Thursday, December 6, 2018

Politik Perak bergolak?

Aziz dituding?
SESUDAH SUBUH

PERKEMBANGAN politik di Perak waktu ini agak menarik dan mengsuspenkan. Dari laporan media massa memberi gambaran politik di negeri itu berada di ambang pergolakan. Apakah peristiwa Januari 2009 akan berulang kembali, dalam senario tersendiri? Lupakah kita semua kepada peristiwa pada tarikh itu dimana kerajaan Pakatan Rakyat gugur dan diganti oleh kerajaan BN.

Atau pergolakan yang menghangatkan kini itu hanya dalam cawan sahaja. Pergolakan dalaman yang sengaja diriuh-randahkan. Yang pastinya perkembangan di Perak bakal menjadi bahan berita hangat dan tidak mudah dilupakan oleh pemerhati politik.
Ceritanya bermula apabila tersebar desas desus ada penolakan terhadap MB Ahmad Faizal Azumu. Beliau dihebuhkan cuba hendak disingkirkan dari kerusi MB. Ada pun sebab-sebab kenapa Faizal hendak disingkirkan kurang jelas dan semacam diada-adakan.

Desas desus itu mula dianggap sebagai benar apabila cerita itu didedahkan dalam sidang DUN Perak oleh Ketua Pembangkang Saarani Mohamad. Kononnya ada perancangan di sebalik episod itu ia melibatkan kalangan Exco Perak sendiri. Dalam usaha itu seorang Exco dikatakan cuba mendapatkan sokongan daripada empat orang Adun Umno bagi mengenapkan korum usaha penyingkiran itu. Empat Adun Umno itu sudah ditemui dan memberi sokongan usaha berkenaan.

Acara menyingkirkan Faizal itu memerlukan sokongan Adun Umno kerana dengan kekuatan atau Adun yang ada tidak boleh memenuhi maksud undi tidak percaya dilakukan. Hari ini Pakatan Harapan ada 31 Adun termasuk Faizal sendiri. Sementara tiga daripada Adun PH itu akan menentang usul itu termasuk Faizal sendiri.

Kedudukan itu menyebabkan usul itu tidak akan berjaya kecuali mendapat sokongan daripada Umno sekurang-kurang empat Adun. Seperti mana dihurai dan didedahkan oleh Saarani Mohamad, undi tidak percaya akan diperolehi apabila mendapat empat sokongan Adun Umno.

Perkara ini nampaknya tidak dongengan lagi sebab ianya didedahkan dalam Dewan Undangan Negeri Perak dua tiga hari lepas. Apakah sesuatu yang direkayasa boleh dibawa ke dalam Dewan yang mulia.
Sejauh mana pendakwaan Saarani itu benar, tidak dapat disahkan. Beliau mengakui ada suruh sumpah (SD) daripada empat Adun yang cuba “diculik” itu. Sepatutnya Saarani menyebut satu persatu nama-nama Adun berkenaan bukan sahaja menceritakan kronologi macam mana mereka didekati untuk mendapat sokongan.
Saarani dedah usaha nak
jatuhkan MB.

Exco yang dituding menjadi dalang dalam usaha itu ialah Adun Tebing Tinggi, Abd Aziz Bari. Agak tidak logik kenapa Aziz yang menjadi mediatornya. Dia adalah daripada DAP di mana sukar bagi mana-mana Adun DAP untuk diangkat menjadi MB. Beliau ada menjelas dan menafikan tidak tahu menahu dengan usaha berkenaan. Sebaliknya mengakui menyokong MB.

Yang menarik di sini, tindakan untuk menyingkirkan Faizal sebagai MB Perak berbunyi pada setiap kali sidang Dewan hendak diadakan. Sebelum sidang terbaru, sudah meletus cerita itu. Apa yang kena difikirkan kenapa timbul cerita itu. Kalau tidak ada mengadakan masakan tempua bersarang rendah.

Mengejutkan juga, dilaporkan semua Exco tidak sebulu dengan MB berkenaan. Situasi inilah memungkinkan timbulnya cerita beliau hendak disingkirkan. Kalau semua Exco sudah tidak sejalur dengannya, sukar untuk MB itu menjalankan tugasnya sebagai MB Perak. Seorang MB memerlukan sokongan dan dukungan kesemua para pegawai Eksekutifnya. Tanpa sokongan kerajaan Perak tidak dapat berjalan lancar.

Jika benarlah apa yang diutarakan itu, maka wajar kalau Ahmad Faizal sendiri mengambil keputusan drastik dan berani mengosongkan kerusi MB Perak. Dalam keadaan hilang kepercayaan para Exco itu sukar untuk beliau bekerja. Satu cara lagi ialah beliau meminta semua Exco yang tidak sebulu dengannya meletak jawatan dan lantik Exco baharu.

Manakala seandainya usul undi terhadap kepada MB itu tidak dapat dilakukan kerana ketidakcukupan korum, para Exco boleh menghadap Sultan Perak menyatakan mereka hilang kepercayaan kepada MB itu. Jika keadaan sudah terdesak, tidak salah kalau tindakan itu diambil demi kebaikan kerajaan PH.

Bagaimana pun semua pihak di Perak seharusnya mengutamakan kelicinan perjalanan kerajaan daripada memikirkan kepentingan diri masing-masing. Dan hendaknya isu mahu menyingkirkan MB itu setakat jadi ribut dalam cawan tetapi jangan sampai bertukar menjadi ombak di lautan pula. Bagi rakyat yang masih teruja dengan kejayaan PH menumbangkan BN amat menyesal kalau tiba-tiba kerajaan PH di Perak bergolak. [wm.kl.7:53 am 06/12/18]

No comments: