Monday, April 15, 2019

Tolak pindaan perlembaaan silap: Abd Aziz.

DARI WAKOP

Biacara di wakop dengan Aziz Bari.
KEGAGALAN pindaan perlembagaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang bakal menjadi titik tolak kepada langkah untuk merealisasikan keinginan rakyat Sabah dan Sarawak selaras dengan perjanjian MA63, tidak memberi apa-apa implikasi politik kepada kerajaan melainkan ia merugikan rakyat di kedua buah negeri itu.

Di sidang parlimen minggu lepas kerajaan mengemukakan usul meminda perkara itu bagi menyamakan taraf dan kedudukan Sabah dan Sarawak sama dengan persekutuan Tanah Melayu dalam Malaysia. Bagaimana pun pindaan itu tidak berjaya apabila ia tidak mencapai sokongan 2/3 di parlimen.

Semasa pengundian dijalankan 138 menyokong dimana kurang 10 anggota lagi untuk meluluskan pindaan berkenaan. Pindaan itu memerlukan sokongan anggota dewan 148 undian.

Pindaan itu juga bertepatan dengan janji PH dalam manifesto dalam pilihan raya lalu yang berjanji akan memenuhi tuntutan rakyat kedua buah negeri itu sekiranya PH menang. Belum sampai setahun PH memerintah rang undang-undang pindaan itu dikemukakan di sidang parlimen dan ia diterima untuk dibahas.

Kesegeraan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan PH melaksanakan janji mereka demi memenuhi tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak. Rakyat negeri Bawah Bayu dan Bumi Kanyalang itu sudah lama menuntut agar hak mereka seperti mana temeterai dalam perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia tahun 1963 (M63).

Mereka mahukan hak kedudukan Sabah dan Sarawak bersama negeri-negeri Semenanjung sama rata, bukan Sabah dan Sarawak sebahagian Malaysia sama taraf dengan negeri-negeri dalam Tanah Melayu. Dalam erti kata lain mengembalikan hak mereka seperti mula-mula dahulu.

Hak itu dicabut pada tahun 1976 ketika Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri. Pencabutan itu menyebabkan rakyat Sabah dan Sarawak merasai mereka dilayan setaraf dengan negeri-negeri dalam di Semenanjung. Situasi ini menyebabkan rakyat negeri itu berasakan mereka "tertipu" dan mereka bangkit menuntut balik hak itu. Perjuangan Sabah for Sabahan, dan Sawarak for Sarawakian, digemakan dan dijadikan agenda politik di kedua-dua negeri itu.

Walaupun kerajaan PH dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad prihatin mengenai tuntutan itu, tetapi usaha untuk mengembalikan hak itu gagal, ia tidak mendapat sokongan penuh daripada anggota parlimen termasuk daripada Sarawak. Ahli parlimen Sarawak yang bergabung di bawah GPS, bertindak tidak mengundi menyokong pindaan berkenaan. Langkah ini dianggap memelikkan sedikit.

Antara alasan diberikan kenapa mereka tidak menyokong, pindaan itu terlalu tergesa-gesa, suatu helah politik, tidak beruding dengan wakil rakyat Sarawak dan ia juga tidak memenuhi hasrat sebenar kehendak rakyat Sarawak. Pindaan itu juga dianggap sebagai kosmetik sahaja dan ada yang menganggap ia belum selesai dibincang dalam jawatankuasa pindaan.

Sebaliknya keadaan itu tidak berlaku di kalangan wakil rakyat Sabah. Semasa undian dijalankan anggota parlimen Sabah termasuk daripada Umno turut sama mengundi menyokong.

Berhubung penolakan pindaan itu, saya cuba mendapat pandangan seorang pakar perlembagaan negara, Dr Abdul Aziz Bari. Kesempatan minum kopi bersamanya hujung minggu lepas, saya berpeluang mendengar komanter daripadanya berhubung perkara berkenaan.

Menurut Abd Aziz yang kini merupakan Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan negeri Perak, apa yang dilakukan anggota parlimen Sarawak sedikit memelikkan. Beliau menzahirkan rasa tidak faham kenapa Sarawak menolak pindaan itu walhal ia dibuat untuk kepentingan negeri berkenaan.

"Sepatutnya mereka menerima pindaan itu kerana itulah yang diperjuangkan rakyat Sarawak dan Sabah selama ini," tegas Aziz. Ujarnya walaupun pindaan itu belum mencakupi kesemua perkara yang diperjuangkan rakyat Sabah dan Sarawak, tetapi permulaan memindah Fasal 1 Perkara (2) adalah jalan pemulaan untuk mencapai apa yang dihajati rakyat negeri berkenaan.

Katanya ia ibarat pintu besar untuk masuk ke dalam rumah sudah dibuka, sepatutnya pembukaan pintu itu dihormat dan disokong sepenuhnya.

"Saya hairan sungguh dengan sikap ini, kerana peluang terbuka tidak cuba direbuti," katanya lagi.

Bagi Aziz beliau menyifatkan langkah diambil wakil rakyat itu silap dan satu kerguian besar sebaliknya ia memberi keuntungan kepada kerajaan PH.

"Kamu boleh tolak, tetapi kenapa tidak memikirkan implikasinya. Dengan penolakan itu ia memberi keuntungan kepada kerajaan PH dimana orang melihat PH telah menunaikan janjinya semasa pilihan raya (dalam manifesto). Yang salah dalam perkara ini kerajaan Sarawak bukannya kerajaan PH," ujarnya.

Aziz mengingatkan sekiranya selepas ini kerajaan tidak melayan apa-apa tuntutan berkaitan, misalnya mohon ia dipinda sekali lagi ia tidak boleh marahkan kepada kerajaan PH sekiranya mereka enggan berbuat demikian kerana peluang terbuka yang diberikan ditolak.

Dalam pada itu menurut bekas Pensyarah Kuliyah Undang-Undang UIAM itu, dengan penolakan itu ia bukan sahaja merugikan rakyat Sarawak sebaliknya ikut menjejaskan kredibiliti dan maruah kerajaan Sarawak pimpinan PBB sekarang.

"Saya kiranya dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan nanti, mereka akan ditolak rakyat kerana tidak menyokong pindaan perlembagaan itu," kata Aziz lagi optimis.

Dalam kesempatan mengopi itu, Aziz juga mempersoalkan apa yang dua pemimpin Sarawak, Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) dan Nancy Shukri (Batang Sadong) lakukan selama ini. Aziz berkata beliau tidak nampak kedua pemimpin itu yang lantang menolak pindaan itu semasa perbahasan,  lakukan untuk mengembalikan hak Sarawak yang dikatakan terhakis itu sepanjang mereka berada dalam kerajaan BN.

"Apa yang mereka buat selama ini untuk mengembalikan kuasa terkandung dalam M63 itu. Saya tidak nampak pun. Patutnya apabila kerajaan telah membuka pintu untuk melakukannya, kamu bersetuju, bukan menentang," sambung Aziz sambil menghabiskan sisa kopinya. [wangsa walk.11:48 am 15/04/19]

No comments: