Friday, February 9, 2018

Jangan ambil kesempatan atas penarikan pingat dan darjah kebesaran

KHUTBAH RASA

Perlembagaan dan adat budaya kita (Melayu) meletakkan Raja-Raja atau Sultan ditempat tertinggi. Mereka juga dihormati kerana bidang kuasa yang ada kepada mereka khasnya berkaitan urusan beragama. Raja dan Sultan dilihat mulia kerana peranan itu. Dalam jiwa orang Melayu perkara yang sangat dijaga ialah agama dan budaya.

Rakyat di negeri-negeri mempunyai Raja dan Sultan dituntut menghormati institusi itu. Raja dan sultan menjadi simbol penyatuan, keadilan dan menjadi payung melindungi rakyat. Perkara ini ada disebut dalam perlembagaan negara mengenai fungsi dan tugas bagida.

Makanya, melawan, menentang, menidak kuasa (perintah) raja atau sultan itu, dianggap derhaka. Penderhaka pula dikeji oleh budaya Melayu. Ada peruntukan undang-undang untuk menghukumkan seseorang yang menderhaka kepada sultan atau raja.

Pun begitu ada kalanya apa ditafsirkan sebagai menderhaka itu boleh dipertikaikan dari segi hukum syarak dan hak-hak asasi manusia. Hukum syarak dan hak asasi manusia mengatasi segala hukum dan peraturan yang lain. Tetapi kebiasaan hukuman yang diterjemahkan dari adat istiadat dan budaya itu berkedudukan lebih tinggi daripada hukum syarak dan peraturan hak asasi manusia itu sendiri. Begitu apa yang ada. Kandati pun sikap dan kepercayaan ini salah tetapi ia menjadi amalan.

Dan itu yang dipraktikkan di zaman dahulu kala, terutamanya di zaman feudalisme mendominasi dunia ini.

Juteru tindakan Sultan Kelantan menarik balik pingat dan darjat kerabat di Raja (DK) Kelantan daripada Husam Musa, Cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Dr Mahathir Mohamad adalah tindakan yang tidak boleh dipertikaikan. Hak memberi dan melucutkan anugerah itu adalah hak dan kuasa mutlak baginda. Tiada mana-mana undang-undang boleh mempersoal dan mempertikaikannya.

Baginda  boleh melakukan apa-apa sahaja terhadap apa yang termaktub dalam bidang kuasanya. Ia juga tidak bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang yang ada. Maka orang terbabit harus dan redha menerima. Sebab itu Husam dan Cikgu Rahim tetap menyatakan taat setia tidak berbelah bahagi kepada al Sultan Kelantan.

Walaupun tindakan tersebut tidak dapat siapa menghalangnya,  namun tindakan itu tetap menimbulkan kesan dan memberi implikasi tertentu. Misalnya mereka yang keliru serta kabur dengan tindakan itu akan mempersoalkan kenapa, serta mencari justifikasinya. Apakah ia wajar atau tidak? Apa lagi bagi pihak sultan tidak menjelaskan kenapa dan mengapa baginda berbuat begitu. Sekali lagi ia hanya setakat mempersoalkan sahaja tetapi tidak boleh melakukan apa-apa tindakan.

Demikian persepsi di atas apa yang berlaku itu dan juga implikasinya tidak ada siapa dapat membendungnya. Ia terus ditafsir dan diterjemahkan. Selagi manusia dan rakyat negara ini mempunyai fikiran mereka akan berfikir mengenainya. Mereka akan mencari jawaban sendiri yang mungkin tidak disenangi atau pun salah sama sekali. Apakah jawaban itu tepat atau sebaliknya, pokoknya mereka akan berfikir dan menganalisanya.

Misalnya bagi mereka yang minda bergerak (hidup) kebetulan pula mereka seorang ahli politik, ahli sejarawan atau pemerhati politik akan berpendapat penarikan balik pingat dan darjah kebesaran itu pasti akan dikaitkan dengan suasana politik. Walaupun pihak yang menarik terkecuali daripada politik, tetapi kerana tindakan itu berlaku pada saat sulu politik negara kian menggelegak ia tetap akan dilihat ada motif politik.

Sultan tidak ada apa-apa keuntungan dan mengalami kerugian di sebalik tindakan itu. Baginda tidak terlibat dengan politik. Tetapi setengah pihak lain gembira dengan tindakan itu kerana ia mengira memberi kelabaan kepada pihaknya.

Dalam konteks ini misalnya di Kelantan sudah tentu, secara diam atau tidak sedar ia dijadikan isu oleh pihak yang bertentangan dengan parti yang disertai oleh kedua pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) itu Husam dan Wan Rahim.

Begitu juga dalam konteks Malaysia, penarikan darjah kerabat teringgi (DK) Kelantan itu memberi kesan politik kepada parti disertai Dr Mahathir. Beliau adalah pengerusi Pakatan Harapan Malaysia.

Dalam hal ini lawanannya BN tentu seronok dengan apa yang berlaku itu kerana mereka boleh jadikan modal dan isu. Cadangan PH menamakan Dr Mahathir sebagai PM sudah pasti sedikit sebanyak akan dipersoalkan dengan kejadian itu. Mereka yang tidak tahu dan memahami perlembagaan dan fungsi raja dengan mudah akan mengata Dr Mahathir sudah terhalang untuk menjadi PM.

Walaupun ada logik dan kesan politik dengan kejadian itu, tetapi diingatkan kepada Pas di Kelantan khasnya tidak terlalu mengambil kesempatan atas apa yang berlaku. Mereka juga harus sopan dan jujur menerima kejadian atau takdir itu sebagai hal yang berada di luar politik. Jangan hendaknya ada mana-mana pihak cuba mengaitkan dengan suasana politik sebab padahnya sangat buruk dan tindakan itu juga salah.

Misalnya kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Pas, Nik Zawawi Nik Salleh dipetik kononnya penarikan gelaran "Dato" daripada Husam itu sebagai melanggar bai'ah bahalul parti itu sesuatu yang melampau. Kenyataan itu boleh disifatkan ia cuba mengaitkan tindakan Sultan itu sebagai tindakan politik. Bukankah kenyataan kurang cerdik sebegitu cuba membawa istana ke dalam kancah politik busuk dan memberi gambaran baginda menyokong Pas? Nik Zawawi cuba mengsekongkolkan sultan dengan Pas dalam hal ini.

Cara itu salah sama sekali dan satu penghinaan kepada Sultan.

Baiklah, sejauh manakah pula penarikan itu memberi kesan politik kepada pihak Pakatan Harapan? Sekiranya pihak lawan PH baik Pas maupun Umno berharap ia akan memberi sedikit pertolongan kepadanya, ia adalah sesuatu yang silap besar.

Pas dan Umno tidak dapat untuk mengait keuntungan mudah dengan kejadian itu. Pertama kerana semua orang tahu tindakan itu bukan bermotif politik secara langsung. Adalah sesuatu yang menyalahi dengan kedudukan sultan sebagai payung rakyat, berkecuali dalam politik sekiranya ia mempunyai atau diberikan maksud bermotif demikian.

Sultan boleh melakukan -- menarik balik pingat dan anugerah daripada sesiapa sahaja tenpa melihat warna dan ideologi politik. Sebelum ini pun sudah ada tokoh-tokoh daripada Umno dan Pas sendiri yang pingat dan bintang mereka ditarik balik. Jika tidak silap saya Sultan Kelantan pernah menarik pingat dianugerahkan kepada dua Exco Kelantan dalam kerajaan Pas semasa Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi MB. Jika tidak salah Exco itu ialah Takiyuddin Hassan dan Muhammad Daud Iraqi.

Bukan setakat itu sahaja Sultan Kelantan pernah berseleheng dengan bekas MB Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat sampaikan Tuanku tidak menyambut huluran salam daripada Nik Aziz. Nik Aziz juga ditidak diberi perkenan untuk mengiringi sultan ke mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Apa yang pernah berlaku kepada Nik Aziz itu lebih memalukan daripada kejadian penarikan balik darjah dan pingat yang dialami Husam dan Cikgu Rahim. Ironisnya selepas itu Sultan Kelantan dapat pula duduk bersekali dengan Nik Aziz seperti biasa. Tidak mustahil kalau Sultan Kelantan selepas ini memulangkan semula pingat dan darjah kebesaran itu. Kuasa Allah tidak siapa dapat menduganya.

Jika ada pihak mengharap penarikan pingat itu akan memberi benefit kepada politik mereka, ia sesuatu tanggapan yang silap. Sebaliknya dari sisi lain penarikan balik pingat dan darjah kebesaran terhadap tiga individu itu akan memberi simpati kepada mereka. Mereka yang kabur apakah kesalahan orang yang menyebabkan pingat diterimanya itu ditarik balik akan bersimpati dan terus mendukung kepimpinan mereka berdua.

Saya yakin dan percaya kemarahan rakyat kepada kerajaan kleptokrasi, dengan kenaikan harga barang, dengan seribu permasalahan hidup, dengan segala macam skandal dialami negara, mereka menerima kejadian penarikan pingat itu hanya sebagai melukut di pinggir kepala sahaja. Mereka meletakkan kejadian itu, isu personal mereka terlibatnya sahaja. Ianya tidak terkesan, sehebat kesan cukai GST yang mereka pikul kini.

Sekali lagi disebut baik Pas atau Umno Kelantan tidak boleh mengambil kesempatan atau menangguk di air keruh atas kejadian itu untuk kepentingan politik mereka. Mengambil kesempatan atas sesuatu kerja raja untuk kepentingan diri dan puak satu kesalahan, tindakan tidak bijaksana dan cara itu bagi saya satu penghinaan pula kepada sultan dan raja itu sendiri.

Sebagai payung negara sudah pasti raja dan sultan tidak mahu baginda dilihat sebagai berat sebelah dan melindungi sebahagian rakyat sahaja, manakala membiarkan sebahagian yang lain seperti hidup tanpa pelindung. Kepada Tuhan Kami Berserah. [wm.kl. 12:18 pm 09/02/18] 

6 comments:

ayah said...

Bagaimana pula jika raja menderhakai rakyat? Raja melindungi dan mempertahankan hak rakyat. Jika ini tidak dipatuhi, maka apa jadi pada raja?

Asrul Sani said...

Raja juga makhlok Allah. Hari ini pihak yang memegang kuasa boleh bertindak mengikut kepentingan mereka dengan memperalatkan institusi Raja-Raja Melayu. Akan tetapi keadaan mungkin berubah.

Tak apalah YB Husam, TDM dan Ustaz Abd Rahim...dalam kubur nanti malaikat tak tanya pun pasal gelaran-gelaran di dunia ini....

Mali Bin Muyung said...

Dlm soal ni saya suka pendirian Tun Ghaffar Baba yg menolak segala gelaran.
Buruk siku, kalau kita beri sesuatu tapi minta balik.

Syed Alwi Aljufri said...

Walau bagaimana pun juga pingat di tarik balik namun semua lapisan masyarakat sedar dan tahu akan jasa-jasa mereka itu.
Kepada mereka bertiga kami doakan agar tabah melalui ujian ini, Rakyat Tetap bersama kalian,,Semoga Allah Ta'ala memberikan sebesar-besar ganjaran kelak.

khalidros said...

Anugrah diterima, Anugrah tidak diterima dan Anugrah ditarik balik berkait bait.

Anugrah diterima mencerminkan penghargaan diri penerima kepada pemberi anugrah walaupun pada hakikat penerima tidak medapat faedah besar kepadanya dan munkin menambat kebebasan pergerakan dirinya.

Kalau menolak anugrah pula munkin dianggap kurang sopan kepada yang menganugrah, walaupun sebenarnya, penerima anugrah itu tidak pun selesa menerimanya.

Anugrah ditarik balik pula berisiko kepada penerima anugrah itu sendiri. Jika ditarik balik darinya maka persepsi nakal tak pasal pasal muncul walaupun bukan disebabkan oleh dirinya.

BERFIKIR FIKIR JIKA ANDA DICALUNKAN BAKAL PENERIMA ANUGRAH POLITIK.

diod said...

Sultan Kelantan dengan Tuan Guru Nik Aziz adalah dua Sultan Kelantan yang berbeza.