Monday, November 25, 2019

Yang perlu dipecat Azmin bukan Zakaria

ULASAN

PKR sepatutnya mengambil tindakan
ke atas mereka ini.
TINDAKAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Ketua Cabang Bera Pahang Zakaria Abdul Hamid tidak memberi kesan besar jika tindakan itu bermaksud mahu meredakan suasana dalam PKR kini dan mengharapkan "musuh" berundur, sebalik ia menambah robekkan lagi liang luka dalam PKR.

Pemecatan itu tidak tambah menyembuhkan situasi yang ada, sebaliknya memporak perandakan lagi keadaan.



Zakaria (foto) dipecat sebagai ahli PKR kerana beliau dilaporkan telah melakukan rasuah semasa kempen pemilihan parti itu tidak lama dahulu. Pemecatan itu diumumkan oleh Pengerusi lembaga disiplin Ahmad Kassim semalam. Bersama Zakaria seorang lagi turut dipecat.

Tindakan memecat Zakaria itu ada hujah dan mengikut peraturan parti. Ia dibuat setelah lembaga disiplin mendapat "rumusan" daripada SPRM. Sebagai sebuah parti wibawa dan maruahnya perlu dijaga sebaik mungkin. Apabila ada ahli terbabit dengan rasuah, kegiatan rendah moral, kebejatan dan sewaktu dengannya maka ia perlu diambil tindakan tanpa memilih bulu dan menanti masa.

Tetapi berhubung tindakan ke atas Zakaria, pemerhati politik membaca tindakan itu bukan sangat untuk menjaga dan membersih parti daripada rasuah. Ia bukan sangat bertolak daripada tanggungjawab itu, namun ada tujuan lain. Kita percaya kejadian persis dilakukan oleh Zakaria itu masih ada banyak lagi, tetapi kenapa itu sahaja yang dikopek.

Justeru ia ada motif lain. Umum tahu Zakaria adalah antara pemimpin peringkat MPT dikaitkan dengan kumpulan yang menyokong Timbalan Presiden Azmin Ali yang kini sedang berusaha keras untuk "melangkau" Anwar daripada dilantik menjadi perdana menteri.

Lantaran itu tindakan lembaga disiplin itu lebih merit ke situ dan ia sebagai warning kepada individu lain agar berhenti atau kendurkan kegiatan menghuruharakan parti kini. Menyeru dan berharap semua pihak kembali ke landasan asal perjuangan, reformasi.

Saya melihat tindakan ini tidak berbaloi. Memecat ketua cabang Bera itu tidak mengubah keadaan yang ada apalagi memberi impak amaran yang akan dipatuhi. Sebalik ianya lebih memmercitkan api sengketa sesama sendiri yang terus menghabakan Anwar.

Pertikai.
Tengok sudah ada pemimpin yang mempertikaikan pemecatan Zakaria itu. Naib Presiden Zuraida Kamaruddin yang membantah dengan berlindung di sebalik memberi peringatan agar jangan ambil tindakan memilih bulu. Suara Zuraida itu adalah suara sumbang.

Apa maksud Zuraida itu? Baginya tindakan ke atas Zakaria itu adalah tindakan dendam yang sengaja dilakukan kerana Zakaria penyokong Azmin. Zuraida pula adalah serikandi PKR yang mempertahankan Azmin dalam menghadapi apa sahaja bentuk perselehengan dengan Anwar. Dalam diri Zuraida dewa dan dewata bukan lagi Anwar yang dilaung-laung atau ditumpanginya sebelum ini tetapi Azmin. Kuasa, kedudukan dan pangkat mengubah pendirian manusia. Itulah Anwar sering menyinis setelah ada kuasa dan jadi menteri, sudah ada yang berjalan pekal.

Sepatutnya Zuraida tidak sepatutnya mempertikaikan tindakan lembaga disiplin dan cuba mengajar lembaga itu. Beliau patut menyokong atau setidak-tidaknya mendiamkan diri. Tetapi kenapa Zuraida sedia melakukan itu dan berani pula menjampuk?

Sekiranya lembaga disiplin mengambil keputusan untuk kebaikan parti dan mengheningkan susana dalam parti ketika ini ia sia-sia sahaja. Pemecatan Zakaria itu tidak akan meredakan apa yang berlaku kini. Ia tidak berlaku seperti bidalan, "pukul anak sindir menantu", sebaliknya ia jadi "pukul menantu terkena anak." Haha.

Apa yang patut dilakukan lembaga disiplin parti ialah mengambil tindakan hatta memecat Azmin Ali sendiri. Punca ketidakselesaan dalam PKR waktu ini terutamnya yang cuba merubah pelan dan konsensus untuk Anwar jadi PM, bukan Zakaria tetapi Azmin. Kenapa tindakan diambil kepada ekor bukan kepada kepala? Tindakan itu bukan sahaja tidak bijak tetapi menampakkan tidak ada keberanian lembaga berkenaan.

Lembaga disiplin atau pimpinan tertinggi PKR sudah cukup bukti untuk bertindak ke atas Azmin. Sudah banyak salah laku Azmin untuk dihadap ke lembaga disiplin. Contoh kecil tetapi yang boleh diambil tindakan ialah, ketidak hadirannya dalam mesyuarat tertinggi parti (MPT).

Menghadiri mesyuarat adalah tanggungjawab besar ahli apa lagi kedudukan sebagai Timbalan Presiden. Tidak hadir tanpa pemakluman boleh dikenakan tindakan kerana ia menggambarkan seorang yang engkar peraturan dan tidak ada disiplin. Dengan hadir bermesyuarat semua masalah boleh dibincang dan dibangkitkan, bukannya dengan membangkit di luar sesudah mesyuarat selesai.

Mungkin lembaga displin tidak mahu mengambil kira itu kerana, parti boleh membuat keputusan tanpa kehadiran Timbalan Presiden dan seorang Naib Presidennya, Zuraida. Tetapi apa dilakukan oleh Azmin, dua tiga hari lepas adalah satu aksi yang cukup mencabar dan boleh memalukan PKR. Ia lebih memalukan parti itu daripada tuduhan dikenakan ke atas Zakaria sehingga beliau dipecat.

Tindakan dan perbuatan Azmin paling terkutuk, bukan kerana dia dikaitkan dengan video lucah Haziq, tetapi memanggil 18 orang ahli parlimen Umno menghadiri "kenduri Aqiqah" di kediamannya dalam rangka kempen untuk membentuk kerajaan dari pintu belakang. Apa dilakukan Azmin itu satu perbuatan yang cukup kotor, jahat dan bernajis. Perbuatan itu telah membelakangkan organisasi.
Kalau menurut amalan dan standard pentadbiran Komunis, berkomplot seperti dilakukan Azmin itu, menyebabkan ia boleh dihukum tembak tanpa tutup mata.
Tetapi malang tidak ada apa-apa tindakan dan reaksi daripada parti berhubung tindakan Azmin itu. Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri setakat mencemuh sahaja apa yang Azmin lakukan. Sepatutnya parti sudah boleh bersidang dan lembaga disiplin perlu memanggil Azmin dan siapa-siapa yang hadir. Selepas dipanggil tidak hadir, mereka perlu diberi surat tunjuk sebab dengan tegas.

Yang hadir dalam pertemuan (komplot) di kediaman Azmin itu, atau yang menjadi tukang padah perlu juga sama dipanggil dan dikenakan tindakan. Mereka adalah Zuraida Kamaruddin menjadi penyambut tetamu dan Kamaruddin Jaafar yang bertindak sebagai tukang padah atau jurucakap.

Ketiga-tiga mereka ini sepatutnya diuruskan dahulu sebelum memecat Zakaria itu.

Saya yakin dan percaya, tanpa berani mengambil tindakan terhadap pengkomplot itu, serikandi dan jurucakapnya, Keadilan tidak akan mendapat kententeraman. Parti itu akan terus berserabut. Kekacauan dalam PKR itu pula akan dijadikan alasan untuk tidak memenuhi apa dikonsensuskan PH.

Sedar dan ketahuilah proses pelaksanaan konsensus PH untuk Dr Mahathir lepaskan jawatan kepada Anwar tidak mudah berlaku selagi PKR sendiri tidak aman dan bercakaran sesama sendiri. Dan dengan apa yang berlaku sekarang ini, jangan mudah dan mengharap mereka akan kembali bersama lagi, sebab mereka sudah berpatah arang dan berkerat rotan.

Makanya tindakan pantas dan relevan diambil ialah menghadapkan mereka bertiga itu ke lembaga disiplin.

Apakah lembaga disiplin tidak berani untuk bertindak kerana menyedari kolaborasi mereka itu besar kesannya? Kalau begitu bermakna dalam game merebut jawatan PM ini, Azmin dan gengnya tetap menjadi kunci utama dan penentu. [wm.kl.11:31 am 25/11/19]

No comments: