NEGERI Kelantan hari ini (semalam) kehilangan seorang serikandi sasterawan terbilang apabila Zanariah Wan Abdul Rahman telah pergi menghadap penciptanya kira-kira jam 2:30 petang semalam.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam usia 71 tahun di kediaman anak bongsunya di Kuala Lumpur dipercayai kerana serangan jantung. Allahyarham meninggalkan tiga orang puteri, Wan Shariza, Wan Salwani dan Wan Syahrina serta beberapa orang cucu.
Tentu, selebihnya apa yang ditinggalkan oleh Allahyarham untuk anak bangsa segugus karya-karyanya dalam pelbagai gerne.
Mungkin nama Zanariah atau Siti Aminah Abdul Rahman yang dimesrai di kalangan rakan-rakan berpangkat anak dan adik dengannya, sebagai KAK YAH, tidak sehebat lagenda Kelantan, Cik Siti Wan Kembang atau pun Puteri Saadong, tetapi penglibatannya dalam dunia sastera dan budaya khasnya di Kelantan tidak boleh dinafikan.
Jenazah diangkat untuk disolatkan. |
Dalam dunia penulisan, Kak Yah cukup dikenali sebagai cerpenis, penyair dan juga penulis skrip drama radio. Karya-karyanya membawa elemen kewanitaan, ketuhanan dan juga kemasyarakatan. Namanya pelengkap kamus penulisan dan sasterawan Kelantan.
Siap dimasukkan ke dalam van jenazah. |
Kehebatannya setanding dengan rakan-rakan sepejuangnya, seperti Norhisham Mustafa, Fatimah Busu, M Jusoff Taib, Wadi Leta SA Allahyarham S Othman Kelantan, Talib YK, penulis senegeri dengannya, manakala serangkai nama-nama lain penulis dan penyair tanah air seperti Khatijah Hashim, Zurina Hassan, Adibah Amin dan lain-lain.
Nadi utama PPK.
Beliau juga salah seorang aktivis pewangi nama negeri Kelantan bersama serangkai penulis lain terutamanya di radio apabila skrip drama tulisannya ke udara, setiap kali itu nama Kelantan berkemundang.
Di era tahun 70an dan 80an dimana drama radio menjadi satu gerne digemari, Zanariah seakan menaluki corong radio di Kelantan dan nasional bersama beberapa nama-nama itu. Setiap minggu nama-nama itu berkemundang silih berganti.
Berdiri sambil memberi lambaian doa terakhir. |
Selain itu Allahyarham merupakan nadi utama kepada Persatuan Penulis-Penulis Kelantan (PPK), apabila menjadi Setiausaha PPK untuk beberapa tahun, yang ketika itu badan penulis dan sasterawan itu di bawah pimpinan Hussein Ahmad, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan dan juga bekas Timbalan Menteri dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad.
Apabila Hussein Ahmad, berundur dari PPK, pertubuhan itu digalas oleh beliau selaku Ketua Satu PKK selepas dipegang Muda Abdul Rahman untuk seketika.
Sedar atau tidak beliaulah satu-satu wanita yang memimpin persatuan penulis di negara ini. Untuk beberapa tahun Allahyarham memimpin PKK sebelum meninggalnya di akhir pertengahan tahun 90an kemudian terus menyepi dari dunia yang diminatinya itu.
PPK dibawah pimpinannya menyerlahkan arca tersendiri. PPK berjaya menganjurkan ratusan bengkel penulisan dalam semua gerne serta berjaya mengadakan acara besar sasterawan, antaranya menganjurkan Hari Puisi Nasional ke 6 di Kem Kijang.
PPK ketika itu menjadi kerabat Gapena -- (Gabungan Penulis Malaysia), yang disegani dan dicemburui oleh kerabat yang lain kerana kejayaannya melahirkan ramai penulis muda dalam semua garne. Setengahnya berjaya mencipta nama hingga ke hari ini.
Nama-nama seperti Ramli Abdul Halim, Mukhtar Mustafa, Wan Aishah Wan Nawang, Lim Swee Tin, Awang Abdullah, Lee Chong Beng atau Azle Lee Abdullah, Villa Ejok, Allahyarham Mustapa Jusoh, Lokman Abdullah, M Hayat, Wan Ahmad Alimi Wan Mahmood dan lain-lain adalah penulis yang lahir daripada bimbingan dan didikan Allahyarham menerusi PPK.
Sebenarnya saya sendiri sangat berhutang budi kepada Allahyarham yang memungkinkan saya memasuki alam penulisan sehingga seperti hari ini. Beliaulah antara insan yang bertanggungjawab membawa saya meninggalkan kampung halaman untuk bergerak cergas dalam dunia penulisan, baik kreatif dan kewartawanan bermula di Kota Bharu sehingga terheret ke ibu kota Kuala Lumpur.
Semasa beliau menguruskan majalah Sinar Kelantan terbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan di zaman kerajaan UMNO, beliau mencari dan menawarkan saya menjadi pemberita majalah tersebut. Semasa bekerja bersamanya itulah saya mendapat pendedahan serta didikan awal dalam dua bidang penulisan kreatif dan kewartawanan sebelum melangkah lebih jauh.
Di samping bertugas sebagai wartawan saya juga bergerak cergas dalam persatuan PPK dibawah pimpinannya menjadi aktivis sastera dengan mempelopori majlis pendeklmasian puisi.
Selepas beliau berundur dari persatuan dan menyepi diri dari dunia penulisan, sama ada cerpen, puisi atau penulisan skrip drama radio, agak lama juga saya tidak menemuinya. Kebetulan pula saya kurang aktif dalam dunia penulisan kerana menumpukan kepada dunia politik. Pertemuan terakhir ialah April tahun lepas semasa menghadiri perkahwinan anak bongsunya, Wan Shahrina di Kuala Lumpur.
Perjumpaan selepas agak lama tidak bertemu itu, tidak pernah mengubahkan sifat keibuannya (kakak) dengan saya. Kak Yah juga kekal dengan sifat kemanjaan dan kewanitaan. Kala itu beliau masih bergurau senda dan memuji-muji saya sebagai penulis buku politik. Katanya dia sering membaca buku-buku saya dan minta mengirimkan kepadanya jika ada buku baharu. Ertinya dalam kerenggangan itu beliau mengikuti dan menjejaki perkembangan saya.
Sesuatu yang terniga-ngia ditelinga, ialah apabila mendapat pujian daripadanya; "you dah berjaya Sayuti, siapa tidak kenal MSO dalam dunia politik." Bagi saya kata-kata itu adalah suatu piala buat saya daripada seorang kakak yang turut memungkinkan saya lahir sebagai penulis seperti hari ini.
Pada pertemuan itu Allahyarham memesan kalau ada buku baru agar memberi tahunya untuk dimiliki. Pada pertemuan itu, saya berjanji untuk membekal beberapa buku terakhir saya. Niat saya untuk dihadiahkan pada majlis kenduri kesyukuran perkahwinan anak bongsunya itu yang dirancang diadakan di Kelantan. Beliau beriya-iya bertanya saya, kalau diadakan di Kelantan apakah saya sedia untuk pulang.
Saya menjanji dan menyatakan kepadanya sedia dan akan pulang. Sejak itu saya menanti akan jemputan dan bertanya sesiapa yang mungkin mengetahuinya. Saya sudah mengira majlis itu sudah diadakan, tetapi ternyata ia belum dilaksanakan. Pertanyaan dan penantian itu terjawab semalam apabila mendapat tahun perkhabaran dukacita itu bahawa saat ditunggu untuk berjumpa itu masih belum dilaksanakan.
Pemergiannya semalam mengejutkan saya, ia seolah-olah satu kejutan dari sebuah tidur yang asyik. Berita kematiannya diketahui menerusi perkhabaran dari Facebook Wan Aishah Wan Nawang; ketika sedang minum petang isteri mengkhabar yang Kak Yah telah tiada. Saya terus mendapat pengesahan daripada anaknya Wan Shariza, yang saya panggil Adik Ja, dan maklumat itu menjadikan saya terkaget besar.
Sebaik mendapat tahu jenazahnya berada di masjid Usamah bin Zaid dalam khariah saya, untuk diuruskan dan dibawa ke Kuantan, saya bersama isteri segera ke masjid berkenaan dan alhamdulilah dapat bersama menguruskan jenazahnya. Saya rasa saya paling bertuah kerana di antara ratusan bahkan ribuan ahli PPK, yang dipimpin oleh Allahyarham saya bernasib baik, ada rezeki memberi penghormatan terakhir kepadanya dan menyolat jenazahnya.
Maaflah Kak Yah atas segala-galanya dan maaf juga kerana tidak sempat mengiringi kepulangan Kak Yah hingga ke pusara, apa lagi menjenguk liang lahad, cuma hanya dari laman masjid sahaja memberi peluang saya melambaikan doa buat Kak Yah. Saya meninggalkan perkarangan masjid Usamah bin Zaid setelah van jenazah yang membawa Kak Yah hilang dari pandangan mata yang dikaburi air jernih.
Dari catatan Adik Ja, jenazah Kak Yah selamat dikebumi di perkuburan Peramu, Kuantan Pahang bersisian dengan cucunya, Muhammad Izzat Anas yang lebih awal dipanggil Ilahi, 21 Februari 2015 lalu.
2 comments:
Semoga Allah menempatkan rohnya dalam kalangan roh orang yang beriman. Amin. Allahumaghfirlaha.... (baca hingga akhir).
Saya mendengar kisah penulis hebat ini dlm coretan adila radio klasik 9/10/2024. Allahummaghfirlaha warhamha.
Post a Comment