Thursday, January 22, 2009

Sama-Sama Mahasabah

Penggulungan Ke Atas Segala Komen

JARANG saya melepaskan komen-komen yang kurang sihat ke dalam blog saya. Sedaya upaya saya cuba membersihkan blog saya dengan terlucutnya kata-kata kesat baik dari saya sendiri maupun para pengomen bebas yang bertakhta di seluruh maya pada ini.

Komen-komen sebegini boleh dikatakan masuk setiap hari. Bila penjenguk merasakan sesuatu yang saya kemukakan bertentangan dengan pandangan mereka, mereka akan komen dan beri pandangan dan teguran masing-masing. Komen liar, komen tidak berapa sihat yang dibuat oleh 'badak air' memang banyak. Saya yakin bukan saja ke dalam blog saya tetapi blog rakan-rakan lain juga.

Sebenarnya komen dan memberi reaksi terhadap apa yang dikemukakan bagus dan dialu-alukan, kerana ia boleh memeriahkan blog ini. Kerana tujuan saya paparkan maklumat dan pandangan selain untuk memberi maklumat yang saya rasa eksklusif, yang tidak ada dalam akhbar ia untuk mendapat feed back daripada penjenguk.

Saya cuba mengamalkan kebebasan berbahas dengan menghormati hak asasi yang ada kepada semua orang termasuk penjenguk blog saya walaupun identitinya meragukan.

Positing di bawa agak panas sedikit berbanding dengan posting sebelum ini. Mungkin kerana ada penjenguk merasakan saya bias kepada satu-satu pihak menyebabkan mereka merasakan saya adalah propagandis kepada pihaknya. Jadi apabila saya sesekali keras mengkritik maka mereka terasa, walaupun orang yang menjadi sasaran tidak pun merasai demikian. Mungkin juga kerana mereka tahu apa yang saya perkatakan!

Saya sengaja melepaskan komen-komen yang dibuat terhadap tulisan ini tanpa mensensorkannya. Saya mahu semua orang (penjenguk) mengadili atas apa yang berlaku, bukan untuk mencari siapa yang akan menang, tetapi mencari kebaikan untuk semua dan apakah komen-komen itu menepati tajuk ataupun sebaliknya.

Sesuatu yang sudah lama saya ingin perkatakan mengenai ada sebilangan penjenguk tidak memahami isu yang diperkatakan. Mereka hanya memandang selapis saja tanpa melihat apakah politik di sebalik isu. Ini kelemahan barang kali! Kepada mereka ini perlu belajar memahami ilmu politik dan strategi penulisan.

Saya percaya mereka yang bersikap begini kerana kurang faham politik, kurang faham isu yang dibangkitkan dan melihat sesuatu itu dari kacamata mata 'mata ikan kering' yang mereka miliki.
Misalnya tentang diri saya, pegangan politik dan prinsip diri saya jelas. Kalau mereka membaca tag line blog saya, atau membaca buku-buku tulisan saya; mereka sudah faham siapa saya. Faham akan tujuan dan kenapa saya berblog atau menulis. Tuduhan mencari makan dengan penulisan sudah lali dan menjadi senjata bagi mereka yang tidak mempunyai kekuatan akal untuk beragumentasi secara rasional.

Tetapi kerana ada setengah melihat dengan emosi dan nafsu meluap termasuk kebencian kerana saya tidak sedia menuruti naluri mereka, atau mendokong tokoh sanjungan mereka, maka falsafah saya itu tidak kecapaian dihayati maka timbullah kekeliruan dalam gelap malam.

Misalnya mengenai mauduk posting di bawah, “Perangai jelek pemimpin Pas di Kuala Terengganu”, ramai yang tidak tahu apakah mesej yang ingin disampaikan di sebalik cerita berkenaan. Masing-masing membedil dari rasa hati sendiri yang bertolak dari rasa amat sayang kepada perjuangan Pas. Sayang itu pula dibumbui oleh rasa taksub melampau tanpa berpijak ke bumi nyata kepada setengah pemimpin tertentu yang saya percaya mereka hanya mengenal dari jauh atau hanya membaca catatan profile mengenai mereka di dalam akhbar. Jauh sekali untuk berkesempatan duduk sekali, tidur sekali dan makan sekali apa lagi mengetahui apa yang ada dalam kain palikatnya!

Saya bersetuju dengan komen seorang penjenguk yang beranggapan saya menyayangi perjuangan Pas tetapi tidak menyayangi pemimpin (individu)nya. Pandangan itu tepat. Sebenarnya bukan saja saya, tetapi orang lain juga harus bersikap begitu. Pemimpin politik walaupun siapa bukan wali atau seorang mutaqqim. Justeru Nabi Muhammad s.a.w. sendiri melarang mengasihi dirinya lebih daripada perjuangan, adden.

Dalam posting dibawa penjenguk tidak dapat menggali maksud dan intipati cerita itu. Kerana itu ada yang tersasar meluaskan fasal kewangan, ada yang menyebut kewangan Pas bukan macam Umno dan segala macam. Cerita Pas Terengganu ketiadaan wang dan pemimpin yang kaya tidak membantu itu hanya sampingan sahaja. Apa yang hendak diceritakan ialah sikap, fill, perangai sesetengah pemimpin tertinggi Pas yang tidak serius membantu Pas dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu kerana ia sesuatu yang tidak sejiwa dengan mereka.

Saya menyebut itu dengan memberi bukti dan perbadingan jelasnya dengan apa yang mereka lakukan semasa di Permatang Pauh. Ini mauduk utamanya kalau kita ikhlas untuk memberi komen demi kebaikan bersama dan tidak menghukum orang secara rambang. Bagi orang yang dirahmati Allah rasanya sedar hakikat ini.

Jadi tidak perlu ulas soal Pas tidak ada wang, perlu buat tabung, tanam ubi kayu dan sebagainya. Tidak perlu juga sebut kewangan Pas ada dalam setiap poket ahli dan penyokongnya. Bukan berada dalam akaun berjuta-juta ringgit seperti Umno atau sebagainya. Ingin saya mencabar kepada mereka yang mengakui membantu Pas, berapa banyakkah nilai derma mereka?

Saya berani menulis atau mendedahkan sikap pemimpin Pas itu kerana saya mengetahui apa yang berlaku. Saya tahu dari A sampai Z. Mungkin inilah keistimewaan saya, maka saya berani menulis mengenai isu ini. Saya tidak akan mendapat apa-apa keuntungan mendedahkan ini melainkan demi kebaikan parti Islam itu. Saya mendedah segala itu atas satu tujuan untuk kebaikan Pas, sebab saya tidak ada kepentingan dalam Pas. Dan untuk berbuat demikian juga tidak perlu saya mendapat lampu hijau daripada mana-mana pihak sebab mendedahkan keburukan dalam apa saja adalah satu kewajiban terpuji.

Misalnya apa yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan semasa pilihan raya kecil di Ijok, saya tahu sebab saya turut memegang beg berwarna hitam yang mengandungi wang. Bagaimana pun sebagai penulis yang masih tersisa etika tidak baik kalau saya mencerita semuanya sekali yang akan menambahkan keburukan dan kebusukan. Itu pun masih ada yang prejudis mengatakan saya membenci pemimpin berkenaan. Saya membenci apa yang buruk dilakukannya tetapi akan puji apa yang baik dilakukannya.

Kepada yang teralpa ini sila baca kesemua posting saya dalam blog saya dan carilah makrifat kenapa ia berlaku seperti hari ini.

Apa yang saya ingin bangkitkan dalam posting di bawah ialah kenapa ada sikap begitu di kalangan pemimpin Pas. Di mana prinsip dan akhlak mereka sebagai seorang pemimpin Islam? Ada yang bangkit dengan buta membela golongan ini, mendakwa dia pergi merata di Kuala Terengganu dengan pemimpin itu. Ke mana? Saya tidak marah sebab mereka berkata berpandukan dengan bukti yang mereka ada kepada mereka dan sepatutnya juga mereka tidak prejudis kepada saya sebab saya mendedahkan berdasarkan bukti yang ada kepada saya. Kenapa sesetengah penjenguk harus melenting dan merasa sakit dan benci?

Ada mengatakan saya hanya berandaian dalam membuat pendedahan itu. Sebenarnya mereka itulah yang berandaian kerana taksub melulu atas sebab-sebab mungkin kerana mendapat benefit dari pihak tertentu maka keburukan yang terpamer di hadapan mata pun dibiarkan. Ada mengatakan saya hanya round-round saja di Kuala Terengganu, saya tidak mahu komen hanya ingin mengatakan kalau setakat apa yang dianggapkan maka naiflah tulisan saya ini. Apakah saya perlu menceritakan segala-galanya sampai hal dalam kelambu yang banyak orang tidak tahu? Misalnya saya belum nukil macam mana Tok Guru Nik Abdul Aziz diberitakan telah memarahi seorang Exconya baru-baru ini! Itu bukan jenis saya. Maaf!

Ada yang menghina kerana saya mengkhianti perjuangan. Siapa menghkianati perjuangan sebenarnya. Saya juga sangat benci kepada orang yang mengkhinati perjuangan, menggunakan perjuangan untuk mengembungkan perut sendiri. Perjuangan sesuci Pas seharusnya tidak dijadikan bahtera untuk kesejahteraan diri di dunia ini. Ataupun bersikap tidak bertanggungjawab kepada parti dan pengikut.

Ketegasan saya jelas dan tidak berganjak dalam soal ini. Mana-mana prinsip atau pandangan politik yang tidak menempati prinsip saya, saya akan tentang, walaupun Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri pun saya sedia dan telah menegurnya lebih dari sekali dalam hal-hal bersifat politik bukan keilmuan agama.

Ada yang meminta saya hentikan mendedah hal-hal buruk dalam parti Pas itu kerana ia boleh menimbulkan porak peranda dan memberi ruang kepada musuh. Saya berpandangan tidak ada gunanya kalau Pas diberikan peluang untuk berkuasa kalau dengan kekuasaanya itu nanti ia juga berperangai dan membawa stail politik sekular seperti Umno.

Dan mengenai teguran terhadap orang politik, ingin dijelaskan sudah menjadi lumrah orang politik mereka perlu ditegur secara terbuka, sebab mereka juga berbuat demikian terhadap lawan mereka. Pentas ceramah adalah medium bagaimana orang politik membelasah lawannya. Teguran secara baik tidak akan diendahkan, dan kesannya tidak ada. Saya telah melalui banyak sejarah mengenai ini.

Saya rasa dengan 'penggulungan' yang tidak diminta ini, penjenguk blog saya yang tidak memahami prinsip, falsafah saya dan tujuan saya berblog dapat mengerti. Saya selalu mengatakan kalau ada yang tegar untuk memahaminya dan hanya ingin kepada retorik, rasanya elok abaikan blog saya dan lebih baik layarilah blog-blog yang sebulu dan sejiwa dengan kita. Jangan rosakan hati dan buang masa anda dengan sesuatu yang kita tidak suka. Membazir itu adalah perbuatan syaitan.

Apapun kerana kita sama-sama mendokong kebebasan mengkritik, saya tetap berterima kasih atas segala komen yang masuk baik nakal, keras dan kurang beradab. Di sebalik pandangan dan teguran jauh tersasar itu dapat saya kutip rahmat dan nikmatnya. Setidak-tidaknya saya boleh sejukkan hati dalam menerima kritikan itu dengan berangapakan mereka yang cuba menjadi guru itu sebenarnya masih belum memasuki pra sekolah baik Taski anjuran Pas maupun Tadika anjuran Kemas kepunyaan Umno. [d’kota kl 21/01/09]

16 comments:

Anonymous said...

Teruskan berkarya Uncle MSO,
Hanya kita yang memahami diri kita.

mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang Baik.


::erhabie::
Norlizam Md. Sukiban
Melaka.

Anonymous said...

Bro MSO,

Ini blog bro...Bro bleh tulis apa yg bro rasa nak tulis!

Tulisan Bro pun mana ada kecam org menggila! Kat Malaysia Today pun, ok je tulisan Bro...Kecam,kutuk,kritik...3perkara yg berlainan tuuu! Huhuhuu...

So..pedulikan orang! Tulis saja...

Ops...buku lama2 mana nak dpt???MPH shah alam dan Subang takde!

Roger!

Che Li said...

Tuan Haji,

Memang pelbagai sifat manusia ni. Ramai yang tak faham apa yang tersirat dalam setiap kata. Kalau begini tahap pemikiran pejuang dan penyokong PAS, bimbang kita dengan kualiti pimpinan kita nanti bila mendapat kuasa. Agaknya ini lah hikmah Allah s.w.t lambat melorongkan kemenangan kepada kita. Ya lah... tengok sahaja majlis2 ceramah PAS. Bagaimana style dan cara petugas2 PAS. Nak senyum pun susah, camana nak berbakti...kononnya kepada Agama...

abdul mubin ismail said...

Salam...

hanya dengan menulis kita boleh menjadi tuan kepada diri kita sendiri... berkata benarlah walaupun pahit... kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai...

Teruskan.

Anonymous said...

Tahniah Abe Ti,ambo sokong apa yang Abe Ti tulis,nyatakan yang benar walau pun pahit.

Ambo setuju kerana kita nak kepada kebaikan,mungkin antara sebab kenapa kita masih gagal menguasai beberapa negeri adalah kerana masih terdapat banyak kelemahan kita didalam perjuangan.

Nak memang kena bersikap sebagai orang menang.Mudah untuk menang tetapi amat sukar untuk mempertahankan kemenangan.

Cuba lihat Trg,kita menang dan dapat memerintah Trg dalam PRU 10 tetapi tewas dalam PRU 11.Persoalan yang Abe Ti bawak adalah salah satu faktor yang menyebabkan kita gagal mempertahankan kemenangan itu.

Seharusnya kita berubah sikap dari sikap ambil mudah kepada sikap berusaha untuk mengekalkan kemenangan.

Sama-sama kita rubah diri kita dan pimpinan kita supaya selari dengan kehendak agama.

che mad said...

saya tengok pakcik agak tajam pikirannya..Pas memerlukan lebih ramai pengkritik yang jujur bukan tukang tepuk tangan..

semoga kita semua dirahmati Allah..

Anonymous said...

Terima kasih Tn. Hj. Saya seringkali jumpa Tuan dari jauh dan tahu tuan amat rapat dengan pimpinan politik dari mana-mana parti. Saya amat sedar tidak ramai orang yang berani macam tuan haji untuk bercakap benar... Semenjak kecil saya sudah kenal dengan perangai pemimpin PAS sebagaimana yang tuan tuliskan. Cuma saya masih ingat Arwah Dato' Asri datang kerumah saya minta bapa saya ikut beliau menyertai HAMIM. Sebagaimana apa tuan katakan, ayah saya cintakan perjuangan PAS, bukan pemimpinnnya. Teruskan menulis... InsyaAllah orang lain akan sedar nanti

Anonymous said...

semuga Allah merahmati Tuan Hj MSO...bersabarlah Tn Hj.Yang benar memang terlalu pahit untuk diterima oleh mereka yang taksub dan berhati busuk..

ANAK BAPAK said...

saya amat bersetuju dengan pendapat MSO..sayangkan PAS bukan sayang pada individu..kerana dasar perjuangan PAS adalah segala-galanya bukan perjuangan 'puak-puak' tertentu dalam PAS yang cuba wujudkan 'jamaah dalam jamaah'

allahuakbar!!!

Unknown said...

Tuan MSO,

Kawan yang baik adalah mereka yang kerap menegur kita apabila kita telah tersasar.

Teruskanlah teguran-teguran positif walaupun kadangkala pahit bagi mereka-mereka yang belum terbuka minda nya lagi.

Syabas dari saya insan kerdil..

Anonymous said...

salam MSO

sama-samalah kita saling mengingati, kadang2 ada saudara seislam kita yang telah lupa bila sudah senang, kaya dan berkedudukan.

Teruskan berkarya!
selamat maju jaya

Ronn said...

Sekian lama menelusuri kritikan tuan... tergambar perasaan sayang tuan kepada yang dikritik. Salah tanggapan terhadap kritik oleh khalayak menyebabkan pengkritik sering dipandang serong. Pedulikan pandangan songsang itu. Saya kritik UMNO kerana saya sayang UMNO. Saya kritik PAS kerana saya sayang PAS. Saya kritik pemimpin kerana saya sayang mereka.

Anonymous said...

Assalamualaikum... Pada mulanya saya membaca pandangan MSO dengan nada yang emosional. Berulang kali saya membacanya. Lama kelamaan alhamdulillah saya faham maksud pendekatan MSO. Pandangan dan kritikan MSO amat mendalam. Saya antara yang tersedar dari ketaksuban kepada pimpinan. Rupa2nya kita sering mendambakan idola kita perfect 100%. Namun jangan pula kita letakkan kelemahan pimpinan kita menjadi sebab kita jauh dari perjuangan. Kita tetap ikut dan hormat mereka selagi mereka tidak bercanggah dari hukum Allah. Terima kasih.
Kepada MSO, teruskan berkarya. Sesungguhnya Islam tidak tertegak dengan ilaian tawa ria namun terpasak dengan derita, pengorbanan dan airmata.

Anonymous said...

Salam Bro MSO..

Teruskan menulis dan menegur serta mengkritik demi kebaikan Perjuangan Islam.

Pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan Islam adalah satu.

"KITA MENGKRITIK BUKAN ERTI BENCI, KRITIK KERANA SAYANG PADA PERJUANGAN BUKAN KEPADA PEMIMPIN"

- NH Shah Alam -

Anonymous said...

MSO,
Dalam artikel anda, difahami anda sedang berhadapan dengan kritikan pengikut fanatik.

Dan apa yang dapat dikutip dalam lebel renungan itu sebenarnya anda cuba bersikap berterus terang, namun pendirian anda tidak difahami oleh sesetengah ahli parti.

Dalam politik sememangnya kita mesti bersikap tegas berlandaskan fakta dan mesej yang ditujukan pada sasaran hendaklah tepat serta jelas.

Sokong menyokong terhadap ahli politik adalah pekara rutin, tapi hala tuju perjuangan parti mesti tetap tidak berubah dan tidak berganjak dari landasannya.

"pejuang tanpa nama"

Anonymous said...

"Ketegasan saya jelas dan tidak berganjak dalam soal ini. Mana-mana prinsip atau pandangan politik yang tidak menempati prinsip saya, saya akan tentang, walaupun Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri pun saya sedia dan telah menegurnya lebih dari sekali dalam hal-hal bersifat politik bukan keilmuan agama."

PERASAN LEBIH LA KAMU NI....KAMU INGAT PRINSIP POLITIK KAMU TU BETUL SANGAT KE? CEWAHHHH.. MANA2 YG BERTENTANGAN DGN PRINSIP KAMU TU SALAH JADI KENE TENTANG LAH..??? HA HA HA KAMU LAH MASTER DLM POLTIK..CAYALAH...EGO DAN STUPID.