Tuesday, December 18, 2018

Apa yang Izzah mahu?

ULASAN RINGKAS

Izzah perlu ambil semangat ayah dan ibunya
dalam berpolitik.
NAK ulas sikit fasal Nurul Izzah yang telah melepas semua jawatan parti dan jawatan kerajaan (politik) yang disandangnya. Sebenarnya malas dah nak ulas fasal politik yang penuh kerencaman ini. Tetapi kerana sudah berjanji dengan diri sendiri, maka dibuatlah sedikit ulasan ini.

Dalam survei yang saya buat dalam Facebook, ramai yang tidak setuju dengan tindakan Izzah itu. Dari jumlah 200 yang mengundi lebih separuh mengatakan ia tidak wajar. Selebihnya mengatakan wajar tindakan itu atas prinsip dan integriti? 

Kalau lantaran prinsip saya tidak tahu prinsip apa? Apakah tindakan Izzah itu sungguh hendak mempertahankan prinsip, integriti atau apa. Apakah kerana tidak tahan berhadapan dengan kritikan yang dilemparkan terhadap beliau dan partinya? Siapa yang mengkritik atau tidak senang dengannya, Latheefa Koya atau Azmin Ali. Kalau dua mereka ini sudah lama bersikap begitu... ia tak menghairnankan.
Kritikan dalam politik adalah biasa. Bapaknya Anwar Ibrahim tidak pernah lekang menghadapi kritikan. Kritikan itu sewajarnya kerana kadang-kadang ia bukan disengajakan tetapi kerana ulah kita juga. Jika kritikan itu merupakan pisau atau pedang sudah hancur lebur diri Anwar itu. 

Namun, nah beliau tetap utuh berdiri menahan tubuhnya dari segala cincangan dan lancaran pedang durjana itu. 

Airmata sudah berkolam.

Dan jika Izzah ingin lari dari kritikan, dia tidak perlu bermain politik. 20 tahun tempoh dilalui dia sudah tahu jerit perihnya. Air matanya sudah berkolam, deritanya sudah berela-ela panjangnya. Masakan pengalaman dilalui itu tidak boleh dijadikan sempadan dan kekuatan untuknya menghadapi kritikan yang kecil itu? 

Dalam kenyataan Izzah mengumumkan tindakan itu, ada semacam nada kecewa dan geram? Kalau kecewa kerana apa? Jika geram pula angakara apa. Apakah harapannya tidak terpenuhi. Apakah yang Izzah harapkan dalam politik. Untuk jadi menteri? Atau pun untuk melihat bapanya mengangkat sumpah menjadi perdana menteri agak yang lewat? 

Kalau kecewa kerana kelambatan itu, ternyata Izzah seorang yang tidak boleh menahan diri. Bapaknya akan mengangkat sumpah bila-bila masa sahaja. Percaya dan yakinlah selepas Dr Mahathir, adalah bapaknya perdana menteri. Tidak ada sesiapa berhak dan layak untuk mengganti Dr Mahathir kecuali sang bapak reformasi, Anwar bin Ibrahim.

Jadi kecewa kerana apa, geram dan kesal kerana apa? Begitu juga kalau Izzah kesal dan sakit hati kerana lawan, itu adalah lumrah dalam perjuangan. Sunnah orang berjuang dinesta dan dicemuh malahan difitnah pun ada. Tahap tertinggak dipenjara dan dibunuh, Sunnah ini harus dihadam sebaik mungkin. Jangan sesekali merasa kalah dan apologis dengannya. 

Jadi kecewa dan kesal kerana apa? Apakah ibu dan bapaknya menghalang sesuatu yang beliau ingini dan tindakan itu dibawa kepada tindakan politik yang ikut menapiaskan kepada orang lain juga? Kalau itu tidak baik. Aduh, kecewa sang bapak yang mengangkatnya menjadi pengerusi Keadilan negeri, kemudian si anak menolaknya. Percayalah sang bapa berbuat sesuatu terbaik untuk anaknya.

Jika pun Izzah tidak mahu menghormati Anwar sebagai bapak, tetapi hormatilah beliau sebagai presiden. Saya kira tindakan Izzah itu sedikit sebanyak menyedihkan Anwar dan juga ibunya Dr Wan Azizah.

Hal-hal perihadi dalam keluarga atau dalam diri kita jangan dihereret ke tengah politik kerana tindakan itu tidak baik. Ia mengecewakan harapan orang ramai. Izzah dipilih sebagai naib presiden Keadilan dengan undi terbanyak. Izzah seorang wanita diimpikan menjadi serikandi di masa depan. Izzah adalah duplicate kepada Dr Wan Azizah yang dikira akan berhenti setakat TPM sahaja. Nah, Izzahlah yang akan menyambung legasi ibunya, menjadi PM wanita pertama, setelah ibunya menatah diri menjadi TPM wanita pertama.

Percaya dan yakinlah, genggamlah takdir bahawa keluarga besar politik Anwar akan mencatat sejarah hebat dalam politik negara ini. Pengorbanan, kesabaran menghadapi tribulasi perjuangan selama ini oleh ketiga mereka, ayah, ibu dan anak serta seluruh keluarga, mewajarkan mereka membentuk empayar politik Malaysia. Orang lain jangan dengki kerana yang berhak itu perlu diberikan haknya itulah keadilan. 

Akhirnya diharap Nurul Izzah akan membuat semakan kembali, tenangkan diri, dan perbanyakan melakukan istikharah untuk menilai akan hajat yang kini tersemat dihatinya ekoran keputusan dibuat itu benar atau tidak. 

Izzah, ambillah keberanian dan kegigihan sang bapak, ambillah kesabaran dan ketenangan sang ibu gabung dan padukan untuk membahterai lautan politik dan dan perjuangan ini.
 [wm.kl.10:11 am 18/12/18]

No comments: