Wednesday, May 7, 2014

Kekaburan mengenai hudud masih tebal

ULASAN WACANA                                                                               

Baru sekejap berakhirnya wacana mengenai hudud bertajuk: Hudud: Bersediakah Kita, anjuran akhbar Sinar Harian yang mengemukakan empat orang penalis, ilmuan Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan presiden MCA, Wee Kah Siong dan Timbalan Pengarah Institusi Wasatiyyah Malaysia, Musaddad Hasbulah. Wacana itu dikendalikan oleh akademis, Dr Mazlee Malik.

Wacana hudud anjuran Sinar Harian.
Bila wacana itu meletakkan tajuk demikian, maka saya memfokuskan perhatian atau menanti jawaban apakah persediaan kerajaan Kelantan dan juga seluruh umat Islam serta penduduk negara ini dalam menanti perlaksanaan hukum hudud. Sejauh manakah persediaan kita terhadapnya. Kelantan akan bercadang untuk muncul sebagai negeri pelopor hukum hudud.



Apakah pihak kerajaan Kelantan sebagai pelopor sudah siap menyediakan prasarana diperlukan ke atas pelaksanaan hukum berkenaan, seperti tenaga manusia (man power) yang akan bertanggungjawab ke atas pelaksanaanya sekiranya ia mendapat laluan oleh Perlembagaan. Setelah lebih 20 tahun mencita-cita itu sudah tentu kerajaan Kelantan sudah bersiap sedia?

Saya mengharap sangat Nik Amar akan menyebut dan menghuraikan serba rengkas segala persediaan atau aset-aset yang ada untuk ke arah itu seperti berapa ramai jumlah hakim, pendakwa dan pegawai-pegawai atau kakitangan lain. Kalau tidak silap sebelum ini beliau sudah menyebut bahawa hakim dan kakitangan lain sudah pun ada tetapi tidak dapat disebut secara terperinci. Bagaimana pun sepanjang wacana tadi selama dua jam, beliau tidak menyebut persediaan oleh pihak Kerajaan Kelantan. Mungkin ia masih dalam peringkat rahsia.

Cuma apa dijelaskan Nik Amar mengenai asas atau pun cetusan kenapa kerajaan Kelantan hendak melaksanakan hukum berkenaan. Menurutnya segala-gala bermula daripada ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Bahrom di parlimen yang mengatakan bersedia untuk memberi laluan kepada kerajaan Kelantan melaksanakan hudud.

Selain itu jelas Nik Amar asas yang digunapakai untuk laksanakan hudud ialah kerana dalam perundangan negara ini belum ada hudud, jadi kerajaan Kelantan mengambil kesempatan yang diberi untuk menerapkan hudud dalam perlembagaan kerana ia adalah tanggungjawab agama dan sosial.

Wacana tadi lebih banyak kepada menjelaskan mengenai kekeliruan mengenai pemahaman hudud dan filsafah serta keperluan melaksanakannya daripada menyatakan persediaan yang dibuat serta aset-aset yang ada. Secara umumnya masih ramai yang tidak faham hudud, masih keliru hudud dianggap sebagai kewajiban seperti sembahyang, puasa atau yang lain.

Misalnya Wee Kah Siong masih mempersoalkan dari segi kemanusiaan mengenai keadilan hudud apabila ia dianggap sebagai undang-undang kedua negara ini. Kerana beliau memahami hudud itu sebagai ciptaan manusia, Kah Siong mengiranya ia melanggar kontrak sosial (Perlembagaan). Perkiraan mengikut logik akal oleh timbalan presiden MCA itu menyebabkan beliau merasakan hudud tidak adil dan menolaknya.

Beliau memberi hujah, apabila kelonggaran diberi kepada pesalah hudud (bersama dengan bukan Islam), yang tidak dihukum dengan hudud sementara Islam dihukum dengan hudud hingga terpaksa potong tangan, bagi Kah Siong itu tidak adil. Dalam konteks kemanusiaan juga menurut fahamannya enakmen kanun hudud diperkenalkan di Kelantan itu sebagai menafikan hak persaksian dalam sesuatu kes bukan Islam kerana mereka tidak berhak menjadi saksi. Bagi Kah Siong apabila bukan Islam tidak valid untuk dijadikan saksi maka ia dianggap diskriminasi.

Jelas apa yang ditimbulkan oleh Kah Siong itu menunjukkan kefahaman bukan Islam, hatta sesetengah orang Islam sendiri mengenai hudud belum masak dan lumat. Perbezaan enakmen hudud Kelantan dengan Brunei juga, dimana di Brunei semua pesaalah tidak kira Islam atau bukan akan dihukum dengan hudud, tetapi sebaliknya tidak di Kelantan. Ini menimbulkan kekeliruan sehinggalkan hudud dianggap sebagai bercanggah di antara satu sama lain.

Dr Mohd Asri pula yang lebih cuba meneuteraliskan fahaman hudud, kelihatan lebih terbuka dan rasional dalam menerima hukum hudud. Baginya sebagai seorang Islam tidak menolak hudud kerana ia adalah ketetapan yang ada dalam Quran. Namun apa perlu difikirkan makenisme untuk melaksanakannya perlulah sempurna sehinggakan tidak menimbulkan fitnah. Beliau lebih menekan atau meragui sejauh mana kalau hudud dilaksanakan ia memberi keadilan sejagat.

Dalam konteks atau semangat Islam sebenar katanya, apa dipentingkan bukan hukum hudud, tetapi jaminan sejauh mana akan berlaku adil untuk tidak memberi kesan kepada bukan Islam sehinggakan menyebabkan mereka lari meninggalkan Islam. Beliau bimbang sekiranya hudud dilaksanakan secara tergesa-gesa ia memberi kesan yang buruk.

Justeru beliau membuat anologi seperti hendak menurunkan kapal terbang ia perlu disediakan landasan yang baik. Hudud katanya sesuatu yang indah, tetapi kalau pelaksanaannya tidak kena, keindahan itu akan hilang.

Wacana tadi bagi saya terlalu singkat dan tidak memuaskan kerana penjelasan kepada mauduk yang ditetapkan tidak kesampaian. Ia lebih fokus kepada masalah pengertian tentang hudud itu sendiri yang diterima sebagai satu undang-undang baru terutamanya oleh bukan Islam. Adalah elok kalau wacana mengenai hudud, pengertian, keperluan, kewajiban dan kesan kepada pelaksanaannya dibincang secara mendalam oleh semua lapisan dalam suasana lebih harmonis lagi tanpa ada tempias emosi politik. Sesudah itu barulah cadangan pelaksanaan diangkat ke tengah masyarakat.

Tidak terlambat bagi Kelantan (Pas) atau kerajaan Persekutuan (Umno) untuk memberi pemahaman ini, apa yang pentingnya ia mula dilaksanakan. Tidak semestinya hudud dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa dan segera kalau maksud dan hikmah disebaliknya tidak tercapai. Biar lambat asalkan terlaksana.

Saya bersetuju dengan anologi Dr Maza, hukum hudud samalah dengan hukum menunaikan haji. Haji diwajibkan ke atas orang Islam, kaya atau miskin, tetapi kalau jalan atau suasana untuk semasa hendak melaksanakannya tidak mengizinkan seperti berlaku bencana alam di Makkah, peperangan dan sebagainya, maka hukum yang wajib itu boleh ditangguhkan. Dan inilah kesederhanaan dan diplomasinya Islam sebagai way of life.

Apapun terima kasih kepada pihak penganjur terutamanya kesediaan Nik Amar bagi pihak kerajaan Kelantan untuk memberi pencerahan mengenai hudud. [wm.kl.7:44 pm 07/05/14]

2 comments:

bat8 said...

Tuan

Memang betul isu ini makin kabur. Tanda2 awal PAS Kelantan nak reboh terak sembam muka dulu dah mula nak nampak.

Nik Amar kata Kelantan akan laksanakan hudud apabila diluluskan lagi. Tu semo ore tahu.

Nik Amar dok cerita apa2pun apa proses yang perlu dilalui dengan senario yang ada didepan mata. Kita pun nak tahu sebab kita nak bantu setakat mana kita boleh.

Loni guano Nik Amar? Demo jange kato tok tahu nok wat guanow....jangan tolak kepada UMNO. UMNO meme toksey. Kalau UMNO nak tolong sangat kita nampak doh usaha belah UMNO.

Paling2 busuk UMNO dah bincang peringkat mesyuarat bulanan MKT dan satu kenyataan yang jelas tentang apa benda yang UMNO a

Unknown said...

Setuju dengan pandangan Dr Maza. Semua umat Islam wajib bersetuju dengan hukum hudud tapi dalam usaha nak melaksanakannya kena ada kemampuan dan persediaan. Jadi kalau dah tahu tak mampu mendapat sokongan majoriti, berjuanglah dahulu menguasai kerajaan persekutuan. Ini tak, terus saja nak laksanakan dan sibuk dengan hukum potong tangan nak menggunakan doktor pakar. Nik Amar, dalam forum tu beritahulah persediaan dan kemampuan kerajaan Kelantan, tak ada yang perlu dilindungi atau sulit dalam hal ini.