Wednesday, September 7, 2022

Anwar tidak perlu peduli strategi Pas

REAKSI 

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyelar Pas yang mahu jadi "king maker" dengan menyasarkan menang 40 kerusi pada pilihan raya umum ke-15 nanti kerana cara itu menurutnya Pas boleh ugut kerajaan bagi mendapatkan jawatan.

Menurut Anwar cara Pas itu berbahaya kerana memberi ugutan ia seolah-olah menggunakan kerusi itu untuk scam bagi mendapat jawatan, sebaliknya tidak mengetegahkan agenda perjuangan parti tersebut. 

"Itu satu pendekatan merbahaya kerana akan memberi ugutan. Umpamanya (dengan menjadi) king maker, maknanya kami (Pas) nak scam (jawatan) menteri, kami nak scam kedudukan seperti berlaku sekarang," ujarnya mengulas tindakan Pas itu dipetik.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas sasaran dibuat oleh Pengarah Pilihan raya Pas Sanusi Mohamad Noor yang memberi tahu Pas sedang menumpukan kepada 80 kerusi parlimen dengan meletakkan sasaran menang di 40 kerusi dalam pilihan raya akan datang. 

Sasaran dibuat Pas itu munasabah kerana parti itu ibarat mengukur baju dibadan sendiri. Pas insaf akan kemampuan hanya untuk menguasai sejumlah 40 kerusi sahaja daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi. Justeru tidak salah kalau Pas membuat sasaran begitu.  

Bagaimana pun bagi Anwar cara pas itu merbahaya dan tidak menggambarkan Pas sebagai parti politik untuk membina negara keseluruhannya. Menurut Anwar, apa yang patut Pas utamakan ialah menjelaskan dasar parti bukannya membuat sasaran sekadar untuk menjadi king maker yang bagi ketua pembangkang itu king maker sebagai sesuatu menjijikan.

Sebenarnya Anwar tidak perlu pedulikan dan kesal dengan cara Pas itu, apakah ia mahu menjadi king maker atau apa. Itu urusan parti itu yang mengambil pendekatan politik sejahtera. Dalam hal ini sebaik-baiknya Anwar mengutamakan pendekatan diambil oleh partinya bersama PH serta memahami akan kemampuan sebenar Pas.

Memperdulikan dan merasakan cara Pas itu berbahaya tidak perlu kerana parti Islam itu tentu ada keyakinan dan matlamat sendiri kenapa ia membuat sasaran itu. Bak kata orang orang lain, padang lain belalang lain sungai lain ikannya. 

Pas sudah seronok dengan apa yang mereka capai kini. Dengan jumlah kerusi 18 dimenangi dalam pilihan raya lalu Pas berpeluang mendapat apa yang mereka belum perolehi sebelum ini. Yang jelasnya Pas sudah jadi kerajaan kalau tidak sebahagian, tetapi suku daripada kerajaan. Apa dicapai Pas suatu pencapaian tertinggi sejak kewujudannya lebih 70 tahun.  

Kejayaan itu adalah sejarah buat Pas yang belum pernah capai ke tahap itu. Sebagai parti yang istiqamah dan sedarhana serta insaf diri, apa yang diraih itu satu kejayaan. Hari ini Pas mempunyai tiga orang menteri dan lima timbalan menteri disamping beberapa orang anggotanya dilantik menjadi badan kerajaan. 

Hasil politik sejahtera dibawanya Pas mendapat kedudukan itu dan setidak-tidaknya memberi nikmat kepada ahli parlimennya merasai menjadi menteri atau pun suasana sebagai kerajaan diperingkat pusat.

Jadi Anwar tidak perlu kecam dan mempersoalkan cara Pas berpolitik. Sebaiknya Anwar tumpukan kepada partinya dan juga PH. Dalam politik semua orang dahaga dan inginkan jawatan serta kedudukan. 

Dalam fahaman banyak orang tidak ada guna berpolitik secara profesional, penuh retorik tetapi gagal memiliki kedudukan dan kuasa. Kerana akhirnya kuasa dan kemenangan itu yang memaknakan politik. [wm.kl.9:28 am 07/09/2022]

No comments: