PENDAPAT

Notis pemakluman projek berkenaan diberikan terlalu singkat.
BANDARAYA dianggap sebagai suatu kawasan yang menjadi kebanggaan semua orang. Orang di luar sana (pedalaman) mengira berada di bandaraya memiliki seribu kemudahan dan kesenangan serta hidup dalam keadaan penuh berkualiti.

Al maklumlah bandaraya seperti Kuala Lumpur ini yang juga sebagai ibu kota negara yang melambangkan peradaban sesuatu bangsa.

Tanggapan itu silap sama sekali dan bertentangan dengan hakikatnya. Kerana kekhilafan itu menjadikan bandaraya yang aman dan segala macam prasarananya moden itu sebenarnya menjadi satu kawasan boleh dianggap kejam. Kita sudah salah dalam membangunkan bandaraya dan menguruskannya.

Kenapa tidak, segala keharmonian di sini terbunuh tanpa mendapat simpati manusia dan penghuninya. Nafsu dan kerakusan manusia menafikan segala apa yang dibayangkan itu.

Kawasan yang dicadangkan untuk dirikan pangsapuri
sudah dipagar.
Trend hari ini sesebuah bandaraya itu dianggap tidak sah kalau ia tidak sendak dengan apartment dan bangunan tinggi pencakar langit tanpa meninggalkan seruang petak hijau untuk bernafas. Kebobrokan pembangunan tidak berhati perut begitu adalah pembunuh keharmonian (kelestarian) hidup manusia.

Pembangunan dan ketamakan manusia akan terus menjalar tanpa mempedulikan kepada sesiapa. Kedamaian, keindahan keselesaan yang dijanjikan dari falsafah kewujudan sebuah bandaraya yang dibina dengan peradaban itu, hanyalah ilusi dan retorik semata-mata.

Demikian juga dengan kami di sekitar Wangsa Melawati ini, khususnya yang menghuni di taman-taman Wangsa Budi, Wangsa Ceria dan Wangsa Siaga, serta di Taman Permata dan AU, yang sudah pun menghadapi pelbagai elemen pembangunan, kini berdepan dengan satu lagi keadaan bakal menyesakkan nafas apabila terbangunnya pangsapuri tiga blok setinggi 55, 48 dan 46 tingkat bersama 5 unit penthouse yang kesemuanya berjumlah 1,206 unit.

Papan tanda pembangunan projek itu sudah pun dibangunkan. Projek itu akan dilaksanakan di Lot 21449 di Jalan Wangsa Melawati 1, di mana kedudukan dan lokasinya di tengah-tengah pusat kekelompokan taman-taman kediaman kami. Tapak itu dahulunya tapak loji kumbahan yang kini sudah ditimbus.

Notis makluman pembinaan projek berkenaan sudah dicacak dua tiga hari lepas. Kehadirannya secara mengejut kerana sebelum ini hanya ada satu notis sahaja yang memaklumkan pembinaan bangunan di kawasan itu untuk kegunaan industri. Paling mengejutkan juga tempoh notis untuk membantah projek itu sangat singkat, tidak sampai sebulan.

Betapa tatkala bangunan itu naik nanti ia menjadi bangunan tertinggi di kawasan ini. Dengan siapnya bangunan itu ia akan menempati seramai paling tidak 5,000 penghuni. Kehadiran itu menjadikan kawasan ini padat dan sendak. Walaupun apartment itu menyiapkan segala kemudahan, parking dan sebagainya, ia bakal meriuh-randahkan kawasan ini dan merampas kedamaian penghuni di sini selama ini.

Kedamaian dan keselesaan yang kami kecapi selama ini sejak bertahun lalu, akan musnah dalam sekali mata sahaja. Dengan gaya hidup orang Malaysia yang “selfish”, ego, sombong dan menjaga kepentingan diri, ia membunuh bukan sahaja suasana taman ini berimej kedesaan yang harmoni dan dibanggakan  selama ini, tetapi ia bakal menjadi taman ini satu kawasan semi elit yang bobrok.  Bayangkan selepas ini ratusan kereta akan keluar masuk pada setiap hari dan kiri kanan jalan dijadikan tempat parking di persekitaran jalan ke pangsapuri berkenaan.

Landasan pejalan kaki dan taman rekreasi juga akan turut sama terancam dengan kebisingan dan terganggu dengan pelbagai ragam kenderaan dan penghuninya yang tidak mudah disiplinkan.

Justeru penduduk di sini seperti mana disebut pada notis di pasang itu yang memberi peluang untuk penduduk membuat bantahan terhadap projek itu, hendaknya tidak akan mengabaikan tanggungajwab sebaliknya respon segera kepada notis berkenaan. Menjadi tanggungjawab semua penduduk di sekitar kawasan projek itu membuat bantahan kepada pihak berwajib.

Persatuan-persatuan penduduk di taman-taman yang mengelilingi tapak projek itu perlu nangkit mengemukakan bantahan masing-masing. Jangan kita berfikir pembangunan itu sebagai sesuatu yang lazim (nature) maka kita melihatnya begitu sahaja walaupun kedatangannya merampas hak asasi kita.

Pemimpin tempatan juga termasuk wakil rakyat, parti-parti politik, badan-badan Ngo perlu berganding bahu ikut sama mengemukakan bantahan dan memberi pandangan dalam hal ini. Apabila adanya kolaborasi itu pasti ia akan memberi input baik kepada pihak terlibat dengan kelulusan projek berkenaan untuk membatalkannya.

Ayuh.. kita semua berpakat menyatakan pendirian dan bantahan kita. Mari kita memohon dan mendesak, usah ganggu ketenteraman kita di sini dan golongan kapitalisme perlulah memahami akan nilai sebuah kehidupan yang damai. Simpatislah sedikit agar kawasan yang dahulunya hak awam itu bagi kami jadikan ia sebagai kawasan terapi jiwa.

Yang anih ialah sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak bertanggungjawab mempertimbangkan untuk meluluskan projek berkenaan, kenapa aparat itu bersedia melayan pembangunan  projek berkenaan dengan memberi peluang kepada orang ramai membuat bantahan terhadapnya? Apakah DBKL tidak ada panelnya penilai tersendiri untuk membuat penilaian awal untuk menolak cadangan projek itu awal-awal lagi? [wm.kl.10:51 am 14/02/18]