Tuesday, January 23, 2018

Umno Rantau Panjang terus berpecah?

POLITIK KAMPUNGKU

DUA tiga hari lepas Umno bahagian Rantau Panjang mengadakan majlis memancing rakyat menjelang pilihan raya akan datang dengan membawa Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Mustapa Mohamed sendiri sebagai "cacing"- umpan untuk menarik perhatian.

Mustapa minum tea di Banggul Kulim.
Mustapa turun untuk bertemu mata dengan orang kampung di sebuah kedai roti canai di Banggul Kulim, yang terkenal dengan kawasan kebal dengan penyokong Pas.

Sempena itu beliau juga melancarkan pembahagian subsidi minyak masak untuk orang ramai. Mengiringi beliau untuk bertemu mata dengan penduduk itu, ketua bahagian Abdullah Mat Yasim, timbalannya Ghazali Ismail dan beberapa pemimpin lain.


Dari rakaman video pertemuan itu yang ditonton, ramai juga orang kampung hadir untuk berintraksi dengan Mustapa sambil makan roti, hirup teh dan bertanya khabar. Katanya kedai kopi yang dipilih untuk menjamu selera itu, kepunyaan anak muda yang ada hubungan dengan orang kuat parti Pas di situ yang kini sudah berganjak "pelunggung" politiknya Parti Amanah Negara.

Saya tidak begitu cerat mengenali wajah-wajah yang mengelilingi Mustapa di meja kopi itu. Jauh sekali mengetahui apa butir pertuturan mereka. Apakah ada pelanggan yang bertanya Mustapa mengenai GST atau skandal 1MDB atau pun mengenai projek tebatan banjir yang sudah berlumut dan usang?

Juga tidak dapat dipastikan mereka yang diletak mengelilingi Mustapa itu apakah orang Pas tulen atau pun orang atas pagar. Namun program itu dikira berjaya setidak-tidaknya menarik orang kampung untuk duduk minum kopi bersama Mustapa. Mereka datang mungkin kerana berpeluang berjumpa Mustapa dari dekat buat pertama kali. Bagi orang kampung kunjungan menteri untuk minum pagi bersama mereka satu yang dibanggakan.

Apa lagi penampilan Mustapa bercirikan orang kampung sejati Kelantan mudah disenangi oleh orang ramai.

Dalam pada itu sudah tentu menerusi program bertemu mata langsung dengan rakyat itu Umno mengharap sokongan kepadanya. Perbalahan dalam Pas sehingga pecah dua diambil kesempatan sebaiknya untuk parti itu merampas Kelantan. Ia satu taktik dan peluang yang baik. Namun peluang itu tidak semudah itu kerana masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan Umno untuk mengapai kemenangan itu, khasnya di Rantau Panjang.

Puas saya memerhati klik video berkenaan untuk melihat kelibat dua bekas pemimpin Umno bahagian itu yang juga bekas wakil rakyat. Apakah mereka hadir sama atau pun tidak. Dua pemimpin dimaksudkan itu ialah Mohd Zain Ismail bekas ketua bahagian Umno Rantau Panjang yang juga bekas Adun Bukit Tuku.

Seorang lagi ialah bekas naib ketua bahagian Shaari Hussein yang juga bekas Adun Gual Periok. Sepanjang klik video itu tidak terjumpa wajah mereka ada sama dalam majlis itu. Untuk memastikan apakah mereka hadir atau tidak, saya menghubungi rakan di kampung untuk memastikannya. Ternyata Mohd Zain dan Shaari tidak hadir dalam majlis itu.

Sesuatu yang ganjil juga kenapa kedua bekas wakil rakyat itu tidak hadir? Ketidakhadiran mereka menunjukkan kebulatan Umno di Rantau Panjang masih belum wujud. Sebenarnya Zain dan Shaari sudah lama dipinggirkan dari Umno Rantau Panjang. Majlis melibatkan atau dianjurkan oleh bahagian tidak mengundang mereka berdua. Keadaan ini menyebabkan mereka tersisih dan seolah-olah tidak lagi wujud di Rantau Panjang.

Disebabkan penyisihan itu baik Zain atau Shaari terpaksa membuat majlis berlainan untuk menemui rakyat. Sebagai wakil rakyat mereka masih ada hati berjumpa rakyat. Tindakan menyisihkan mereka berdua tidak harus berlaku. Sebagai bekas pemimpin dan wakil rakyat mereka masih ada penyokong tersendiri. Menyisihkan mereka bermakna menyisihkan penyokong peribadi mereka berdua. Tindakan itu meragukan keupayaan Umno untuk menang di Rantau Panjang. 

Apakah hal ini disedari oleh Mustapa Mohamed sekalu pengerusi perhubungan Umno Kelantan? Kalau ditanya mungkin beliau sudah berusaha menyatukan Umno Rantau Panjang. Mustahil Mustapa tidak terkesan dengan ketiadaan kedua-dua bekas pemimpin itu. Tetapi hakikatnya penyatuan itu masih belum terjadi. Dengan apa yang berlaku di majlis minum teh bersua muka dengan penduduk Banggul Kilim itu menjelaskan bahawa keretakan dan perpecahan dalam Umno Rantau Panjang masih ketara.

Mungkin ada penghijrahan orang Pas kepada Umno di Rantau Panjang ekoran perpecahan dalam parti agama itu. Namun penghijrahan itu belum cukup menjamin Umno akan dapat merampas kerusi parlimen Rantau Panjang dan tiga DUN, Gual Periok, Bukit Tuku dan Meranti.

Apa yang dibimbangi sekiranya perpaduan tidak dibentuk awal akan berlaku kejadian cah keting dalam pilihan raya nanti. Tanpa wujud perpaduan awal, apabila tiba saat pilihan raya nanti, jika mana-mana pihak tidak dipilih menjadi calon sudah tentu berlaku protes dan kejadian cah keting. Dan tidak dapat dinafikan baik Zain maupun Shaari masih diharap oleh rakyat untuk dicalonkan sekali lagi.

Makanya untuk memastikan kerusi di Rantau Panjang menjadi milik Umno, Mustapa dan Umno Rantau Panjang harus menyelesaikan masalah dalaman itu terlebih dahulu. Tanpa ada kerjasama dan maufakat di antara pemimpin bahagian hari ini dengan bekas pemimpin dan wakil rakyat itu, angan-angan untuk Umno rampas kerusi di Rantau Panjang hanya akan jadi mimpi sahaja.

Mungkin Mustapa boleh memikirkan alternatif lain untuk mengelakkan perpecahan di antara dua pihak memberi kesan kepada Umno sekiranya kedua pihak itu sukar untuk disatukan. Caranya ialah Umno meletakkan calon alternatif, yang terkecuali dari kumpulan itu atau pun keempat-empat mereka, Abdullah Mat Yasim, Ghazali Ismail, Shaari dan Mohd Zain tidak dicalonkan. Untuk ini Mustapa harus berani dan menggunakan kuasa prerogatif sebagai ketua Umno Kelantan.

Untuk menyelamatkan Umno dimakan diri sendiri, berlaku tikam menikam dan protes calon lain perlu diambil dan sebaik-baiknya yang masih muda dan belum ada calitan dosa. Rasanya tidak sukar untuk Mustapa melaksanakan cadangan ini kerana Rantau Panjang tidak miskin dengan bakal pemimpin masa depan terutamanya dari kalangan muda. [wm.kl. 9: 13 am 23/01/18]

No comments: