Friday, December 10, 2010

Gurau Jumaat

Zaid Akan Sambung Perjuangan Cikgu Musa

PARTI Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) katanya bersedia untuk menyerahkan kepimpinan parti itu kepada Zaid Ibrahim. Presidennya Zakaria Salleh memperakui akan kesediaan itu. Kata Zakaria dia yakin Zaid akan menyertai parti itu. Elok sangatlah kalau Zakaria menyerahkan Akim kepada Zaid.

Sudah tentu dengan wibawa, pengalaman yang ada kepada Zaid beliau boleh memimpin dan membawa Akim lebih maju lagi. Tidak mustahil Akim di bawah pimpinan Zaid yang dikenal sebagai seorang politician yang hebat, berprinsip dan mempunyai wang, beliau dapat mengubah nasib dan masa depan Akim.

Nama Akim itu sendiri bagus; Angkatan Keadilan Insan Malaysia. Ia merangkumi dua nama yang diminati Zaid. Keadilan dan Malaysia. Menerusi parti itu Zaid akan dapat menerapkan idealisme keadilan dan demokrasi mengikut acuannya. Selama ini pun Zaid memperjuangkan Keadilan untuk sejagat, jadi molek benarlah. Kalau Pas agak 'rohok' sikit sebab Pas berlandaskan idealisme Islam di mana ia kurang cocok dengan Zaid. Katakan kalau Pas nak proceed huduh ianya akan bercanggah dengan naluri Zaid.

Pastinya Akim nanti akan menjadi model politik Malaysia yang berwibawa. Ataupun kalau tidak dapat berbuat demikian Zaid boleh gunakan Akim untuk bertanding dalam pilihan raya kelak. Zaid dengan kehebatan dan kesucian politiknya boleh bertanding di mana-mana saja di Malaysia ini dari Perlis hingga ke Sabah.

Beliau juga mempunyai pengikut setia yang ramai. Ini berasaskan kepada percubaanya untuk merampas kuasa dalam PKR. Zaid sudah memperhitungkan segala kekuatan beliau itu. Malangnya perhitungan itu silap. Tetapi dengan adanya parti baru ini Zaid boleh menjenamakan semula dan dimemanfaatkan para pengikutnya itu untuk memperkuasakan Akim dan seterusnya menguasi Malaysia!

Rasanya tidak ada masalah bagi Zaid untuk menguasai Akim. Apa lagi kalau dinilai pemimpin Akim yang ada hari ini tidak begitu menonjol dan sepopulari Zaid. Biarlah tidak dapat untuk menawan PKR, setidak-tidaknya Akim menjadi galang gantinya. Yang penting Zaid dapat juga kelak jadi Presiden. Bukankan itu yang dihajatinya?

Sikit sejarah mengenai Akim ini. Mungkin orang yang menjadi ahli Akim termasuk presidennya sendiri (Zakaria) tidak mengetahui akan sejarah ini. Akim diasas dan ditubuhkan oleh seorang ahli politik dari Kelantan bernama Musa Salleh (gambar). Musa lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Musa.

Cikgu Musa seorang politik yang lantang dan berani. Menghabiskan harta bendanya untuk politik dan perjuangan. Saya berkesempatan mengikut ceramah-cderamah politiknya sekitar tahun 1978 hingga 1986. Sebelum tubuh Akim beliau adalah aktivis Pas di Pasir Puteh. Pernah menjadi ketua Pas kawasan Pasir Puteh. Pernah bertanding atas tikit Pas, kalah.

Sebelum menyertai Pas beliau menjadi ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM). Semasa Pas bergabung dengan Umno membentuk kerajaan campuran 1972 beliau bersama beberapa tokoh Pas yang menentang kerjasama itu turut sama membentuk pasukan Bebas Bersatu bagi menentang Pas pada pilihan umum 1978.

Cikgu Musa juga dengan beberapa orang aktivis Pas di Bukit Abal cuba menubuhkan parti Imam - Ikatan Muslim Malaysia yang menjadikan al-Quran sebagai simbol. Kalau tidak silap Imam ini perndaftarannya tidak dibenarkan. Disebabkan kegagalan itu maka semua pendokong Imam bertanding atas satu simbol bas yang dinamakan Bebas Bersatu.

Kemenangan Pas tahun 1990 tidak memberi laba politik buatnya. Jasa dan pengorbanannya dalam Pas diketepikan begitu saja. Kerana kecewa atas tindakan pemimpin Pas terutama kumpulan Tiga Abdul (Cikgu Rahim, Abdul Halim dan Fatah) ketika itu menyebabkan beliau berundur dari Pas.

Pengunduran itu membawa beliau berusaha menubuhkan Akim. Saya masih ingat beliau beberapa kali ke rumah saya di Wangsa Maju untuk meminta pandangan dan sekaligus minta menjadi ahli Akim. Ketika itu beliau ada masalah kerana pendaftaran mahukan ahli jawatan kuasa penajanya dari semua negeri di Semenanjung kalau tidak ianya tidak boleh didaftarkan.

Akhirnya ata usaha gigih Allahyarham Akim berjaya ditubuhkan dan beliau menjadi Presidennya. Dalam pilihan raya, 1995 Akim mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan meletakkan dua calon Parlimen dan 14 calon di kerusi Dun Kelantan. Cikgu Musa sendiri bertanding di Semerak salah satu Dun dalam parlimen Pasir Puteh.

Semua 16 calon Akim kalah dan hampir semua hilang wang deposit termasuk cikgu Musa. Pemerhati politik melihat penyertaan Akim itu hanya untuk menganggu Pas yang ketika itu bergabung dengan Semangat 46 membentuk Angakatan Perpaduan Ummah.

Ada juga yang membuat telahan penyertaan Akim dalam pilihan raya itu atas tajaan UBN. Manakala cikgu Musa dan beberapa pemimpin Akim yang lain dikatakan telah memperdagangkan Akim untuk mendapat wang panas dalam pilihan raya. Sejauh mana dakwaan ini sukar juga untuk dipastikan.

Cuma sewaktu bertembung dengan Allahyarham di lapangan terbang beberapa hari sebelum hari penamaan calon beliau membisik kepada saya yang dia baru lepas berjumpa dengan Ghafar Baba.

Akim menjadi celaru dan hilang ketua apabila Cikgu Musa meninggal dunia. Untuk beberapa ketika timbalannya Nik Ismail Nik Idris mengambil alih menjadi presiden sebelum diserahkan kepada seorang peniaga ubat-ubat kuat di Kelantan.

Mungkin gambaran ini berguna untuk Zaid memperbaiki parti itu seterusnya meletakkan Akim sebagai parti berwibawa melebihi Pas dan PKR atau DAP dalam pilihan raya akan datang. Tetapi saya yakin Zaid tidak mudah 'mabuk' untuk berbuat demikian. [wm.kl.12:45 pm 09/12/10]

2 comments:

Kabutar Diesel said...

salam tuan MSO..saya dah agak zaid akan menyertai AKIM sekali gus mengambil alih parti itu...tapi rasanya perjuangan tak kan kemana..

1Crony said...

Salam Tuan. Kalau Anwar Ibrahim yang mengambil alih AKIM tu, saya percaya mungkin akan menjadi seperti yang dimimpikan oleh pengasas parti tersebut. Hatta survivor politik beliau yang mengundang pengalaman pahit getir dalam tahanan dan amat berpengaruh, berprinsip, berani, bijak berpidato serta amat disegani oleh kawan dan lawan. Berbanding Zaid Brahim, selain identitinya bekas politik wang UMNO dan pernah berjasa kepada Pusat kerana mengagalkan istilah 'hudud' di Kelantan, apa kah lagi jasa dan pengalaman beliau untuk rakyat di negara ini? Tepuk poket seluar, beli akhbar Pakatan, jangan tepuk poket beli akhbar Utusan.