Friday, October 1, 2021

Keunikan orang Kelantan yang berbagai-bagai

SESUDAH SUBUH

Kelantan dahagakan perubahan.
SETELAH hampir dua tahun tidak balik ke Kelantan, kelmarin bersama seorang rakan seperjalanan, saya balik ke negeri kelahiran itu. Balik bukan kerana ada urusan penting, tetapi kerana lama tidak balik. Tidak ada perkara mendesak pun untuk balik ke negeri gemulah Chek itu, tambahan lagi musim pandemik belum habis. 

Larangan melintas sempadan belum dibenarkan lagi. 

Kelantan pula menjadi negeri juara mencatat kes Covid tertinggi selepas Kedah dan Sarawak dalam tempoh seminggu dua ini. Apakah kekentalan Covid di Kelantan ini sebahagian daripada keunikan Kelantan? Negeri Kelantan dikenali dengan negeri banyak keunikan; dari segi sosial, perekonomian, budaya, makanan termasuklah cara berpolitik.  

Apakah Covid juga Kelantan mahu memonopoli keunikannya?

Apa tidak uniknya Covid di Kelantan, cara orang Kelantan menghadapinya berbeza dengan orang di negeri lain. Menurut perangkaan daripada Kerajaan Kelantan seramai 27,000 orang dewasa yang belum mendapat vaksinasi di negeri itu. Daripada jumlah itu sembilan ribu (9,000) yang mengisytiharkan mereka tidak akan menerima vaksin. Hal ini disebut oleh Exco Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin seperti laporan dipetik.

Mereka yang enggan divaksinasi itu adalah anti vaksin. Orang di negeri lain dan di seluruh dunia berebut-rebut inginkan vaksin sampai ada yang bertumbuk, tetapi ada sebilangan kecil orang Kelantan yang menolaknya. 

Menurut Izani sebab kenapa mereka tidak mahu vaksin kononnya vaksin adalah agenda Yahudi. Vaksin menyebabkan timbul berbebagai gejala seperti jadi bodoh, dungu dan sebagainya selepas disuntik. 

Paling teruk vaksin dikaitkan dengan agenda konspirasi. Kononnya apa yang dicakap-cakap secara senyap dan menjadi propaganda menerusi agenda itu satu billion manusia akan dihapuskan? Vaksin itu menjadi senjata membunuh dalam senyap?

Entah daripada maklumat dan sumber mana berita itu diambil. Apakah ia benar atau tidak walahualam. Sepatutnya maklumat dan persepsi itu tidak timbul dan mudah dipercayai kerana ia datang dari sumber yang tidak sahih dan bersifat provokatif. 

Gunalah akal untuk mempercayainya. Logiknya kalau vaksin itu satu konspirasi masakan pihak pertahanan negara dan WHO tidak mengetahuinya. Namun walaupun ia tidak logik, ramai juga terpengaruh dengan tanggapan demikian. Sedar atau tidak gara-gara menolak vaksinasi menyebabkan proses untuk mencapai imuniti kelompok lambat. 

Ertinya mereka yang anti vaksin bukan membantu mempercepatkan penghabuspan Covid tetapi bertindak menjadi penjaga Covid?

Keadaan Amanah

Kita tinggalkan keunikan rakyat Kelantan dalam menerima perkara itu (vaksin) yang ada kaitan dengan kesihatan diri mereka sendiri. Apa yang hendak disentuh juga disini mengenai sikap dan sifat orang Kelantan dalam berpolitik. Kegawatan "kurang normalnya" orang Kelantan berpolitik sama seperti mereka main rebana atau pun belaga ayam. Orang Kelantan boleh bergaduh sampai tumpah darah dalam permainan dan laga haiwan seperti ayam, ikan atau lembu dan kerbau. 

Kalau mereka kalah dalam pertewasan rebana atau laga haiwan, mereka boleh bergaduh sampai pecah kepala. Bukan itu sahaja gara-gara permainan itu juga menyebabkan mereka kerugian. Bukan sahaja setakat wang poket habis, tetapi ada kalanya modal jadi pertaruhan lebih daripada itu. Kalau di zaman dahulu sampai kampung halaman anak isteri pun mereka jadikan pertaruhan. 

Hal itu juga berlaku dalam berpolitik Kelantan. Perbalahan antara orang Pas dengan Umno tidak perlu diriwayatkan lagi. Ia satu tradisi turun menurun sejak wujudnya parti itu tahun 1950an lagi. Bahanannya bukan sahaja sampai bermasam muka, tetapi ada yang terbunuh. 

Pergaduhan Pas dengan Umno tidak memelikkan kerana ia ada sejarah tersendiri. Yang anehnya pergaduhan berlakunya sesama sendiri. Orang Kelantan seperti tidak pernah membataskan "ilmu" perkelahian mereka hatta dalam parti sendiri. Hebat. 

Hari ini wujud pergeseran dan benci membenci dalam parti Amanah Negara (Amanah) di Kelantan. Ada gerakan sedang dikatakan berlaku dalam parti yang baru menyambut ulang tahun ke enam, 16 September lalu tersebut. Semua berlaku kerana sifat kebencian dan perangai suka bergaduh dan "berkekah" yang diwarisi daripada sifat negatif itu. Ia juga beraku kerana kedangkalan memahami politik yang memerlukan pentafsiran yang sangat seni dan bijaksana.

Walaupun parti itu bernuansakan Islam, kerana kebanyakan pemimpinnya bekas pimimpin parti Pas, tetapi ia tidak membezakan parti itu sama dengan parti lain. Malahan dari sudut tertentu tindak tanduk ahlinya lebih dahsyat daripada parti lain. Ada sikap ahli yang tidak rasional langsung.  

Perbalahan sesama sendiri, benci membenci sampai menabur fitnah, singkir sesama sendiri adalah pertambahan ciri-ciri keunikan orang Kelantan. Sepatutnya setelah kalah dalam pilihan raya ke-14 lalu, parti itu jadi semakin padu dan ukhwahnya kian bertambah. Mereka patut mempertingkat daya untuk menahan Amanah bukannya mengkucarkan harakah sendiri. 

Dalam pilihan raya lalu semua kerusi dipertandingkan Amanah kalah. Kosong. Sepatutnya kekalahan itu diinsafi. Dan undi yang diperolehi itu dijadikan benih untuk merimbunkan parti itu, bukannya mengeringkannya. 

Perbalahan, benci membenci sesama sendiri yang berlaku itu mengecewakan mereka yang mahu melihat perubahan politik dan kerajaan di Kelantan dibawah Pas yang dilihat gagal mencapai prestasi sepatutnya. 

Rakyat Kelantan yang sudah tidak tahan dan kecewa dengan pencapaian Pas sebagai kerajaan lebih 30 tahun, tentu merasa duka dan kecewa atas apa yang berlaku. Khususnya mereka yang menggantungkan harapan kepada Amanah menjadi parti merubah suasana Kelantan, tentu merasakan mereka tertipu dan terpedaya dengan harapan yang diberikan kepada mereka.

Beitu juga usaha mereka selama ini menyokong pembangkang di Kelantan yang ditunjukkan dalam pilihan raya lalu sia-sia sahaja. Amanah adalah parti yang dianggap sebagai tonggak pembangkang utama di Kelantan. Ini dilihat kepada pengalaman dan ketokohan para pemimpin mereka di negeri itu berbanding dengan pemimpin daripada parti lain. 

Dalam Amanah ramai golongan professional yang sebelum ini tidak minat berpolitik tetapi ikut menyertai Amanah atas tujuan untuk membela rakyat Kelantan. Cuba belek dan perhatikan calon-calon dikemukakan Amanah dalam pilihan raya lalu tidak kurang 10 mereka yang berlatar belakangkan professional dimana hakikat ini mengalahkan calon-calon atau wakil rakyat Pas.

Sepatutnya nilai dan aset yang ada kepada Amanah itu dipupuk dan dibajai. Perpaduannya diperkuatkan bukan dipecah pecilkan. Kekalahan meneguhkan akar perjuangan bukan mengoyakkan tunjang semangat. 

Kalau parti yang diharap berkucar "wak yah", macam mana diharapkan pembangkang (PH) mampu untuk menggugatkan Pas di Kelantan. Kelemahan Amanah, kegagalan PH untuk tidak mendapat apa-apa kerusi dalam pilihan raya nanti akan jadi satu dosa politik buat rakyat Kelantan. Kegagalan PH meletakkan sebarang wakil di Dun Kelantan menjadikan kerajaan akan datang jika kekal kepada Pas, menjadikan parti itu kian mendabik dada dan bersikap bermaharajalela. Tentu lebih banyak lagi Mercedes akan dibeli oleh Pas. 

Kemenangan mereka akan diterjemahkan bahawa segala kesalahan, penyelewengan dan kegagalan mereka mengurus negeri dan menyelesaikan masalah rakyat dianggap sebagai tidak benar dan ia hanya tuduhan semata-mata. 

Dengan menyedari risiko dan kesan itu pembangkang di Kelantan khasnya Amanah dan PH tidak wajar bergaduh sesama sendiri apa lagi sampai mahu singkir menyingkir sesama sendiri. Sikap menyaing-nyaing, parti dan kumpulan sendiri tindakan tidak bagus. Yang sudah kecil jangan dicaing-caingkan, tetapi perlu ditambah dan diperkukuhkan. 

Yang bekah jangan dibiarkan robek tetapi hendaklah dijahit dan ditampong sesempurnanya. [wm.kl. 7:08 am 01/102021]

No comments: