Sunday, January 28, 2018

Semua pihak perlu saling hormat menghormati

PENDAPAT

ATAS  semangat untuk melihat negara ini bersalin kerajaan, dan dengan mempercayai ia dapat dilakukan apabila semua parti pembangkang bersatu - tidak berpecah, berbagai idea, nasihat dilontarkan agar parti-parti pembangkang bersekutu.

Pandangan dan formula diberikan bukan sahaja oleh mereka berkepentingan dalam parti-parti berkenaan, tetapi oleh pemerhati dan penganalis bebas juga. Aspirasi mereka yang kecewa dengan pemerintah hari ini dengan merasa kepincangan dan kesilapan pentadbirannya sangat besar untuk melihat parti oposisi bersatu.


Paling ketara ialah pelawaan dibuat terhadap parti Islam se Malaysia (Pas) agar kembali bertaut dalam pakatan pembangkang bersama Pakatan Harapan (PH). Biarpun parti itu menolak relainya Pakatan Rakyat (PR) yang telah mencatat rekod cemerlang dalam pilihan raya meletakkan BN kehilangan undi popular, namun kesalahan itu tetap dipanggungkan ke atas parti tersebut.

Usaha itu dilakukan kerana semua yakin, kekuatan pembangkang akan jadi padu dengan Pas ikut sama bersatu. Nasihat atau formula agar melupai pandangan partisan masing-masing dan meletakkan hala ke satu jalan, tidak mudah dihiraukan. Dalam hal ini yang nampak "babilnya" ialah Pas kerana parti itu berpegang kepada prinsip agama yang boleh dipertikaikan dari sudut siasah syariahnya. Sehubungan itu Abdul Hadi Awang dilihat arkitek meruntuhkan PR?

Namun malangnya, semua usaha, penjelasan, nasihat dan provokasi agar jadi kenyataan tidak dihiraukan oleh Pas. Parti itu terus juga mahu bersendirian. Atas keyakinannya, ia mampu untuk melakukan kejutan, Pas tidak berpaling kepada pembangkang lagi. Pas tetap yakin ia akan jadi king maker dalam politik negara. Kesungguhan Pas itu apabila ia membentuk pula blok ketiga dinamakan Gagasan Sejahtera.

Dalam hal ini Abdul Hadi nampaknya konsisten dengan stail dan pendekatan politiknya kali ini yakitu, menerima Umno sebagai rakan membangunkan negara di mana beliau berangan-angan untuk menjadi penasihatnya.

Sehubungan sikap keras dan tegas Pas itu berbagai tuduhan juga dicampak ke atas parti tersebut ekoran pendiriannya yang dianggap aneh. Ada yang munasabah namun ada tidak kurang juga ia berupa propaganda dan provokasi menjatuhkan imej Pas.

Misalnya Pas dituduh sudah dipegang bukan setakat telor oleh Najib Razak, bahkan batangnya sekali? Atau Pas khasnya presidennya sudah ada bai'ah dengan Najib, maka ia tidak boleh dirombak lagi sehingga selesai pilihan raya. Sekiranya Hadi tidak berbai'ah dengan Najib kenapa harus jadi sekukuh itu Hadi mempertahan dan membela Najib dengan memuji Najib dan menyokong polisi diperkenal Najib sebagai dianggap baik.

Baiah boleh meletakkan Hadi dalam keadaan ketakutan dan sakit jiwa. Kalau pun dia ada niat untuk melanggar bai'ah itu bayangan tuduhan kepada orang Pas yang melanggar bai'ah sebelum ini mungkin menghantui jiwanya.

Bagaimana pun Hadi menafikan tiada pakatan sulit di antara Pas dengan Umno. Penafian Hadi itu tidak disertai bukti yang konkrit. Bagi mereka yang selamanya melihat pembangkang harus bertentangan dengan pemerintah mengukur sikap diambil Hadi itu sebagai memang wujud kerjasama Pas - Umno. Dalam politik bukan mudah tuduhan atau mereka yang buat kesalahan untuk memohon maaf. Bahkan kalau pun memohon maaf ia tetap akan diragui, persis Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada rakyat atas kesalahannya tetap dianggap ia tidak ikhlas dan mengikut kehendak Islam.

Tohamah buruk terhadap Pas itu dilakukan kerana keengganan Pas untuk bersama pembangkang. Pas dianggap sebagai membantu BN. Maka penafian Hadi itu dilihat tidak boleh diterima atas dasar politik itu rencam dan sering terbabas dari prinsip kebenaran dan ketulusan. Pas juga dilihat sudah pandai mengamalkan Machiavelisme dalam siasah syariahnya.

Justeru, kini ia tidak dapat dibuat apa-apa lagi. Pintu rundingan PH kepada Pas sudah tertutup rapat meskipun belum terkunci. Hendak tidak hendak maka pembangkang yang bersatu dalam PH kena berhadapan dengan BN dan serentak itu juga perlu melayan kerenah Pas dengan GS sebagai satu pihak lain. Persediaan untuk bertarung tiga penjuru perlu disiap siagakan.

Dan pendirian Pas itu maka semua pihak kena hormat. Pas ada alasan dan hujah tersendiri yang diyakini kenapa ia bersikeras dengan pendiriannya. Sama ada ia logik atau tidak, itu masalah dan pegangan politik Pas. Pas berhak melakukan apa sahaja pendekatan, strategi dan sebagainya sesuai dengan keinginan dan keyakinannya. Manakala Abdul Hadi dengan sisa kuasa yang masih ada beliau perlu melakukan sesuatu terbaik yang difikirkannya. Tidak mungkin dia mahu mengakhiri nyawa politiknya dalam keadaan tragis dan dikeji sejarah. 

Siapa atau pihak mana betul dalam perhitungan kelak, tidak dapat dipastikan. Hanya selepas  bilangan undi dalam Piruam 14 nanti baru dapat dikaji untuk mencari siapa yang bersalah. Yang jelasnya kalau BN dapat menguasai kerajaan dan Najib terus mengangkat sumpah sebagai PM, PH dan GS perlu bertanggungjawab.

Tidak mustahil juga selepas itu nanti, tiba-tiba Pas bergabung mendirikan kerajaan dengan BN, itu soal lain. Dalam politik, tidak boleh dinafikan kerana sifatnya bukan seperti sifat Tuhan yang mustahil ia bertentangan dengan sifat-sifat baharu. Kalau PH juga bersama Umno tidak pelik. Kita tidak boleh menolak sama ada PPBM, atau PKR bersama BN. Hanya Amanah dan DAP agak susah tetapi itu pun tidak mustahil.

Oleh kerana itu marilah kita menyerahkan keputusa itu kepada pilihan raya kelak. Berhentilah kita membuat telahan, kecaman dan kutukan kepada mana-mana pihak. Semua pihak hendaklah berhenti mengata huduh dan marih kita berpolitik secara profesional dan rasional.

Yakin dan sedarlah semua parti mengambil bahagian dengan tujuan dan matlamat untuk membawa kebaikan kepada negara. Tidak ada satu pun yang ingin mendatangkan keburukan. Kalau pun mereka boleh dilihat khilaf dan salah ialah dengan pendekatan dan strateginya sahaja. Kesilapan itulah nanti bakal meletakkan parti itu ke belakang dan sejarahnya akan dikesalkan.

Untuk itu, kita tunggu pilihan raya. PH tidak perlu memujuk Pas lagi dan Pas pun tidak perlu memberi reaksi berlebih-lebihan sehingga menjejaskan maruah dan martabat parti itu sebagai parti agama. [wm.kl.11:30 am 28/01/18]
Post a Comment