Friday, January 25, 2019

Pengamatan ringkas Pirake P 078 Cameron Highlands

ULASAN

SELEPAS penamaan calon Pirake P 078 Cameron Highlands dua kali saya turun ke kawasan pilihan raya itu. Bukan sangat sebagai peninjau atau penganalisis tetapi lebih sebagai pemerhati sambil makan angin dan minum tea Cameron sahaja.

Pemergian untuk mengalih hawa panas di Kuala Lumpur ke hawa dingin di tanah tinggi yang diterokai oleh Sir William Cameron pada 1885 itu.

Tidak banyak saya berjalan (pusing), hanya berkisar di pekan Sungai Koyan dan di Tanah Rata, di Ringlet, Brinchang, Lembah Bertam, Kea Farm dan Kampung Raja. Cukup di lokasi-lokasi ini sahaja. Berkereta sejauh kira-kira 100 km dari Sungai Koyan ke Tanah Rata sedikit sebanyak dapat membayangkan sejauh mana kehangatan dan kesengitan pilihan raya berkenaan.

Bendera merah biru nampaknya sama banyak, di pasang di bibir jalan. Disetiap jambatan dipenuhi dengan bendera kedua-dua parti bersilih ganti. Cuma bendera atau signboard PH nampak lebih kemas berbanding dengan bahan kempen BN. Maklumlah PH parti memerintah sekarang ini.

Signboard menabirkan wajah M Monagaran dan Dr Mahathir sudah cukup untuk menggambarkan kemewahan dan "kegahan" parti PH.

Sepanjang berada dalam kawasan sedang bertarung itu, saya hanya melewati simpang jalan untuk memasuki ke post-post Orang Asli tetapi tidak menjenguk ke dalam. Di persimpangan untuk masuk ke pos Orang Asli, bendera kedua-dua parti saling berkibaran menggambarkan mereka sedang bertarung hebat merebut perhatian Orang Asli.

Esok 26 Januari (Sabtu) merupakan hari pemutus. Seramai 32,000 pengundi yang layak akan keluar mengundi menentukan wakil rakyat mereka. Seperti umum sudah maklum walaupun ada empat calon bertanding tetapi pertandingan sebenarnya hanya di antara calon PH, M Monagaran dengan calon BN Ramli Mohd Noor.

Dua calon lain, seakan tidak wujud langsung. Bendera calon bebas yang menggunakan lambang Buku berlatar warna hijau, ternampak ada dua tiga helai tertusuk di celah kibaran Dacing dan Harapan, manakala bendera atau poster seorang lagi calon bebas, berlambangkan Cangkul langsung tidak tampak.

Ramalan dan andaian.
Sejak hari penamaan calon hingga ke saat ini, berbagai ramalan dan andaian dibuat mengenai pilihan raya berkenaan. Kedua-dua parti PH dan BN, menzahirkan keyakinan masing-masing dan terus membuat perang psikologi. BN optimis mereka akan menang, dan mengekalkan kerusi berkenaan. Manakala PH juga mengirimkan harapan yang sama, calon mereka M Monagaran akan merampas kerusi Cameron Highlands yang sebelum dimenangi BN.

Peramal memihak kepada BN menjangkakan parti itu akan menang dengan majoriti sekitar 2,000. Dan bagi PH saya menjangkakan kalau menang pun sekitar ratusan sahaja.

Secara adilnya kedudukan di antara keduanya sama gagah waktu ini. BN menguasai di Dun Jelai khasnya dalam Felda Sungai Koyan. Manakala PH pula menguasai Dun Tanah Rata. Dun Jelai kini dikuasai oleh BN menakala Dun Tanah Rata oleh DAP. Di Dun Jelai BN menang dengan majoriti 3,507 manakala di Dun Tanah Rata DAP menang 3,589 majoriti.

Bagaimana pun BN ada sedikit kelebihan apabila Pas menyatakan sokongan terbuka kepada calon BN.

Di bawah ini saya berikan sedikit pandangan dan dan kesimpulan hasil pengamatan saya terhadap pilihan raya itu.

Dari segi calon, BN ada kelebihan apabila menurunkan Ramli Mohd Noor, Orang Asli dari suku kaum Semai. Masyarakat Orang Asli sedikit sebanyak terpesona dengan bekas pegawai tinggi polis ini kerana beliau  dikatakan Orang Asli pertama diletak bertanding di kerusi parlimen. BN menjadikan pemilihan Ramli ini sebagai tanda keprihatinan BN kepada masyarakat Orang Asli.

Persaingan bendera kedua buah parti.
Masyarakat Orang Asli tentu berbangga dengan sejarah itu. Selain itu, Ramli juga mendapat simpati daripada orang Islam di Cameron Highlands, khasnya orang Pas. Kebetulan Pas tidak meletakkan calonnya. Lebih menggembirakan Pas menyatakan sokongan kepadanya.

Jadi kehadiran Ramli boleh menyelamatkan akidah orang Pas yang ingin mengundi pada pilihan raya itu kerana mereka ada pilihan untuk tidak berdosa dengan mengundi Ramli yang beragama Islam.

Presiden Pas Abdul Hadi Awang telah pun mengarahkan agar orang-orangnya mengundi BN. Hukum mengundi BN kata Hadi wajib.

Bagaimana pun calon PH, M Monagaran ada kelebihan tersendiri juga. Masyarakat India akan memberi sokongan kepadanya, khasnya orang-orang MIC yang kecewa kerana BN tidak memilih calon di kalangan mereka. Tanpa mengambil kira parti dan melihat Monagaran adalah keturunan India mereka akan memberi sokongan kepada calon seketurunan mereka. Apa lagi isu perkauman dan agama sedikit sebanyak melatari kempen pilihan raya itu. Keadaan itu sedikit sebanyak membantu Monagaran.

Justeru mengenai batang tubuh calon ini kedua pihak PH dan BN ada kelebihan masing-masing. Begitu juga dengan undi fixed deposit, keduanya ada undi simpanan tetap masing-masing. Ramli mempunyai undi Melayu khasnya di Felda Sungai Koyan sebagai undi feed deposit manakala Monagaran pula mempunyai undi Cina di Tanah Rata.

Menurut taburan undi mengikut kaum di parlimen itu, undi Melayu mewakili 33.44%,  Cina 28.42%, India 14.42% dan lain (Orang Asli) 23.67%.

Apa juga faktor menentukan kalah menang ia bergantung kepada peratus keluar mengundi. SPR mensasarkan 70% dijangka akan keluar mengundi. Pada pilihan raya umum lalu peratus keluar mengundi sekitar 78.49%.  Bagaimanapun peratus keluar mengundi esok diduga jauh lebih rendah daripada itu.

Berpandukan kepada peratus keluar mengundi dalam beberapa Pirake lalu, peratus disasarkan SPR itu agak sukar untuk dicapai. Dan sekiranya peratus mengundi rendah, katakan dibawah 60% ia memberi kesan buruk kepada parti pembangkang. Selalunya peratus keluar mengundi rendah akan memihak kepada parti kerajaan. Kalau peratus keluar mengundi dibawah 60% ini bermakna ia memberi harapan kepada PH.

Ada beberapa faktor menyebabkan peratus keluar mengundi mungkin rendah. Pertama kerana pengundi berada di luar tidak pulang. Kedua kemungkinan ada ada pengundi yang protes dengan tidak keluar mengundi. Ini boleh terjadi kepada undi Melayu dari kalangan Pas yang tidak senang dengan pendekatan parti itu menyokong calon BN.

Ada beberapa kejadian penyokong Pas tegar mempersoalkan tindakan parti agama itu memberi sokongan kepada BN. Mereka hairan kenapa dan jadi keliru selama ini,  berdekad mereka diajar bermusuh dengan BN tiba-tiba akhir-akhir menyeru agar mereka bersalaman dengan UBN. Langkah baru Pas ini katanya tidak disenangi dan inilah menyebabkan berlaku protes.

Dan faktor ketiga kemungkinan Orang Asli kurang keluar mengundi kerana masalah kenderaan. Khabarnya tidak ada kemudahan untuk memunggah keluar Orang Asli ke pusat-pusat mengundi. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) khabarnya tidak dibenarkan mengurus Orang Asli mengundi kali ini bagi mengelakkan berlaku penyalahgunaan jentera kerajaan dalam pilihan raya.

Faktor lain,  ialah pilihan raya esok tidak begitu merangsang pengundi atas pagar khasnya untuk mengambil bahagian kerana ia tidak memberi apa-apa perubahan atau ada signifikan yang istimewa buat mereka. Bagi mereka pilihan raya itu bukan sesuatu yang penting buat mereka, maka hadir atau tidak, tidak menjadi masalah.

Isu-isu dibangkitkan dalam kempen kedua pihak tidak menarik apabila ia mengulang isu sama seperti pilihan raya umum lalu. Pihak BN menjaja kononnya kerajaan PH gagal melaksanakan janji kepada rakyat. Manakala pihak PH pula masih terus memainkan isu peribadi mengenai Najib Razak berkaitan skandal 1MDB. 

Atas tiga alasan itu ia memberi kesukaran dan masalah kepada BN. Sekiranya undi Melayu dan Orang Asli mengucup sekitar 15% daripada undi dalam pilihan raya lalu ia boleh menyebabkan kerusi Cameron Highlands itu akan terlepas kepada DAP. Pun sebaliknya pula sekiranya andaian ini tidak tepat, jangan terkejut kalau esok calon BN Ramli Mohd Nor diumumkan sebagai pemenang dan beliau mencatat rekod sebagai Orang Asli partama memasuki ke parlimen.

Kemenangan Ramli akan memberi kesan dan indikator menarik untuk pilihan raya seterusnya. Ia akan disabit dengan beberapa perkembangan yang tidak kondusif buat PH. Antaranya kejayaan BN esok akan memberi gambaran bahawa orang Melayu kembali memberi sokongan kepada BN, kerana mereka bimbang dan percaya kepada isu-isu negatif soal agama dan bangsa yang dibawa oleh BN.

Paling menariknya kemenangan BN esok akan memberi petunjuk bahawa perpaduan orang Melayu dalam isu-isu berhubung soal bangsa dan agama seperti ditunjukkan dalam himpunan membantah cadangan meratifikasikan ICRED baru-baru ini membawa kesan positif buat mereka. Kemenangan BN juga akan dijadikan secalit penawar buat Najib.

Kekalahan PH esok juga walaupun dari segi kerusi tidak mengurangkan jumlah kerusi (kekuasaan) yang ada, tetapi ia memberi suntikan semangat kepada BN khasnya Umno dan Pas. Dan bagi saya kalau Ramli menang besok bolehlah beliau dijadikan pencetus semangat bagi mengesahkan ratifikasikan Pas dengan Umno. Harapnya tidak kejutan besar esok. [wm.kl.10:19 pm 25/01/19] 

No comments: