Sunday, April 14, 2019

PH terus mengutik kekalahan demi kekalahan

ANALISA RANTAU

Mat Hassan adakan sidang media selepas diumum menang.
SUSUDAH tiga kali kalah berturut-turut, di Parlimen Cameron Highlands, Dun Semenyih dan terbaharu di Dun Rantau parti-parti komponen PH dan kerajaannya harus bangkit segera untuk mencari dimana silap dan salahnya. Atau kenapa kerusi-kerusi itu terus menjadi milik BN. Perlu untuk PH bukan sahaja post mortem perlu dibuat, tetapi mengambil tindakan segera.


PH tidak boleh menerima kekalahan itu dengan seadanya, apa lagi menganggap Pirake itu tidak penting, sekiranya PH mahu menguasai Malaysia lebih sepenggal.

PH perlu membuat perubahan segera, secara komprehensif terutamanya memperbaiki struktur kerajaan, luaran dan dalaman dan pererat dan memantapkan gabungan itu, menjadikan PH benar-benar gabungan politik memerintah.

PH bukan setakat perlu berbangga dengan memiliki lambang dan logonya sendiri sahaja, tetapi perlu juga digubal dasar menyeluruh untuk merealisasikan gabung itu termasuk pembahagian kuasa, jawatan, dan mengariskan peranan dan tanggungjawab masing-masing secara berpelembagaan. Apakah dasar PH ini sudah disediakan? Dan semangat PH semasa sebelum menjadi kerajaan ketika persiapan menghadapi pilihan raya harus diteruskan.

PH tidak boleh membiarkan kekalahan itu menjadi barah yang akan menjalar meratahi seluruh sendi dan saraf PH. Piraum 15 sedang mara dan dinanti dengan penuh ghairah oleh pembangkang. Tempoh empat tahun dari sekarang bukan satu masa panjang. Kemenangan BN di Rantau itu menambahkan kekuatan dan keyakinan kepada BN khasnya Umno dan turut sama ditumpangi oleh Pam, parti agama Malaysia.

Tepat kalau Pam dan Umno menyegerakan pengistyharan yang mereka akan bertanding menggunakan satu lambang dalam pilihan raya akan datang. Saya mengira mereka akan mengorak langkah ke arah itu tanpa ragu-ragu dan sangsi lagi. Rantau, Semenyih dan Cameron Highlands telah memberi jawaban dan boleh dijadikan takai buat mereka.

Dalam pada itu PH tidak perlu membuat teori atau konklusi untuk menyedapkan hati bahawa kerjasama dan gabungan Umno dan Pam akan bakal runtuh dan berkecamukkan menjelang pilihan raya. Sejarah perbalahan di antara kedua parti tersebut mungkin sudah termansuh. Mengharapkan musuh bergaduh sesama sendiri dan musnah sedangkan kita tidak memperkemaskan diri terus meriba tangan dan gioyang kaki dengan kejayaan adalah satu kesilapan besar.

Pirake Rantau.
Riak risik kekalahan PH yang menurunkan Dr S Streram di Rantau sudah nampak awal-awal lagi. Dengan melihat wajah, body language dan cara dia berucap saya sendiri meletakkan beliau bukan calon terbaik bagi PH di Rantau. Sebaik mengetahui akan diadakan Pirake di Rantau, saya telah menghantarkan mesej dalam Facebook, saya kata: orang ini (Streram) tidak diperlukan untuk jadi calon di Rantau.

Tulisan saya itu disokong oleh ramai orang dan sepatutnya dijadikan panduan untuk PH khasnya Keadilan bagi membuat pertimbangan tidak meletakkan Streram sebagai calon.

Dari fakta dan suasana semasa juga Streram bukan terbaik. Beliau bukan regu sepadan untuk berhadapan dengan Mohamad Hassan. Dalam orang Melayu dikepung sentimen bangsa dan agama, yang dimainkan oleh Pam dan Umno sudah pasti peletakkan Streram itu tidak tepat serta bersifat menentang arus. Beliau akan menjadi mangsa politik jahil, buta dan emosi orang Melayu. BN dan Pam berjaya memainkan isu perkauman dan agama untuk mengekalkan orang Melayu "memerut" kepada mereka.

Tetapi kerana itu pilihan PH, khasnya Keadilan kerana kerusi itu adalah kerusinya, tidak ada siapa berani membantah penurunan Streram di situ. Anwar Ibrahim pula cuba menyakinkan peletakan Streram itu demi membuktikan keadilan demokrasi dan sikap liberal dalam parti tersebut sebagai parti multi racial. Tampaknya usaha Anwar itu tidak diberi perhatian oleh pengundi di Rantau, malahan diam-diam ada yang memprotes.

Keadilan tidak mengambil kira peratus pengundi Melayu di Rantau mendominasi pengundi kaum lain dan begitu yakin dengan pengundi India dan Cina berpihak kepadanya disamping mengira 10% hingga 15% undi Melayu berpihak kepadanya. Ternyata jangkaan dan strategi meletakkan Streram itu tidak memberi laba.

Dalam melihat kekalahan PH di Rantau ini dan mencampuri dengan dua kekalahan di Cameron Highlands dan Semenyih, saya membuat beberapa rumusan ringkas berikut:

1. Kemenangan BN itu dan penolakan orang Melayu kepada calon PH kerana orang Melayu tepu mengamalkan politik kepembangkangan. Mereka akan membangkang apa sahaja tanpa membuat penilaian dan mengambil kira apakah yang dibangkang itu betul atau sebaliknya. Orang Melayu semacam seronok menjadi pembangkang. Sikap ini juga merupakankan "pengapuhan" di antara taksub dengan emosi yang mengalir dalam diri orang Melayu selama ini.

Apa lagi bila berhadapan dengan kerajaan, mereka seronok membangkang. Hal ini juga berlaku kepada parti politik; pemimpin dan pengikut parti-parti yang jadi kerajaan kini dimasa mereka jadi pembangkang dahulu. Membangkang adalah kerja mereka sehingga semangat dan budaya itu terbawa dalam kerajaan. Sikap kepembangkangan yang bangang ini diteruskan oleh pembangkang hari ini.

2.  Sikap kepembangkangan ini mereka tidak akan peduli kepada kesalahan, kejahatan dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu sama ada ia ada bukti atau tidak. Bagi mereka kejahatan dan perbuatan itu bukan kesalahan. Dedahlah sejuta penyelewengan pemimpin terdahulu mereka tidak akan peduli. Paling malang, dengan mudah dieksploitasikan segala tuduan dan dakwaan itu diangga satu penzaliman kepada yang kena tuduh. Apa yang mereka tahu, kerajaan perlu dibangkang. Semangat kritis sebegini cukup kuat dalam jiwa Melayu.

3. Kesalahan pemimpin Melayu semasa jadi kerajaan dahulu tidak dimarahi, bagi mereka ia bukan kesalahan dan pengkhinatan kalau ia dilakukan oleh pemimpin sebangsa dengan mereka, Melayu. Di sini semangat sukuan dan asobiyah begitu menebal melewati segala semangat atau kepentingan lain hatta sedia menyanggahi kebenaran. Mereka akan mudah menerima kesalahan itu kalau ia dilakukan oleh orang bukan Melayu.

Orang Melayu hanya tahu menuturkan kata-kata Nabinya, Muhammad s.a.w, "kalau Fatimah mencuri aku akan potong tangannya," hanya untuk disebut ulang bukan untuk dilaksanakan.

4. Beberapa kelemahan ketara kerajaan PH dewasa ini menjadi faktor utama kenapa kerajaan PH tidak disokong orang Melayu. Kelemahan itu bukan sahaja dalam konteks kerajaan tetapi dalam komponen PH juga. Sebagai kerajaan baru banyak kelemahan dan kecacatan. Tetapi itu tidak dipedulikan oleh orang Melayu, dan tidak pernah mengambil kira kerajaan PH baru setahun berbanding dengan kerajaan BN sudah 61 tahun.

Mereka tidak reti atau tidak tahu membuat perbandingan langsung kerajaan setahun dengan kerajaan 61 tahun. Bagi mereka tempoh dan masa bukan menjadi perhitungan dan ukuran buat mereka, apa yang mereka mahu ialah apa yang ada di hadapan mata dan melaksanakan apa yang diangan-angankan oleh mereka. Apabila sesuatu yang mereka perolehi semasa kerajaan BN tetapi tidak ada pada masa ini mereka akan marah, walaupun kejadian itu kerana sebab-sebab dan hambatan tertentu.

Sikap ini apakah kecerdikan dan kehebatan orang Melayu berpolitik? Atau ia menggambarkan ketidak matangan mereka dalam membuat penilaian?

5. Kekalahan PH juga ditambahi oleh sikap terbuka dan profesional kerajaan PH yang tidak mahu berlaku kasar dengan pembangkang seperti mana diamalkan BN sebelum ini. Perubahan drastik yang diamal oleh kerajaan PH ini memakan diri sendiri. Pembangkang telah mengambil kesempatan atas kebaikan kerajaan kini. Sebab itu jika dilihat fitnah, pemalsuan berita, pemutar belitan isu semakin menjadi-jadi dan berleluasa tanpa dibendung.

6. Dalam menolak kerajaan PH ini sumbangan Parti Agama (Pam) yang bergabung dengan Umno juga sedikit sebanyak berkesan. Pam yang menggunakan agama sebagai modal mempengaruhi orang Melayu berjaya mengekalkan sokongan kepada BN. Orang Melayu mempercayai dan menyakini apa sahaja diucapkan oleh pemimpin Pam, kegilaan dan rindu kepada syurga versi Pam yang dibawanya bantu memenangkan BN. Atau setidak-tidak BN sudah berjaya menjinakkan musuh semula jadinya itu.

7. Sebab itu pendedahan, bebagai kesalahan, penyelewengan, rasuah, membabitkan pemimpin BN tidak dipercayai orang Melayu sebab mereka disabdakan demikian rupa oleh pemimpin Pam yang menutup segala kesalahan dan kebejatan itu dengan kerta bertulis ayat Quran dan Hadith. Segala kejahatan pemimpin BN ditutup dengan kertas al Quran dan hadith.

Itulah beberapa faktor berkaitan sikap dan pemikiran siasah orang Melayu yang membantu kemenangan BN dalam beberapa siri pirake.

Sehubungan itu PH perlu bertindak memperbaiki sikap, pandangan politik mereka. Perkara paling penting ialah membina kerajaan berkesan dan dihormati. Meletakkan kerajaan PH berwibawa di mata orang Melayu. Dalam masa sama mengukuhkan ikatan dalam PH. Kelemahan jentera pilihan raya PH turut menyumbangkan kepada kekalahan itu. Parti komponen PH tidak boleh bergerak secara bersendirian atau saling menyerah di antara satu sama lain.

Sekiranya kesedaran ini tidak ada, tidak mustahil kerajaan PH akan dapat bertahan hanya sepenggal sahaja atau akan musnah lebih awal. Kerajaan PH akan jadi lembu gemuk yang dikandangkan dalam ladang yang tiada rumput.

Dalam proses memperbetulkan kekhilafan ini ia tidak lagi boleh diharap kepada Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi PH dan juga Perdana Menteri. Selain beliau sibuk dengan kerja-kerja pembetulan kerajaan, (tidak lupa juga meraih sisa-sisa kekayaan negara curi Najib Razak untuk kroninya), beliau juga tidak mempunyai apa-apa political will lebih tinggi lagi selepas beliau menjadi PM kali kedua. Kesenimbungan kerajaan PH tidak boleh diharap serahkan kepadanya.

Justeru untuk merubah ini ia perlu ditangani Anwar Ibrahim. Rakyat di luar sana juga tidak menaruh harapan besar Mahathir dapat mengubah Malaysia penaka beliau memiliki lampu Aladin, kerana faktor-faktor tadi, tetapi apa diharap dan ditunggu ialah kepada Anwar. Kebetulan pencetus reformasi adalah Anwar dan beliau lebih arif mengenai perubahan kerajaan Malaysia baru yang hendak dilakukan.

Makanya Anwar perlu mengambil alih segera memikul tugas dan tanggungjawab ini dengan apa cara sekalipun asalnya ia berjalan dengan licin, harmoni dan direstui rakyat. [wm.kl.7:17 pm 13/04/19]

No comments: