Wednesday, February 14, 2018

Akhirnya Azmin akui gagal jinakkan Pas

REAKSI

Azmin: Biarlah kata putus dengan Pas itu muktamad.
KENYATAAN berupa pengakuan Timbalan Presiden Keadilan, Mohamed Azmin Ali yang beliau telah memuktamadkan hubungan dengan Pas seperti dilaporkan Nanyang Siang Pau, sesungguhnya melegakan banyak pihak.

Kenyataan itu dikira tepat dan kena pada masa memandangkan parlimen dalam keadaan siap sedia dibubarkan. Azmin berbuat sambil menunjukkan kematangan politiknya. Dia tidak gaduh dan menunggu masa lama, selesai segala usai dilakukan.


Azmin tidak perlu breksperimen dan terus "hengki pengki" lagi jikalau cara itu sia-sia dan memberi implikasi kepada dirinya kemudian meletakkan Pakatan Harapan (PH) dalam suasana celaru. Sebab cara itu tidak disukai oleh pendukung PH.

Selama ini orang konfius dengan sikap MB Selangor itu yang masih berlunak dengan Pas. Tidak kurang juga yang marah dan menyumpah kepadanya kononnya beliau cuba bermain politik untuk dirinya bukan kepentingan bersama, PH. Jarang orang dapat membaca makrifat siasahnya.

Alasan Azmin untuk memutuskan harapan (hubungan) dengan Pas dan tidak mengharapkan kerjasama dengan parti itu juga menarik. Katanya beliau sudah banyak bertolak ansur dengan Pas, memberi dan mengambil tempoh agak lama untuk mencari solusinya demi kesejahteraan bersama.

Dalam tempoh itu tentu beliau cuba untuk membawa Pas kembali kepada pembangkang, bersama PH seperti mana kewujudan Pakatan Rakyat (PR) lalu. Sesungguhnya usaha itu sesuatu yang bersifat bijak berpolitik. Namun tidak berjaya. Azmin gagal untuk mempengaruhi pemimpin Pas agar menerima formulanya. Kegagalan itu bukan sahaja mengecewakan Azmin tetapi banyak pihak.

Selama berusaha itulah Azmin dilihat berjalan tidak sehaluan dengan mereka yang membenci Pas dan tidak faham dengan pendekatan parti itu. Baik dari dalam partinya sendiri, (PKR), Amanah dan DAP sudah hilang kepercayaan kepadanya dan bosan dengan kemabukannya ("intoxitation") untuk terus bersama Pas. Bahkan ada yang secara terang-terangan marahkan Azmin dan melancarkan serang hendap terhadapnya.

Bagi pemain politik yang tahu membaca arah serta masak dengan sifat politik, mengerti akan "muslihat" Azmin. Mereka bersangka baik dan membiarkan Azmin menyelesaikan kekusutan itu. Sebaliknya mereka yang memahami erti politik secara harfiah dan lurus serta sudah cemuh dan berpatah arang dengan Pas, marahkan Azmin. Azmin diletakkan sebagai perosak peluang masa PH.

Politik macam sungai

Sepatutnya kita semua perlu tahu dan faham senario politik serta lenggang lengguknya. Politik bergerak macam sungai yang kadang kala airnya tenang, kemudian deras dan laju sampai meruntuhkan tebingnya. Atau ada juga terus mati buat sementara waktu. Kadang kala ia bertindak secara anih, dimana lenggang lengguk itu memapatkan tebing sungai itu.

Kegagalan Azmin dan keenggan Pas untuk kembali bersama PH itu memberi erti dan terjemahan tersendiri. Apa dihadapi sesuatu yang sangat sulit. Bukan semua pemimpin dan orang Pas menolak untuk bekerjasama dengan PH. Ada yang percaya masa depan Pas panjang dengan bekerjasama dengan PH bukan secara bersendirian. Pas belum mempunyai kekuatan untuk bersendirian. Mungkin kalau Pas bersendirian, semua kerusi dimenanginya dalam Piraum ke 13 dahulu akan hilang?

Dalam Pas Selangor sendiri misalnya berbelah bagi dengan keputusan ini. Khabarnya daripada 13 orang wakil rakyat Pas di negeri Selangor ada yang tidak sekata untuk menerima formula meninggalkan pembangkang. Mereka menolak bayangan untuk Pas bersama Umno kerana tindakan itu seperti Pas melakukan harakiri. Gara-gara itu ada mengambil sikap tawaqqus dan malas untuk menggerakkan jentera pilihan raya.

Apa yang boleh diterjemahkan dengan keengganan Pas serta kegagalan Azmin itu, ialah kerana Pas sudah tidak boleh mundur lagi. Pas sudah terlanjur jauh dengan pendirian dan formunya untuk undur ke belakang. Pemimpin Pas yang menolak formula Azmin agar kembali bersama oposisi itu tangan mereka sudah digari. Tali yang mengikat tangan mereka itu pula besar dan kuat. Mereka umpama ikan yang sudah termasuk ke dalam "tuar" beronak; untuk keluar tidak mungkin kerana ia akan merosakkan sisiknya, maka hendak tak hendak mereka terpaksa mendorong tuar.

Itulah masalah dan kesukaran bagi Azmin dan juga Pas untuk berpatah balik. Hakikat ini jarang diketahui umum. Sebabnya kalau mereka tidak terikat, mereka akan melarikan diri untuk kembali bergabung dengan oposisi semula.

Seni politik Azmin halus dan indah. Alasan yang beliau berikan kenapa beliau bertarik tali dengan Pas ialah kerana menghormati parti itu. Azmin tidak memecat tiga exconya kerana masalahat politik yang digunakan alasan sebab mereka dipilih oleh rakyat. Bukan itu sahaja Pas Selangor juga masih selari dengan dasar kerajaan Selangor untuk membantu rakyat. Ertinya Azmin bukan seorang peringus tetapi sangat menghormati kuasa rakyat.

Adalah bagus Azmin tidak sedia mengikut amarah mereka yang mendesak agar tiga Exco Pas dibuang. Azmin sebagai bahu yang memikul tahu akan masalah dan risikonya. Apa yang tidak mahu dilihat beliau ialah kerajaan pimpinannya kemelut dan berkecamuk. Beliau mahukan elakkan sesutau buruk berlaku di Selangor yang mana insiden itu akan diambil kesempatan oleh UBN.

Bayangkan apa akan terjadi kalau beliau bertindak memecat tiga Exco Pas itu. Apa sahaja kemungkinan boleh terjadi. Yang sangat ditakuti ialah kalau-kalau ketiga Exco itu tidak mengikhtiraf pemecatan itu dan berlindung di sebalik istana? Jika ini terjadi kerajaannya akan dalam bahaya, lebih bahaya daripada diserang oleh mereka yang membenci Pas dan tindakannya memelihara Pas tersebut.

Namun kini segala sudah selesai. Azmin sudah meluahkan rasa kecewanya. Harapnya kita semua tahu dan faham akan komplikated politik di Selangor itu. Dan dengan muktamadnya segala itu, kita berharap Azmin sendiri tidak lagi membuka mana-mana pintu untuk Pas selepas ini. Tali yang dimainkan secara tarik-tarik itu biarlah putus sungguh. Pas pula perlulah bersedia memikul risiko kesendiriannya itu tanpa menyesal selepas ini.

Sejajar itu apa yang perlu digerakkan Azmin ialah menyusun barisan PH di Selangor. Beliau kena melipat gandakan penyusunan itu kerana terabai selama disebabkan beliau ralik bermain mata dengan Pas. Azmin hanya perlu memberi sedikit tumpuan sahaja untuk menyusun PH. Perkara yang utama ialah menyelesaikan pengagihan kerusi DUN. Dan jika beliau dapat melakukan itu, martabat dan imej politiknya sebagai pemimpin akan pulih kembali. Orang akan angkat tabik kepadanya dan tidak mustahil akan menyanjungnya sebagai pemimpin masa depan.

Azmin tidak perlu bimbang kepada apa-apa kesan dan masalah bakal menimpanya. Beliau tidak perlu takut kepada tentangan daripada Pas sendiri. Sekiranya beliau berjaya mengemas dan memantapkan PH, beliau tidak perlu bimbang dengan undi protes Pas. Sokongan rakyat kerana komitmen kepada PH atas matlamat untuk mengekalkan Selangor akan menambahkan kekurangan undi dari Pas yang mungkin tidak akan mengundi PH lagi kerana mereka bersendiri.

Tidak mustahil juga tindakan Azmin itu nanti akan membawa pertambahan sokongan besar rakyat kepada PH. [wm.kl.6:42 pm 14/02/18]

3 comments:

Tok Ki said...

PAS dah dijinakkan Najib dahulu...Yg lain takut kena ikut TGHH sahabat Najib bersekongkol dgn 1Mdb

awang kualaberang said...


selagi paspispus dikuasai oleh geng15, mereka tidak akan mengkhianati kerjasama disebalik tabir dengan boss 1MDB@MO1

W.NOR ZAKARIA said...

Pas rasa partinya kuat...pokok tak berbuah pun pas panjat.nk buat apa?