Monday, September 4, 2023

Pirake Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai petunjuk kehebatan Anwar

SUSUPAN PETANG 

Mampukah Suhaizan 
bela maurah PH-BN.
TIGA pilihan raya kecil (Pirake) dua di Johor dan satu di Pahang yang akan berlangsung 9 September
dan 7 Oktober ini boleh dijadikan indikator sejauh mana kekuatan pengaruh Anwar Ibrahim selaku perdana menteri. Kandatipun ia tidak ada kena mengena secara langsung dengang Perdana Menteri ke-10 itu, tetapi peristiwa itu boleh dijadikan pembela maruah atas kekalahan PH-BN dam pilihan raya di enam buah negeri lalu. 

Pirake itu memberi peluang untuk menebus kekalahan serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Perpaduan. 

Saya gunakan istilah "kalah" kerana PH - BN sebagai Kerajaan gagal untuk rampas Terengganu, Kelantan dan Kedah. Sebagai parti memerintah kegagalan itu sesuatu memalukan dan diluar jangka. 

Walaupun PH-BN dapat mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ia juga dikira gagal khususnya di Selangor apabila negeri tiga penggal dimiliki PH tersebut hilang kuasa majoriti 2/3 di Dun Selangor. kehilangan itu sungguh memalukan.

Pilihan raya kecil parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram, Johor dan Dun Pelangai diadakan selepas hampir sebulan berlangsungnya pilihan raya kecil dienam buah negeri-negeri berkenaan. Perasaan kesal, kecewa dan dukacita dipihak PH-BN masih menyelubungi jiwa. 

Seperti mana kita telah ketahui pilihan raya di enam buah negeri itu meninggalkan dampak besar kepada gabungan parti membentuk kerajaan kini, PH - BN, bilamana gabungan itu gagal untuk menguasai sekurang-kurangnya dua buah negeri milik pembangkang, Kedah dan Terengganu. Kegagalan itu mengaibkan dan mencabar kredibiliti Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Kegagalan itu dikaitan dengan kelemahan Anwar sebagai PM10.

Paling memalukan lagi apabila PH yang berkoalisi dengan BN gagal untuk mempertahankan kejagoannya di DUN Selangor yang dikuasai tiga penggal sebelum ini bila mana tidak berjaya mengekalkan kemenangan majoriti 2/3. BN (Umno) sendiri tidak berjaya memulihkan keadaanya yang remuk semasa pilihan raya ke-14 lalu.

Kejayaan PN tidak terduga olehnya itu memberi semangat dan motivasi besar kepada gabungan itu untuk terus mengutip kemenangan demi kemenangan selepas ini. Pilihan raya lalu memberi keyakinan kepada PN yang mereka akan mampu melakukan sesuatu di luar jangka pada masa akan datang termasuk menubuh kerajaan pusat.

Di Terengganu pula PH dan BN gagal mendapat sebarang kerusi. Situasi itu menambahkan lagi "kesenakan" Anwar Ibrahim. 

Dalam situasi dan kondisi itulah pula kini diadakan pilihan raya kecil Pulai dan Simpang Jeram yang kemudian akan diikuti pula dengan pilihan raya Pelangai di Pahang ekoran kematian Wakil Rakyat Johari Harun. Secara tidak langsung ketiga-tiga pilihan raya itu menjadi tapak ujian dan cabaran buat Anwar Ibrahim. Tampaknya ujian untuk Anwar berlaku awal penggal pertama lagi secara bertubi-tubi. 

Apakah di ketiga-tiga pilihan raya itu khususnya di Johor, PH-BN akan dapat mempertahankan kerusi berkenaan yang ditinggalkan Allahyarham Salahuddin Ayub 23 Julai lalu itu. Apakah kerjasama di antara PH dengan BN akan memberi kesan dan membawa hasil lebih baik daripada sebelum ini. Kedua-dua kerusi itu milik PH menerusi Parti Amanah Negara yang dimenangi Allahyarham Salahuddin Ayub yang dimenangi dalam dua pilihan raya sebelum ini di parlimen Pulai dan kerusi DUN Simpang Jeram dalam pilihan raya ke-14 lalu. 

Untuk kerusi parlimen Pulai Salahuddin menang dengan majoriti besar dalam pilihan lalu dengan mengutip 20,989 majoriti manakala untuk kerusi Simpang Jeram Allahyarham menang tengan 7,687 majoriti. Berdasarkan data berkenaan di atas kertas, PH-BN tidak ada masalah untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaam. Bagaimana pun apabila mengambil kira senario dan pola pemilihan dalam pilihan raya dienam buah negeri itu ia membimbangkan. Tidak ada jaminan kerusi itu dapat dikekalkan dengan bergaya seperti diraih Salahuddin.

Sekiranya aliran pengundi dan berlaku gelombang menolak Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar seperti dalam pilihan raya enam buah negeri lalu ia akan meninggalkan kesan buruk, akan berlaku upset. Walaupun parlimen Pulai dimenangi bekas menteri Perusahaan Dałam Negeri dań Kos Sara Hidup dengan majoriti besar, tetapi ia tidak menjamin kemenangan untuk PH yang meletakkan Suhaizan Kayat selamat. Suhaizan Kayat yang dicalonkan mempertahankan kerusi parlimen Pulai belum tahu mampu untuk membawa aura Salahuddin sebelum ini untuk mengekalkan kerusi itu.

Ramalan.

Di sini saya tidak mahu méngulas atau membuat apa-apa ramalan lebih jauh hanya sekadar ingin memperkatakan bahawa pilihan raya di tiga kerusi itu penting khususnya buat Anwar Ibrahim. Sekiranya Suhaizan dan Nazri Abdul Rahman (Simpang Jeram) yang mewakili PH dapat mempertahankan kerusi itu ia memberi petunjuk bahawa gelombang hijau dan penolakan kepada Anwar seperti berlaku di enam buah negeri sebelum ini tidak berjangkit ke Selatan. Pilihan itu sangat signifikan buat Anwar.

Sekiranya PH menang menunjukkan bahawa orang Johor menerima kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar. Sebaliknya sekiranya kerusi berkenaan gagal diselamatkan ia memberi natijah buruk. Bagi PN mereka tidak perlu pun memenangi kerusi itu untuk memberi gambaran Kerajaan Perpaduan tidak popular tetapi cukup menunjukkan peratus undi Melayu berpihak kepada mereka. Yang gabung itu berusaha sekarang adalah untuk menguasai sekurang-kurangnya 60 peratus undi Melayu. 

PN ghairah menghadapi pilihan raya itu. Sebelum ini PN mahu menjadikan kedua pilihan di Johor itu sebagai pintu masuk gelombang Hijau ke Johor Darul Takzim.

Apa lagi kalau peratus undi Melayu untuk PN meningkat di parlimen Pulai dan Suhaizan menang dengan majoriti tipis, (bawah 1,000) ia memberi gambaran buruk. Situasi itu akan terus dieksploit oleh pembangkang untuk mempengaruhi rakyat yang Kerajaan Perpaduan terus berada di ambang kerobohan.  

Sekiranya kerusi Simpang Jeram dimenangi PN maka akan menari geleklah hingga ke cerahlah PN selepas ini. Kejayaan itu akan dijadikan pemacu semangat untuk menghadapi PH-BN dalam pilihan raya umum akan datang.  

Kesimpulannya pilihan raya itu dan juga di Pelangai sungguh penting untuk PH dan BN bagi membuktikan Kerajaan Perpaduan akan terus kekal dan kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri dapat bertahan sehingga tamat penggal parlimen ke-15, kira-kira empat tahun lagi. 

Justeru PH dan BN perlu mengambil kesempatan ke atas pilihan raya berkenaan bagi membuktikan mereka disenangi dan disokong rakyat untuk kekal memerintah sehingga tamat penggal. Jumlah kerusi dimiliki kini sebanyak 147 bukan merupakan jaminan atau modal kerana dinamika politik itu boleh merubah bila-bila masa saja. Sokongan GPS dan GRS bukan simpanan tetap buat PH-BN. Anwar juga perlu menyemak setiap tindak tanduknya yang boleh "mengugahkan" kerajaanya. 

Kerana saya tidak menjenguk sendiri di dua lokasi pilihan raya itu hanya sekadar memantau menerusi medium internet dan medium sosial tidak berani untuk saya memberi prediction gabungan mana yang akan menang. Apa boleh disebut di sini PH dan BN jangan mempercilkan kemampuan dan kesungguhan dan keghairahan PN untuk menakluki kerusi berkenaan. 

Siasatan polis ke atas presiden Pas Abdul Hadi Awang, mengikut akta hasutan, Mahathir Mohamad dan Mahiaddin Yassin sedikit sebanyak memberi kesan kepada pilihan raya di dua kerusi berkenaan. Cuma pihak mana yang untung dan rugi atas insiden itu, akan diketahui selepas ini. [wm.kl. 7:24 pm 04/09/2023]

No comments: