Monday, April 29, 2019

Sedih dengan gelagat pemimpin Keadilan Kelantan

ULASAN LEWAT

Anwar tiba untuk mengadakan pertemuan dan
perbincangan dengan PH Kelantan.
APABILA saya mendapat tahu Anwar Ibrahim akan turun (pergi) ke Kelantan, saya telah "mematikan" kerja dan tugasan saya yang lain. Saya rezebkan waktu pada tarikh itu untuk turun ke negeri Kelantan yang saya anggap negeri Thaif itu. Saya tidak tahu macam mana dengan orang lain.

Bagi saya kehadiran Anwar ke Kelantan itu, penting dan sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Kelantan amnya dan para penyokong PH khususnya. Kedatangannya diharap dapat menyuntik semangat juga dan pengukuhan kerajaan PH.

Bagi rakyat Kelantan, Anwar tidak asing kepada mereka. Anwar adalah sebahagian daripada diri mereka. Bagaimana kerjasama, persefahaman terbentuk di antara kedua mereka semasa Tokguruku Nik Aziz masih ada, menjadi satu sejarah dan ikatan perpaduan di antara Anwar dengan Pas dan membawa kepada rakyat Kelantan seluruhnya.

Kamaruddin, Supardi, Husam, Anwar dimeja
minum petang. Kekompatan ini sangat diharapkan.
Macam mana rakyat Kelantan menghormati dan mengasihi Nik Aziz, nah beigtulah mereka menghormati Anwar dan menganggap Anwar adalah pemimpin mereka. Anwar adalah "kapuhan" bersama Tokguru di era reformasi yang turut membentuk perasaan rakyat Kelantan terhadap mereka berdua. Anwar pasangan ideal bersama Tokguru.

Cuma apabila Pas bertukar tangan, kepada kekuasaan Abdul Hadi Awang sepenuhnya hubungan Anwar dengan parti agama itu tidak sebaik dahulu lagi. Ada faktor yang menjadi penghambat yang tidak diketahui. Rasa hebat dan hormat ahli Pas kepada Anwar berubah dengan tiba-tiba. Inilah kesan doktrin diguna pakai parti agama itu.

Bagaimana pun orang tahu, Anwar tidak ada dendam dan dosa dengan Abdul Hadi. Anwar cuba mengawal perasaan untuk tidak mengkritik Pas walaupun beliau dibelasah teruk oleh para pemimpin Pas dan dipandang pesimis oleh Abdul Hadi sendiri. Setelah ia diserang agak melampau baharu beliau membalas untuk membela diri, dengan mengkritik Pas termasuk menyebut soal bayaran kepada Sarawak Report sebagai ganjaran penarikan balik saman RM90 juta.

Dirindui rakyat Kelantan.

Justeru itu, Anwar masih dirindui oleh rakyat Kelantan. Rindu kepada pidatonya, rindu kepada iltizam untuk membela rakyat bawahan, rindu kepada slogan dan termalogi atau istilah pembaharuan dalam Islam yang digagaskan.

Selain daripada rakyat Kelantan, kehadiran Anwar itu sudah tentu ia dinanti-nantikan oleh ahli dan penyokong parti komponen PH, terutamanya Keadilan. Mereka mengharap Anwar datang bukan membawa sinar tetapi menambah sinar yang sudah mulai gemerlapan selepas 9 Mei 2018 lalu.

Semoga semangat para pemimpin PH seperti
semangat semasa menghadap meja makan.
Bagi orang Amanah mereka mahu melihat Anwar bergandingan dengan tokoh mereka Husam Musa, Begitu juga dengan orang Bersatu mahu melihat perpaduan bertaut kemas di antara pemimpinnya Kamaruddin Md Nor dengan Anwar yang kebetulan bersahabat sejak dari muda.

Hubungan keduanya dahulu bagaikan isi dengan kuku tetapi agak renggang selepas tragedi 3 September 1998. Jadi orang mahu melihat macam mana aksi mereka bila bertemu di Kelantan di dalam satu majlis kerana Kamaruddin kini sudah berada dalam komponen PH yang sama dianggotai Keadilan.

Lebih-lebih lagi saya, sang pemerhati kerdil ini menanti kehadiran Anwar ke Kelantan penuh minat untuk menyaksikan sejauh mana kemesraan di kalangan pemimpin PH dan juga penerimaan rakyat Kelantan kepadanya. Paling penting kehadiran Anwar itu dapat menjadi biduk yang akan menautkan kembali kiambang dalam Keadilan yang terpisah gara-gara perebutan dalam parti itu baru-baru ini.

Secara jujur saya tidak khuatir kepada ahli atau penyokong bawahan daripada semua parti komponen PH. Mereka semua hanya seperti sabut dan sampah yang jatuh ke sungai akan mengalir mengikut arah mana aliran itu. Yang penting pemimpin, kerana mereka adalah si pengayuh kolek dan pengenderai bahtera yang boleh melawan arus dan mengemudikan ke mana hendak tuju.

Maka saya pun balik ke Kelantan dengan harapan membusung tinggi untuk melihat suasana itu. Apa lagi kedatangan Anwar ke Kelantan, Sabtu lalu adalah kedatangan kali kedua selepas beliau diberi pengampunan dan dibebaskan sepenuhnya. Dan kehadiran itu pertama kali selepas beliau menjadi ahli parlimen Port Dickson.

Saya menanti kehadirannya bukan di atas dua sebab itu, bukan sebagai ahli parlimen dan bukan sebagai seorang yang baru "dibaptiskan". Tetapi menanti kehadirannya sebagai seorang bakal menjadi Perdana Menteri ke 8. Atas harapan dan rasa itulah maka saya mengharap sesuatu berimpak tinggi berlaku dengan kehadiran Anwar itu. Saya menyifatkan kehadiran itu penting dan penuh bermakna.

Justeru saya mengira sambutan terhadapnya hangat. Beliau akan dinanti ratusan rakyat di lapangan terbang Pengkalan Chepa. Berjujutan kereta akan mengiringi kenderaannya. Sebaik beliau terjolor dari pintu balai ketibaan, akan bergemalah jeritan Reformasi... dan orang ramai dan para pemimpin lain akan berebut untuk bersalaman dan berpelukan dengan beliau.

Supardi berdiri disamping Husam dan Anwar.
Itulah situasi yang berlaku setiap kali kedatangannya ke Kelantan sebelum ini. Dan malamnya bila diadakan majlis pidato, ribuan rakyat akan hadir untuk mendengar pidatonya. Orang akan berdiri sampai beliau mengakhir pidatonya, tanpa mempedulikan hujan atau pun apa.

Kalau diadakan di stadium, stadium akan penuh pepak. Jumlah yang berada dalam stadium lebih ramai daripada mereka yang menonton bola sepak perlawanan Kelantan dengan Terengganu.

Sedih.
Sedihnya apa gambaran yang wujud sebelum ini tidak berlaku pada hari ketibaan Anwar itu. Sedih lagi tidak ada upacara sambutan di lapangan terbang. Ini menjadikan kehadiran Anwar seperti secara senyap-senyap. Gara-gara inilah saya menghantar status dalam Facebooks mempersoalkan kenapa tidak ada sambutan terhadap Anwar. Bagi saya ketiadaan sambutan itu satu penghinaan buat Anwar. Saya bukan melihat beliau sebagai presiden Keadilan tetapi sebagai orang bakal dinobatkan sebagai PM.

Selepas saya "mengamuk" dalam FB, ada beberapa orang memberi penjelasan kepada saya berkaitan itu, dimana penjelasan itu tidak dapat diterima. Kononnya Anwar sendiri tidak mahu sambutan itu diadakan. Alasan yang diberikan ialah kerana Anwar tidak mahu kedatangannya ke Kelantan menjadi isu dan kontroversi. Salah satu alasan diberikan kerana Anwar datang menggunakan jet peribadi.

Begitulah jelas seorang Ketua Cabang Keadilan di Kelantan bersungguh kepada saya. Dia tidak senang dengan bedilan saya mengenai hal itu, tetapi agak dangkal untuk berhujah dan menyakinkan saya.
Alasan diberikan itu tidak masuk akal, terutamanya bagi saya yang cukup baligh mengenali karektor Anwar. Alasan konon Anwar tidak mahu disambut kerana beliau datang dengan jet peribadi, tidak boleh diterima dan bukan alasan untuk dimamah oleh orang seperti saya. Apakah kalau tanpa sambutan orang itu tidak tahu yang Anwar ke Kota Bharu dengan jet persendirian?
Apa salahnya kalau menaiki jet persendirian. Soal kenderaan (jet) dalam dunia zaman ini tidak menjadi masalah lagi. Jet bukan sesuatu yang pelik dan istimewa serta merujakan. Ia sudah menjadi kenderaan biasa. Rasanya orang Kota Bharu tidak begitu darat dengan jet.

Lagi pun apa salahnya kalau guna jet asalkan jangan sahaja jet kerajaan kerana beliau tidak layak untuk menggunakan jet kerajaan. Apa lagi Anwar bakal menjadi PM sesiapa sahaja boleh menyediakan apa-apa kenderaan untuknya. Hatta kalau mahukan Borak -- kuda bersayap bertanduk 18 sekalipun boleh disediakan. Dan wajar bagi Anwar menaiki kenderaan secanggih itu. Ia bukan sesuatu yang memelikkan lagi zaman sekarang.

Saya tidak dapat menerima kenapa sambutan tidak dapat dibuat kerana alasan itu. Bagi saya tentu ada helah lain kenapa kedatangan beliau itu tidak disambut tanpa paluan kompang dan tabiran banner. Janganlah buat alasan dangkal yang mudah untuk orang membuat menebaknya. Katakanlah sahaja, pihak yang menguruskan kedatangan Anwar ke Kelantan itu tidak mampu untuk menyediakan sejumlah penyokong untuk menyambut Anwar. Habis cerita.

Kerana kalau diadakan sambutan, suasananya tidak sehebatan sambutan terhadap Azmin Ali, ia akan memalukan Anwar. Jadi untuk mengelakkan Anwar dimalukan, lebih baik tidak usah adakan sambutan. Mungkin itu helahnya. Katalah begitu senang untuk diterima dan masalah itu tidak perlu dibahas. Berterus terang itu lebih baik daripada segala-galanya.

Kegagalan mengadakan sambutan itu, apa yang saya boleh simpulkan, menggambarkan keadaan Keadilan Kelantan tidak seperti dahulu lagi. Keadilan Kelantan kini sudah tidak sekompak sebelum ini. Kegagalan mengadakan sambutan itu kerana tidak yakin jumlah yang hadir ramai kerana Keadilan berpecah. Realiti berlaku perpecahan dalam Keadilan Kelantan gara-gara berlaku perebutan jawatan dan terbentuk kem Anwar dan Azmin tidak boleh dinafikan. Mengakulah.

Di malam Biacara Pidato Anwar di Tanah Merah yang diadakan di perkarangan rumah Pengerusi Keadilan Kelantan Supardi Mohd Noor, saya tidak nampak muka-muka penggerak Keadilan Kelantan sebelum ini hadir sama. Orang-orang yang bersekang mata bersama Anwar sejak 20 tahun lalu, yang berduyun-duyun menunggu Anwar di lapangan terbang setiap kali Anwar ke Kelantan juga tidak ada.

Bahkan bekas pengerusi Keadilan Kelantan, Abd Aziz Kadir juga tidak ada, hilang ghaib entah ke dalam gong gendang mana. Sebahagian besar Exco Pemuda Keadilan Kelantan juga tidak ada. Sedih, jiwa mereka lembut dan tipis, macam mana untuk dipanggung sebagai pemimpin?

Mungkin pada malam itu saya tidak nampak seluruhnya kerana gelap dan majlis disimbah hujan lebat. Tetapi penjelasan daripada seorang pemuda Keadilan Kelantan yang beriya-iya untuk minum pagi dengan saya, mengesah apa yang berlaku. Saya mendapat maklumat daripadanya nama-nama yang dahulunya adalah penyokong Anwar, tetapi tidak hadir malam itu. Hilang.

Daripada maklumat saya ketahui daripada pemuda itu juga sungguh menyedihkan. Saya tidak sangka keretakan Keadilan di Kelantan hingga begitu sekali. Ada yang sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan Anwar. Malahan bekas ketua Cabang yang dahulunya menjadikan Anwar adalah nama ketiga dalam hidupnya selepas Allah, Muhammad, juga diberitahu turut mendoakan pada malam itu biar turun hujan lebat.

Apakah ertinya, doa itu. Ia menunjukan saking bencinya mereka kepada Anwar sehingga tergamak mendoakan hujan agar menghalang majlis Anwar di Tanah Merah. Doa itu juga menunjukkan garing pergaduhan dua kem Keadilan di Kelantan sangat merbahaya.

Saya tidak mahu memperpanjangkan repekan dan keluhan dalam catatan ini. Apa yang saya harapkan semoga keretakan dalam Keadilan Kelantan yang akan turut menyumbingkan PH Kelantan perlu diubati segera. Dalam hal ini yang boleh menjadi penawar hanya Anwar sendiri. Beliau perlu menggunakan kedudukannya sebagai Presiden Keadilan untuk memulihkan kedudukan ini.

Dan ahli bawahan juga termasuk bekas pemimpin peringkat Cabang hendaklah realistik dan waras dalam berpolitik. Jangan terlalu mudah mendengar tohmahan dan berita-berita buruk mengenai pemimpin mereka yang jelas sengaja direkayasa oleh musuh. Jangan mudah terpengaruh dan rapuh semangat.

Kenanglah perjuangan anda selama ini kerana apa dan untuk apa. Bukankah anda berjuang untuk membebaskan Anwar kemudian menobatnya sebagai PM. Kenapa selepas ia sudah selesai dan kini menunggu saat bersejarah itu tiba, anda menarik hand break dan cuba mendodaikan nama lain pula.

Janganlah kita menjadi seorang perempuan seperti dalam sebuah kisah disebut Quran. Dia menjahit hasil tangannya, dan setiap kali hampir siap ia merombaknya kembali dan menjahit kembali.

Kepada Supardi Mohd Noor yang kini diberi amanat memimpin Keadilan Kelantan jangan berasa manggak dan berperasan sendiri. Beliau seharusnya lebih berdiplomasi dan berusaha untuk merapatkan ukhwah dalam Keadilan bukan meluaskan jurang dengan mewujudkan kroni. Jangan menggunakan kedudukan sebagai pengerusi untuk menafikan hak orang lain. Ingat dalam politik undi setiap individu sama banyak dan undi orang kaya juga sama banyak dengan undi orang miskin.

Beliau seharusnya sedar dan insaf, penjelmaannya dalam Keadilan adalah ketika air yang ditimba sudah pun kering dan saat ikan sudah dapat hendak dipunggut. Semasa ahli Keadilan lain yang sebelum ini dibawah Aziz Kadir, berpeluh pelai menimba air, mengempang batas, anda tidak kelihatan pun, walaupun berdiri di tepi batas. Anda perlu sedar ini.

Janganlah mudah terperasan dengan kebolehana kita dan hubungan akrab dengan seseorang untuk dijadikan modal politik dengan sama sekali menafikan aset-aset lain kerana kekuatan politik itu bukan sahaja terletak kepada kekayaan tetapi kebijaksanaa memimpin juga. [wm.kl.6:12 pm 29/04/19]

No comments: