Tuesday, March 31, 2015

Untuk apa lagi Najib hendak nyatakan sikap mengenai Hudud...

PANGGANG RASA                                                                    

Menurut Setiausaha Agung Umno Teuku Adnan Teuku Mansor, Najib Razak akan menyatakan pendirian berhubung Hudud Kelantan dalam masa terdekat. Sehingga kini Najib tidak menyatakan apa-apa pendiriannya walaupun urusan kenduri kendara anaknya sudah beres.

Jadi kenyataan umumnya sebelum ini di Kedah berbunyi "no hudud in Malaysia" boleh diterima pakai. Ertinya Najib tidak bersedia untuk bersekongkol dengan Pas yang bercadang untuk membawa RUU persendiri di parlimen.

Apabila Najib mendiamkan diri, maka Speaker Dewan Rakyat bolehlah meletakkan notis ahli Parlimen Marang untuk mengemukakan usul persendirian dalam fail yang ditanda dengan perkataan "Perkara-perkara yang tidak perlu disegerakan."


Lagipun untuk apa Najib bangun menyatakan sikap mengenai langkah kerajaan Kelantan itu. Semua 12 wakil Umno di DUN Kelantan sudah bersetuju dengan pindaan Hudud yang dilakukan baru-baru ini. Umno Kelantan sudah berjaya membaiki persepsi diri mereka di mata rakyat Kelantan. Umno kini tidak lagi dituduh sebagai menentang Hudud sebaliknya penyokong kuat Hudud sampai ada yang mengalirkan air mata.

Itulah yang Umno sedang cari dan usaha selama ini, meletakkan Umno selesa di mata rakyat dan tidak menganggap mereka menentang dan menolak Islam. Melakukan penormaan Umno sama dengan Pas. Taktik Umno yang tidak dapat dicapai selama ini ialah untuk meletakkan taraf dan nilai Umno sama dengan taraf dan nilai Pas. Umno ditolak di Kelantan ialah kerana sebilangan rakyat Kelantan tidak beranggapan Umno sebagai parti Islam.

Selepas ini isu Umno bukan parti agama tidak boleh dimainkan lagi. Umno bukan sahaja menggunakan isu mereka membina masjid, memberi gaji kepada guru-guru Kafa sebagai menandakan mereka pejuang Islam, tetapi langkah mereka menyokong Hudud adalah bukti baru bagi menandakan parti itu sudah berubah. Secara tidak langsung juga Hudud bukan lagi modal bagi Pas.

Jadi untuk Kelantan sudah cukup. Justeru buat apa Najib menyatakan sikapnya. Beliau tidak perlu mengeruhkan suasana dalam BN mengenai Hudud. Bukankah komponen BN, MCA dan Gerakan serta rakan di Sabah dan Sarawak sudah menunjukkan sikap mereka sama seperti DAP menolak Hudud?

Tidak perlu bagi Najib berkata sesuatu mengenai Hudud. Kalau di Kelantan Umno sudah berjaya memulihkan penerimaan rakyat kepada parti nasionalis itu, di Kuala Lumpur juga sasarannya sudah tercapai apabila DAP dan PKR kini sudah berperang besar dengan Pas gara-gara Hudud. Pergaduhan sesama sendiri dalam Pakatan Rakyat itulah yang dikehendaki Najib bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai PM.

Tuduhan Pakatan Rakyat kepada Najib dan BN sedang bermasalah akan dijawab dengan menceritakan menerusi televisyen dan akhbar apa yang sedang berlaku dalam Pakatan Rakyat gara-gara Hudud itu.

PKR dan DAP Sabah sudah pun mengityharkan mereka putus hubungan dengan Pas semalam. DAP Sarawak juga telah membuat perkara sama meninggalkan Pas dan akan membentuk Pakatan Rakyat baru. Malahan di Penang sendiri Lim Guan Eng sudah memutuskan hubungan dengan Presiden Pas Abdul Hadi Awang.

Perkembangan itu semua memberi keuntungan buat Najib dan BN, jadi untuk apa dia perlu menyatakan sikapnya lagi mengenai Hudud. Najib perlu diam dan biarkanlah Pas menanti dan menunggu pendiriannya mengenai Hudud. Selamat menanti pendirian Najib mengenai Hudud duhai Pas dan Pas juga sedar Najib juga sedang menanti apakah yang akan berlaku dalam muktamar Pas Jun nanti. [wm.kl.1:10 pm 31/03/15]

4 comments:

Unknown said...

Setiap muslim akui hudud termaktub dlm quran

Tetapi tidak dpt difahami apakah hikmah pendekatan luar biasa PAS dlm perlaksanaan hudud tergesa2 ini. Secara umumnya kesan sikap PAS yg gopoh dlm perlaksanaan hudud ini
1. Bukan islam menjauhi islam lebih ketara
2. PAS bakal kehilangan kuasa politik dlm PRU akan datang. Mgkn akan hilang selangor, kelantan. pulau pinang kekal majoriti dlm tangan DAP
3. Rakyat lebih merana kerana sandaran yg di harapkan PR bakal tumbang. BN akan menggila kerana pembankang lemah
4. Imej islam terjejas teruk dgn pendekatan PAS atau TGHH. sukar utk mempercayai PAS lagi
5. Golongan profesional menjauhi PAS atas sebab PAS hanya di manipulasi oleh golongan agama yang amanah tapi tidak ada quwwah. atau tidak bijak berpolitik.

Di mana keuntungan yang islam dapat dari sikap PAS ini. Saya secara peribadi melihat keputusan hudud ini lebih dari keputusan emosi TGHH tanpa percaturan politik yg bijak

IbnAbdHalim said...

...dan dgn sebab itulah juga Pas akan berputih mata PRU14 nnti.

bat8 said...

Tuan,

Setuju dengan pendapat tuan yang Najib tidak perlu menyatakan p3ndirian b3liau meng3nai hudud sekarang kerana matlamat UMNO sudah tercapai. Tercapai untuk m3mbaiki imej Islam UMNO dan juga untuk merosakkan PR serta PAS sendiri.

Pada saya mattlamat UMNO bukan sahaja untuk meruntuhkan PR tetapi untuk mel3mahkan PAS yanh dilihat boleh menggantikan UMNO sebagai wadah baru orang melayu Islam di negara ini tidak lama dulu.

Pada saya matlamat ini 1/2 berjaya. Walau apapun PAS buat untuk meruntuhkan PR, PR akan survive. Mungkin akan ada kesan besar dalam PRU 14 ini tetapi PR.akan lebih kukuh dalam P4U 15 walaupun tanpa PAS.

Yang akan menerima mesan yang terok saya rasa PAS. Percayalah setelah UMNO berjaya mencapai matlamatnya untuk memecahbelahkan PR dan PAS, UMNO tidak memerlukan PAS lagi. UMNO lagi cerdik. Sudah pasti UMNO tidak mahu onar dan sabotaj yang dibuat ol3h PAS berlaku padanya. Lagipun bagi UMNO pilihannya amat jelas samada mengukuhkan BN atau mengutamakan PAS sahaja. Pokok persoalannya nanti akan berkisar berapa kerusi pa4lim3n BN bol3h sumbang dan PAS bol3h sumbang. Jadi pilihan UMNO tentunya BN apatah lagi PR dwn PAS sudah lemah haeil kerjatangan seg3lintir tok l3bai UG dalam PAS.

Abootarbus said...

Amat menghairan bila menipu ulamak lebih mudah daripada menipu gulungan professional..........ulamak ulamak......sila kaji semula status ulamak kamu wahai mursyidul dan Presideng.