Sunday, January 18, 2009

Nada Ahad

Tafsir Lain Keputusan Pilihanraya Kuala Terengganu

KEPUTUSAN pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu yang diumumkan jam 9:19 minit malam semalam memberi sekurang-kurangnya tiga natijah dan induksi yang boleh diukurkan oleh tiga kumpulan atau entiti.

Tiga kumpulan dimaksudkan itu ialah dua parti terlibat secara langsung dalam pertandingan itu, Pas dan BN manakala satu lagi kumpulan atau entiti ialah Pakatan Rakyat.

Bagi Pas kemenangan calonnya, Mohd Abdul Wahad Endut dengan mendapat 23,883 undi memberi erti dan makna besar kepada parti itu. Kemenangan itu mengorbarkan semula semangat Pas Terengganu untuk berhadapan dengan BN di masa akan datang. Kemenangan itu juga menunjukkan Pas masih berpengaruh di Terengganu dan sudah pasti kemenangan itu menjadi titik penting bagi Pas memperkejapkan semula panji-panjinya di negeri berkenaan.

Kemenangan itu juga menunjukkan kepimpinan Pas Terengganu yang cuba diperlekeh dan dipersalahkan kerana gagal mempertahankan kerajaan Terengganu 2004 masih mampu menguruskan parti dan tahu bagaimana mencipta kemenangan. Apakah kemenangan itu akan menghakiskan prejudis kononnya kejatuhan kerajaan Pas dulu kerana mereka, sebaliknya kerana main jahat melampui Umno dan BN untuk menawan negeri berkenaan? Kalau dilihat secara fikiran teduh begitulah.

Jumlah undi yang diperolehi Abdul Wahid sebanyak 32,883 dan meningkat sebanyak 949 undi berbanding undi diraih oleh Mohammad Sabu pada pilihan raya umum 2008 menunjukkan pengundi Pas tidak lari dan membenci parti mereka. Dalam pilihan raya umum ke -12 lalu Mohamad Sabu mendapat 31,934.

Kemenangan itu memberi petanda ahli dan penyokong Pas Terengganu masih setia dengan parti asal mereka. Kekalahan dan kejatuhan kerajaan 2004 dulu bukan satu perkara menyebabkan mereka lemah, berpaling tadah dan akan mencemuh parti sendiri!

Kesanggupan mereka untuk terus bersama Pas menunjukkan mereka tidak terpesona dengan janji-janji kebendaan yang dibisikkan Umno dan mereka sudah arif ianya adalah permainan dan satu cheap-sale dalam politik. Keteguhan ahli Pas memilih bulan purnama itu memberi gambaran bahawa tawaran wang, rasuah politik tidak mengugah mereka.

Adalah wajar kalau Pesuruhajaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali, serta timbalan-timbalan pesuruhjayanya, Datuk Harun Taib, Datuk Wan Mutalib Embong dan Datuk Abu Bakar Chik serta penasihatnya yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merasakan mereka masih diperlukan untuk mengerakan dan mengemudikan Pas di negeri penyu itu. Kemenangan itu adalah anugerah atas kesabaran dan keulitan jiwa jihad mereka.

Kemenangan itu menjadi penawar dan pembelaan ke atas mereka serta menempis tohmohan kononnya mereka sudah tidak popular dan ditolak generasi muda. Kononnya pendekatan mereka lapok dan tidak berkembang juga ternafi sama sekali. Justeru mereka juga berhak untuk menuntut kemenangan itu adalah kerana saham mereka begitu tinggi.

Kenapa dikatakan begitu kerana boleh dikatakan 90 peratus pilihan raya itu digerakan oleh jentera pilihan raya Pas negeri Terengganu sendiri yang dikepalai mereka. Pas Terengganu pada awalnya seakan bergerak bersendirian seperti anak yatim tanpa ada komitmen menonjol dan serius dari beberapa pemimpin peringkat nasional.

Sesetengah pemimpin lebih suka menjadi pemerhati saja dan menanti untuk menepuk tangan di malam pengumuman! Hanya di hari akhir selepas cula menampakkan bulan purnama semakin terang barulah ada pemimpin Pas peringkat nasional turun mencemar duli dan menampilkan diri bergambar di lokasi-lokasi popular di Kuala Terengganu untuk diposting oleh blog-blog peribadi.

Dalam hal ini Pas Terengganu kena berterima kasih kepada sokongan padu dari rakan sejiran mereka Kelantan khususnya. Khabarnya Pas Kelantan telah menggerakkan seluruh tenaga mereka bagi menjamin kemenangan di Terengganu apabila mereka menyedari permimpin mereka di peringkat nasional dikatakan hanya melakukan touch and go sahaja di Kuala Terengganu.

Manakala bagi Umno atau BN pula kekalahan itu sesuatu yang amat memalukan mereka kerana kerusi Kuala Terengganu adalah kerusi miliknya. Majoriti kemenangan Razali Ismail dulu bukan sedikit iaitu, 1,933 undi. Kegagalan itu memberi petunjuk kepada Najib yang dilihat pilihan raya itu ujian percubaan kepadanya yang akan mengambil alih kepimpinan Umno sebulan setengah lagi.

Ramai orang menjadikan pilihan raya kecil itu untuk menguji populariti dan keupayaan Najib yang akan mengambil alih kepimpinan Umno daripada Abdullah Ahmad Badawi Mac depan. Pilihan raya itu sebagai ujian minda umum apakah mereka bingkas melihat Najib atau tidak. Apabila BN kalah ternyata pengundi di Kuala Terengganu tidak bingkas dan menunjukkan gahirah menanti Najib naik takhta. Ini berlaku terutama dari kalangan pengundi muda seakan tidak mempeduli atau tertarik dengan peralihan kuasa dalam Umno ketika ini.

Strategi Najib mengungkitkan sejarah dan nostalgia bapaknya di Kuala Terengganu ternyata tidak mengusik ilusi rakyat Terengganu. Mungkin mereka sudah sedar zaman ini bukan zaman berilusi dan bernostalgia tetapi zaman melihat kepada realiti, kemampuan dan wibawa seseorang yang bakal menjadi pemimpin.

Kenangan terhadap jasa-jasa Tun Razak Hussein atau membuka semula jejak Tun Razak yang pernah terlekat di Terengganu kira-kira 50 tahun lalu mungkin terkambus dan tertimbus dengan pelbagai penyakit dan dimoraliskan oleh pelbagai skandal dan penyelewengan yang dikaitkan terhadap Najib. Nostalgia itu juga mungkin dinodai sama oleh isterinya, Rosmah Mansor yang dikatakan menjaja kepala tidak bertudungnya di Kuala Terengganu!

Kekalahan itu tidak boleh diletakan pada masalah peribadi calon Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang dijajakan sebagai sombong, eletis dan tidak mesra alam. Betapa buruk calon tetapi kalau parti dapat memberi keyakinan dan pemimpin tertingginya dapat membuktikan keperibadian tinggi pengundi tetap akan memilih parti. Sebab penekanan ahli sesebuah parti ialah kepada perjuangan bukan peribadi calon. Mungkin isu peribadi tidak sampai lima peratus yang menyumbangkan kekalahan BN itu.

Sementara satu pihak lagi yang turut dinilai dengan keputusan pilihan raya itu ialah Pakatan Rakyat, yang dibentuk oleh gabungan Pas bersama PKR dan DAP. Secara tidak langsung kemenangan calon Pas itu memberi cerminan Pakatan Rakyat lebih menyakinkan orang ramai berbanding dengan kerajaan BN. Masa ini rakyat sedang menilai kebaikan dan keburukan serta tawaran-tawaran yang dibuat oleh kerajaan BN dan Pakatan Rakyat.

Apabila pilihan raya itu memberi kemenangan kepada pihak Pakatan Rakyat ini menjelaskan tawaran, pendekatan dan politik baru yang dikemukakan Anwar Ibrahim menerusi pakatan itu menarik perhatian umum. Atau setidak-tidaknya pengundi Pas terus setia menanti untuk melihat tawaran dibuat pakatan berkenaan tanpa menganjakkan sokongan mereka.

Sehubungan itu adalah elok bagi Pakatan Rakyat menjadikan kemenangan itu sebagai pengobaran semula semangat pakatan berkenaan untuk menghadapi pilihan umum ke 13 akan datang. Mungkin kejayaan di Kuala Terengganu itu boleh dijadikan ‘perbai'ah’ baru kalangan Pakatan Rakyat untuk meneruskan semangat asal menumbangkan BN.

Kepada Pas pula kemenangan di Kuala Terengganu itu elok kalau dijadikan
Sempadan untuk membuka kitab baru dan menutup kitab lama dalam membuat penilaian ke atas Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar Ibrahim. Kitab baru itu hendaklah mengemukakan pandangan dan keyakinan baru ke atas Pakatan Rakyat. Kitab lama yang mengandungi harapan kepada Umno untuk membela agama dan bangsa mungkin tidak perlu dibaca lain kerana Umno sendiri tidak menunjukkan keikhlasan mereka.

Seperkara lagi kena diingat sudah pasti peristiwa 17 Januari itu Umno akan menjadikan satu iktibar dan pengajaran penting buatnya. Tidak mustahil mereka akan bangkit semula kalau kesilapan dan kelemahan di Kuala Terengganu itu dapat diperbetulkan dalam masa setahun dua ini. [6:30 am 18/01/09]

4 comments:

Abu Amirul said...

salam perjuangan kekanda MSO,
alhamduliLlah PR menang bergaya di KT.
saya lebih tertarik dengan sikap umno/bn. bukan kerana emosi tetapi realiti. umno/bn seolah2 tidak mempunyai perasaan, seperti bangkai bernyawa, tidak pernah nak sedar, sedangkan rakyat telah menghukum mereka yang meganya pada pru12, diikuti dengan prk permatang pauh dan kali ini giliran rakyat KT, seolah2 mereka tersedar dari lamunan dan terasa ketinggalan sekiranya mereka masih memilih umno/bn. namun golongan yang bersekongkol dengan umno/bn tetap berasa masih hebat, ulasan yang diberi tidak menunjukkan keinsafan mereka. Bagaimana cara lagi nak rakyat tunjuk agar golongan ini balik ke pangkal jalan?

painah said...

Tulis MSO ..."Kepada Pas pula kemenangan di Kuala Terengganu itu elok kalau dijadikan Sempadan untuk membuka kitab baru dan menutup kitab lama dalam membuat penilaian ke atas Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar Ibrahim. Kitab baru itu hendaklah mengemukakan pandangan dan keyakinan baru ke atas Pakatan Rakyat. Kitab lama yang mengandungi harapan kepada Umno untuk membela agama dan bangsa mungkin tidak perlu dibaca lain kerana Umno sendiri tidak menunjukkan keikhlasan mereka."

###############

Kepada PAS Terengganu yg selama ini sinis terhadap PR dan kpd DSAI diharap dpt membuka mata dan hati seluas mungkin ... dah sampai masa 'topeng' tu dibakar agar tidak lagi dpt digunapakai.

Anonymous said...

syabas diucapkan buat PAS kerana menang pada pilihanraya kecil di KT tempoh hari.tetapi itu bukan maknanya mereka boleh bergembira sakan.

PAS kena buktikan yang mereka mampu "menjaga" KT dan bukan hanya bersandarkan pada modal Hudud semata-mata.

saya pasti BN takkan mengalah begitu sahaja.tetapi buat masa ini sehinggalah pada pru akan datang,kita lihat sejauh mana PAS boleh membela nasib KT.

Anonymous said...

Salam, Saya berpendapat kemenangan PAS banyak didorong oleh jentera PR (PAS-DAP-PKR) secara keseluruhannya.Sebagai contoh di Saluran2 Chendering, Petugas PKR Wanita dan AMK mendominasi perayu undi manakala petugas2 PAS amat kurang.Situasi ini mengurangkan majoriti kemenangan UMNO dikubu mereka, manakala DAP berjaya mendapat undi di DUN Bandar.Ini menyumbang kepada kemenangan PAS disamping kemenangan kekal di DUN Batu Burok dan Wakaf Mempelam