Wednesday, December 30, 2020

Menabik Ladin dengan Tabik

ULASAN ANTOLOGI PUISI

Saya sudah memiliki dua naskah Tabik.
SEPANJANG malam tadi saya telah santap antologi puisi ketiga sahabat saya Othman Aladin atau Ladin Nuawi. Ada senonimas saya dengan Ladin ini. Saya ada puisi Lembu (1979) beliau ada puisi Kerbau. Ternyata puisi Kerbau lebih popular dan menjadikan Ladin seperti hari ini, gagah dan terus menanduk dan "menebuk" dalam dunia puisi. 

Saya, sang Lembu yang lahir awal dari Kerbaunya, berundur awal mencari arah baru setelah melihat rumput kehidupan perlu berubah dan diubah. Pengunduran saya tepatnya, uzlah bukan murtad puisi tetapi menyimpang langkah lebih yakin dan berani dalam hidup. Menurun lembah juang yang lebih curam, politik. Walaupun tersenggang dari buana puisi tetapi tetap mengikuti dari jauh bersama kesibukan tersendiri.

Syabas kepada Ladin kerana berjaya menerbitkan antologi Tabik, merupakan antologi ketiga beliau setelah Perjalanan Pulang Sang Seniman (2013) dan Pemain Puisi (2016).

Saya juga ada cita-cita untuk menerbitkan antologi puisi, tetapi masih belum berhasil. Ada juga nak tulis novel, juga belum berhasil. Insya-Allah dengan datangnya Tabik akan membuka selera dan menguatkan semangat saya untuk memiliki sebuah antologi puisi sendiri suatu masa nanti. Saya telah berjanji kepada sahabat penyair saya Nawawee Mohamad tentang ini.

Autograf Ladin kepada saya.
Saya sudah mula mengumpul dan mencari perca-perca kertas usang yang saya anggap sebagai puisi untuk tujuan itu. Tajuk pun sudah ada BAYANG DIRI. Sebuah antologi puisi boleh mengalahkan 54 buku-buku politik yang saya tulis.

Duta puisi.

Kepada masyarakat puisi dan buananya, Ladin tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia sudah gah dan gagah. Dia kini adalah antara Duta puisi negara yang produktif buat masa ini. Beliau sudah jadi orang, bukan itu saja juga jadi penyair saja tetapi pengerak seni sastera tanah air nan terbilang, terkhusus dalam puisi dan drama. Sudah terima anugerah pun. 

Terbaru dianugerahkan sebagai Tokoh Sastera Kelantan dalam bidang drama. Tahniah dan tabik sahabat. Terima kasih juga kepada kerajaan Kelantan yang peduli dan tahu menilai jasa dan budi orang sastera. Walaupun nilai anugerah itu tidak besar, saya berharap ia cukup untuk Ladin mencapai sesuatu yang ingin dilakukan dengan memiliki anugerah itu.

Angkat dua jempol. 

Kulit depan Tabik.
Berbalik kepada Tabik, saya Tabik dengan mengangkat dua jempol, kiri kanan kepada Tabik dan tuan tabik. Tabik... Ladin. Antologi ini mempunyai 105 buah puisi yang merupakan puisi-puisi Ladin dihasilkan awal penglibatan beliau dalam bidang puisi sekitar awal tahun 80-an. 

Puisi termuat itu juga puisi dalam pengembaraanya pada tahun 1990an, ketika beliau tidak makan saman, ujarnya. Bertahun juga Ladin menjelajah benua mencari apa yang hendak dicari dan mengenali dunia selain Malaysia dan kota Kuala Lumpur. Tidak pasti apakah Ladin menemui dan mendapat apa dicari di rantau pengembaraan itu?

Puisi-puisi yang ditulis sesama dalam pengembaraan dan selepas memantai balik menjawab persoalan itu. [Ohnya teringat menulis puisi dalam kembara ini saya tertunggu buah tangan daripada cikgu saya yang juga seorang penyair W.A Rafar yang kuat berjalan berjihad. "Kalu-kalu" ada buah tangan berupa sebuah antologi sahaja]. 

Menanggapi secara umum puisi-puisi Ladin ia merupakan sebuah bait-bait kata yang berfalsafah indah dan unik disusun dengan mengikut caranya. Ia menghibur kepada sesiapa dapat menghayatinya tetapi kosong kepada yang “lengah” menggunakan otak. Diksi ringkas dan bersahaja tetap sarat memikul makna sendiri. Di dalamnya ada erotik, lelucoh, saja-saja dan entah-entah pun ada. Ladin mengakui sendiri ada puisi yang ditulis secara tergantung.

 Ladin dan puisinya, dia menjadi puisi sebagai medium segala-galanya. Dia berbicara dan bercerita tentang dirinya, dia menjadi puisi selaku medium mengkritik sosial, mengeluh kesah dengan dunia. 

Mencatat dukalara sendiri di dada puisi dan dukalara dan kebimbangan kepada bangsanya. Tetapi Ladin tidak bermain dengan dukacita secara nyata, tetapi menyelit di bawah daun dan dikucahan ombak yang tidak ternampak pun tetapi terlihat atau menemuinya bila di"rasar" (jamah dengan hati), sehingga berjebak sebak di dada saya. Dan dia juga mencari Tuhannya dengan puisinya.

 Dua bentuk.

Puisi-puisi Ladin ada dua bentuk yang ketara. Panjang dan pendek. Puisi-puisi panjang lebih serius dan sesuai untuk deklamasi. Jangan lupa, Ladin seorang pendeklamator maka betah puisi-puisi panjang berima dan berbagai itu buatnya. Satu lagi puisi pendek. Kependekan ini sebelum memegang mikrofon puisi itu sudah dibaca. Puisi-puisi pendek ini untuk dinikmati sebagai kudapan yang mempunyai pelbagai cita rasa geli pun ada.

Pernahkah menonton deklamator ini? Sebagai pendeklamtor Ladin punya identiti dan kereput wajah sendiri. Bagi mereka yang jahil mengenali puisi tentu tidak setuju dan berasa kurang sopan menonton Ladin mendeklamasi puisi. Telatahnya agak melampau dan tidak sopan. Kurang sesuai dibaca di hadapan Raja-Raja Melayu. (Masih adakah raja panggil penyair ke istananya setahun kita penyanyi dangdut adalah?) Tetapi kalau saya jadi Ladin, saya tetap dengan cara dan gaya itu walaupun dihadapan VVip termasuk raja, kerana seorang penyair itu mempunyai lesen kemerdekaan yang besar.

Sebenar cara begitulah simbolisme kebebasan dunia puisi. Ladin mahu menceritakan dengan aksi, gerak dan selain bersuara langsungan dengan bahasa yang bombastik dan sinis. 

Satu aksi Ladin semasa 
mendeklamasi puisinya.
Foto: Tabik.
Hal lain mengenali Tabik ini, ia jadi menarik untuk menatapnya apabila diselit dengan foto-foto klasik Ladin semasa membaca puisi. Ingat Ladin juga seorang yang menggemari dunia "perfotoan", ke mana dia pergi ada kamera kecil di lehernya. Gambar profile saya dalam Twitter adalah gambar yang dipukul oleh Ladin.

Akhirnya seperkara yang ingin saya sebut disini, dunia kepenyairan perlu dibantu. Jangan biarkan penyair bertepuk bersendirian penuh kebebasan di pentas yang sempit kemudian disorak sokong oleh khayalaknya yang kecill. 

Badan-badan atau agensi berkenaan perlu membantu memajukan dunia kepuisian dan sastera kerana ia adalah khazanah bangsa. Puisi adalah "kad pengenalan" bangsa. Puisi adalah ayat-ayat yang perlu dihafal dan dihadam walaupun setiap hurufnya tidak semahal huruf al Quran. 

Saya ada mengikuti siaran radio Klasik, di situ ada sesekali disiarkan bacaan puisi, bukan deklamasi. Tetapi sedihnya ia berulang atas nama-nama dan penyair atau pembaca yang sama yang belum pun dikenali. 

Kenapa tidak diperluaskan penampilan pembaca puisi di siaran radio itu kepada bacaan atau deklamator penyair lain termasuk yang sudah mampan seperti Ladin. Apakah dalam dunia puisi ini ada juga unsur politik, kroni dan nepotisme. [wm.kl.10:04 am 31/12/2020]

No comments: