Wednesday, December 1, 2021

Rasional kalau Amanah bergabung dengan PKR

REAKSI

Keduanya perlu mencari titik temu
untuk jana kekuatan.
ANWAR Ibrahim mengakui ada cadangan untuk digabungkan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan Keadilan. Hal ini mungkin kedengaran dan diberi rekasi daripada pihaknya sahaja. Belum ada reaksi daripada pemimpin Amanah. Jika ini dibincang dan hendak diambil tindakan ia sesuatu yang perlu dilihat positif oleh semua pihak terutamanya Amanah. Amanah tidak perlu berasakan hina diri dan terkilan dengan cadangan demikian.

Parti itu perlu menerimanya dengan sikap tasamuh dan tenang. 

Anwar dalam menjawab rumours mengenai hal itu kepada wartawan memberi tahu pihaknya ada menerima cadangan penggabungan itu, tetapi ia tidak dibincang secara lebih mendalam. Ertinya ia sudah masuk dalam pengetahuan presiden Keadilan itu dan diberi perhatian apabila menyedari ada sok sek soksek dalam parti serpihan Pas itu. 

Sebenarnya dalam urusan politik penggabungan (merge) parti bukan sesuatu yang pelik dan memalukan. Ia juga bukan sesuatu mengurang kredibili dan maruah antara keduanya. Begitu juga dengan maruah dan moral pemimpin. Penggabungan bukan suatu yang merugikan tetapi lebih kepada mendapat laba bersama. 

Penggabungan parti politik dilihat sudah lumrah seperti mana berlaku dalam syarikat atau institusi perbankan. Syarikat kecil atau bank yang tidak berdaya maju terpaksa menyangkut diri kepada syarikat lebih besar atau utama untuk memastikan kelangsungan atau pun menumpang menambah modal pusingan. Yang pentingnya bagi menyelamatkan syarikat berkenaan daripada berkubur. 

Langkah itu bukan sesuatu mengaib, dan menjijikan tetapi satu langkah bijak dan berpangan jauh. Daripada syarikat atau institusi kewangan digulung lebih baik ia bernyawa dan terus hidup walaupun menumpang oksigen orang lain.

Dalam kontkes parti politik seperti Amanah atau parti sewaktu dengannya tindakan penggabungan adalah sesuatu yang wajar dan keputusan yang bijak. Jika Amanah sedia menerima cadangan penggabungan dengan Keadilan itu adalah satu cadangan tepat. 

Mungkin pencinta Amanah mahu Amanah kekal bersendiri, tidak senang dengan cadangan ini. Mereka seperti itu yang tidak mengetahui selok belok dunia perniagaan dan egois. Mereka seperti itu lebih syok sendiri tanpa tahu dan bijak membuat unjuran. Mereka ini tidak kenal sejauh mana kekuatan dan kelemahan diri.

Sebenarnya orang bersikap pasif begitu bukan penggerak parti yang baik. Atau kalau diibarat kepada perniagaan, ia tidak memahami seluk belok perniagaan. Mereka boleh dianggap sebagai orang yang mahu melihat partinya musnah. 

Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebelum ini sudah mengambil langkah yang sama, bergabung dengan Keadilan. Maruah parti itu tidak pun cacat bahkan semangat dan idealisme parti itu masih subur dan hidup dalam Keadilan. Umum tahu dalam tubuh atau darah Keadilan itu ada darah PRM. 

Keadilan menjadi kuat dan kental dengan kemasukan darah PRM itu. Walaupun bilangannya tidak sebesar mana, setidak-tidak semangat dan kejatian diri orang-orang atau pemimpin PRM seperti Syed Husin Ali, Hassan Karim dan lain-lain membentuk jati diri PKR. Keutuhan Keadilan ditongkat oleh semangat jati diri orang PRM.

Bukan sesuatu yang rumit kalau Amanah sedia bergabung dengan Keadilan. Sebenarnya tidak ada perbezaan atau hal bercanggah yang ketara antara Amanah dengan Keadilan. Kedua parti itu mempunyai idalisme, semangat dan maksud sama. Satu jalan dan satu tujuan. Tunjang perjuangan mereka untuk rakyat berasaskan kepada idealisme reformasi dengan berpegang kepada prinsip menegak kebenaran mencegah kemungkaran.

Kepimpinan Amanah yang professional sama dengan kepimpinan Keadilan yang liberal dan profesional. 

Keadilan ditubuhkan oleh mereka yang tidak senang dengan cara dan sikap pemimpin Pas yang konservatif dalam kepercayaan beragama. Sikap Pas itu dilihat sebagai bertentangan dengan masyarakat Malaysia yang majmuk dan mengahalang kemajuan Pas. Amanah bercadang untuk jadi wadah baru kepada pejuangan Islam sekaligus untuk menjadi pengganti Pas. Tetapi malangnya dengan masalah yang ada khasnya kepimpinan Amanah yang tidak perform dilihat tidak mampu dan berdaya untuk menyangini Pas.

Amanah seperti luntur dan tiada ada leadership. Keberadaan tokho-tokoh agama dalam parti itu sedikit pun tidak beperanan untuk menjadikan Amanah sebagai parti setanding dengan Pas seperti mana dicanangkan. Perangai hanyir Pas yang dibenci turut wujud dalam parti itu. 

Doktrin beragama ditanam oleh Pas kesekian lama menerusi sistem pendidikannya dakwah di surau, masjid dan kini dalam media sosial terhadap masyarakat negara ini menjadikan Amanah tidak berdaya untuk mengatasinya. Amanah tidak ada kekuatan untuk berhadapan dengan hal itu. Amanah seperti hilang akal dan kering strategi untuk mengatasinya. 

Masalah yang berlaku dalam Amanah kini, soal kepimpinan dan hilang keyakinan ahli dan penyokong bakal memberi kesan tidak baik kepada parti itu. Peluang pemimpin parti itu menjadi menteri dan menjawat jawatan dalam kerajaan selama 22 bulan membolehkan orang ramai membuat penilaian sejauh mana kemampuan mereka. 

Sebenarnya Amanah parti yang tidak bernasib baik apabila dapat membentuk kerajaan (PH) hanya seketika sahaja dan peluang sekejap itu tidak sempat untuk memperkasakan parti. Manakala pemimpin pula tidak sempat mengkoreksi diri sebagai pemimpin.  

Manakala pembentukan kerajaan yang disertai oleh Amanah tidak banyak membantu parti itu. Parti tidak berpeluang atau tahu bagaimana untuk menjana kekuatan parti dengan peluang yang ada di hadapan. Ia berbeza dengan parti rakan mereka DAP. Misalnya seorang menteri terpaksa berfikir sebulan untuk melantik seorang penyokongnya hanya untuk dilantik menjadi ahli lembaga pengarah sebuah badan berkanun, berkesudahan tidak dilantik. 

Itulah kelemahan pemimpin Amanah. Disebabkan kelemahan juga parti itu gagal menyelesaikan berbagai masalah dalaman parti yang akhirnya menyebabkan ada yang bertindak keluar parti. Kejadian saman menyaman sesama sendiri menjelaskan bahawa pimpinan atas parti itu tidak mengamalkan dasar musyawarah yang akhirnya merugikan parti. 

Sesudah enam tahun penubuhannya kemajuan tidak membanggakan. Pertambahan ahlinya tidak berlaku. Parti itu gagal untuk menarik sokongan termasuk dari kalangan muda yang berfahaman moden dalam beragama. Mungkin untuk tarik penyokong Pas yang sudah tepu dengan idealisme agama tajaan Pas, sukar, tetapi Amanah ada peluang untuk menambah keahliannya dengan mereka tidak berparti. Tetapi itu juga tidak berlaku. 

Tidak perlu disenaraikan seribu kelemahan parti berkenaan. Tetapi apa yang patut parti itu lihat dan memikirkan nasib dan masa depannya. Jika tidak segera bertindak ia akan lenyap begitu sahaja seperti parti-parti lain yang pada mulanya gah tetapi kemudian ghuyup, contohnya Berjasa, Semangat 46 ataupun lebih lama Parti Negara.

Mungkin apa diperkatakan ini tidak disenangi tetapi anggap dan terimalah ini sebagai ubat dan penawar, sifatnya pahit menjadam, tetapi ia adalah penawar terbaik. Jika berani dan sanggup telah insya-Allah ia boleh menyebuhkan penyakit. Penggabungan dengan Keadilan atau mana-mana parti dikira sebagai jalan keluar terbaik buat Amanah. [wm.kl.8:05 pm 01/12/2021]


No comments: