Sunday, January 18, 2009

Celoteh Murai 20

Tak Habis-Habis Kakak Tua Mengatakan Belatuk

SI KAKAK TUA pun jadi gatal mulut lalu berkokok mengulas mengenai kekalahan bekas partinya di Kuala Terengganu semalam. Kata kakak tua kekalahan itu disebabkan pengundi benci kepada pemimpin bekas partinya itu. Pemimpin parti itu meletakkan calon yang orang tidak disukai orang ramai, begitulah tafsirnya.

Menurut kakak tua orang juga tidak suka Pas, tetapi kerana tidak ada pilihan lain maka mereka terpaksa pilih Pas. Ehwah.... Tidak habis-habis kakak tua nak mengencil dan mengata si burung belatuk. Baginya semua belatuk buat tidak betul dan busuk belaka melainkan dia saja yang syumul.

Penghinaan kepada Pas juga tidak pernah habis. Dari dulu hingga sekarang. Apalah dengki sangat kepada Pas! Padahal Pas pernah memberi ruang kepada kakak tua naik pentas Pas tahun 1969 bila mana bekas partinya pecat dia selepas dia malukan Tunku Abdul Rahman. Dia lupa barang kali, dan perangainya ini ditiru pula oleh Saleintia di Kelantan orang beri madu dibalas dengan tuba.

Kakak tua memberi fatwa kalau nak kembalikan sokongan rakyat kepada BN, BN kena singkir pemimpin yang tidak boleh diterima rakyat dan rasuah. Murai sokong fatwa ini kerana itulah juga menjadi pegangan Pas dan Pakatan Rakyat. Jujurkah fatwa kakak tua itu?
Cuma apa yang Murai hairan dan ingin tanya kepada kakak tua, saki baki pemimpin yang ada dalam kerajaan BN hari ini siapa yang lantik dan pilihnya? Bukankah sebahagian mereka itu wujud dan menjadi menteri atau pemimpin semasa kakak tua menjadi presiden parti itu selama 22 tahun?

Kalau begitu ini bermakna kakak tualah bertanggungjawab membawa pemimpin korup, salah guna kuasa dan terlibat dengan penyelewengan, skandal dan yang rendah moral duduk dalam kerajaan yang diwariskan kepada belatuk itu.

Bukankah sudah ada senarai penuh pemimpin BN yang korup dan yang perangai buruk? Kalau kakak tua sudah lupa, biar Murai sebut beberapa nama orang yang wujud sejak zaman kakak tua menjadi raja dulu. Pertama, Mohd Najib Razak, kedua, Samy Vellu, ketiga Nazri Aziz, keempat Rahim Tamby Chik, kelima, Muhammad Mohd Taib, keenam, Hishamuddin Hussein, ketujuh Rafidah Aziz. Nama-nama ini wujud semasa kakak tua menjadi ketua lagi.

Bahkan di zaman kakak tua jadi ketua dulu pernah ada seorang menteri yang sudah disahkan untuk didakwa atas kesalahan rasuah meluluskan saham untuk anak beranak tetapi ditangguhkan. Ada juga menteri yang rumahnya disita oleh BPR. Siapakah yang menangguhkan pendakwaan itu, bukankah kakak tua sendiri?

Nah kalau begitu yang salahnya dan bertanggungjawab melantik pemimpin busuk yang merosakan BN seperti mana kata kakak tua katakan itu sehingga orang ramai sudah menolak BN ialah kakak tua sendiri.

Kena ingat belatuk hanya baru lima tahun jadi ketua. Apakah dalam tempoh itu jumlah menteri yang rasuah, melakukan penyelwengan lebih banyak daripada zaman kakak tua memerintah? Cuba hisablah sendiri.

Murai tak nak sebut dan senarai kesalahan lain yang kakak tua lakukan, nanti orang kata Murai busuk hati pula. Tetapi Murai nak minta kakak tua kalau nak mengatakan orang pandanglah kepada diri sendiri. Kalau punggung kita 'bercepuah' (terpalit) dengan tahi jangan mengatakan orang lain melepas kentut pula. Tengok tengoklah dulu jangan tersalah buat nanti orang kata kita nyanyuk marahkan orang pula.

Murai: Burung kakak tua hinggap di jendala, kalau sudah tua semuanya akan lupa! Cip..cip...cippp!


Nada Ahad

Tafsir Lain Keputusan Pilihanraya Kuala Terengganu

KEPUTUSAN pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu yang diumumkan jam 9:19 minit malam semalam memberi sekurang-kurangnya tiga natijah dan induksi yang boleh diukurkan oleh tiga kumpulan atau entiti.

Tiga kumpulan dimaksudkan itu ialah dua parti terlibat secara langsung dalam pertandingan itu, Pas dan BN manakala satu lagi kumpulan atau entiti ialah Pakatan Rakyat.

Bagi Pas kemenangan calonnya, Mohd Abdul Wahad Endut dengan mendapat 23,883 undi memberi erti dan makna besar kepada parti itu. Kemenangan itu mengorbarkan semula semangat Pas Terengganu untuk berhadapan dengan BN di masa akan datang. Kemenangan itu juga menunjukkan Pas masih berpengaruh di Terengganu dan sudah pasti kemenangan itu menjadi titik penting bagi Pas memperkejapkan semula panji-panjinya di negeri berkenaan.

Kemenangan itu juga menunjukkan kepimpinan Pas Terengganu yang cuba diperlekeh dan dipersalahkan kerana gagal mempertahankan kerajaan Terengganu 2004 masih mampu menguruskan parti dan tahu bagaimana mencipta kemenangan. Apakah kemenangan itu akan menghakiskan prejudis kononnya kejatuhan kerajaan Pas dulu kerana mereka, sebaliknya kerana main jahat melampui Umno dan BN untuk menawan negeri berkenaan? Kalau dilihat secara fikiran teduh begitulah.

Jumlah undi yang diperolehi Abdul Wahid sebanyak 32,883 dan meningkat sebanyak 949 undi berbanding undi diraih oleh Mohammad Sabu pada pilihan raya umum 2008 menunjukkan pengundi Pas tidak lari dan membenci parti mereka. Dalam pilihan raya umum ke -12 lalu Mohamad Sabu mendapat 31,934.

Kemenangan itu memberi petanda ahli dan penyokong Pas Terengganu masih setia dengan parti asal mereka. Kekalahan dan kejatuhan kerajaan 2004 dulu bukan satu perkara menyebabkan mereka lemah, berpaling tadah dan akan mencemuh parti sendiri!

Kesanggupan mereka untuk terus bersama Pas menunjukkan mereka tidak terpesona dengan janji-janji kebendaan yang dibisikkan Umno dan mereka sudah arif ianya adalah permainan dan satu cheap-sale dalam politik. Keteguhan ahli Pas memilih bulan purnama itu memberi gambaran bahawa tawaran wang, rasuah politik tidak mengugah mereka.

Adalah wajar kalau Pesuruhajaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali, serta timbalan-timbalan pesuruhjayanya, Datuk Harun Taib, Datuk Wan Mutalib Embong dan Datuk Abu Bakar Chik serta penasihatnya yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merasakan mereka masih diperlukan untuk mengerakan dan mengemudikan Pas di negeri penyu itu. Kemenangan itu adalah anugerah atas kesabaran dan keulitan jiwa jihad mereka.

Kemenangan itu menjadi penawar dan pembelaan ke atas mereka serta menempis tohmohan kononnya mereka sudah tidak popular dan ditolak generasi muda. Kononnya pendekatan mereka lapok dan tidak berkembang juga ternafi sama sekali. Justeru mereka juga berhak untuk menuntut kemenangan itu adalah kerana saham mereka begitu tinggi.

Kenapa dikatakan begitu kerana boleh dikatakan 90 peratus pilihan raya itu digerakan oleh jentera pilihan raya Pas negeri Terengganu sendiri yang dikepalai mereka. Pas Terengganu pada awalnya seakan bergerak bersendirian seperti anak yatim tanpa ada komitmen menonjol dan serius dari beberapa pemimpin peringkat nasional.

Sesetengah pemimpin lebih suka menjadi pemerhati saja dan menanti untuk menepuk tangan di malam pengumuman! Hanya di hari akhir selepas cula menampakkan bulan purnama semakin terang barulah ada pemimpin Pas peringkat nasional turun mencemar duli dan menampilkan diri bergambar di lokasi-lokasi popular di Kuala Terengganu untuk diposting oleh blog-blog peribadi.

Dalam hal ini Pas Terengganu kena berterima kasih kepada sokongan padu dari rakan sejiran mereka Kelantan khususnya. Khabarnya Pas Kelantan telah menggerakkan seluruh tenaga mereka bagi menjamin kemenangan di Terengganu apabila mereka menyedari permimpin mereka di peringkat nasional dikatakan hanya melakukan touch and go sahaja di Kuala Terengganu.

Manakala bagi Umno atau BN pula kekalahan itu sesuatu yang amat memalukan mereka kerana kerusi Kuala Terengganu adalah kerusi miliknya. Majoriti kemenangan Razali Ismail dulu bukan sedikit iaitu, 1,933 undi. Kegagalan itu memberi petunjuk kepada Najib yang dilihat pilihan raya itu ujian percubaan kepadanya yang akan mengambil alih kepimpinan Umno sebulan setengah lagi.

Ramai orang menjadikan pilihan raya kecil itu untuk menguji populariti dan keupayaan Najib yang akan mengambil alih kepimpinan Umno daripada Abdullah Ahmad Badawi Mac depan. Pilihan raya itu sebagai ujian minda umum apakah mereka bingkas melihat Najib atau tidak. Apabila BN kalah ternyata pengundi di Kuala Terengganu tidak bingkas dan menunjukkan gahirah menanti Najib naik takhta. Ini berlaku terutama dari kalangan pengundi muda seakan tidak mempeduli atau tertarik dengan peralihan kuasa dalam Umno ketika ini.

Strategi Najib mengungkitkan sejarah dan nostalgia bapaknya di Kuala Terengganu ternyata tidak mengusik ilusi rakyat Terengganu. Mungkin mereka sudah sedar zaman ini bukan zaman berilusi dan bernostalgia tetapi zaman melihat kepada realiti, kemampuan dan wibawa seseorang yang bakal menjadi pemimpin.

Kenangan terhadap jasa-jasa Tun Razak Hussein atau membuka semula jejak Tun Razak yang pernah terlekat di Terengganu kira-kira 50 tahun lalu mungkin terkambus dan tertimbus dengan pelbagai penyakit dan dimoraliskan oleh pelbagai skandal dan penyelewengan yang dikaitkan terhadap Najib. Nostalgia itu juga mungkin dinodai sama oleh isterinya, Rosmah Mansor yang dikatakan menjaja kepala tidak bertudungnya di Kuala Terengganu!

Kekalahan itu tidak boleh diletakan pada masalah peribadi calon Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang dijajakan sebagai sombong, eletis dan tidak mesra alam. Betapa buruk calon tetapi kalau parti dapat memberi keyakinan dan pemimpin tertingginya dapat membuktikan keperibadian tinggi pengundi tetap akan memilih parti. Sebab penekanan ahli sesebuah parti ialah kepada perjuangan bukan peribadi calon. Mungkin isu peribadi tidak sampai lima peratus yang menyumbangkan kekalahan BN itu.

Sementara satu pihak lagi yang turut dinilai dengan keputusan pilihan raya itu ialah Pakatan Rakyat, yang dibentuk oleh gabungan Pas bersama PKR dan DAP. Secara tidak langsung kemenangan calon Pas itu memberi cerminan Pakatan Rakyat lebih menyakinkan orang ramai berbanding dengan kerajaan BN. Masa ini rakyat sedang menilai kebaikan dan keburukan serta tawaran-tawaran yang dibuat oleh kerajaan BN dan Pakatan Rakyat.

Apabila pilihan raya itu memberi kemenangan kepada pihak Pakatan Rakyat ini menjelaskan tawaran, pendekatan dan politik baru yang dikemukakan Anwar Ibrahim menerusi pakatan itu menarik perhatian umum. Atau setidak-tidaknya pengundi Pas terus setia menanti untuk melihat tawaran dibuat pakatan berkenaan tanpa menganjakkan sokongan mereka.

Sehubungan itu adalah elok bagi Pakatan Rakyat menjadikan kemenangan itu sebagai pengobaran semula semangat pakatan berkenaan untuk menghadapi pilihan umum ke 13 akan datang. Mungkin kejayaan di Kuala Terengganu itu boleh dijadikan ‘perbai'ah’ baru kalangan Pakatan Rakyat untuk meneruskan semangat asal menumbangkan BN.

Kepada Pas pula kemenangan di Kuala Terengganu itu elok kalau dijadikan
Sempadan untuk membuka kitab baru dan menutup kitab lama dalam membuat penilaian ke atas Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar Ibrahim. Kitab baru itu hendaklah mengemukakan pandangan dan keyakinan baru ke atas Pakatan Rakyat. Kitab lama yang mengandungi harapan kepada Umno untuk membela agama dan bangsa mungkin tidak perlu dibaca lain kerana Umno sendiri tidak menunjukkan keikhlasan mereka.

Seperkara lagi kena diingat sudah pasti peristiwa 17 Januari itu Umno akan menjadikan satu iktibar dan pengajaran penting buatnya. Tidak mustahil mereka akan bangkit semula kalau kesilapan dan kelemahan di Kuala Terengganu itu dapat diperbetulkan dalam masa setahun dua ini. [6:30 am 18/01/09]

Sebelum Tidur

Ulasan Awal
Mencari Sebab Kekalahan Umno

BN ada sebab dan alasan sendiri kenapa mereka kalah walaupun telah bekerja kuat untuk mempertahankan kerusi Kuala Terengganu. Bukan sedikit wang yang dileburkan di sepanjang tempoh kempen selama 10 hari itu. Nampak sangat BN menghabiskan wang begitu banyak termasuk kepada pihak yang tidak sepatutnya dihulurkan turut sama terhulur!

Betapa tidak wartawan yang menggunakan kemudahan di Pusat Media disediakan Jabatan Penerangan dan pejabat MB Terengganu pun turut sama dihulurkan wang. Saya kurang pastikan apakah wartawan Melayu yang bergelewatan di Pusat Media itu turut menerima wang yang dikatakan dihulur dalam sampul oleh pihak BN berjumlah RM300 itu. Yang jelasnya hanya wartawan Cina saja yang buat laporan polis kononnya mereka di rasuah.

Biasanya bila kalah bermacam-macam alasan yang dicari. Yang pastinya Umno akan salah menyalah antara sama lain. Semua tidak mahu mengakui kalau parti sudah kalah. Begitulah lumrahnya manusia amat liat untuk mengakui kesilapan.

Untuk malam ini misalnya seorang pemimpin Umno Kelantan telah mendedahkan kekalahan itu disebabkan sikap Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein yang disifatkan bertindak nak jadi pelanduk yang hendak meniru gajah berak besar. Hishamuddin katanya cuba nak berak atas pusu kemudian bagi tahi tahi dia besar.

Katanya BN kalah pada malam akhir bila mana projek Hishamudin tidak menjadi. Malam terakhir itu Hishamuddin memberi tahu sepupunya Mohd Najib Razak dia akan kumpul 10,000 pemuda Umno untuk keluar mengundi. Dakwanya 10,000 pemuda itu semuanya akan mengundi Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Malangnya malam semalam hanya 2,000 sahaja pemuda yang keluar yang lain tidak menunjukkan muka atau mungkin juga angka 10,000 iu omong kosong saja. Pemuda yang keluar diberikan RM100 seorang sebagai upah mengundi BN. Manakala yang lain pula tidak diberikan wang. Mereka yang tidak dapat wang memboikot pilihan raya itu.

Natijahnya projek Hishamuddin itu memakan diri sendiri bila mana hanya 2,000 sahaja pemuda yang keluar mengundi manakala selebihnya tidak keluar mengundi. Menurut pemimpin Umno Kelantan yang meninggalkan Kuala Terengganu sebelum pukul 5:00 petang lagi, sebab itulah saluran pengundi muda yang akan mengundi Umno tidak keluar mengundi.

Selain daripada itu pemimpin berkenaan juga menyalahkan sikap Wan Ahmad Farid. Katanya Wan Ahmad Farid tidak makan nasihat, masih terus dengan perangai sombong dan eletisnya.

Menurutnya Wan Ahmad Farid sudah diajar supaya bersikap merendah diri, hemah dengan orang kalau perlu pakai kain pelikat bila berjumpa pengundi, beliau kena berlakun. Tetapi nasihat itu tidak didengari langsung.

Bagaimana pun menurut pemimpin Umno itu bagus juga Wan Ahmad Farid kalah untuk menginsafkan Najib Razak yang begitu konfiden BN akan menang. Hari ini selepas kalah baru Najib reti politik dan selepas ini dia tidak akan merasa 'manggak' (action) sangat. Setidak-tidaknya pilihan nraya itu turut memberi pengajaran kepada Najib.

Apakah ada sebotaj dari kalangan Umno terhadap Wan Ahmad Farid?, tanya saya. Pemimpin itu hanya ketawa sambil berfikir demo fikirlah sendiri. [d' kota kl 12:30 t/malam 18/01/09]

Saturday, January 17, 2009

Dari Kuala Ke Kuala 15

Kerusi Kuala Terengganu Berjaya Dirampas Pas

MUKTAMAD Baru sekejap tadi Penolong Pengurus Pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu telah mengumumkan secara rasmi Mohd Abdul Wahid Endut, 52 telah dipilih sebagai ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru. Mohd Abdul Wahid mendapat 32,883 undi menewaskan Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang memperolehi 30,252 undi dan calon bebas Azaharuddin Mamat mendapat 193 undi.

Abdul Wahid menang dengan majoriti besar dengan 2,631 undi. Peratus keluar mengundi ialah 79.09% manakalan undi ditolak 665 undi.

Tahniah diucapkan kepada Abdul Wahid! [9:30 malam]

SUDAH pasti tetapi belum rasmi Pas menang dengan majoriti lebih 2,000 undi. [9:09 malam] DARI pusat pengiraan undi bebas menunjukkan Pas hampir pasti memenangi pilihan raya kecil Kuala Terengganu dengan majoriti seperti diramalkan sebelum ini sekitar 1,000 undi sahaja. Sehingga ini pusat berkenaan telah mengumpul maklumat (mengira) di hampir semua peti-peti undi.

Hanya kurang 10 peti undi tersisa yang belum dihitung. Kalau pun peti undi itu berpihak kepada BN dan kedudukan ini tidak mengubah nasib BN. Paling-paling yang mungkin dilakukan BN ialah dengan mengurangkan majoriti Pas pada tahap di bawah 500 undi. [8:50 malam]

Dari Kuala Ke Kuala 14

Jika Sasaran Tepat, Pas Mungkin Menang?

(kemaskini) PENGIRAAN undi masih berlangsung dan semakin rancak. Peti-peti undi dari pusat penggiraan undi dari ke empat-empat DUN terus di bawa masuk ke pusat penjumlahan undi di stadium negeri.

Dari 44 peti undi yang sudah dijumlahkan calon BN, Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului calon Pas, Abdul Wahid Endut dengan kelebihan kira-kira 670 undi. Wan Farid mendapat 7,902 undi manakala Abdul Wahid mendapat 7,235 undi.

Setakat ini calon bebas Azaharuddin Mamat hanya mendapat 44 undi.
Masih ada kira-kira 100 peti undi yang masih belum dikira. Bersambung.... [7:50 malam]

JIKA indikator awal yang diletakkan Pas sekiranya peratus mengundi rendah sekitar 80 peratus dan tidak melebihi 85 peratus ini bermakna kerusi P36 Kuala Terengganu kemungkinan akan ditawan Pas kerana peratus keluar mengundi selepas pusat pengundian ditutup sekejap tadi disekitar 80 peratus saja.

Dari sumber yang belum disahkan peratus keluar mengundi sekitar 80 peratus dan tidak melebihi 85 peratus.

Pas menyatakan keyakinan mereka kalau peratus keluar mengundi rendah kemenangan akan berpihak kepada mereka. Sebaliknya kalau peratus tinggi apa lagi menepati sasaran yang diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu 90 peratus Pas merasakan harapannya untuk menang tipis.

Dengan peratusan yang tidak rasmi itu Pas yakin menang dengan majoriti sekitar 1,000 undi sahaja. Keputusan tidak rasmi dari bilik Gerakan kedua parti dijangka akan diketahui sekitar jam 7:30 malam. Sementara itu menurut seorang jurucakap bilik Gerakan Pas menguasai 80 peratus undi Cina di DUN Bandar. [wm.kl. 5:20 pm 17/01/09]

Dari Kuala Ke Kuala 13

LAGI gambar di sekitar hari pengundian di Kuala Terengganu dikirimkan jurugambar Siasah, Zamzarina. Sementara itu laporan terbaru diterima bagi peti undi di Sekolah Zainal Abidin yang mempunyai 2,149 pemilih dalam DUN Ladang Pas menguasai suasana di mana kira-kira 60 peratus pengundian sudah berlangsung. Pengundian semakin rancak.

Manakala di peti undi Bandar bersempadanan keadaan digambarkan 50-50.
[wm.kl 1:40 pm 17/01/09]


Naib Presiden Pas, Husam Musa turut meninjuan ke beberapa pusat
pengundian. Kelihatan beliau sedang bertanya khabar perayu undi BN.
Ke mana Husam pergi beliau dikerumuni. Kehadiran
ini menafikan kononnya beliau tidak aktif di Kuala Terengganu.
Perayu undi kalangan muda dari BN juga menerima
kehadiran Husam.


Perayu undi wanita BN juga turut teruja dengan
keramahan Husam mendekati mereka.

Puterin dan serikandi Pas turut merayu undi
untuk calon Pas, Abdul Wahid Endut.

Dari Kuala Ke Kuala 12

Pengundian Berjalan Penuh Ceria

PROSES pengundian pilihan raya kecil P36 berjalan lancar dan penuh ceria. Sehingga jam 12:00 tengah hari ini sebanyak 42 peratus pengundi telah keluar mengundi di mana kebanyakannya golongan tua. Bilangan pengundian muda agak berkurangan dan dijangka mereka akan keluar mengundi di sebelah petang.

Walaupun kedua pihak berkerja ke saat-saat akhir untuk memastikan kemenangan calon masing-masing, namun tidak ada kejadian buruk dilaporkan berlaku misalnya perbalahan sesama penyokong dan perayu undi.

Malahan menurut laporan dan penjelasan Pengerusi SPR, Abdul Aziz Yusuf ada kalanya perayu undi kedua pihak duduk berdekatan tanpa apa-apa masalah. Beliau menyifatkan suasana pilihan rayas itu bagaikan sebuah pesta.

Sejurus tadi saya menerima kiriman gambar suasana pengundian di satu pusat pengundian yang melibatkan calon Pas, Abul Wahid, isteri dan anak-anaknya mengundi daripada Zamzarina yang berada dilokasi.

Dalam pada itu Pengerusi SPR dalam kenyataan disiarkan secara langsung diberita Mandrain RTM1 menafikan kemungkinan wujud pengundi hantu dan beliau memberi jaminan tidak akan ada pengundi hantu.

Katanya sekiranya ada pengundi hantu beliau meminta agar dilaporkan segera kepada pihak SPR. "Saya tegaskan berkali-kali tidak ada pengundi hantu, dan kalau ada laporkan kepada SPR," ujarnya dalam sidang akhbar sekejap tadi. [wm.kl 12:00 t/hari 17/01/09]

Abdul Wahid terus memberi semangat kepada perayu
undi kalangan muslimat.
Sebahagian perayu undi muslimat Pas.

Bendahari Agung Pas, Dr Mohd Hatt Ramli turut merayu
undi untuk calon Pas.

Isteri Abdul Wahid dan dua anak perempuannya sedang berjalan
ke pusat pembuangan undi.
Lawan - perayu undi untuk calon BN turut berkerja keras.

Isu Tanah Perak

Tanah: Nazrin, Nizar, Umno dan Gerakan

PANDANGAN Timbalan Ketua Wanita Gerakan, Ng Siew Lai mungkin juga benar kita tidak perlu mengungkit apa yang telah berlaku dan menjadi bungkusan sejarah. Biarlah sejarah berlalu dan dijadikan iktibar di masa akan datang. Sejarah tidak boleh dipinda tetapi sejarah baru boleh dicipta.

Siew Lai merujuk kepada titiah ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang menimbulkan teguran Raja-Raja Melayu tahun 1950 terhadap rancangan Briggs yang diperkenal oleh Sir Henry Gurney yang memperkenalkan pembukaan tanah baru untuk penempatan 400,000 orang Cina.

Raja Nazri (foto) mengatakan Raja-Raja Melayu menyifatkan pembukaan tanah baru itu sebagai merampas hak orang Melayu yang diusahakan oleh penjajah British.

Rancangan itu telah wujud sejak hampir 60 tahun lalu. Kenapa soal itu ditimbulkan hari ini? Mungkin kesedaran mengenai sejarah itu lewat untuk diungkit dan dikaji semula setelah perjalanan bangsa dan negara telah terlalu jauh berlalu menjadikan ia tidak begitu relevan dan motifnya mudah dicurigai.

Apa yang jelasnya ia timbul semula apabila kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak pimpinan Mohamad Nizar Jamaluddin memberi hak milik kekal tanah kepada 11 orang di tanah rancangan kampung baru di Kuala Ruai, Perak. Itu saja.

Kalau bukan kerana tindak tanduk kerajaan Perak itu mungkin sejarah itu tidak akan diungkit dan generasi selepas merdeka tidak akan mengetahui mengenai rancangan tanah berkenaan. Kenapa selama ini pembukaan atau rancangan tanah itu tidak pernah diungkit oleh mana-mana pihak secara terbuka, baik secara lisan atau dalam mana-mana forum yang diadakan sebelum ini?

Umno sendiri terutamanya Umno Perak tidak pernah menceritakan prihal teguran Raja-Raja Melayu itu baik di zaman Tajul Rosli Ghzali maupun di zaman ayahnya Ghazali Jawi. Umno sendiri pun banyak membelakangkan pandangan dan tidak menghiraukan teguran raja-raja Melayu bahkan parti itu pernah berperang dengan raja-raja Melayu sutu masa dulu. Apakah kita lupa? Siapa yang mengurangkan imuniti Raja-Raja Melayu kalau bukan parti bernama Umno?

Dan apakah pada zaman pemerintahan kerajaan BN, kerajaan Perak tidak pernah memberi hak milik ataupun sejuring tanah kepada orang-orang Cina? Kalau BN tidak melakukan begitu bermakna gambaran kerajaan BN prihatin dan adil kepada semua kaum adalah tidak benar? Salahkah kalau dikatakan bentuk dan sistem pemerintahan khasnya mengenai kuasa ke atas tanah yang diamalkan kerajaan BN di Perak sendiri adalah warisan dari British?

Mungkin disebabkan kelalaian dan kealpaan mendedahkan mengenai teguran Raja-raja Melayu kira-kira 60 tahun lalu mengenai tanah rancangan itu yang disifatkan sebagai merampas hak Melayu menyebabkan kerajaan Perak hari ini terlupa atau tidak menyedari langsung mengenai teguran itu menyebabkan mereka mengurniakan hak milik kekal tanah kepada 11 orang penduduk kampung baru di Kuala Ruai itu.

Saya yakin kalau sejarah itu diungkit di sepanjang masa ia boleh menjadikan mana-mana kerajaan atau pihak berkuasa tanah berwaspada dan tidak mudah terlanjur begitu jauh.
Apabila Raja Nazri menyuarakan itu maka ramailah yang tumpang semangkuk untuk melanyak dan mengkritik kerajaan Perak. Ada yang emosi meminta Mohamad Nizar berundur sebagai MB Perak.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) Hilmi Ismail berkata tindakan Mohamad Nizar itu menunjukkan Nizar tidak langsung melindungi hak-hak Melayu. Serentak itu beliau minta agar Nizar letak jawatan.

Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharuddin pula menyifatkan Nizar sebagai buta sejarah dan tindakan itu mengguriskan hati orang Melayu.

Perjuangan Hilmi dan Zainol untuk mengekalkan apa juga hak Melayu perlu disokong. Tetapi sayangnya perjuangan mereka terlewat selama 60 tahun. Mungkin mereka juga terlalu emosional dan tidak berpijak dibumi nyata dan berfikir secara rasional apa yang telah dipersetujui dan menjadi amalan selama ini? Disamping mengecam Nizar mereka juga harus mengecam bekas-bekas MB Perak yang terdahulu yang tidak menggubal kanun tanah yang lebih ketat agar tidak terlepas kepada Cina dan India.

Apakah suara dan emosi mereka berdua itu dipersetujui oleh induk mereka Umno dalam BN? Saya yakin Umno juga menyedari hakikat dan keperluan seperti mana dilakukan oleh MB Perak itu. Seperti mana saya tulis sebelum ini tindakan yang dikatakan menguriskan hati Melayu kerana tindakan itu mengikiskan hak Melayu terpaksa dilakukan kerana politik. Politik tidak pernah berfikir mengenai hal-hal kepentingan diri melainkan untuk mendapatkan kuasa.

Hal yang sama juga berlaku kepada Umno kerana ingin berkuasa mereka telah banyak melakukan rompakan dan perogolan ke atas kepentingan Melayu. Dalam soal ini Umno jangan hanya nampak kuman di seberang laut sedangkan sekelompok gajah liar di hadapan mata nampak langsung tidak nampak. [wm.kl 11:00 am 17/01/09]

Dari Kuala Ke Kuala 11

Kedudukan menjelang tengah malam
Pas Masih Menguasai Keadaan

SITUASI dan kondisi, harapan dan impian BN dan Pas untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu menjelang tengah malam ini masih tidak banyak berubah. Pas masih lagi diramalkan dalam keadaan terbuka untuk menang, manakala BN pula dikatakan masih tertekan. Peluang BN bergantung kepada beberapa perkembangan terakhir yang dijangka berlaku secara drastik pada tengah malam ini dan pagi esok.

BN kini bermati-matian ingin menguasai undi kaum Cina yang sebelum ini kelihatan cenderung dan lebat kepada Pas. Dalam pilihan raya lalu undi Cina lebih 60 peratus jatuh ke dalam peti undi Pas yang meletakkan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu. Apakah peratus itu akan kekal? Selera pengundi Cina dalam pilihan raya lalu, mereka banyak berikan kepada Pas manakala untuk DUN kepada BN.

Satu lagi usaha BN ialah ingin menguasai undi luar berjumlah kira-kira 6,000. BN mensasarkan mereka akan memperolehi lebih 60 peratus undi luar. Para pengundi luar dikatakan mula bergerak masuk ke Kuala Terengganu. Bas atau kenderaan lain kini bersesak menuju ke Kuala Terengganu menyebabkan semua jalan masuk ke Kuala Terengganu jam teruk.

Beberapa orang koresponden yang dihubungi scara udara sekejap tadi mempunyai pendapat berbeza antara satu sama lain dalam memberi pandangan dan ulasan namun secara hepotesisnya memberi gambaran Pas masih positif.

"BN boleh menang sekiranya sesuatu yang ajaib berlaku," begitulah ulas seorang penulis dan pemerhati politik yang pernah aktif dalam Umno. Beliau tidak langsung menerima maklumat atau gambaran yang BN akan boleh menang sejak hari pertama selepas penamaan calon lagi.

Berbeza dengan pengamatan seorang pemerhati yang juga blogger, katanya; "Keadaan sejak 24 jam ini berubah di mana prestasi BN ada sedikit meningkat bila mana wang banyak ditabur."

Menurutnya kuasa wang akan merubah momentum yang ada kerana manusia biasanya lemah dengan wang. Bagaimana pun jelas beliau kalau rakyat Terengganu pandai berpolitik dan sudah merasakan Umno parti yang usang dan lapok mungkin mereka hanya menerima rasuah itu tetapi tidak akan terpengaruh dengan kuasa wang. Pun begitu beliau tidak berani memberi jaminan kerana sikap orang Terengganu berbeza dengan sikap pengundi lain khasnya pengundi Kelantan yang dianggap lebih tegas dan berani.

Ditanya bagaimana peluang Pas, beliau tidak berani mengatakan lebih dari itu hanya menjelaskan peluang keduanya 50 - 50.

Seorang pengawal di bilik gerakan Umno di kawasan kubu Pas di Wakaf Mempelam pula menyatakan sukar untuk BN menang. "Kawasan ini BN langsung tidak dapat masuk, saya duduk di sini pun tidak boleh buat apa-apa," akuinya. Baginya peluang untuk BN menang sangat tipis dan berpendapat hanya kuasa ghaib saja yang boleh menyebabkan BN menang. Ditanya apakah kuasa ghaib itu beliau tidak menjelaskannya maksudnya itu.

Seorang pemimpin Pas dihubungi pula memberi gambaran yang parti berkenana masih dalam keadaan bertahan. "Setakat ini kita bertahan dan harapan menang, insyAllah ada," katanya. beliau bimbang perkembangan esok akan merubah suasana. Menyelami kata-kata itu pemimpin tertinggi Pas itu juga tidak begitu optimis dengan situasi yang berlaku saat ini.

Manakala sorang lagi pemimpin Pas pula enggan bercakap alasan sibuk dan berjanji untuk menelefon semula, tetapi tidak berbuat demikian sampai ke saat ini. Apakah 'kesibukan' itu menggambarkan beliau kini dalam keadaan cemas?

Pandangan dari pejabat MB Ternegganu pula agak berani apabila salah seorang pegawainya berkata; "setakat ini BN kalau menang pun hanya 200 atau 300 undi sahaja." Inilah satu-satu pengakuan atau pun pandangan yang menyatakan BN akan menang manakala kesemua korespoden lain tidak memberi jalan kepada BN.

Wartawan kanan akhbar Inggeris pula hanya menyatakan keadaan masih ok bagi Pas. Beliau yang pada masa dihubungi berada di tengah Pekan (bandar) hanya gelak apabila diberitahu kedudukan BN kini sudah berubah mengatasi Pas. "Iya ke...?" tanya balik sambil ketawa tidak mempercayai.

Manakala seorang pemerhati yang rapat dengan pihak dalaman Umno secara jujur memberi tahu isu peribadi Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang digambarkan sebagai sombong dan elitis sudah berkurang. Isu itu kini seakan memakan diri Pas balik apabila timbul rasa simpati orang kepada Wan Farid.

"Isu ini telah diatasi secara perlahan oleh peranan isterinya yang turun berkempen dan menemui orang ramai menjelajahi dari rumah ke rumah terutamanya di Wakaf Mempelam, kawasan kubu kuat Pas" ceritanya.

Kesimpulan setakat ini apa yang boleh disimpulkan Pas masih lagi diberitakan mendahului BN. Manakala BN pula mengharap beberapa perubahan dan perkembangan hari esok. Paling ditakuti dan dibimbangi Pas ialah mengenai peranan polis. Pas dengan penuh debaran menanti sejauh mana polis bertindak secara profesional untuk mengawal keselamatan ataupun berperanan sebaliknya.

Jika diambil kira dan difahami kehendak Mohd Najib Razak yang BN perlu membayar seberapa banyak (kos) untuk menang, ini bermakna BN akan menggunakan seribu helah dan seribu daya untuk menang kerusi itu kerana jika BN kalah menunjukkan BN sudah ditolak oleh rakyat dan kemenangan Pas itu nanti memberi gambaran bahawa pilihan raya ke - 13 adalah milik Pakatan Rakyat dan Terengganu bakal menjadi milik Pas kembali. [wm.kl. 1:00 t/malam 17/01/09]

Friday, January 16, 2009

Ulasan Isu

Apakah Motif Letak Kepala Babi Dalam Surau

KURANG 24 jam menjelang pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu esok, 17 Junuari masyarakat kampus Universiti Malaya gempar dengan penemuan kepala babi yang diletakkan di surau Akademi Islam dalam kampus universiti berkenaan.

Kejadian itu disedari oleh seorang mahasiswa yang hendak mengerjakan solat Subuh pagi tadi.
Kepala babi itu dibelah dua diletakkan atas bendera Parti Islam SeMalaysia (Pas) dengan tertulis perkataan PAS, Pro-M dan PMI.

Perkataan Pas itu dimaksudkan kepada parti Pas manakala Pro-M kepada golongan yang menamakan mereka Pro-Mahasiswa yang kini sedang bertarung dengan golongan Aspirasi dalam pilihan kampus yang kini sedang berlangsung.

Sementara perkataan PMI itu pula dimaksudkan kepada Persatuan Mahasiswa Islam, universiti berkenaan.

Perbuatan itu sungguh keji dan menunjukkan sikap tidak bertamadun. Ianya tentulah mencabar keimanan dan sensitiviti mahasiswa dan umat Islam seluruhnya kerana babi adalah haiwan jijik dan diharamkan oleh Islam apa lagi ianya diletakkan di atas surau tempat yang dianggap suci.

Persoalannya kini apakah motif perbuatan keji dan mecabar sensititvi umat Islam itu? Jika dilihat kepada perkembangan semasa ia mempunyai motif terntu yang ada kena mengena dengan perkembangan semasa hari ini.

Pertama, ia mungkin bermaksud ingin memperli Pas iaitu parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP hari ini yang turut terjempit dengan isu pembinaan ladang babi di Selangor yang menjadi isu baru-baru ini.

Mungkin tujuan dan motifnya ingin memberi gambaran bahawa Pas juga bersedia menerima projek berkenaan walaupun babi adalah haiwan diharamkan oleh agama Islam.

Kedua, dengan menulis perkataan Pro-M dan PMI itu ia mungkin bermaksud untuk memberi tahu bahawa golongan Pro-M dan PMI bersubahat dengan Pas yang menyokong pembinaan ladang babi bersistem dan canggih itu.

Sekiranya motif-motif ini tepat ini boleh membayangkan pihak mana yang bertanggungjawab terhadap perbuatan yang mengaib dan mencabar keimanan umat Islam itu? Sudah tentu pihak polis mempunyai tafsiran sendiri untuk memburu golongan yang bertanggungjawab perbuatan terkutuk itu.

Menurut laporan pihak polis telah pun mengambil kepala babi berkenaan dan pihak forensik juga dilaporkan telah membuat penyiasatan untuk mendapat kesan jari dan bukti-bukti lain. Memandangkan kejadian itu berlaku dalam kampus ia memudahkan pihak polis untuk memberkas sipelakunya.

Kejadian yang membabitkan subjek yang sama, melempar kepala babi di tempat awam berlaku di Melaka baru-baru ini yang menimbulkan kemarahan umat Islam di sana. Malangnya pihak berkuasa masih belum membuat apa-apa tangkapan dan isu itu masih belum diselesaikan.

Adalah diharap pihak polis akan menyelesaikan segera kes ini. Kejadian itu sekiranya mempunyai motif politik untuk meraih sokongan baik dalam pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu yang akan berlangsung esok atau untuk pilihan raya kampus UM yang dijadual 19 Januari ini ia adalah tidak patut dan perlu dikutuk.

Wajar kalau semua orang mengutuk golongan atau orang yang bertanggungjawab dengan perbuatan itu seperti mana kutukan yang dikenakan ke atas Yahudi yang membunuh rakyat Palestin hari ini. Sesungguhnya si pelaku itu sama nilainya dengan Yahudi! [wm.kl 3:30 pm 16/01/09]