Tuesday, May 14, 2013

13 Kerusi PAS di Kelantan Merosot

ANALISA P RAYA                                                                                                            

Walaupun PAS Kelantan masih boleh berbangga kerana masih mampu mempertahankan kerajaan untuk penggal ke enam berturut-turut, tetapi hakikat parti itu mengalami kemerosotan pada pilihan raya lalu tidak boleh di kesampingkan. Hattta kemerosotan itu tidak seteruk tahun 2004 sehingga PAS hanya berkuasa dengan kelebihan undi dua kerusi, tetapi kemerosotan kali ini juga sesuatu yang membahayakan PAS sekiranya ia tidak dijagai dan diawasi dari sekarang.

Sekaligus kemerosotan ini seakan membuktikan dakwaan Umno Kelantan untuk menawan negeri itu ada kebenarannya.

Faktor Tokguru peribadi Nik Aziz tidak boleh dianggap remeh. Walaupun kekuatan PAS kepada dasar dan prinsip parti; Islam tetapi peranan sosok individu tidak boleh dinafikan. Di samping mempertahankan prinsip-prinsip Islam yang menjadi dasar dan pegangan parti, PAS Kelantan perlu membina personaliti di kalangan para pemimpinnya. Intergriti seorang pemimpin adalah mustahak. PAS Kelantan harus mengadakan seorang personaliti yang boleh menjadi galang ganti kepada Tokguru dalam tempoh beberapa tahun ini.


Penggantian itu bukan saja setakat pandangan zahir, berserban, berkopiah tetapi pembawaan dan penampilan serta yang istiqamah dengan syariah Islam.

Hari ini Ahmad Yaacob sebagai Menteri Besar. Maka eloklah beliau dinobatkan sebagai pengganti atau menjadi Tokguru. Panggilan atau gelaran Ustaz hendaklah dilebatkan. Menjadi personaliti yang mengambil alih tempat Tokguru. Ahmad Yaacob hari ini diibarat permata yang baru diikat, maka wajarlah kalau ramai-ramai berpakat menggosok batu ini agar bersinar kalau pun tidak sampai keluar jin hikmat.

Sudah menjadi lumrah batu selagi ia tidak diikat, ia tidak akan menyerlah sinar dan 'gawe'nya tidak akan tersembur keluar memanah biji mata. Tetapi sesudah diikat dan disarungkan dijari manis maka ia akan gah dan mulailah menampakkan akan nur dan kemilaunya yang selama ini tersusuk akan muncul.

Berbalik kepada pencapaian PAS, meneliti kepada keputusan pilihan raya lalu terdapat 13 kerusi Negeri yang PAS mengalami kesusutan undi 109 - 831 undi dan empat kerusi membawa kepada kekalahan. Kerusi yang kalah ialah; Air Lanas (748), Selising (676),  Dabong (323)  dan Gual Ipoh (259).

Kerusi-kerusi yang mengalami kesusutan undi majoriti ialah 1. Kelaburan (109), 2. Tendong (679), 3. Chetok (685), 4. Gual Periok (118), 5. Tawang (166), 6. Jelawat (920), 7. Bukit Panau (443),  8. Kemahang (496),
9. Limbongan (591), 10. Gaal (21), 11. Pulai Chondong (616), 12. Temangan (154), 13. Mengkebang (831).

Empat kerusi yang antara faktornya kerana kedegilan PAS untuk tidak menukar calon berkenaan kepada muka baru. Abdullah Yaacob (Air Lanas), Saipul Bahrin (Selising), Wan Yusuf Wan Mustafa (Gual Ipoh) adalah muka lama yang sudah dicadangkan agar ditukar kepada muka baru. Jelas pertukaran kepada muka baru membawa kemenangan besar atau berlaku peningkatan undi, misalnya di Perupok, Melor, Limbongan dan Kemuning. Penampilan muka baru kawasan itu bukan saja dapat mempertahankan kerusi berkenaan tetapi menambah majoriti.

Di Melor, Dr Mohd Yusnan Yusuf meraih 10,590 menambah sebanyak 873. Di Kemuning Mohd Rosli Ismail meraih 10,049 menambah sebanyak 118. Manakala di Perupok Mohd Huzaimy Hussein meraih 12,370 menambah sebanyak 218 undi. Begitu juga di Demit, Muntaz Mat Nawi mendapat 15,302 menambah sebanyak 3,782. Dan di Pasir Tumbuh Abdul Rahman Yunus meraih undi sebanyak 9,972 menambah sebanyak 1,098.

Manakala muka lama yang masih dikekalkan tetapi mengalami penurunan undi ketara seperti di Gual Periok, Ahmad Awang susut sebanyak 118 undi. Kawasan yang mengalami kesusutan paling banyak ialah Mengkebang sebanyak 831 undi. Kemerosotan undi di Mengkebang agak anih sedikit mungkin faktor kerana kelemahan dan ketidakmampuan calon Abdul Latif Abdul Rahman sebagai ketua pemuda yang gagal menunjukkan prestasi sebagai wakil rakyat dan terlalu kuat berpuak-puakan.

Begitu juga sedikit agak menghairankan kawasan yang diwakili Exco juga mengalami kesusutan di mana jika hendak dikira kemudahan dan fasalitis yang mereka milik tidak seharusnya berlaku demikian. Kawasan Kemahang yang diwakili Md Anizam Abdul Rahman (Exco) susut sebanyak 496 undi, manakala kawasan Temangan diwakil Dr Mohd Fadzli Hassan (Exco) susut sebanyak 142 undi. Kita boleh faham kenapa Anizam mengalami kesusutan majoriti sebab dia orang lama tetapi bagaimana pula dengan Dr Mohd Fadzli? Seorang lagi Exco Abdul Fatah Mahmod di Bukit Panau juga mengalami kesusutan sebanyak 443 undi.

Kesusutan undi PAS hampir semua melibatkan kawasan luar bandar. Manakala kawasan bandar atau urban semuanya meningkat antara 5 hingga 10 %. Hasil ini menunjukkan pola pengundi di luar bandar masih lagi terikat dengan terma-terma politik tradisi dan masih belum berganjak sepenuhnya.

Menyedari hakikat ini barang kali wajar kalau PAS membuat persediaan awal untuk mengganti calon-calon yang semakin menghujung dan gagal mempertahankan majoriti masing-masing. Barisan pelapis baru perlu disediakan untuk mengambil alih. Dan pemimpin lama juga hendaklah insaf dan jangan berdegil atau mahu menjadi calon sampai menongkat langit dan kesemua 32 gigi atas dan bawah luruh.

Menyimpulkan dari segi prestasi dan lonjakan ternyata UBN berjaya berbanding dengan PAS. Sekiranya diandaikan 13 kerusi yang mengalami kemerosotan itu dimenangi UBN dan dicampur dengan 12 kerusi yang diperolehi 5 Mei lalu ini bermakna UBN sudah pun menguasai Kelantan dengan mendapat 25 kerusi. Mustapa Mohamed sebagai komander UBN boleh berbangga dengan pencapaian itu walau pretasi melonjak UBN itu mengagalkan dia mengangkat sumpah sebagai MB Kelantan.

Elok juga kalau UBN membuat kajian kenapa galah mereka tidak kesampaian untuk menjolok bulan 5 Mei lepas, apakah kerana salah ibu mengandung ataupun salah tektik dan strategi. Kenapa PAS sekali lagi diingatkan perlu membuang titik begini dan menumpukan kepada pembangunan negeri secara sepakat. Laksanakan  apa-apa yang menjadi keinginan rakyat terutamanya perumahan, kemudahan asas dan perbanyakan aktiviti berkebajikan untuk segenap lapisan masyarakat. [wm.kl. 12:47 pm 14/[05/13]

3 comments:

tokgaru said...

Alhamdulila. Berkat doa Nik Aziz. Allah makbulkan dan anugerahkan kejayaan cemerlang kepada Pas di Perak .. Pas meninggalkan DAP 13 kerusi di belakang.

DUN Perak : Pas 18 kerusi, DAP 5 kerusi.

Tahniah kepada Pas. Millions of thanks to God (Allah).

Unknown said...

Us Ahmad Awang mmg lemah kalu banding dgn lain2. Percakapannya dan juga tindakannya. Harp komen Pak MSO dapt memberi tindakan kpd org yg berakal.

Shahrul said...

Tokgaru..Mu jangan duk buat main2 nama Allah..silap haribulan, Allah bayar cash kat atas bumi Dia lagi..