Showing posts with label Serangan peniaga - Ustaz Mat. Show all posts
Showing posts with label Serangan peniaga - Ustaz Mat. Show all posts

Monday, December 14, 2009

Susupan Tengah Malam

Betulkah Ustaz Mat Bodohkan Peniaga?

SEBENARNYA saya tidak suka masuk campur dengan apa yang ditulis oleh bloger lain apa lagi kalau perkara itu sensitif. Sebab itu saya jarang membaca blog orang tertentu kerana tidak mahu mengetahui apa yang ditulis dan dikarainya hatta mengenai saya.

Tetapi kerana beriya benar seorang penjenguk blog saya dari Kelantan meminta saya membuka blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kicdefella), saya tidak dapat mengelak untuk tidak membukanya dan menghayati catatan terbaru Tuan Syed itu.

Saya baca posting Syed Azidi dibawah tajuk "Dari Bazar Tok Guru Jadi Busut Almenantunya" yang terbaru. (Nampaknya Syed Azidi terus menyerang Ariffhami!) Sewaktu membaca intro catatan Syed Azidi ini baru saya faham kenapa penjenguk berkenaan meminta saya membaca dan menganalisa posting terbaru Syed Azidi itu.

Mudah saja, intro tulisan itu memberi gambaran sikap Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaacob (Ustaz Mat) sebagai kasar, tidak bertatasusila dan menghina tetamunya. Mesej itulah yang penjenguk berkenaan minta saya mengulasnya.

Intro tulisan itu pada pandangan saya adalah sesuatu yang tidak kena dan ada motif yang tersirat di sebaliknya. Ia sungguh mengejutkan dan sungguh tidak munasbah sekali. Rasanya bukan saja saya, pembaca lain juga mengenali siapa dia Ustaz Mat tidak percaya dengan apa yang ditulis Syed Azidi itu.

Menurut Syed Azidi, Ustaz Mat telah mengeluarkan kata-kata bodoh kepada para peniaga yang menjadi tetamu tidak diundang yang datang (menyerbu) ke pejabat Timbalan Menteri Besar berkenaan.

“Kamu bodoh...” begitulah gambaran yang diberikan Syed Azidi. Kononnya Ustaz Mat mengatakan bodoh dan enggan bermesyuarat dengan tetamu yang terdiri dari para peniaga itu.

Petikan sebahagian intro tulisan Syed Azidid:

“Dato’ Ahmad Yakob telah diamanahkan oleh mesyuarat exco untuk bertemu dengan pihak berkenaan. Mesyuarat bermula dengan langkah kiri apabila Dato’ Ahmad menafikan ucapan terimakasih wakil peniaga Pasar Lama MPKB-BRI.

“Kami ucap terima kasih kerana Dato’ TMB sudi berjumpa kami….” Kata wakil peniaga itu.
“Bukan saya yang nak jumpa, kamu yang nak jumpa saya….” jawab Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Bermula dari situ suasana mesyuarat beransur tegang sehingga setelah beberapa ketika sahaja, Dato’ Ahmad Yakob yang terkenal dengan sikap ramah dan berbudi pekerti tinggi itu bangun dan berkata “bodoh!” ke arah wakil peniaga lalu menoleh ke arah pegawainya dan berkata, “cukup sampai sini saja mesyuarat…” lalu melangkah keluar hanya kembali semula ke dalam mesyuarat setelah sebahagian dari ahli mesyuarat meningalkan majlis itu.”

Saya jadi terkulat dan terkejut membaca intro diatas. Minda saya terus menolak apa yang Syed Azidi tuliskan itu. Masakan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas itu tergamak mengeluarkan perkataan demikian. Ustaz Mat seorang Ustaz yang pernah berhadapan dengan ribuan murid, setahu saya tidak pernah ada anak muridnya atau ibubapa khasnya di Sekolah Menengah Rantau Panjang mengadu yang Ustaz ini biadap atau mengatakan anak muridnya sebagai bodoh.

Semua orang Kelantan kenal dengan Ustaz Mat, seorang yang lemah lembut, pendiam dan tidak suka kepada publisiti. Hatta beliau dipermainkan atau diremehkan, beliau tidak peduli dan biarkan saja. Beliau banyak mengalah dan menyerahkan dirinya kepada takdir. Beliau tidak pandai pasang poster untuk mempublisitikan dirinya. Adalah tidak munasabah kalau dengan perangai yang dikenali itu, beliau tergamak mengeluarkan perkataan demikian. MasyaAllah.

Jadi apakah sebenrnya yang berlaku di pejabat beliau tempoh hari? Di sini saya tidak mahu menafikan apa yang didedahkan Syed Azidi berhubung dengan projek Bazar Tok Guru itu. Ia semuanya betul, baik fakta dan urutan ceritanya serta pengeksploitasian terhadapnya demi keuntungan besar.

Memang kerajaan Kelantan menerusi Tok Guru Nik Aziz sendiri berjanji dengan para peniaga. Bahawa peniaga yang akan dipindahkan dari Aked Uda akan diberikan tingkat bawah dengan harga RM40,000 seunit dan bukan tingkat 1 dan 2 dengan harga RM92,000 seunit. Ini janji Tok Guru dan janji ini dirakam dalam bentuk audio visual.

Jadi wajar kalau para peniaga marah kepada kerajaan negeri kerana kerajaan tidak berpegang kepada janji. Bukan saja para peniaga itu sesiapa pun marah kalau janji tidak betul dan pemimpin bersikap munafik, mereka akan dibenci dan dimarah.

Cuma apa yang ingin dijelaskan di sini seperti mana maklumat yang saya tahu, versi yang berlaku di pejabat TMB seperti mana dikarai oleh Syed Azidi itu bukan seperti itu. Laporan Syed Azidi itu kurang tepat. Hal ini Syed Azidi sendiri meraguinya! Saya syorkan agar beliau menghubungi sendiri Ustaz Mat bertanyakan apa yang berlaku sebenarnya. Cara Syed Azidi merakam peristiwa itu seakan sengaja mahu memburukkan Ustaz Mat?

Sebenarnya yang mengatakan kamu “bodoh”, bukan Ustaz Mat sebaliknya beberapa orang perniaga yang menyerbu ke biliknya. Sebaik perniaga itu masuk ke bilik TMB itu mereka terus memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kerajaan ‘penipu’ dan ‘bodoh’ berhubung mungkir janji mengenai pembahagian lot bazar berkenaan. Yang yang dimaksudkan peniaga itu ialah bukan kepada Ustaz Mat tetapi kepada seluruh pemimpin Pas Kelantan.

Memang perniaga itu berhak marah dan memaki hamun demikian kerana mereka merasa kena tipu menerusi projek berkenaan. Itu tidak boleh dinafikan dan para peniaga tidak boleh disalahkan. Tetapi apa yang dikesalkan Ustaz Mat ialah sikap perniaga itu bertindak tanpa hujung pangkal menyebabkan Ustaz Mat merasa kesal dan terkejut.

Cara mereka menyerbu bilik Ustaz Mat itu, memang tidak kena dan bukan cara para peniaga yang berakhlak dan perangai orang Islam. Adat bertamu diketepikan. Gara-gara itulah kalau benar Utsaz Mat terpaksa menghentikan pertemuan yang tidak dirancang itu kerana kurang senang dengan sikap berlebihan itu.

Katanya kehadirian para peniaga itu tidak diketahui langsung oleh Ustaz Mat. Kumpulan itu muncul dengan tiba-tiba. Ustaz Mat mengetahuinya sebaik beliau beredar dari bilik mesyuarat Exco.

Jadi wajar kalau Ustaz Mat tidak mahu berjumpa dengan mereka. Pertama beliau tidak tahu mengetahui bagaimana kedudukan projek berkenaan kerana ianya diuruskan oleh Exco lain. Beliau hanya baru diberikan tanggungjawab oleh mesyuarat Exco untuk menanganinya. Keduanya pertemuan itu tidak dibuat apa-apa temu janji.

Ustaz Mat terpaksa bertanggungjawab untuk menyelesaikan pertikaian projek itu apabila mesyuarat Exco meminta beliau menguruskannya. Mulanya mesyuarat Exco terus meminta Exco yang sebelum ini menguruskan projek berkenaan melengsaikan pertikaian itu. Malangnya Exco berkenaan tidak mahu dan melepaskan tanggungjawab kepada Ustaz Mat. Menjadi amalan Exco berkenaan bila ada sesuatu masalah atau terkapit dia akan melepaskan tanggungjawab kepada orang lain. Sikap tidak bertanggungjawab ini nampaknya berterusan.

Ustaz Mat tidak ada pilihan selain daripada menerima tanggungjawab berkenaan. Sikap diambil oleh Ustaz Mat adalah sikap tanggungjawab bersama. Yang lebih penting lagi mungkin beliau tidak mahu menyusahkan Tok Guru kebetulan pula beliau adalah timbalan menteri besar.

Mesyuarat Exco hari itu bukan membincang masalah itu secara detail, melainkan melakukan pertukaran tanggungjawab saja dari Exco berkenaan kepada Ustaz Mat. Jadi mustahillah kalau tiba-tiba Ustaz Mat boleh terus berjumpa dengan peniaga dan menyelesaikan masalah itu.
Persoalan disini timbul dan boleh dikaji ialah kenapa para perniaga itu menyebu Ustaz Mat?

Siapakah yang memberi tahu bahawa projek berkenaan kini bertukar tangan kepada Ustaz Mat, sedangkan pertukaran tanggungjawab itu hanya baru berlaku. Di sini apa yang dapat diagakkan sudah tentu ada polong yang memberi tahu ataupun mengarahkan para peniaga berkenaan berjumpa dengan Ustaz Mat? Seakan kedatangan peniaga itu sudah dirancang terlebih dahulu. Motif di sini jelas, ianya untuk menyusah dan memburukan batang tubuh Ustaz Mat.

Dalam konteks ini para peniaga berkenaan tidak boleh disalahkan. Mereka melakukan itu kerana mereka diberi green light. Para peniaga juga tidak tahu yang Ustaz Mat tidak tahu menahu dengan apa yang berlaku – projek berkenaan. Yang perlu dipersalah dan dimaki di sini ialah si polong yang meminta para peniaga berjumpa dengan Ustaz Mat.

Apa yang penting di sini para peniaga seharusnya memahami isu ini sebenarnya. Mereka tidak boleh marahkan Ustaz Mat tanpa usul periksa. Dan saya yakin Ustaz Mat sedia untuk berunding dengan para peniaga itu selagi ianya dijalankan secara beradab. Lagipun menjadi polisi dan dasar kerajaan berunding dengan sesiapa saja untuk kepentingan rakyat.

Kesimpulanya yang berlaku di bilik Ustaz Mat tempoh hari yang mengatakan Ustaz Mat mengatakan peniaga “bodoh” seperti mana dikarai oleh Syed Azizi itu adalah tidak benar dan mungkin ia juga mempunyai motif yang Syed Azidi sendiri yang mengetahuinya. Apakah Syed Azidi masih terus ditunggang, sama-samalah kita menganalisa apa yang berlaku dan carilah jawaban sendiri. Yang jelasnya sedikit sebanyak dengan catatan (intro) tulisan itu Syed Azidi berjaya menimbulkan persepsi buruk mengenai Ustaz Mat. [wm.kl. 1:05 am 14/12/09]