Thursday, January 3, 2019

K Bali - sasterawan yang terbuang tetapi dibilang Leo AWS

SOROTAN BUKU 

Buku mengisahkan K Bali.
GHALIBNYA saya dikirimkan sendiri oleh Sdr Leo A.W.S. atau nama sebenarnya Abdul Waled @ Suhaimi Smail, apabila ada buku atau apa-apa sahaja nota ilmu baharu daripadanya. Selalunya antologi sajak yang dibauri dengan pelbagai rencana. Saya kagum dengan penulis/penyair seorang ini yang berusaha sendiri merakam segala catatan variasi sasteranya dan menerbitkan sendiri dalam bentuk buku atau antologi.

Beliau seorang penulis berdikari yang rajin dan gigih.

Walaupun ada penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan penerbitan lain?, menerbitkan bukunya, tetapi itu tidak cukup untuk merakamkan sekian banyak karya-karyanya. Leo bukan sahaja merakam karya terbaharunya tetapi mengumpul apa sahaja catatan yang ada mengenai dirinya, termasuk surat-suratan sebagai autobiografi kreatif.

Apa hendak saya namakan penulis macam ini, apakah dia seorang penulis autobiografi diri, atau apa? Dan bolehkah saya kategorikan buku atau antologinya sebagai "dalca?" (Maaf). Apa pun kerja orang yang rajin sepertinya perlu dihormati dan saya sangat mengkaguminya. 

Allahyarham K Bali
Wajar kalau ada pihak mengiktiraf kerjanya ini. Beliau tidak mengharapkan kepada orang lain, mungkin kerana sudah arif dengan “lughrah” kehidupan manusia yang suka bersikap double standard dan hipokrasi sementara beliau pula tidak ada ilmu bodek.

Sekali imbas cara Leo hidup dan menatang kerjanya, sama seperti saya dan penulis buku politik, terpaksa menerbit sendiri buku-buku politik kerana tidak ada penerbit yang sanggup memikul beban dengan apa-apa angkara disebabkan buku politik. Kesemua lebih 50 judul buku saya, saya kerjakan sendiri tanpa diterbitkan oleh mana-mana penerbitan.

Ada perbezaan saya terbit sendiri kerana penerbit takut kepada risikonya, manakala buku-buku sastera kerana penerbit mengira ianya tidak laku dan kurang mendapat sambutan.

Berbeza untuk buku terbaru beliau yang dinamakan “Sebuah Biografi - Autobiografi Kreatif K Bali @ Tenh Beng Chua (Abdul Rahim Abdullah)”, kali ini. Buku itu saya terima daripada Husam Musa. Husam juga seperti saya, mengkagumi Leo menghasilkan kitab-kitabnya, cetak kemudian jual-jaja sendiri.

Leo AWS, tahniah dan terima kasih
kerana mengenang K Bali.
Foto FB Leo.
Semasa menghulurkan ole-ole terbaharu Leo itu, Husam meminta saya membuat sedikit catatan atau ulasan buku baharu Leo dalam blog, tujuan memberi publisiti untuk membantu Leo. Pesan Husam: Enta ulas sikit dalam blog, sertakan nombor telefon Leo. Mana-mana orang ingin memiliki buku itu dan membantunya boleh terus berhubung dengan Leo.”

Penulis seperti Leo yang rajin perlu dibantu. Orang sepertinya bukan ramai, kata Husam. Tambahnya lagi, sepatutnya ada badan penerbitan atau kesusasteraan menilai kerja-kerja Leo dan membantunya. Tetapi sayang, hal ini tidak berlaku. Dunia kesusateraan kita masih lemah dan kesedaran untuk mengangkat darjat sasterawan tidak bersungguh.

Keadaan ini berlaku tentunya kerana sasterawan dan seni itu tidak dilihat seperti sebuah perniagaan yang menguntungkan. Walhal nilai seni dan sastera sesuatu bangsa itu tinggi darjatnya. Sepatutnya negeri Kelantan, negeri kelahiran Leo mengambil inisiatif ini.

Misalnya sejarah K Bali itu sendiri - yang dibukukan oleh Leo,  kata Husam sudah sewajarnya diangkat dan wajah K Bali perlu disangkut di dinding-dinding dan "biara" sastera negara.

Terima kasih.
Saya sangat berterima kasih kepada Leo kerana menghasil buku ini. Ia memberi maklumat dan menyintak akal tahu saya mengenai K Bali dan kerja sastera dan perjuangannya dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan tanah air.

Sebelum ini saya sendiri mengenali K Bali tidak lebih daripada kenalnya sebagai seorang penulis, tidak banyak mengenali diri dan kegiatannya. Beliau sangat low profile. Saya hanya menatap namanya di dada-dada akhbar dan membaca sajak-sajaknya atau rencana sastera dalam majalah awal tahun 70an, tanpa pernah terfikir beliau jauh lebih hebat dari itu.

Mengenai nama sebenarnya juga saya kabur. K Bali nama itu asing dalam kamus Kelantan. Tetapi dengan penerbitan buku Leo ini baru saya mengenali nama sebenarnya dan asal usulnya. Sebelum ini Husam pernah menceritakan mengenai sosok ini. Tetapi tidak banyak beliau kongsikan dengan saya.

Apa dikisahkan Husam mengenai K Bali saya hanya dengar sedengarnya sahaja, mengetahuinya beliau seorang penulis gigih yang merantau ke Sabah. Sedikit maklumat daripada Husam itu, K Bali juga mengenalkan saya K Bali rupa-rupanya orang Kelantan.

Dengan terbitnya buku Leo ini baru K Bali menjadi lebih jelas kepada saya. Bahawa beliau berasal di Tendong, Pasir Mas satu daerah pula dengan saya, yang sama sekali tidak mengetahuinya sebelum ini. Buku Leo ini mahal, kerana ia memperpanjangkan maklumat saya mengenai K Bali. Nama sebenarnya ialah Tenh Beng Chuan, dan nama Islamnya Abdul Rahim Abdullah. Rupa K Bali seorang saudara baharu. Berketurunan kacukan Siam dan Tiong-hoa.

Seorang yang bertuah dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Mendapat pendidikan dari tiga bahasa dan budaya, Melayu, Thailand dan juga Jepun. Beliau menggalas Diploma Perubatan Tradisional Thai dan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Nasional, Indonesia. Pencapaian itu meletakkan beliau seorang sasterawan berilmu berbanding dengan sasterawan sebaya dengannya, yang rata-rata berkelulusan sekolah rendah Inggeris dan Melayu pertengahan, seperti Usman Awang, P Sako (Ishak Mohamad), atau Kamaluddin Muhammad (Kris Mas) atau sasterawan senegeri dengannya S Othman Kelantan ataupun Fatimah Busu yang merupakan juniornya.

K Bali juga seorang wartawan yang menjadikan mata penanya senjata perjuangan kemerdekaan. Paling mengkagumkan lagi menjadi seorang peneroka dan pengembara dalam memperjuangkan sastera, rela meninggalkan negerinya dan merantau ke Sabah dan Sarawak.

Tahun 1956 beliau ke Sabah bekerja dengan akhbar Borneo News sebagai Pengarang (1956 - 1967). Beliau juga bekerja dengan Sabah Times sebagai penyunting 1982 - 1999. Hampir separuh usianya dihabiskan di rantauan.

Melihat tempoh beliau berkhidmat itu menunjukkan beliau adalah pelopor dunia kewartawanan khasnya di Sabah dan Sarawak. Di samping menjadi wartawan itulah beliau menulis sajak, cerpen dan juga novel. Penglibatan besar beliau dalam dunia sastera di Sabah itu secara tidak langsung beliau membangunkan sastera di sana dan menjadi sastera sebagai medium penyatuan kaum.

Menjadi lumrah dan "Sunnahtullah" bagi seorang pejuang. Mereka tidak mengharapkan dikenali jauh disanjungi. Hal ini berlaku kepada K Bali. Walaupun jasanya bertimbun, tetapi prinsipnya sebagai pejuang yang ikhlas tidak banyak diketahui.

Apa digarap Leo mengenai K Bali ini tepat sekali. Dan ia dipersetujui oleh Dr Nordi Ache seorang sarjana yang menulis Kata Pengantar dalam buku Leo ini.

Katanya:  "K. Bali dalam kalangan aktivis bahasa dan kesusasteraan kebangsaan di Sabah, tidaklah perlu diperkenalkan lagi ketokohannya, namun namanya hampir-hampir tidak dikenali diperingkat nasional. Di Sabah pula, di luar lingkungan bahasa dan sastera kebangsaan, nama K Bali mungkin tidak dikenali sesiapa pun.

"Benarlah jeritan batin Leo; K Bali merupakan sasterawan terpinggir! Tidaklah pula mustahil, K Bali sengaja dipinggirkan kerana di mana-mana pun ada duri dalam daging, atau kacang lupakan kulit - 

Garap Dr Nordi lagi: K Bali - Namun inilah hakikatnya di luar Dewan Bahasa dan Pustaka (Sabah), rakan seperjuangan serta anak didiknya.  K Bali, tidaklah dihargai selayaknya. K Bali seolah-olah bukan siapa-siapa, tetapi sumbangan kristalistiknya - kegiatan persuratan dalam perjuangan kemerdekaan Sabah (menerusi pembentukan Malaysia) serta pengisian zaman pengisian kemerdekaan Sabah semakin diabaikan dan tidak mustahil bakal dilupakan. Inilah resam pejuang jika tidak terbilang mereka terbuang."

Cuplikan Kata Pengantar oleh Dr. Nordi ini merupakan intipati untuk kita mengenali hati budi dan nasib malang serta ketinggian pengorbanan K Bali. Beliau tersangat hebat tetapi menjadi mangsa dalam dunianya sendiri.

Bak kata pepatah sejauh mana dagang merantau cukup musim dan ketika dia akan pulang juga ke bumi asalnya. Begitu juga dengan K Bali selepas menumpahkan budi dan jasa kepada bangsa dan negara di Sabah, akhirnya beliau kembali ke Tendong. Pengembalian ke tanah tumpah darahnya, seperti sudah tersurat, dia kembali untuk tidak akan ke mana-mana lagi.

Aliran tinta perjuangannya seakan sudah berhenti. Tanggal 17 Jun 1999 K Bali menghembuskan nafasnya dan diabadikan di perkuburan Tendong. Jika boleh dianggap bertuah, jenazah K Bali disembahyangi oleh arwah bekas MB Kelantan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mungkin kesempatan Nik Aziz menyembahyangi jenazah itu adalah satu pengiktirafan buatnya.

Kepada yang merindui dan ingin mengenali K Bali, serta merasai keindahan bahasa sastera dan ketajaman pena sasteranya, tidak begitu kempunan kerana sebahagian besar karyanya, berupa buku, antologi sajak dan makalah serta lain-lain dokumen mengenainya ada tersimpan di Pustaka Dar Az Zarrah di Kota Bharu Kelantan. Penyimpanan dan pengumpulan itu semua adalah atas inisiatif bekas Exco Kelantan yang merupakan pencinta ilmu dan ulat buku, Senator Husam Musa.

Barangkali baik dan penting bagi negeri Kelantan memberi satu pengiktirafan dan anugerah kepada wartawan dan pejuang besar negara kelahiran Kelantan, walaupun beliau sudah tiada lebih 20 tahun namun masih belum terlambat untuk menghormatinya. Biarlah lewat memberi penghormatan daripada tidak berbuat sesuatu sebagai mengenangnya.

Sedikit mengenai buku yang diperkatakan ini, memuatkan beberapa catatan kenangan dan pengamatan Leo kepada K Bali. Turut termuat beberapa buah karya berupa sajak K Bali. Kepada yang berminat boleh berhubung terus dengan sdr Leo, atau pun email dan konteks saya (019 2336996) kemudian saya akan sampaikan kepada Leo.  [wm.kl.5:46 pm 03/01/19]

No comments: