Saturday, December 19, 2020

Kecelaruan dalam PH, buka jalan PKR bergerak sendiri

ULASAN MINGGU

Sesekali cuba beri Mat Sabu duk
di tengah pula. Foto: Portal.
KETIKA parti-parti kerajaan (PN) sedang mengatur langkah memantapkan perpaduan dan mengemaskan kedudukan dengan penubuhan Majlis Presiden, lain pula yang terjadi kepada PH. Ada suasana tidak kondusif berlaku dalam PH ketika ini apabila dilihat sebagai bercakaran pendapat sesama sendiri. 

Apa yang menyelubungi PH kini membimbangkan kerana ia berpotensi ia akan retak seterusnya membawa belah. 

Saya anologikan situasi ketiga komponen dalam PH kini, PKR, DAP dan Amanah sedang mengalami kesakitan; darah tinggi, jantung dan kencing manis. Penyakit tiga serangkai. 

Majlis Presiden PH perlu duduk dan bersidang segera bagi mengatasi apa yang berlaku kini. Perlu mencari ubat dan penawar. Jika membabitkan jantung kalau perlu dilakukan by pass, nah lakukan. 

Kecelaruan yang timbul kini tidak boleh dibiarkan tanpa diuruskan secara tuntas apa lagi dibiarkan berlamaan ia menjadi polimek dangkal di peringkat "bocah becat kemetot" di bawah. 

Keadaan yang mengawati PH kini sudah sangat terdesak kerana pilihan raya boleh dan akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. PN sudah bersiap sedia. Parti-parti dalam PH sepatutnya tidak mencari titik salah antara satu sama lain dalam waktu amat terhad ini tetapi menjadi garis lurus dan benar untuk tambah energi. Mengutamakan aspirasi rakyat lebih baik daripada mengejar mimpi peribadi.

Perlu diingat, dalam PN walaupun para pemainnya (pemimpinnya) ada tercedera, tetapi mereka sedang giat membuat latihan dan merancang teknik dan strategi baru. Mereka sedang mencari kata sepakat yang ampuh. Mereka tidak dominan bertelagah. 

Bukan itu saja mereka juga ada kelebihan kerana tarikh untuk diadakan permainan (Piraum) dalam genggam mereka. Mereka yang membuat ketentuan. Inilah kelebihan parti kerajaan dan kelebihan ini yang cuba hendak direbut oleh pemimpin bekas kerajaan. Sepatutnya PH juga berbuat hal sama untuk menyaksikan Piraum akan datang menarik, berlaku pertandingan dua penjuru dan mengurangkan variasi perlawanan.

Kedukaan dan kekecewaan kerana hilang kerajaan 22 bulan tidak patut dijadikan penyebab untuk terus berduka dan bersedih serta lemah semangat. Kehilangan kerajaan itu betapa sayang pun, jadikan satu pendokong bukan penghalang. Berhentilah melihat bush jacket atau pun kot dan necktie baru yang dipakai sebelum ini. Sebaliknya tumpukan jauh ke depan. 

Punca kecelaruan.

Kecelaruan dalam PH kini adalah berpunca daripada terlontarnya pandangan dan pendapat peribadi daripada beberapa individu. Ia bukan pun satu resolusi didebatkan secara rasmi. Kalau boleh disebut ia bermula daripada pandangan Presiden Warisan Shafei Apdal yang mencadangkan supaya pembangkang berani menukar pemimpin dan mengemukakan muka-muka baru dalam kepimpinan. 

Pandangan Shafei itu perkara biasa sahaja, satu idea untuk lonjak ke depan. Bagaimana pun ia menjadi penting apabila ia disambut pula oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, dengan mengemukakan cadangan tambahan mewujudkan gabungan perdana (grand coalition) pembangkang terdiri daripada PH dengan parti-parti kecil ditubuhkan. Apa yang menjadi kesalahan dan menyinggungkan atas cadangan Salahuddin itu apabila beliau menyebut sama nama parti baru yang ditaja oleh OT95 (Dr Mahathir Mohamad) yang masih berada dalam inkubator, belum diluluskan pendaftarannya. 

Mungkin grand coalition itu tidak menjadi alergik kepada sesiapa kalau tanpa diajak sama OT95. Di sinilah Salahuddin gagal memahami sensitiviti politik pihak tertentu dalam PH. Anehnya, kenapa nama parti OT95 yang masih berkeadaan dalam inkubator dipanggil sama. Di sini memberi gambaran bahawa dan tanggapan yang timbalan presiden Amanah itu seperti terikat dan terkenang budi kecil OT95 melantik beliau sebagai menteri 22 bulan.

Semasa mencadangkan agar parti dalam inkubator itu untuk bergabung dengan PH, Salahuddin tidak menghuraikan kelebihan dan keuntungannya. Beliau patut tinjau dahulu sensitiviti orang dalam PH terhadap OT95. Jadi apabila alpa dan mengabaikan itu maka beliau terperangkap dan persepsi buruk yang boleh menganggu konsentrasi baik politiknya. 

Keadaan menjadi tambah hangat lagi apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden  Amanah Mohamad bin Sabu telah membuat kenyataan bersama, yang sifatnya menyokong kenyataan Shafei dan Salahuddin itu. Ia masih ok, tetapi apabila disebut agar pembangkang melupakan angka untuk menjatuhkan Muhyiddin dan menyifatkan ia sebagai usaha itu bagaikan mengejar bayang-bayang, sesuatu kenyataan yang pedih dan kurang perasa. 

Kenyataan mereka berdua itu walaupun tidak langsung tetapi tertuju kepada Anwar Ibrahim yang sebelum ini mengarai angka dari masa ke semasa mendakwa beliau mempunyai sokongan. Peliknya kenapa semasa Anwar ralik mengarai angka mereka tidak membantah? Masih ada perangai "mulut manis jubur masam" di sini dilakukan Guan bin Eng dan Mat bin Sabu.

Larangan.

Saya sejak awal-awal lagi melarang PH bermain dengan angka. Jangan mempercayai kepada perbuatan tahyul dan syirik itu. Tetapi nampak tidak dihiraukan. Apakah kerana di sudut hati mereka turut tersimpan harapan dan menganggap gimik Anwar itu benar maka mereka menyokong? Dan setelah ia nyata gagal lalu mengambil sikap menyalahkan Anwar pula. Cara dan bersikap macam Serigala yang tidak dapat anggur mengatakan anggur masam tidak gentlemen.   

Kegagalan menolak Bajet 2021 dan menjatuhkan Muhyiddin mengembalikan semula kerajaan 22 bulan yang hilang tidak sepatutnya dilonggokkan ke atas bahu Anwar kesemuanya. Beliau hanya berusaha dengan cara untuk mengembalikan semula kerajaan itu menerusi strateginya. Sepatutnya kesalahan dan maki hamun dilempar dan dilontarkan kepada orang menyebabkan berlakunya pengkhianatan sehingga kerajaan itu hilang, bukannya kepada orang yang ghairah untuk mengambil kerajaan.   

Siapa dia? Untuk pengetahuan Salahuddin, Guan bin Eng dan Mohamad bin Sabu individu itu ialah OT95? Apakah anda masih belum menemui jawaban dan rumusan mencari punca dan penyebab kenapa boleh berlaku pengkhianatan itu, atau dari mana terbukanya pintu kecil yang boleh dimasukan pengkhianat untuk menyamun dari dalam. Siapa yang membuka lubang kecilnya. Masakan anda bertiga semua rabun dan buta mengenal hal ini.

Tidak mengapalah apa yang berlaku itu sudah berlalu. Sepatutnya semua pihak dalam PH melupai kesedihan itu dan bangkit dengan penuh nekad dan azam. Kenangan manis semasa menjadi kerajaan tidak perlu dikenang ingat lagi. Asal kapas menjadi kain, dari kain dibuat baju... Jadikan ia sebagai sepadan dan ibrah dalam politik untuk bangkit. 

Malangnya mereka tidak bergerak ke situ tetapi cuba melayan pihak lain dan bertindak pula mencari formula yang sedikit songsang dengan apa yang dilakukan sekarang. Bagi saya apa dilakukan oleh pemimpin DAP dan Amanah itu sesuatu yang "terbalik kuang" dan melupai adat dan nilai persahabatan.Tidak menghargai kesediaan Anwar menjadikan kesengsaraan dialaminya sebagai modal politik mereka sebelum ini, suatu pengkhianatan juga.

Walaupun kenyataan Guan Eng bersama Mat bin Sabu dan Salahudin itu tidak menyebut mereka mahu menukar pengerusi PH atau ketua pembangkang tetapi maksud tersirat ke situlah. Yang mungkin tidak dapat membacanya sang bocah becat yang otak kemetot sahaja yang diberi makan sagu parut, dan mematuk pongek sendiri. 

Kenyataan mereka membawa pengertian mereka sudah tidak percayai kepada Anwar lagi apabila presiden PKR itu gagal mengembalikan kerajaan. Kita boleh menerima kalau Anwar hendak diganti kerana sememangnya ketua yang lemah dan gagal mencapai apa diharapkan perlu ditukar. Soalnya disini siapakah yang diharap atau hendak ditukar ganti dengan Anwar itu? Begitu pun, buat dan bincanglah cadangan itu secara tertib dalam mesyuarat. Bukankah PH ada majlis presiden. Bincang biar lumat hancur dalam mesyuarat bukan buat kenyataan akhbar yang akan dipetik liar oleh sesiapa sahaja khasnya musuh PH. Tindakan ini kurang cerdik dan bukan professional. 

Kalau hendak halau Anwar sebagai ketua, siapa penggantinya. Namakan. Apakah orangnya Guan Eng atau Mat Sabu atau Salahuddin yang dilihat bisa selepas jadi menteri 22 bulan itu? Pernahkah mereka mengukur baju dibadan sendiri atau ada tailor sudah mengukur saiz baju mereka? Kalau bukan mereka siapa? 

Kerana mengira ketiga orang ini tidak layak, (hatta kalau dicampur ketiga-tiganya untuk menandingi Anwar), maka semua pemerhati tertumpu kepada OT95. Mengira mereka masuk mengambil OT95 sebagai ketua. Alangkah kemetotnya akal politik mereka kalau masih lagi mahu mendewakan OT95. Apakah selama 22 bulan dan selama 22 tahun lampau semasa menjadi PM pertama, mereka masih belum mengenali siapa OT95 dan kerencaman politiknya. 

Kenapa mudah sangat terkejut dan berubah lagak kerana hujan sehari sedangkan kita sudah kalih dengan kemarau bertahun. Retilah beza sikit antara kelicitan Pelanduk dengan linangan air mata sang Buaya.

Apakah kerana kepercayaan itu kerana OT95 memberi sedikit budi kepada mereka melantik sebagai menteri selama 22 bulan. Apakah jawatan menteri itu berupa segunung emas yang perlu mereka agungkan pemberiannya sampai ke bila? Dangkal kalau anda berfikiran begitu dan saya tidak mengatakan demikian. 

Kesimpulannya apa yang sedang berlaku dan berkecamukan dalam PH kini tidak boleh dibiarkan begitu  sahaja. Ia perlu dituntaskan cepat. Keraguan siapa harus memimpin PH perlu dilengsaikan segera kalau PH masih diperlukan dan menjadi pilihan rakyat. Begitu juga apakah PH perlu dikekalkan dengan kompnan yang ada kini atau ditambah dengan penyelitan parti-parti kecil perlu dimuktamadkan. Jangan baru menempa balak untuk jadikan perahu setelah bah berlaku.  

Sebelum itu umum juga mahu tahu apakah kuasa tambah yang dapat diperolehi daripada parti-parti kecil kepada PH nanti. Apakah PKR, DAP dan Amanah masih belum cukup untuk mewakili semua golongan dan entiti masyarakat Malaysia kini. PKR sebuah parti multi racial cukup ampuh untuk menangguk mereka yang liberal, tidak obses dengan nasionalis Melayu atau berorentasikan agama. 

DAP pula boleh memancing pengundi Cina yang rata-rata mahukan kepentingan mereka dijaga. DAP sudah menunjukkan tanggungjawab dan peranan mereka semasa beberapa MP mereka dilantik menjadi menteri dalam kerajaan PH lalu. DAP sudah dapat memuaskan hati kehendak bukan Melayu. 

Manakala Amanah pula sudah ada untuk menjerat undi Melayu ortodok dan konservetif sebab mereka adalah parti bernuansakan Islam. Kalau Amanah tidak dapat jamin mereka dapat mengatasi pengaruh Pas, kesalahan itu bukan terletak kepada Anwar, tetapi kepada para pemimpinnya yang gagal menjelmakan intipati dan konsep Rahmatan lil-alamin itu. 

Diulang sekali lagi, Majlis Presiden perlu berbuat sesuatu dalam kadar segera. Majlis presiden perlu bersidang untuk mencari kata putus. Hari ini ada satu kata putus sahaja dinantikan oleh rakyat, apakah PH hendak diteruskan dengan rupa yang ada kini, atau PH diubah rupa? 

Jika PH hendak diteruskan dengan rupa hari ini, maka tidak perlu ditokok tambah dengan memperkenalkan gabungan baru. Gabungan baru tidak perlu disebut, yang boleh disebut PERKEMAS dan MEMPERLUAS gabungan PH. 

Salah pilih istilah boleh menimbulkan masalah. Apa disebut Salahuddin itu satu kesilapan bukan kekhilafan kerana kurang cermat mengamati emosi dan sensitiviti politik. Salahuddin perlu lebih bijak dan faham dalam membuat kenyataan politik dalam saat semua orang kelaraan kerana hilang kerajaan. Diharap beliau lebih kerap menggengam buku seperti dahulu daripada menggegam telefon bimbit seperti sekarang. 

Tidak disembunyikan dalam kemelut yang berlaku kini Anwar sedikit tertekan kerana, kesemua tindak tanduk, idea dan kenyataan dikeluarkan seperti mahu mengenepikannya. Makanya beliau kena ambil tanggungjawab dan bermuhasabah diri bagi ambil tanggungjawab. Yang nyata beliau tidak perlu tunduk kepada sebarang idea perubahan yang boleh menjejaskan apa yang dipancang dan dideklerasikan sebelum ini. Apa lagi kalau perubahan itu, sekali lagi memberi peluang kepada OT95 menjadi penerajunya. 

Satu sahaja keputusan perlu dibuat Anwar kini, memikir semula keperluan partinya dalam PH itu. Sekiranya DAP dan Amanah serius untuk menerima pandangan Shafei Apdal dengan tujuan meletakkan OT95 sebagai ketua dalam gabungan perdana itu, cara terbaik Anwar membawa keluar PKR daripada PH. Serahkan kepada PH kepada arkitek baru bernama Shafei dan Salahuddin.  

PH hanya sebuah syarikat Sendirian Berhad yang sahamnya dipegang oleh beberapa orang sahaja dan diurus oleh ahlinya lembaga pengarah. Sebagai seorang ahli lembaga pengarah Anwar boleh keluar daripada syarikat itu atau dikeluarkan dan beliau boleh tubuh syarikat baru. Atau pun kalau Anwar dan PR ingin "berniaga" sendiri tidak jadi masalah kerana ia mempunyai modal dan aset yang mencukupi. 

PKR sebagai parti multi racial di dalamnya berbagai aliran pemikiran, ia memenuhi kehendak semua entiti. Dalam PKR ada teknokrat, ada birokrat, ada agamawan, ada ulamak, ada berbagai intelektual. Mereka juga ada wakil-wakil etnik. Atas realiti dan kelebihan itu PKR boleh bergerak sendiri. 

PKR juga mempunyai kekuatan yang global. Parti itu wujud di seluruh negara dari Perlis hingga ke Sabah. Beliau juga tidak kasik pemimpin dan tokoh-tokoh yang boleh diletakkan sebagai calon. Dan di luar sana masih ramai lagi politis yang kecewa dan berputus harap dengan parti asal mereka sedang mengintai-intai pintu untuk menyertai PKR. Anwar panggil dan runding sahaja mereka akan bersedia membantu.

Anwar tidak perlu berasa tertekan dan terus terganggu dengan usikan dan gertakan itu. Dan sebagai orang bersifat ulul azmi saya tidak fikir Anwar tewas dan lemas dalam banjir cetak. Kalau dalam Piraum hadapan PKR tidak boleh membentuk kerajaan sendiri dengan jumlah kerusi yang bakal diperolehi munasabah, (sekitar 50 kerusi) PKR boleh mencari rakan kongsi dengan sesiapa sahaja. Pengampungan PKR di papan bursa politik sedang ditunggu. [wm.kl. 12:48 pm 19/12/2020]

No comments: