Monday, September 12, 2022

Rapat Mega KEADILAN warm-up untuk berpilihan raya

CATATAN

Anwar Ibrahim yang tidak pernah giveup.
LAMA saya tidak menghadiri mana-mana himpunan atau rapat parti politik. Sejak negara diancam Covid akhir 2019 menyebabkan aktiviti politik terhad,  malahan sunyi sejak kira-kira dua tahun, kita semua tidak mengikut himpunan politik. Bagi peminat politik seperti kempunan. 

Selepas dua setengah tahun kemudian baru ada kegiatan politik itu pun bersifat kecil-kecilan terhad dalam ruang tertutup sahaja. Kehadiran juga terbatas dan perlu mematuhi sop yang ketat. 


Khemah penuh sesak.
Kalau pun ada himpunan agak besar sedikit ialah mesyuarat agung parti, seperti Perhimpunan Agung Umno, Kongres Nasional Keadilan, Muktamar Pas dan lain-lain. Acara atau himpunan terbuka tidak ada dalam tempoh itu. Penyiaran menerusi live streamyx kandatipun boleh diikuti tetapi tidak puas. 

Keadaan itu memberi masa untuk saya dan kita semua banyak rileks daripada bersibuk dengan acara politik. Masing-masing jaga diri dan keselamatan keluarga. Keselamatan diri dan keluarga lebih penting daripada aktiviti politik yang tidak pernah tahu rehat dan adakalanya memualkan itu.  

Melimpah ruang ke luar.
Namun selepas dua tahun, Covid hampir reda, kubang politik kita sibuk kembali. Sudah ada acara atau himpunan politik diadakan di luar ruang atau pun di khalayak ramai.Orang ramai sudah bebas untuk mengikutinya seperti sedia kala. Ancaman pandemik sudah tidak dipedulikan lagi.  Ia bermula apabila berlangsung pilihan raya negeri (Pirane) Johor. Semasa Pirane Melaka, peraturan dan SOPnya lebih masih ketat menyebabkan orang ramai masih membimbangi Covid. 

Bermula selepas itu sudah ada pelbagai aktiviti dan program politik. Bahkan aksi lebih "lanka", seperti tunjuk perasaan, flash mop juga telah diadakan. Demam pilihan raya juga sudah mula dirasai, apa lagi apabila ada usaha untuk mendesak Ismail Sabri Yaakob agar membubarkan parlimen.

Berjumpa dengan teman lama.
Namun saya masih tidak terbuka hati untuk menghadiri atau mengikuti semua acara politik itu. Masih malas. Dua pilihan negeri Melaka dan Johor, saya tidak terliur sama sekali untuk menjenguknya. Bukan kerana hambatan pandemik, tetapi kerana muak dengan gelagat politik negara yang sudah hilang moral dan prinsip, menjadikan hati tawar turun ke pilihan raya tersebut.

Walaupun begitu sebagai seorang penggemar politik dan penganalisa kerdil, saya tidaklah langsung mengabaikannya, tetap mengikutinya dan memerhati setiap denyut nadi dan gelagat politik menerusi saluran maya.  

Hampir semua acara-acara politik, kecil besar termasuk mesyuarat agung, kongres dan mutkamar  disiarkan secara langsung. Era digital dan kecanggihan teknologi penyeluran (internet) maklumat kini menjadikan kita dilingkungi segala maklumat dan berita walaupun kita tidak menginginnya. Kadang-kadang maklumat dan berita politik sampai dengan tidak sengaja kepada kita menerusi pelbagai medium atau pelantar yang ada.

Begitulah dunia zaman ini. Namun, melihat aktiviti dan acara politik menerusi siaran langsung tidak sama dengan menghadirinya sendiri, melihat dengan mata kepala sendiri dimana ia lebih menyeronok, menyakinkan dan boleh mentafsirkan acara itu seluas-luasnya.

Bila hadir sendiri bukan sahaja melihat acara atau himpunan itu secara realistik, tetapi ada perkara-perkara lain yang membantu dan menguntungkan. Dapat melihat gelajat manusia yang hadir dan dari itu dapat ditafsirkan apakah yang akan berlaku kemudiannya. Selebihnya dapat juga berjumpa dengan rakan-rakan lama atau mereka yang bergelumang dalam aktiviti politik, baik aktivis atau penganalisa khasnya diera reformasi lebih 20 tahun lalu. 

Rapat Mega Keadilan.

Malam semalam, adalah pertama kali saya hadir ke upacara besar parti politik, Rapat Mega Keadilan yang berlangsung di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Jarak dengan rumah saya tidak sampai tiga kilometer dan itu yang menjadikan saya lebih terpanggil untuk menghadirinya.  

Apa yang bermain dalam kepala saya untuk hadir ke majlis itu, bagi melihat sejauh mana sambutan orang ramai dan aura majlis tersebut. Sebelum ini sudah ada acara-acara kecil di sekitar kediaman saya, tetapi ia tidak membuka selera saya untuk hadir. Setengahnya saya mengikut sambil lewa menerusi sahaja live streamyx sahaja. Namun semalam saya paksakan juga diri untuk hadir walaupun kaki kurang selesa. 

Tenang mendengar amanat.

Ada dua faktor besar kenapa saya turun semalam, pertama untuk melihat sejauh mana sambutan orang ramai terhadap majlis itu. Ini kerana himpunan itu saya difahamkan merupakan warm-up, Keadilan bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya. Kita mahu tengok sekuat mana semangat orang Keadilan khasnya untuk menghadapi Piraum ke-15 setelah mereka selesai menstruktur semula parti selepas disodomi Azmin Ali. 

Keduanya kerana majlis itu diadakan di lokasi terletak dalam parlimen Gombak. Parlimen ini adalah diwakili oleh bekas Timbalan Keadilan Mohamed Azmin Ali yang telah meninggalkan parti. Dua keadaan itulah yang menjadi tanda tanya dan menggaru-garu minda saya serta menimbulkan suspen.  

Dalam perjalanan saya tertanya-tanya apakah majlis itu mendapat sambutan atau sebaliknya? Ia sedikit membimbangkan dan merasakan rugi kalau majlis itu tidak mendapat sambutan. Ertinya sia-sia sahaja menghabiskan masa untuk melangkah bersama isteri dan anak lelaki saya, kalau majlis malam tadi longlai. 

Mula memasuki ke kawasan Taman Melawati timbul rasa cemas kerana keadaanya sunyi sepi. Jalan-jalan tidak jam atau sesak seperti mana diadakan himpunan-himpunan politik sebelum ini. Sebelum ini kalau diadakan himpunan menjelang pilihan raya, kawasan itu akan penuh sesak. Kawasan Taman Melawati adalah kawasan campuran antara orang atasan dan orang bawahan. Ia menggambarkan kemajmukan rakyat. Taman Melawati boleh dijadikan kawasan petunjuk kepada keadaan politik. 

Kebetulan saya menganalisa dan memerhati setiap himpunan politik yang diadakan disini sejak lebih 30 tahun lalu. Jadi reti sangat saya tentang "bangsa" dan "fiil" tentang sambutan kepada acara politik di sini. Apa yang berlaku atau tertunjuk di majlis yang diadakan di sini akan memberi indikator kepada suasana politik di Kuala Lumpur. 

Berdiri kerana bersemangat..
Semasa sampai jam 8:30 malam, keadaan tidak begitu berapa menggembirakan kerana di bawah khemah besar yang boleh memuatkan kira-kira 4,000 masih belum penuh. Masih ada kerusi-kerusi yang kosong. Manakala di ruang kiri kanan dan di bahagian belakang juga masih belum penuh. Ketika itu dipentas, sudah ada ada pemidato yang melantunkan suara sebagai pemanas suasana. Seorang demi seorang pemidato dari kalangan anak muda dipanggil untuk berucap dan melontarkan pandangan. 

Antara mereka yang diberi ruang menyampaikan ucapan ialah Ketua Angkatan Muda Adam Adli, dan beberapa Exco Wanita, Rayan Rahim dan lain-lain. Dua naib presiden Keadilan yang merupakan pemimpin masa depan, Amiruddin Shaari dan Aminuddin Harun juga turut berucap.  

Sambil itu, saya seperti biasa merayap dan menjenguk serta meninjau keadaan orang ramai. Mendengar cakap-cakap dan "soksek" atau komen-komen senyap mereka terhadap majlis itu. Daripada beberapa komen yang sempat ditangkap telinga saya memberi gambaran positif. Ada yang teruja dengan himpunan dan ada juga yang bernada sebak melihat kepada sambutannya. 

Jumpa Syed Ibrahim, Zawawi, Ramli.
"Sudah lama kita tidak melihat keadaan seperti ini," kata seorang warga separuh umur. "Nampaknya Keadilan masih kuat, masih teguh. Tidak boleh dihancurkan," katanya lagi seperti menuturkan kepada saya.

Manakala yang lain pula, menyebut, "kalau macam ni (sambutan) hanyutlah Azmin nanti." Saya faham kenapa pertuturan itu dikeluarkan kerana Gombak diwakil Azmin Ali. Tampaknya rata-rata orang Gombak marah dan murih kepada Azmin. 

Dan saya lihat yang menghadiri majlis malam tadi terdiri daripada berbagai peringkat, yang berusia 60 tahun ke atas, bawah 50an dan anak-anak muda sebaya dengan usia anak bongsu saya, 22 tahun. Ini satu gambaran dan perkembangan yang baik untuk masa depan politik kita sekurang-kurangnya buat Keadilan. Bahawa parti Keadilan masih menjadi parti berbilang kaum yang diharapkan memimpin negara. 

Selain itu tujuan lain saya hadir keupacara begitu, selain untuk melihat gelajat para penggemar politik ialah berjumpa dengan rakan-rakan lama. Apakah mereka hadir atau tepatnya masih ada. Jangkaan masa 20 atau 30 tahun, suatu jangka masa yang panjang dimana dalam tempoh itu segala boleh berlaku. Dalam tempoh itu sudah ramai "peminat" politik sudah meninggal atau pun sudah "terseksa" di rumah. 

Sambil berjalan sesekali saya disapa kiri dan kanan oleh rakan-rakan lama atau pun pengikut media sosial saya. Suasana itu memberi semangat buat saya dan membolehkan saya membuat tafsiran bahawa orang lama masih ada, mereka masih setia dengan dunia politik. Tidak syak lagi yang menyapa saya dan berselfie adalah mereka yang mula berkenalan sejak zaman reformasi. Saya boleh menyimpulkan mereka itu semua adalah peminat dan pengkagum Anwar Ibrahim. 

Akhirnya saya terhenti di suatu booth, apabila disapa seseorang yang berada dalam suatu kumpulan kecil di situ. Mereka merupakan pimpinan Keadilan Selangor, ada Exco Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Cikgu Amdi Manan, Mokhtar dan lain-lain. Sekejap kemudian singgah pula Ahli Parlimen Bukit Ledang, Syed Ibrahim Syed Nuh. Juga beberapa orang anak muda di zaman reformasi yang masih kenal saya yang datang dari Kelantan, ikut menyapa dan berselfie. 

Nampaknya yang hadir semalam bukan sahaja daripada parlimen Gombak tetapi dari kawasan lain termasuk dari Klang, Kuala Selangor, Sepang dan lain-lain. Himpunan semalam merupakan himpunan anjuran Penerangan Keadilan pusat yang dipimpin ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadhil. Rapat mega itu adalah pemanas badan sebelum turun ke gelanggang. Ia juga sebagai rechergas bateri untuk menghadapi pilihan raya.   

Kira-kira jam 9:50 malam tiba-tiba bergema laungan Reformasi bertalu-talu. Laungan dalam keadaan seperti itu sudah difahami khalayak ia sebagai menyambut ketibaan tokoh refromasi Anwar Ibrahim. Anwar berjalan masuk menuju ke pentas sambil dikerumuni orang ramai. Orang ramai berebut-rebut untuk bersalaman dan berselfe denganya. Itulah Anwar Ibrahim, sosok yang tidak pernah dijemu untuk ditatapi rakyat. Sosok yang sukar untuk diketepikan rakyat yang mengetahui hati budi, prinsip dan keulitannya dalam perjuangan. 

Anwar tetap dikagumi dan dikerumini.
Tepukan juga bergemuruh sehinggalah Anwar mengambil tempat di pentas Setiap yang berada dalam khemah bangun berdiri dan melaungkan reformasi...reformasi. Suasana itu lazim bila setiap kali Anwar muncul. Keterujaan, pendambaan orang ramai yang mengkaguminya tidak pernah luntur. Tepukan baru terhenti dan laungan reformasi senyap sebaik Anwar melabuhkan punggung.  

Saya percaya setiap orang yang hadir semalam bulu roma mereka merinding tegap berdiri. Muka mereka merah bak bunga raya kembang pagi kerana disepuh semangat juang. Laungan keramat perjuangan itu mampu menghisteria sesiapa sahaja. Laungan reformasi sesungguhnya boleh menyegar dan menyihatkan badan yang lemah. Saya sendiri tatkala mendengar laungan itu terasa denyut gaout di kaki hilang.

Apa yang tergambar semalam jelas menunjukkan kekuatan dan semangat pendokong Keadilan masih kuat dan utuh. Walaupun Keadilan sudah dipecah pecilkan oleh pengkhianat, oleh Azmin Ali, Jaafar Kamaruddin serta yang lain-lain, tetapi usaha itu sia-sia sahaja. Bahkan pemecahan itu menjadi sebagai biduk yang menaut-eratkan kiambang. Dan mereka yang hadir lebih 5,000 semalam adalah kiambang yang memperkuatkan Keadilan. Itulah rahmat dan rahsia tragedi yang menimpa Keadilan tiga tahun lalu.  

Kesimpulannya justeru himpunan semalam adalah himpunan Keadilan secara solo tidak membabitkan rakan mereka lain dalam PH, ia memberi gambaran dan petunjuk bahawa Keadilan sudah bersiap siaga dan mampu untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya sama ada dalam masa terdekat atau kapan. 

Dan kekuatan yang tertera semalam membuktikan bahawa Keadilan adalah parti ampuh boleh berdiri sendiri tanpa mengharap sokongan mana-mana pihak daripada luar PH lagi. Kekuatan yang dimiliki, ketinggi semangat juang Keadilan menyebabkan parti itu tidak perlu peduli kepada mana-mana pihak yang ingin mengutip sampah sarap untuk dimasukkan ke dalam PH, kerana Keadilan bisa menjadi tulang belakang tunggak kepada PH. [wm.kl. 12:15 pm 12/09/2022]