Sunday, March 1, 2020

Kemelut sudah tamat, jangan ganggu Muhyiddin

ULASAN

Lambaian seorang PM daripada Muhyiddin. Foto AFP.
JAM 10:30 pagi ini Muhyiddin Yassin dijangka akan menghadap Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8.

Petang semalam Dato' Bijaya Sura Pengelola Istana telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan ahli parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan 114 ahli parlimen yang dibuat menerusi SD, dan jumlah itu meyakinkan Yang diPertuan Agong untuk memberi surat perlatikan sebagai PM kepadanya.

Walaupun angka itu dipersoalkan oleh Pakatan Harapan (PH), namun ia tidak mungkin akan dilayan oleh Agong. Apa dirancangkan diduga tetap akan dilangsungkan mengikut jadual. Berdasarkan perubahan yang berlaku di Johor, walaupun angka kumpulan baru yang membentuk kerajaan baru Johor itu dipertikaikan, tetap ia tidak dilayan oleh Istana Johor, dan hal itu juga terpakai di Kuala Lumpur ini.

Di Johor Pakatan Harapan (PH) cuba mempertikaikan yang mereka memiliki kelebihan suara (majoriti), dan ingin kemukakan semula angka itu kepada Sultan, tetapi ia tidak dilayan. Suka atau tidak perlu diterima hakikat kerajaan negeri Johor adalah kerajaan baru.

Berakhir.
Krisis dan pergolakan politik yang melanda negara selama tujuh hari bermula 23 Februari berakhir 29 Februari boleh dianggap sudah berakhir walaupun ia masih ada hal-hal yang boleh dipertikaikan dan munasabah untuk dipersoalkan. Pengesahan pengakhiran kemelut itu adalah jam 10:30 nanti apabila Muhyiddin selesai mengangkat sumpah.

Sama ada PH berpuas hati atau tidak, ia boleh dilakukan kemudian. Parlimen masih ada dan ia merupakan forum dan medan terbaik untuk dibawa apa-apa yang tidak memuaskan itu untuk diadili. Dalam sistem demokrasi mahkamah keadilannya di parlimen bukan di Istana.

Mungkin kalau Agong tidak melayan tuntutan PH dengan meneruskan majlis angkat sumpah, mungkin kerana baginda mahu membiarkan ia dibawa ke parlimen kerana di situ nanti semua orang dapat lihat dan saksi dengan kepala mata sendiri, dan tidak timbul keraguan lagi.

Malam tadi PH mendakwa mereka juga memperolehi majoriti mudah memiliki 114 suara yang menyokong. Dr Mahathir akan membawa perkara itu kepada Agong pagi ini.

Saya yakin dan percaya Istana tidak akan mempedulikan apa yang hendak dikemukakan oleh PH itu. Kenyataan dikeluarkan petang semalam masih sah. Dan sekiranya Agong memansuhkan keputusan yang sudah dibuat semalam ia menampakan ketempangan dan kecacatan Istana Negara dan ketidak sempurnaan Istana sebagai institusi keadilan.

Mengingati apa yang berlaku tujuh hari lalu tidak terbayang dan tidak sanggup dikenang kembali kerana ia menggeri dan memeritkan.. Ngeri dan gerun.  Macam mana rakyat negara ini digoncang dan dihumban dengan krisis dan pergolakan yang belum pernah berlaku selama ini. Rakyat diheret songsang untuk memenuhi kehendak amarah orang politik.

Pergolakan itu menyaksikan bagaimana persilatan dan pergocahan dalam dunia politik yang menyerlahkan berbagai rupa, ragam, menimbulkan rasa, ada yang sampai menghanyirkan keadaan.

Sudah pasti apa yang berlaku itu akan menjadi catatan sejarah. Pengajaran politik yang cukup bernilai buat generasi akan datang. Mereka akan membaca, menalaah, menyelidik dan mengenali sepak terajang politik, sebagai satu seni yang tidak mudah untuk ditafsirkan. Pergolakan dan krisis itu adalah ilmu politik yang masih belum tercatat dalam buku-buku pengetahuan politik di negara ini.

Paling utama dapat diaksikan ialah karektor dan sifat orang politik yang seakan-akan hilang perasaan perikemanusiaan, lebur maruah dan juga harga diri. Perhatikan apa jadi saat mereka mencari dan memburu angka untuk memboleh membentuk kerajaan, ada yang sanggup melacurkan diri. Berbagai ragam yang tersaksi yang belum pernah terlihat selama ini.

Sifat munafik atau hipokrasi sangat jelas ditunjukan dalam pergolakan dan krisis berkenaan. Kerajaan PH berusia 20 bulan itu jatuh adalah kerana adanya politician munafik, rakan yang mengkhianati rakan, permainan tikam belakang, tikam depan dan juga menggunakan matlamat menghalalkan cara. Kemunafikan itu boleh disaksikan dengan jelas dan terang. Secebis keikhlasan tidak ternampak dan rakyat dijadikan alasan untuk melempiaskan nafsu.

Apa yang berlaku selama tujuh hari itu, serta rentetan-rentetan sebelum daripada itu akan dianalisa dan dikaji. Ia akan diambil pengajaran sebaiknya. Yang bijak akan menggunakannya untuk mahasabah diri sementara yang ego dan sombong akan membiarkan ia berlalu begitu sahaja.

Manakala sepanjang kewujudan kerajaan baru gabungan; Umno-Pas, sebahagian Bersatu, sesuku Keadilan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan dinilai dan dikenang sepanjang zaman. Kejadian dan peristiwa itu akan dijadikan kes study dan rujukan oleh ahli sejarah, ahli politik, pemerhati politik dan sebagainya.

Apakah apa-apa yang berlaku disepanjang tempoh itu hingga berakhir, ia benar atau tidak mengikut proses demokrasi atau tidak, akan dinilai dan dirumuskan kemudian. Cuma perlu difahami apa yang berlaku itu masih mengikut peraturan-peraturan sistem demokrasi. Soal ianya satu tindakan bertentangan dengan tatabudaya dan nilai budi manusia itu soal lain. Dalam demokrasi membenarkan demikian dan perlembagaan negara membolehkannya.

Mengenai masa depan kerajaan itu dan penerimaan ia bergantung kepada rakyat dan umum menilainya dari perspektif masing-masing. Persoalan dan tanda tanya akan tetap tumbuh dan cambah di kepala orang apakah kerajaan itu akan bertahan lama. Atau pun ia akan mengalami apa dialami sekarang ini.

Dan di sini saya tidak mahu bercakap dan membuat prediction mengenai masa depan kerajaan baru dibentuk itu, kerana apa yang berlaku itu masih menuruti lunas-lunas demokrasi yang didokong, kerajaan baru itu walaupun tidak bermoral kerana ia dibentuk para maling, tetapi semua orang perlu menghormatinya.

Berilah peluang kepada Muhyiddin untuk mengurus dan mentadbir negara tanpa mengganggunya. Dan saya rasa kita bertuah kerana disepanjang tempoh perampasan kerajaan itu dan sehingga pembentukan kerajaan baru tidak ada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku. Barang kali inilah dikatakan demokrasi Malaysia masih sihat, sekiranya darah jadi ukuran bukannya air mata kerana perampasan kerajaan itu tidak menitiskan setitik darah pun, apa yang ada hanya kebeladunan air mata sahaja. [wm.kl. 8: 21 am 01/03/2020]

No comments: