Saturday, December 5, 2020

Kejatuhan Faizal tanpa perancangan?

LAPORAN LEWAT 

Faizal Azumu
ditumbangkan dengan
undi percaya.
SEBELUM Maghrib tadi saya bercakap dengan Adun Tebing Tinggi yang juga merupakan Ketua Pembangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Dr Abd. Aziz Bari menerusi telefon untuk mendapat sedikit maklumat dan mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam Dun Perak semalam khususnya mengenai peristiwa menyebabkan Ahmad Faizal Azumu jatuh "berdebak" dari kerusi MB apabila usul undi percaya terhadap kalah dengan nisbah 10 sokong dan 48 menentang. 

Geli dan lucu dengar penjelasan Aziz Bari mengenai kemelut politik di negeri Yeop itu kerana katanya apa yang berlaku di DUN Perak sesuatu yang tidak dirancang secara kolektif dan tidak ada pelan sedemikian rupanya. Pihak pembangkang tidak mengetahui terlebih dahulu mengenai usul tersebut sehingga boleh menyebabkan Faizal jatuh.

Usul itu dirancang atau diatur sendiri oleh pihak kerajaan khususnya Umno yang sebelum ini menyokong Faizal jadi MB, jadi pihak pembangkang tidak tahu menatu.

"Tidak ada perancangan apa-apa syeikh, kami hanya ingat ia main-main sahaja," kata Aziz sambil ketawa lucu dan menambah, "tiba-tiba jadi betul, Peja tumbang," ujarnya yang memanggil Faizal sebagai Peja.  

"Menurutnya lagi sebelum ini walaupun ada kedengaran ada usaha untuk jatuhkan Peja tetapi pihak pembangkang tidak terfikir ia berlaku seteruk seperti apa yang berlaku semalam," jelasnya lagi sambil ketawa kegelian.

Abd Aziz Bari menafikan peristiwa semalam ada kena mengena dengan pembangkang khasnya DAP.
"Ada orang kata DAP sebagai dalang di sebalik kejatuhan Peja itu, itu tidak benar," tegas Abd. Aziz sambil menganggap tuduhan itu tidak lebih daripada hendak burukkan DAP.

Menurut Abd Aziz bagaimanapun apa yang berlaku di DUN Perak itu sesuatu yang menarik dan mencipta sejarah tersendiri. Peristiwa itu, jatuhnya Peja sebagai MB adalah pengulangan sejarah sebelum ini yang sudah berlaku di negara ini. 

Abd. Aziz Bari
Kali pertama katanya berlaku terhadap Datuk Harun Idris di Selangor sekitar tahun 1975 dan kali kedua menimpa Datuk Mohamad Nasir di Kelantan tahun 1978. 

"Cuma apa yang berbeza usul berkenaan yang membawa kejatuhan kepada ketiga-tiga MB itu. Kalau di Selangor dan Kelantan usul yang dibawa ke atas Datuk Harun dan Mohamad Nasir adalah usul undi tidak percaya kepada kepimpinan mereka sebagai MB, manakala usul terhadap Peja usul yang menyokong kepimpinannya sebagai MB. Itu bezanya," kata Aziz. 

Bagaimana kata pakar perlembagaan itu, implikasi dari ketiga-tiga usul itu tetap sama, ia boleh mengekal dan menjatuhkan seseorang menteri besar dan mengikut peraturan yang sah. Semisalnya kalau usul percaya terhadap Peja itu mendapat majoriti maka beliau kekal menjadi MB, sebaliknya kalau kurang (seperti apa dialami semalam) dia terpaksa berundur.

Sebagai rekod hari ini Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu telah mengemukakan surat perletakan jawatan sebagai MB kepada Sultan Perak, Raja Nazrin Shah berikutan apa yang berlaku di DUN Perak semalam.

Bila diperhatikan kepada peristiwa melanda Perak itu ada kelucuan lain juga menurut Abd Aziz. Yang paling lucu ialah Adun yang mengemukakan usul menyokong Peja sebagai MB dan menyokong usul berkenaan tidak mengundi pun menyokong Peja sebagai MB. Ini yang melucukan", kata Aziz.

"Sepatunya mengikut logik kerana mereka membawa usul menyokong, sokong Peja bukannya menolak," katanya lagi seperti tidak faham dengan apa yang dilakukan oleh dua wakil Umno itu. Beliau mengandaikan demikian kerana kalau semua wakil Umno menyokong Faizal, MB itu dapat diselamatkan. 

Sekiranya semua Adun Umno menyokong Faizal sebagai MB tentu beliau akan mendapat lebih daripada 10 undi menyokong. Di dalam Dun Perak BN (Umno) mempunyai 15 orang Adun. Sekiranya semua Adun Umno menyokong, Faizal akan memperolehi 30 suara dan mengekalkan kedudukannya. 

Malangnya yang menyokong Faizal hanya seorang sahaja dari Umno. Menurut undian seramai 10 yang menyokong Faizal dikekalkan sebagai MB, mereka terdiri daripada lima (5) daripada Bersatu, tiga (3) Pas dan masing-masing dua (2) bebas. Sementara dipercayai seorang sahaja daripada Umno yang menyokong Adun Kenariang itu mungkin yang dilantik sebagai Setiausaha Politiknya, sementara satu berkecuali. 

Sesuatu kepelikan lain juga dengan apa yang berlaku di Perak itu menurut Abdul Aziz ialah usul undi percaya itu diletakkan awal dalam urusan mesyuarat dan peraturan ini telah menimbulkan masalah apabila Faizal ditolak.

Katanya sepatutnya usul berkenaan diletakan diakhir urusan mesyuarat setelah semua urusan kerajaan lain termasuk Bajet dibentangkan baru ia dikemukakan untuk mendapat undian Dewan. Gara-gara itu menyebabkan timbul masalah. 

"Apakah peraturan ini sengaja dilakukan oleh Sepaker atau pun kerana apa?" tanya Aziz. Mungkin ada tujuan tertentu juga kenapa Speaker bertindak demikian. Boleh jadi ia ingin memberi tahu dan menyekolahkan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dalam menguruskan mesyuarat parlimen supaya meletakkan keutamaan dan perkara penting seperti usul undi tidak percaya yang hendak dilakukan kepada perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk mengetahui keabsahan sokongan terhadapnya di parlimen. 

Seperti umum tahu di Parlimen juga ada usul tidak percaya dan percaya kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, tetapi Speaker Dewan Razak semacam tidak pedulikan sahaja dan sengaja melengah-lengahkan atau buat tidak peduli langsung kepada usul berkenaan. 

Usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pernah dimasukkan dalam urusan mesyuarat tetapi ia diletakkan "ngusuk" (terbawah) menyebabkan usul itu tidak sempat dibahaskan kerana kesuntukan masa dan dengan ketiadaan usul itu Muhyiddin masih boleh "begedik tah..tah." 

Apabila Speaker Perak itu meletakkan usul undi percaya terhadap MB itu diawal mesyuarat apakah beliau bermaksud untuk menyindir atau mengeyolahkan Speaker Dewan Rakyat itu supaya berlaku adil dan menjalankan mesyuarat dengan professional dan tidak dijadikan aling-aling untuk melindungi Muhyiddin.

Mengulas lanjut berhubung apa yang berlaku di Perak dalam waktu suntuk itu mengenai siapa MB selepas ini, Abdul Aziz tidak dapat meramal apa yang berlaku selepas ini. Yang pastinya Sultan Perak sudah menitah agar semua parti mencari formula terbaik bagi menyelesaikan kemelut itu demi rakyat. 

Sudah pasti hasrat Sultan itu akan cuba dipenuhi sebagai mungkin. 

Persoalanya apakah formula yang disebut itu bermakna Umno boleh bermuafakat dengan sesiapa sahaja bagi membentuk kerajaanya? Umno seperti ada sedikit ralat untuk membentuk kerajaan apabila Pas membuat kenyataan segera tidak akan bersama kerajaan baru Perak nanti. Pas nampak marah dan menyalahkan Umno dengan kejatuhan Faizal itu. Malahan bekas Exco Pas menyifatkan apa yang dilakukan itu satu pengkhianatan.

Ini menyulitkan kerana kerajaan Perak nanti sudah pasti akan diketuai oleh Umno memandangkan parti itu yang mempunyai banyak kerusi berbanding dengan Pas, 3 dan Bersatu 5 dan lagi pun usul  berkenaan sehingga menyebabkan jatuhnya Faizal MB yang disokong dan didukung Pas disebabkan Umno.

Apakah sekiranya Bersatu dan Pas bersikeras untuk tidak bersama sehingga menyulitkan Umno bentuk kerajaan Umno akan mencari ikhtiar lain. Apakah sebagai jalan penyelesaiannya Umno akan mengajak semua sama parti-parti lain termasuk parti-parti dalam gabungan PH untuk membentuk kerajaan? Atau pun kerajaan itu nanti terbentuk dengan adanya sama parti Faizal, Bersatu dan juga Pas? 

Pas walaupun sudah menyatakan sikapnya tidak mahu kepada Umno tetapi parti itu sudah diketahui akan membuat u-turn asalkan sahaja mereka mendapat manfaatnya. Soal prinsip dan integriti usah dibicarakan dengan Pas. Sebelum ini sudah 1001 kali Pas memungkiri kata-kata dan janjinya. Cis. 

Esok khabarnya Presiden Umno Zahid Hamidi akan menghadap Sultan Perak Raja Nazrin selepas ketua-ketua parti lain sudah berbuat demikian hari ini. Apakah Zahid akan mengemukakan formula tertentu sebagai memenuhi dan menjunjung tinggi harapan Raja Nazrin agar parti-parti politik mencari formula terbaik. Atau macam mana?  [wm.kl. 9:34 pm 05/12/2020]

Glossori:

Bergedik tahtah = mengerakkan kaki seperti mengikut irama bunyi seperti gendang atau muzik.

Ngusuk = terakhir, atau terkebelakang.

No comments: