awam menerusi slog Pentas Rakyat. Kemudian ia diteruskan dengan slog Pentas Pemimpin. Beberapa orang pemimpin parti-parti PH berucap mewakili parti masing-masing antaranya Gobal Sing Deo, (DAP), Haniza Talha sebagai  mewakili wanita PH, Azmin Ali (PKR), sebagai menghormati beliau sebagai tuan rumah, dan lain-lain. Ia kemudian diikuti ucapan pemimpin utama presiden dan Setiausaha Agung PH.

Semua isi dan rangkap ucapan pemimpin tertumpu kepada satu arah, bergerak penuh bersemangat Malaysia dengan nekad untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi Najib.

Selain menanti pengumuman siapa bakal PM dan TPM, apa yang ditunggu-tunggu dengan penuh debaran oleh peserta konvensyen juga ialah pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PH dan beberapa konsensus lain. Pengumuman pengagihan kerusi ini ada yang terkejut menyebabkan denyutan jantung menjadi kencang.

Pun begitu penerima pembahagian kerusi dibuat tanpa bantahan besar, itu menjelaskan PH berjaya mencari formulanya sendiri. Pengagihan itu juga sekaligus mengunci langkah dan mulut lawannya (UBN) terus menjaja yang PH tidak sekata dan bermasalah.Paling bererti ia membuktikan rumpun hati yang berhimpun dalam PH ikhlas?

Seperti mana diumumkan semalam dari 165 kerusi parlimen di Semenanjung PBBM mendahului dengan mendapat 52 kerusi, PKR 51 kerusi manakala DAP 35 dan AMANAH 27 kerusi.

Pembahagian kerusi di peringkat negeri (DUN) akan ditentukan kemudian dan dipercayai pengerusi negeri akan mencari formula tuntas agar semua berpuas hati dan kerusi tidak menjadi masalah besar sehingga adanya perbuatan sabotaj mensabotaj di antara satu sama lain.

Bagi rakyat di luar pula yang menaruh harapan kepada HARAPAN, mereka tidak mempersoalkan parti mana memperolehi kerusi banyak, kerana yang lebih penting dan afdal bagi mereka ialah kemenangan. Rakyat meletakkan kemenangan mendahului dari segala kepentingan peribadi dan puak. Seharusnya kemurnian jiwa rakyat ini menjadi roh perjuangan setiap pendukung PH.

Dan konvensyen sudah selesai. Apa yang diperlukan sekarang ini bukan sahaja mengenang jeritan dan laungan bersemangat gegak gempita semasa dalam dewan itu, tetapi semangat yang terbentuk dan terauara dalam dewan semalam hendaklah dibawa pulang dan dipraktikan. Masing-masing harus kembangkan semangat dan nekad itu apabila berada di kawasan masing-masing. Sesuatu kemenangan tidak boleh dicapai dengan sorak tetapi dengan tindak.

Seperti kata Dr Mahathir dihujung ucapannya, beliau meminta semua orang menyampaikan salam kepada rakyat, dengan satu mesej dan penegasan sepeti mana difirmankan Allah; perubahan ke atas diri kita hanya dapat dilakukan oleh kita sendiri. Dan bagi mencapai dan melakukan perubahan ini undilah PH.

Dan semestinya, dalam apa jua majlis atau kenduri, kenduri itu ia tidak akan sah sekiranya tidak ada piring atau pinggan pecah dan retak. Majlis kenduri besar itu akan dikira sah apabila ada piring dan pinggan retak dan pecah, ada gelas menjadi sumbing dan kata pecah namun tidak bertaburan.

Nah begitu juga dengan konvensyen semalam, ia boleh dianggap sah apabila ada pihak yang tidak berpuas hati. Ada orang yang berjiwa kecil, hatinya retak kerana tidak dapat kerusi lebih. Bertasamuhlah dengan apa yang berlaku.

Dan kepada ada hati yang retak dan luka-luka kecil dengan hasil konvensyen semalam hendaklah sembuh segera dan jangan pula ada pihak yang menabur asam dan garam atas luka itu sebagai menambahkan kepedihannya sampai ia akan bertindak balas. Biarkan luka itu sembuh dengan sendirinya. Luka dan pedih akan hilang sendiri jika yang mengalaminya berjiwa besar, bersemangat kuat dan mahu melihatkan kemenangan dicapai secara bersama tanpa berperanan dirinya pemain penting.

Penabur asam dan geram adalah pengkhianat dalaman. Kepada PH selamat. [wm.kl.7:34 am 08/01/18]

Beberapa keping foto yang sempat saya rakam.


Tegak dan berdiri bersama demi rakyat.
Sebahagian delegasi konvensyen solat Zohor.



Mungkin ada sesuatu yang serius dituturkan oleh peserta ini.
Wanita berjaya menunjukkan keikhlasan untuk PH.

Sebahagian delegasi lelaki dari Amanah.

Dalam bilik perihatan Dr Mahathir bersama pimpinan
PH.


10 comments:

Unknown said...

Strategi masing2...tp sy kira amanah agak bermurah hati (samada strategi atau lemah dipijak ketika berunding) dan ada pemimpin yg kecewa...bak kata saudara sayuti luka2 kecil itu perlu segera dirawat...jika tidak sembuh dan melarat agak merbahaya perlu dipotong...nakhoda diatas senyum mengemudi anak buah dibawah menebuk kapal...awas...wasalam

mahligaiseni said...

Kecurigaan yang keterlaluan dan yang tidak ada penghujungnya akan melumpuhkan perjuangan. Berhati-hati dan berpadal-padalah. Bersihkan hati daripada penyakit semacam itu.

awang kualaberang said...

assalamualikum pak sayuti,

syabas dan tahniah pakatan harapan!!!

keikhlasan seseorang manusia dapat dinilai berdasarkan kapada akhlaq, amalan dan perbuatan manusia...BUKAN diukur dengan berapa tinggi songkok yang dipakai, berapa besar serban dililit dikepala, berapa banyak wang didermakan (disogokkan???).

dalam peristiwa fathul makkah, Rasulullah SAW telah menunjukkan akhlak dan berjiwa luhur apabila memaafkan penentang penentang daawah islam demi membawa rahmat kepada semua makhluk dimukabumi. Tidak ada kata kata cemuhan, caci maki, penghinaan kapada penentang daawah demi membuktikan keluhuran dan keindahan islam sebagi addeen,rahmatan lil-'alamin.
Hanya beberapa individu sahaja yang dihukum akibat kesalahan jenayah yang sangat serius terhadap ummat islam yang dizalimi di kota makkah.

kemaafan itu lebih besar nilainya dari segi strategi daawah islam, tidak dapat dijual beli dengan wang sogokan puluhan/ratusan juta dari pemerintah yang menipu dan mencuri khazanah /harta negara (baca harta milik rakyat)..

AL GAZEL AVERROES said...

Alhamdulillah doa majoriti rakyat telah dimakbulkan Allah, tapi apakah semua halangan telah berakhir?. Jawapannya pasti tidak, pembuat mungkar dan penyokong kebatilan tidak akan berhenti begitu saja.
Regim Najib pastinya merancang segala tipu daya utk mengekalkan kebatilannya. Dalam senario skrg selain penipuan di peti undi semasa PRU, langkah mengistyiharkan DARURAT merupakakan senjata ampuh yg mungkin digunakan oleh regim KLEPTOKRAT ini.
Oleh itu kepimpinan PH mestilah selalu menghebahkan niat busuk REGIM NAJIB ini agar rakyat tidak mudah terjebak dlm sebarang PROVOKASI oleh NAJIB utk mengistyiharkan DARURAT.

Asrul Sani said...

Salam semua...
Berbeza dengan pandangan Sdr Mohd Hanafi, saya pula berpendapat PH agak "generous" apabila memberikan 27 kerusi untuk ditandingi AMANAH. Kepada saya ini adalah lebih realistik. Parti tersebut baru saja ditubuhkan hasil dari perselisihan yang berlaku dalam PAS. Tiada gunanya mendapat kerusi yang banyak untuk ditandingi jika tiada kemampuan. Contohnya seperti PKR di beberapa PRU yang lepas yang terpaksa meletakkan calun "tangkap muat" bagi mengisi kerusi yang diperuntukan kepada mereka. Akhirnya peniaga pasar malam, posmen dan berbagai watak yang mencurigakan diletakkan untuk bertanding. Kesudahannya ada yang menghilangkan diri di hari penamaan calun....rupa-rupanya membawa keluarga bersiar-siar hasil wang sogokan UMNO....ada yang sesudah menang bertanding, dibeli untuk keluar parti seperti kes di Perak.
Eloklah diberi 27 kerusi dan menang kesemuanya dari diberi 40 tetapi melingkop hampir kesemuanya. Jangan salah anggap...kerana saya adalah penyokong tegar AMANAH.
BERSATU pula, walaupun baru, namun mempunyai kekuatan tersendiri yang perlu kita akur. Saya tidak perlu pergi jauh untuk menggambarkan kemampuan parti itu berdasarkan tonggak pimpinan mereka....cukup saya katakan BERSATU tak perlu tadah tin milo untuk mengutip wang deposit untuk membiayai calun-calun mereka sedang kan kita perlu terima hakikat bahawa eloklah kita siapkan tin-tin milo dari sekarang untuk membiayai 27 calun-calun AMANAH pada PRU 24 Mac ini...itu belum mengambil kira calun-calun DUN lagi....Menurut ramalan saya cuma tinggal 77 hari saja lagi untuk kita menghadapi PRU14.

Unknown said...

Ya pandangan tetap pandangan dan ianya dihormati...sy hanya membaca dan memerhati...tiada apa2 conflict of interest...cuma pada sy wajar amanah diberi kerusi yg berpatutan mungkin setara dgn bersatu kerana masing2 mempunyai segmen pengundi yg boleh dikatakan sama iaitu bumiputra melayu...amanah juga mempunyai ramai calon yg berpotensi yg wajar diangkat jd menteri jika ph menang pru14...dari segi faktor kewangan bagi biaya wang pertaruhan nanti apabila ada muafakat seperti ini sudah tentu berat sama dipikul ringan sama dijinjing...BN mempraktikkannya dan sy kira PH sudah tentu sama2 gentleman dlm menolong rakan muafakat...sekadar pandangan...wasalam

Unknown said...

ZERO VOTE FOR BN

sejadahburuk said...

Nih bru komen ore reti politik..

unkwon said...

mgkin ada yang akan berkata AMANAH khadam atau paling sikit kerusi... semua tu tak penting... sikit atau banyak kerusi yang dopertandingkan.. yang menjadi keutamaan adalah rakyat...

Unknown said...

salam
saya bersetuju dgn tulisan mso,yg penting PH ka putra-jaya,bila sudah merintah nanti amanah bolehlah mengembangkan pengaruh parti dgn program2 yg hebat.tiada apa yg perlu kita gusarkan..

mula bekerja dari sekarang.

wassalam.