Friday, April 12, 2019

Mat Hassan yang tertekan di Rantau

ANALISA

Mohamad Hassan.
BESOK akan berlangsung Pirake - pilihan raya kecil (Dun) Rantau Negeri Sembilan. Seramai kira-kira 20,400 orang pengundi di Dun berkenaan akan menentukan siapakah wakil rakyat mereka. Pada Piraum lalu pengundi di Dun berkenaan tidak berkesempatan untuk memangkah, memilih wakil rakyat mereka apabila calon BN Mohamad Hassan diistyharkan sebagai menang tidak bertanding apabila calon PH Dr Streram dinafikan hak untuk bertanding.

Dr Streram
Streram dihalang daripada menyerahkan borang pencalonannya, dimana perbuatan itu biarpun beralasan, tetapi ia lebih kepada taktik untuk memberi kemenangan percuma kepada Mohamad Hassan. Hanya Streram seorang sahaja untuk berhajat untuk menjadi calon sementara parti lain termasuk parti agama (Pam) tidak tampil untuk menyerahkan borang pencalonan pada hari tersebut.

Ini menunjukkan Pam dengan Umno sudah ada persepakatan di Rantau sejak awal-awal lagi?

Ekoran bantahan dibuat oleh Streram mahkamah membatalkan kemenangan percuma Mohamad Hassan itu, lanjutan itu SPR mengarahkan agar diadakan pilihan raya.

Dalam pilihan raya yang akan berlangsung esok, empat orang calon mendaftarkan diri untuk dipilih pengundi, selain Mohamad dan Streram, ada dua calon bebas. Bagaimana pun pertandingan sebenar adalah di antara calon BN Mohamad Hassan dengan calon PH Dr Streram.

Tempoh berkempen sudah pun hampir selesai dan malam ini merupakan kemuncak. Kedua-dua pihak dipercaya akan mengadakan grand finale masing-masing. Tepat jam 11:59 minit tengah malam ini, kempen tidak dibenarkan lagi. Setelah 13 hari berlangsung kempen, ramalan dan agakan sudah dapat dibuat siapa antara Mohamad dan Streram akan dipilih. Yang jelasnya pertandingan di antara BN dengan PH ini sengit dan menarik kerana ia membawa signifikan tersendiri.

Dun Rantau adalah Dun menjadi kubu atau singgahsana kekuasaan kepada Mohamad Hassan. Kedudukan itu memberi banyak kelebihan kepadanya. Beliau sudah tiga penggal memenang kerusi berkenaan dan kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menjadikan kerusi itu sangat mesra dan sinonimas dengannya. Pengundi di Dun Rantau lebih mengenali bekas MB itu berbanding dengan pakar bius, Dr Streram.

Kerana keistimewaan dan kelebihan itu menjadikan Mohamad Hassan agak tertekan dengan pilihan raya kali ini kerana beliau menghadapi pilihan raya kecil itu tidak seperti keadaan menghadapi pilihan raya sebelum ini. Dr Streram adalah calon under dog. Pirake ini sedikit asing atau pun mencabar Mohamad Hassan. Inilah pilihan raya meletakkan beliau sebagai berhadapan dengan suasana sebenarnya.

Kalau sebelum ini beliau merasa selesa dan tidak resah menghadapi pilihan raya, tetapi bukan untuk kali ini. Sebelum ini kapasitinya sebagai penyandang dengan kedudukan selaku MB memberi kelebihan buatnya. Situasi itu menjadikan beliau rasa tidak sukar untuk menduduki kerusi itu dan pilihan raya sebelum ini hanya sebagai formaliti sahaja.

Perbezaan kali ini.
Berbeza kali ini beliau menghadapi pilihan raya itu tanpa title dan posisi sebagai MB dan juga tanpa mempunyai kerajaan baik di negeri maupun diperingkat federal. Bukan itu sahaja, pilihan raya ini juga merupakan pilihan raya kecil di mana ia menjadikan semua orang termasuk lawannya PH boleh memberi tumpuan yang serius.

Di pihak PH sendiri melalui pilihan raya ini sebagai parti memerintah, di mana suasana yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Justeru Pirake Rantau ini membolehkan PH menjadi tempat dan kesempatan untuk membalas dendam dan menebus kekalahan selama ini dan juga dua kekalahan dalam dua pirake sebelum ini.

Dari sinilah Mohamad dilihat tertekan dalam menghadapi pilihan raya ini. Keadaan inilah menjadikan pilihan raya ini menarik dan menjadi tumpuan orang. Ia juga ditambah dengan kedudukan Mohamad sebagai pemangku presiden Umno. Pilihan raya ini yang membabitkan dirinya secara langsung akan dijadikan ukuran. Menang kalah akan memberi impak kepada kerjayanya sebagai ahli politik. Pirake ini ujian sebenar kepada bekas MB itu.

Bagaimana pun walaupun Mohamad sudah tidak mempunyai advantage itu seperti sebelum ini namun beliau masih dikira beruntung apabila parti agama (Pam) sebelum ini yang menjadi musuhnya kini sudah berpakat dengannya. Sokongan dan persekongkolan Umno dengan Pam ini memberi kelabaan kepadanya. Inilah kekuatan dan tuah kepada Mohamad Hassan kali ini. Sudah tentu dengan sikap dan pendekatan baharu politik Pam itu akan membantu Mohamad Hassan.

Kerjasama dan bantuan Pam kepada Mohamad Hassan itu juga akan memberi jawaban sejauh mana undi Melayu berpihak kepada politik rasis dan perkauman yang kini cuba diterjemahkan oleh Umno dan Pam.

Dalam pada itu pilihan raya ini memberi beberapa indikator tersendiri. Pirake Rantau dari konteks lain ia bukan dilihat perlawanan di antara BN dengan PH, sebaliknya adalah perlawanan personaliti Mohamad Hassan dengan Anwar Ibrahim. Streram bukan lawan sebenar kepada Mohamad Hassan sebaliknya Anwar. Pirake Rantau itu dipihak PH dibayangi oleh imej dan personali Anwar.

Demikian juga Pirake itu bukan perlawanan di antara BN dengan PH. Bukan parti yang bertanding kali tetapi hakikat batang tubuh. Kebetulan pula kedua-dua mereka, Mohamad dan Anwar berpotensi untuk menjadi pemimpin negara di masa depan. Lebih-lebih lagi Anwar yang akan mengambil alih tempat Dr Mahathir sebagai perdana menteri, sementara begitu juga dengan Mohamad Hassan yang mengharap dan diharap untuk menjadi presiden Umno.

Secara senyap orang tahu bahawa Umno meletakkan harapan besar kepada Mohamad Hassan untuk memimpin parti Melayu itu. Justeru pirake itu sangat penting bagi Mohamad Hassan memenanginya.

Setelah berlangsung kempen beberapa hari, gambaran awal sudah dapat dirasakan pihak atau parti mana yang akan menang. Berbagai pihak dan pemerhati masing-masing membuat penilaian berhubung pilihan raya itu. Sebuah badan penkaji telah membuat kajian di kalangan pengundi di Rantau. Dalam kajian itu badan kajian itu memberi kelebihan kepada Mohamad Hassan, yang akan memenang pilihan raya tersebut.

Antara faktor diberikan oleh badan itu ialah kerana populariti Mohamad Hassan tidak terlawan oleh Dr Streram. Pengundi di Rantau lebih mengenali Mohamad Hassan.

Saya bersetuju dengan analisa dan dapatan itu. Memang Mohamad Hassan popular dan beliau sudah lama bermain di ceruk rantau di Rantau.

Pun begitu ia bukan jaminan yang boleh memberi keyakinan kepada Mohamad Hassan beliau boleh menang mudah apa lagi dengan majoriti besar. Perkara yang yang perlu dianalisa dan disedari ialah mengenai taburan pengundi mengikut kaum di Rantau. Taburan pengundi mengikut kaum ini penting.
Hakikat taburan ini tidak begitu memihak kepada Mohamad Hassan.

Pengundi Cina mewakili 18.46% (3,863) manakala pengundi India 26% (5,441). Pengundi Melayu sebanyak 55.51% (11,615). Dipercayai undi Melayu akan berpihak kepada Mohamad Hassan. Sentimen agama dan bangsa yang dijadikan modal kempen Mohamad akan berpihak kepadanya. Mohamad hanya memerlukan sekitar 10 hingga 15% sahaja pengundi Cina dan India untuk beliau dinobatkan sebagai wakil rakyat Rantau esok, apabila dijangka menguasai lebih 65% undi Melayu.

Sementara Streram pula mengharapkan undi Melayu lebih 20% untuk menjamin akan menang. Beliau dipercayai akan dapat menguasai undi India dan Cina lebih 60%. Persoalan kini apakah undi Melayu mampu diraih oleh PH sebanyak yang dikehendaki itu, sekitar 40%?

Kesimpulan dalam tilikan saya dari jauh dan melihat kepada suasana di kawasan pilihan raya, orang Melayu jelas berpihak kepada Mohamad Hassan. Sementara orang India pula jelas berpihak kepada Streram. Pengundi Cina yang agak berhati-hati dan tidak menunjukkan sikap mereka, bakal menjadi penentu. Sekiranya peratus keluar mengundi Cina melebihi 80%, ia memberi peluang besar kepada Streram untuk memenang pilihan raya itu dengan majoriti tipis.

Sebaliknya kalau peratus keluar mengundi Melayu pula tinggi sampai mencecah 85%, sudah tentu kerusi Rantau akan jadi milik Mohamad Hassan. [wm.kl.7:37 pm 12/04/19]

No comments: