Perang Hai Sang dan Gee Him di Perak Berterusan
PENYERTAAN Adun Bota Perak, Nasarudin Hashim ke dalam PKR benar-benar memberi impak kepada Umno Perak. Tindakan Nasarudin itu menyebabkan Umno Perak jadi kelam kabut dan huru hara kini.
Walaupun mulanya Umno Perak termasuk ketuanya, Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Setiausahanya, Ramly Zahary cuba melindungi keadaan itu dengan mengatakan Umno Perak stabil, sihat walafiat tidak terjejas namun tidak membuahkan hasil yang baik. Akhirnya apa yang berserabut itu terburai ke luar juga. Semua orang sudah tahu dah berlaku perang Hai Sang dengan Ghee Him di Perak.
Bukan saja Umno jadi kelam kabut gara-gara tindakan Nasarudin itu, tindakan itu juga menyebabkan kedudukan Tajol sendiri sebagai Ketua Umno Perak turut terpelanting ting...ting... Bila ada akhbar membuat spekulasi mengatakan beliau akan diganti, bukan main lagi marah Tajol kepada akhbar berkenaan.
Biasalah orang politik kalau kenyataan mereka menimbulkan masalah mereka akan blame media massa. Kononnya tersalah petik, ada niat jahat dan sebagainya.
Jarang sekali Murai perhati orang politik mahu mengaku kesalahan dan menuduh diri sendiri yang silap walaupun kesalahan dan kesilapan itu nampak tertungging. Akan dicuba juga mengamus kesalahan itu walaupun lagaknya laksana kucing timbus tahi atau seperti burung puyuh menyembunyikan diri kepala terlindung punggung tertungging.
Sepatutnya Tajol sudah lepas jawatan itu sebaik saja beliau menyedari BN kalah dalam pilihan raya lalu. Tiru apa yang dilakukan Khir Toyo. Tengok Khir Toyo tidak tunggu lama dan berdolak dalih, bila Umno Selangor kalah beliau ambil risiko lepas jawatan. Khir Toyo cerdik lebih lapan bulan berbanding Tajol Rosli.
Mengenangkan apa yang berlaku di Perak kini Murai hanya tersenyum saja. Apa yang lucunya dalam Umno tidak henti-henti melepaskan meriam dan membedil kerajaan Pakatan Rakyat, alih-alih yang tumbangnya jenderal dia sendiri. Nizar Jamaluddin masih tetap kukuh. Kalau dilihat kepada serangan ala Israel Umno menyerang Gaza itu patutnya Nizar Jamaluddin sudah lama tersembam dan kerajaan Pakatan juga sudah runtuh.
Nampaknya hari ini dengan kemasukan Nasarudin dan dijangka beberapa orang lagi Adun kedudukan kerajaan Pakatan makin kukuh dan makin kuat.
Walaupun Umno sudah lantik Najib Razak dan Zahid Hamidi sebagai ketua dan timbalan ketua Umno Perak, Murai rasa ia tidak akan menyelesaikan masalah. Mungkin masalah lama akan selesai, tetapi akan timbul pula masalah baru. Ini kerana perlantikan itu hanya diterima oleh pihak yang menyokong kedua-dua orang itu tetapi tidak yang lain. Sebelum ini Umno Perak dikatakan sudah mencadangkan nama lain untuk mengambil alih tenpat Tajol. Jadi bila orang lain yang dilantik tentu ianya akan ditolak.
Katanya Tajol sendiri tidak senang dengan apa yang berlaku itu. Peralihan kepimpinan itu dikatakan memalukan beliau kerana ianya dibuat tidak secara beradab dan dianggap sengaja untuk memalukannya.
Murai tidak mahu kata apa. Cuma Murai nak tenguk sejauh mana Tajol Rosli dapat menahankan ombak di dadanya. Apakah dia seorang pejuang yang tabah dan berjiwa besar atau sebaliknya. Kenapa Murai berkata begini kerana ada maklumat mengtakan kalau silap hari bulan Tajol sendiri akan menyertai Pakatan atau akan melepaskan jawatan selaku Adun? Astagaaa...!
Murai: Tidak pernah meninggal dahan awal persinggahan.
No comments:
Post a Comment