PANDANGAN
Adalah tepat tindakan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar yang mengundang naib presiden PKR, N Surendran untuk sama-sama mengikuti pasukan polis ketika sedang melakukan pembenterasan jenayah. Dengan cara itu Surendran dapat mengetahui akan kesukaran ataupun bagaimana kritikalnya polis dalam berdepan dengan penjenayah. Selepas sama-sama mengikuti operasi seperti itu Surendran boleh buat penilaian sendiri dan memberi tahu kepada rakyat kemudiannya.
Di sini kita bukan bermaksud hendak membela polis, tetapi memahami akan perasaan polis yang berada di barisan depan, berdepan dengan penjenayah yang juga memiliki senjata. Walaupun mereka dilengkapi senjata canggih dan merupakan penembak tepat, tetapi mereka juga manusia yang ada perasaan berani dan kecut. Mereka juga bukan sebatang kara tetapi ada anak, isteri dan ibubapa yang perlu dijagai. Tentu mereka juga ada perasaan bimbang dan takut dan rasa keselamatan diri perlu diutamakan dulu.
Adalah tidak adil kalau menuduh kesemua pasukan polis tidak cekap, tidak amanah ataupun main-main dengan penjenayah dan usaha membenteraskan jenayah. Bukan tidak boleh mempertikaikan tindakan polis tetapi kena juga memahami benar-benar keadaannya.