Saturday, January 4, 2020

Pengunduran Maszlee tidak selesai masalah PH

CATATAN PAGI

SETELAH lebih 48 jam Dr Maszlee Malik meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), saya baru dengar kenyataan akhbar medianya untuk menyatakan atau memaklumkan apa yang berlaku ke atas dirinya, meletak jawatan.

Beliau mengambil masa 20 minit untuk melafazkan hanya beberapa patah perkataan yang boleh merubah status kehidupan dan tanggungjawabnya selama 20 bulan lalu.

Beberapa patah perkataan itu berbunyi; “dengan ini saya menyerah balik jawatan KPM kepada Perdana Menteri.” Perkataan itu hanya boleh diambil dalam masa tidak sampai 3 minit pun, dan sebenarnya beliau tidak pun perlu membuat sidang media khas, cukup mengeluarkan kenyataan di sekeping kertas sahaja.
Apabila beliau “berbelebel” panjang untuk mengumumkan yang beliau “tidak lagi diperlukan” nampak yang bekas menteri KPM itu tidak berpuas hati dan berat untuk melepaskan jawatan itu.

Masa yang panjang diambil Maszlee itu untuk menghuraikan beberapa pencapaian beliau di KPM dan apa yang telah KPM telah lakukan 20 bulan lepas seakan sebagai afadevit pembelaan. Banyak perkara disebut yang KPM mendahului kementerian-kementerian lain, termasuk melakukan perubahan dan misi.

Sidang media itu juga dihurungi warga KPM dan para pegawai dan kroni beliau.

Teruja juga dengan apa disebut Maszlee mengenai pencapaian KPM dibawahnya. KPM melakukan atau mencatat beberapa rekod berbanding dengan kementerian lain. Apabila beliau diminta berundur ertinya segala pencapaian dan rekod itu tidak dinilai dan dihargai. Sebaliknya ironis Maszlee secara peribadi mendahului menteri lain pula apabila menjadi menteri pertama terpaksa meninggalkan kabinet.

Peletakan jawatan Maszlee itu menimbul sedikit kontroversi walaupun beliau adalah antara menteri yang dilihat tidak dapat memenuhi kehendak nafsu banyak pihak. Kenapa ia mengejutkan kerana Maszlee seharusnya tidak meletak jawatan bersendirian, tetapi bersama beberapa menteri lain yang sepertinya yang tidak berkemampuan dan memberi imej buruk kepada kerajaan.

Sebenarnya dalam menanti perubahan kabinet Dr Mahathir itu, yang ditunggu bukan hanya merubah satu kerusi sahaja tetapi banyak lagi kerusi menteri.

Apa yang berlaku itu memalukan dan mengaibkan Maszlee. Beliau dilihat menjadi mangsa kepada keadaan. Seorang lagi ahli akademik terkorban. Kalau “peletakan” jawatannya secara beramai-ramai dengan helah atau maslahat untuk merombak kabinet bagi membaiki prestasi kerajaan di kalangan rakyat, ia mungkin tidak jadi kontoversi dan ia juga tidak mengaibkan Maszlee.

Maszlee tidak dilihat sangat terpaksa meletak jawatan, tetapi tidak diingini lagi dalam penyusunan itu. Tetapi apabila beliau seorang sahaja terpaksa melakukan itu ia memalukan beliau.

Nasib diterima Maszlee itu menyebabkan ada orang beranggapan ahli parlimen Simpang Renggam itu dipaksa untuk berbuat demikian. Yang dilihat memaksa Maszlee di sini Dr Mahathir sendiri sebagai orang bertanggungjawab melantiknya, atau mereka yang tidak berpuas hati dengan pencapaian dan laku Maszlee telah memaksa Dr Mahathir untuk memecatnya?

Apakah ada keadaan dan faktor tertentu menyebabkan Dr Mahathir boleh dipaksa. Dan dalam kancah tanda tanya itu juga ada pihak menyatakan, ia adalah atas kehendak Dr Mahathir dengan motif politiknya untuk mencapai legasi politiknya? Saya tidak kira begitu kerana kalau Dr Mahathir berbuat begitu nampak sangat akan kesumbangannya.

Dari bacaan umum ada tiga faktor besar yang berlaku menyebabkan Maszlee dipaksa berundur. Isu-isu ialah mengenai pelaksanaan tulisan Jawi, pembatalan projek Bisterinet dan isu makanan percuma untuk murid. Inilah tiga isu yang membawa celaka kepada bekas Menteri Pendidikan itu.

Dalam kasus ketiga-tiga isu ini, katanya Maszlee bertindak tanpa merujuk kepada PM dan juga kabinet, lebih bertindak bersendirian dengan kuasa yang diberi dan inilah menyebabkan beliau diminta berundur.

Justeru di sini saya mempunyai sedikit kesimpulan dan melihat kesan di atas apa yang berlaku itu.

1. Peletakan jawatan itu adalah satu paksaan ke atas Maszlee. Walaupun beliau kata reda dengan apa yang berlaku, tetapi jelas ia dipaksa. Sebagai seorang yang sedang syok menjadi menteri, belum habis berbulan madu dengan jawatan, tidak mungkin Maszlee semudah itu mengambil keputusan itu.

2. Kesan dengan apa terjadi ke atas Maszlee itu menggambarkan obsesi beliau untuk merubah dan membawa pembaharuan dalam KPM sejajar dengan aspirasi reformasi tidak mendapat sokongan golongan tertentu dan juga Dr Mahathir sendiri.

3. Apa yang berlaku ke atas Maszlee itu perlu dilihat oleh menteri-menteri lain juga, bahawa nasib dan nyawa diri mereka sangat terletak ditangan perdana menteri. Tidak mustahil apa yang menimpa Maszlee itu juga akan tertimpa ke atas kepala mereka sama sekiranya mereka jadi seberani dan senekad Maszlee ingin melakukan pembaharuan.

4. Paksaan atau tindakan ke atas Maszlee dilihat bukan untuk memperbetulkan kesalahan kerajaan PH yang kian dicemuh rakyat kini. Peletakan itu bukan sangat dilihat kerana kegagalan PH mengekalkan kerusi di Tanjung Piai dalam Pirake lalu tetapi ada hambatan dan keperluan lain bersifat peribadi, dimana Maszlee menjadi mangsa.

5. Kerajaan PH tidak jadi baik, dan mendapat sokongan rakyat hanya bertindak ke atas Maszlee, kenapa dikatakan begitu kerana selain Maszlee masih ada menteri yang gagal malahan lebih teruk, dan dalam masa menjadi liabiliti kepada kerajaan.

6. Kepada Maszlee sendiri, apa yang berlaku itu memberi pengajaran kepadanya, bahawa dunia politik senantiasa bersimpang siur, dan orang akademis sepertinya tetap kena tunduk kepada kehendak dan asakan politik.

7. Kebermaknaan kerajaan PH dalam usaha mendapat kepercayaan rakyat, bukan bertindak ke atas Maszlee seorang, tetapi Dr Mahathir sendiri selaku perdana menteri sendiri juga perlu melalui proses dilakukan sama Maszlee itu apabila ianya ditegur oleh rakyat.

Persoalan selanjutnya siapa menjadi pengganti Maszlee? Beberapa nama disebut antara antara Mustapa Mohamed dan Mukhriz Mahathir. Dalam situasi ini saya kira kemunasabahan Mustapa lebih tinggi berbanding dengan Mukhriz, setidak-tidaknya ahli parlimen Jeli itu sudah ada pengalaman sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan beliau sangat diperlukan untuk berada dalam kabinet.

Apa pun sama-sama kita tunggu, segala persoalan itu akan terjawab pada Isnin depan. Yang afdal untuk dilakukan Dr Mahathir bukan sahaja mengumumkan penggantian Maszlee tetapi pertukaran portfolio menteri dan mengumumkan muka baru dalam kabinetnya nanti. [jakarta.7:20 am 04/01/20]

No comments: