Monday, December 22, 2008

Ulasan Isu

Kenapa Husam Ralatkan Jaminannya?

BELUM sampai 36 jam atau kalau tanam kacang belum sempat kulit arinya pecah, Naib Presiden Pas, Husam Musa telah memperbaiki kenyataannya berhubung perlaksanaan hukum hudud yang dibuat ketika berwacana bersama Khairy Jamaluddin dan Abdul Aziz Bari di Balai Islam malam Sabtu lalu.

Semasa respon kepada provokasi Khairy Jamaluddin yang ingin tahu apakah Pas akan laksanakan hudud kalau Pakatan Rakyat menang, Husam menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

"Iya kita akan laksanakan," begitulah jaminan Husam apabila diasak lebih dua kali oleh Khairy. Kurang diketahui pula MB Kelantan dalam penantian itu sedar atau tidak ketika beliau mengeluarkan kata-kata itu.

Tetapi hari ini Husam telah membuat pembetulan ke atas persetujuannya semalam. Katanya perlaksanaan itu akan ditangguhkan dan ia akan dimaklumkan kepada DAP dan Keadilan terlebih dulu.

Kononnya pemberitahuan itu kerana Pakatan Rakyat telah menandatangani dasar Pakatan itu Ogos lalu? Kata Husam pihaknya tidak akan membuat keputusan secara uniteral sebalik akan membuat secara multiultra. Barang kali baik juga kalau isi kandungan perjanjian itu didedahkan kepada umum untuk ketahui apakah semangat dan roh perjanjian itu.

Kenapa Husam nampak gelabah dengan jaminannya malam kelmarin itu? Mungkin dia tahu ia bakal menjadi isu dan polimek dalam Pakatan Rakyat seperti mana yang saya jangkakan sebelum ini. Dugaan ini ternyata benar apabila DAP sudah kelam kabut dengan kenyataan itu sehingga mahu rujuk kepada Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim. Media kroni pula sudah tentu sedang menyusun untuk mengeksploitasikan isu itu di Kuala Terengganu nanti. Justeru pada saya penegasan Husam malam itu kurang berhemah dan memakan diri!

Sebenarnya Husam tidak payah membuat pembetulan atas kenyataan itu. Kenyataan beliau malam tadi mendapat sambutan hangat dan itulah yang diharapkan. Langkah beliau membetulkan kenyataan itu menyebabkan ia akan mengelirukan penyokong Pas dan orang Islam sendiri serta mereka yang rindukan hudud. Pembetulan itu juga menjadikan orang akan pertikaikan pengakuan Husam itu sebagai bersifat politik semata-mata. Dengan kenyataan pembaikian itu Husam melakukan dua kali kesilapan dalam satu masa.

Apa yang beliau tegaskan kelmarin (ketika menegasnya siap dengan mengangkat telunjuk ke langit), sudah tepat dan satu kebenaran yang dibanggakan. Sebagai orang Islam, pemimpin parti Islam sewajarnya agenda melaksanakan hudud itu diletakkan di atas. Segala unsur dan usaha mengenepinya perlu ditentang habis-habisan. Hukum hudud tidak boleh dikorbankan atas maslahat politik atau ia ditangguhkan atas dasar menghromati orang lain.

Saya rasa orang Pas lain juga cukup senang dengan jaminan Husam itu. Golongan ulama yang selama ini berjuang bermati-matian untuk melaksanakan hudud merasakan mereka mendapat semangat baru apabila ia disanggupi sendiri oleh seorang pemimpin bertaraf Naib Presiden yang profesionalis dan dianggap bijak.

Ketika dipersoalkan oleh Khairy, Husam ada menjelaskan Kelantan merayakan hari memperingati hudud setiap tahun. Dengan penuh bangga beliau memaklumkan itu kepada audience. Tetapi sesudah sehari penegasan itu menerawang masuk ke rongga kepala rakan bukan Islam Husam semacam gelabah pula. Kenapa?

Sebagai pemimpin yang meletakkan taqwa sebagai syarat orang untuk menjadi Perdana Menteri, Husam tidak perlu takut sebenarnya. Beliau juga tidak perlu merasa malu dan gerun kalau tidak popular dari kalangan bukan Islam kerana menjadi juara hudud. Bila beliau mengubah dan meralatkan kenyataannya ini menyebabkan orang boleh mengatakan Husam tidak istiqamah dalam iltizamnya.

Sepatutnya ia tidak perlu dibimbangkan Husam, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah membela Husam mengenai kenyataannya tentang hudud itu. Kata Nik Aziz hudud bukan hak Pas tetapi hak Islam. Katanya fungsi atau martabat hudud sama dengan sembahyang, kalau sembahyang wajib boleh buat kenapa hudud yang juga wajib tidak boleh dibuat? Jadi apabila tuan guru sudah memberi isyarat dan beranalogi begitu nah, teruskan saja.

Tidak patut dan wajar kalau Husam bermain sorong tarik dengan hukum hudud dan qisas ataupun aspirasi Islam lainnya. Beliau juga sesungguhnya tidak perlu bimbang dengan penerimaan bukan Islam mengenai penegasannya itu. Bukankah beliau sendiri mengatakan bahawa kefahaman Islam dari kalangan bukan Islam termasuk DAP dan orang seperti Pengerusi Kelab Penyokong Pas dari kalangan orang Cina itu lebih baik berbanding dengan Umno atau Khairy Jamaluddin.

Jadi apa yang nak dibimbangkan lagi laksanakan Islam yang menjadi cita-cita dan matlamat perjuangan Pas itu? [wm.kl. 8:15 pm 22/12/08]

6 comments:

suparjo@blogspot.com said...

Kalau begini maka KJ yang tersenyum riang. Dulu Dr M gunakan 'hudud' untuk pecahkan Pas dgn DAP, maka adakah benda yg sama akan berulang?

Anonymous said...

Perdebatan Khairy-Husam menyerlahkan suatu realiti yang perlu diterima oleh PAS dan UMNO, iaitu Sistem Pemerintahan Islam sukar dilaksanakan tanpa kerjasama PAS dan UMNO.

UMNO tidak pernah menentang konsep Negara Islam, termasuk perlaksanaan hudud. Namun, kepimpinan UMNO di peringkat awal perjuangan kemerdekaan telah meletakkan keutamaan-keutamaan tertentu di dalam membangunkan negara. Terlalu banyak perkara asas perlu disegerakan seperti membasmi kemiskinan dan buta huruf, membangunkan infra-struktur dan kemudahan awam dan sebagainya. Kerajaan Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC juga perlu berdepan dengan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya yang mendapat sokongan Parti Komunis China.

Di dalam masa yang sama, Kerajaan pimpinan UMNO telah melaksanakan program-program asas Islam seperti pembinaan masjid dan surau, penubuhan Tabung Haji, mentadbir urusan penentuan puasa dan hari raya, pengurusan zakat dan lain-lain. Namun kaedah perlaksanaan Islam secara beransur-ansur telah ditolak oleh PAS. Malah PAS pernah mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Hanya sekarang PAS mula pandai bekerjasama dengan parti 'orang kafir' sepereti DAP. Hanya setelah berkawan dengan DAP, PAS mula menggunakan istilah 'menangguhkan perlaksanaan hudud' dan sebagainya.

Di masa Tun Dr Mahathir dengan berani telah mengisytiharkan Malaysia IALAH SEBUAH NEGARA ISLAM, dan dipertegaskan semula oleh kenyataan-kenyataan Pak Lah dan Najib, PAS pula yang berundur ke belakang, dengan menggugurkan matlamat penubuhan NEGARA ISLAM, dan diganti dengan konsep NEGARA BERKEBAJIKAN.

Kedua-dua pihak, PAS dan UMNO, perlu sedar bahawa hanya dengan kerjasama PAS dan UMNO, matlamat kenegaraan Islam akan tercapai.

Anonymous said...

Salam...

Tindakan Husam membetulkan kenyataan beliau cukup menjelaskan bahawa beliau tidak konsisten dengan pendirian beliau berhubung perlaksanaan Hudud. Beliau dilihat lebih takut dengan DAP daripada bertegas dalam perlaksanaan Hudud. Layakkah pemimpin sebegini menjadi pemimpin.

Bagi kita orang Islam, sama ada PAS atau UMNO, kita tak pernah menolak Hudud sama sekali kerana ia memang termaktub sebagai undang-undang yang Allah tetapkan untuk umat manusia. Tiada masalh jika nak dilaksanakan di Malaysia. Cuma yang menjadi kemusykilan ialah sikap PAS yang menjadikan ianya sebagai senjata untuk menyerang UMNO dan sebagai agenda perjuangan mereka. Sejauh mana keikhlasan mereka dalam hal ini? Jika baru digertak sedikit oleh DAP pun, Husam dah gentar lalu terus membetulkan kenyataan beliau.. Di manakah kejujuran dan keikhlasan mereka jika benar mereka nak laksanakan Hudud?..

Bagi saya tiada apa yang boleh dilakukan oleh PAS selagi bersekongkol dengan DAP. Masalah mungkin boleh selesai jika PAS bergabung dengan UMNO atau sekurang-kurangnya menyertai BN. Biarkan PKR dan DAP bersama dalam Pakatan Rakyat atau mungkin DAP juga akan keluar PR, mana tau... Dalam politik macam-macam boleh berlaku...

Kacang Hijau said...

siapa kata umno nak laksana hudud..sudah lupa ke bagaimana ucapan pemimpin umno..kalau laksana hudud habislah batu di jalan raya....kalau laksana hudud ramailah org tangan kudung...
Yang terbaru kenyataan Puan Guru Dr. Masitah bahawa boleh melacur sekira terpaksa untuk menyara hidup...mcm x de keje lain blh buat.

Apa yang husam musa kata...memang PAS akan laksana hudud...itu memang cita2 PAS dan termaktub dalam perlembagaan PAS.
Kalau PAS x cakap pun pasal hendak melaksanakan hudud.Org semua tahu PAS memang nak laksana hudud.
Tetapi dalam gambungan Pakatan Rakyat memang tidak bincang pasal perlaksanaan hudud.
kerana gambungan PR hanya untuk menjatuhkan BN.Sekiranya PR dapat memerintah Malaysia PAS mesti mendapat persetujuan ahli2 parlimen(dari PR&BN)..dimana mesti dibentangkan undang2 hudud di parlimen.Ketika itu di harap org2 UMNO mesti menyatakan persetujuan.

Kalau DAP tidak setuju kerana dia bukan orang islam tetapi bila UMNO tidak setuju dia orang apa?
Tetapi saya hairan org yg dah lama dalam perjuangan PAS masih macam budak-budak.

Anonymous said...

Tindakah Husam menegaskan akan mendesak Pakatan Rakyat untuk melaksanakan Hudud jika PR memerintah, berjaya menangkis tohmahan pihak-pihak tertentu terhadap puak pro-Anwar dan anti-Anwar dalam PAS. Husam yang dikatakan puak Endorgan membuktikan yang dasar perjuangannya masih sama dengan puak pro-Presiden.

Begitu juga, tindakan Husam ini berjaya menangkis tohmahan UMNO bahawa PAS telah meninggalkan perjuangannya selepas bergabung dalam PR.

Syabas Husam!




yushar

Anonymous said...

Ketegasan untuk laksana hudud kena disokong oleh semua umat Islam tidak kira apa bangsa dan warna kulit sekalipun.
Tetapi mengubah ketegasan itu kerana DAP bantah adalah sesuatu yang tidak patut dalan boleh merosakan prestasi dan reputasi tokoh yang membuat penegasan.
Kalau dah tau benda tak boleh laksana kerana pelbagai faktor, jangan buat jaminan untuk laksanakannya. Bukan mudah untuk memastikan manusia terima hukum Allah. Nabi pun hadapi kesusahan untuk dakwah, inikan pula kita pada era yang sudah sengkang lebih 1,400 tahun dari era hayat nabi.
Utamakan dulu pemeliharaan akidah,kesempurnaan cara ibadah, pengukuhan iman dan pembinaan taqwa. Bila dah bertaqwa, tidak akan ada yang tentang apa pun hukum Allah, termasuk hudud.
Bila kelantangan penentangan datang dari tokoh DAP yang kononnya menjadikan Umar Ibnu Aziz yang zuhud sebagai roll-model, namnpak ada kesumbangan dan kesongsangan yang sangat nyata, termasuklah tokoh yang memperakukan keinginan tokoh DAP yang menjadikan Umar Ibnu Aziz sebagai roll model.
Soal hukum Allah tidak boleh main-main dan dipermainkan, tidak boleh takut kepada sesama manusia/makhluk untuk bercakap dan melaksanakan. Hanya kena takut kepada Allah.
Ramli Abdul Halim
Murid Tua (bekas murid)
Madrasah Al-Balaghulmubin
Rong Chenak.