Showing posts with label Catatan - Nik Abdul Aziz. Show all posts
Showing posts with label Catatan - Nik Abdul Aziz. Show all posts

Sunday, October 25, 2009

Susupan Petang

Sayang Seorang Perempuan Kepada Tok Guru

SEORANG aktivis politik wanita dan penyokong kuat Pas dari Kelantan tidak ketinggalan turut menelefon saya mahu meninjau apa yang berlaku di sebalik kemelut terbaru yang menimpa Pas sejak kelmarin, iaini berhubung cadangan Tok Guru agar Pas adakan EGM untuk tukar pemimpin.

Beliau ini kerap kali menghubungi saya tidak kira masa demi untuk mengetahui perkembangan dalam Pas dan juga politik semasa di luar Pas. Saya yakin muslimah ini seorang yang komited dan sangat sayang kepada Pas dan seluruh pemimpinnya.

Dia bukan sarjana. Tetapi cara atau penglibatannya dalam dunia politik saya rasa lebih luas dan mendalam dari sesetengah sarjana yang membuat ulasan dan analisa dari dalam bilik berhawa dingin di kantor mereka. Bilik para sarjana di universiti dalam pemerhatian saya tidaklah luas mana, sekitar 20' kali 12' sahaja. Kebiasaanya bilik itu dipenuhi buku-buku falsafah, teori dan bahan bacaan umum yang ilmiah.

Menjadi kesukaan para sarjana pula bila gambarnya hendak dirakam mereka akan berdiri dengan berlatar belakangkan timbunan buku dirap. Ini untuk menunjukkan mereka seorang sarjana dan cendekiawan penuh dan sarat dengan ilmu. Tanpa buku tidak sahlah kesarjanaan mereka!

Buku-buku yang ditelaahi adalah ditulis oleh penulis berdasarkan kajian, pembacaan dan maklumat yang serius dan juga rencam. Dari situlah penulis itu membuat kesimpulan. Setengah serjana enggan turun ke bawah kerana merasa cemar bercampur dengan khalayak yang kurang cerdik. Nah buku-buku itulah yang dijadikan panduan dan teman bicara mereka. Setengahnya pula membuat ulasan dan simpulan berdasarkan kerja-kerja tugasan yang diberikan kepada anak muridnya saja.

Berlainan dengan aktivis feminis ini. Dia cergas dan pantas, pergi hampir ke semua pilihan raya kecil. Saya tahu ini kerana di mana dia berada dia akan menelefon dan memaklumkan perkembangan kepaada saya. Kami sering bertukar maklumat atau mengsahihkan maklumat. Sebelum pilihan raya bermula dia sudah tinjau untuk mengetahui siapa calon sebelah sana dan sebelah sini. Kehebatannya, dia boleh dan tergamak menghubungi semua pihak tidak kira Pas atau pemimpin UBN. Ini kelebihan aktivis ini.

Seperti saya kata, dia adalah pengkagum Tok Guru kelas wahid. Seperti mana katanya ketika menghubungi saya petang tadi, dia mendampingi Tok Guru selama 30 tahun. Dalam tempoh itu katanya dia kenal secerapnya bahasa politik Tok Guru. Tutur bicara Tok Guru, tindakan Tok Guru hatta hobi makan minum Tok Guru juga dia tahu. Katanya, Tok Guru suka makan ikan keli dan ikan kering masak gulai lemak! Ini saya dapat sahkan.

Aktivis ini tidak mempercayai kalau apa yang berlaku kini seratus peratus datangnya dari hati kecil Tok Guru. Dia yakin ada agenda atau sosok lain di belakang Tok Guru. Katanya Tok Guru hanya menjadi 'tetuang' sahaja menyuara dan melontarkan pandangan pihak tertentu. Dalam kosa kata lain Tok Guru sudah menjadi alat.

"Ana fikir ada orang yang mempunyai agenda dengan menggunakan Tok Guru. Ana tidak fikir Tok Guru jadi seperti mana dilaporkan itu. Tidak..ana tidak fikir begitu, enta jangan salahkan Tok Guru," katanya seakan merayu dan kesal kalau saya ada beranggapan Tok Guru silap dalam membuat kenyataan cukup konrtoversi itu.

Saya hanya mendengar sahaja apa yang dituturkan. Dia begitu yakin bahawa kenyataan yang keluar dari mulut Tok Guru kerana ada suara lain yang menyurunya. "Saya juga berfikir begitu, dah baca blog saya...?" kata saya sambil meminta dia membaca pengamatan saya terhadap apa yang berlaku itu.

"Tetapi dalam kenyataan Tok Guru hari ini, dia menyatakan tidak ada siapa yang mengajarnya. Ia adalah ideanya sendiri. Dia sudah dewasa untuk menerima tunjuk ajar dari sesiapa," kata saya sambil merujuk kepada kenyataan Tok Guru seperti mana dilaporkan akhbar hari ini.

"Oh memang Tok Guru begitu. Tok Guru baik dan pandai dalam menjaga air muka orang lain. Dia rela air mukanya tercemar asalkan air muka orang lain tidak cemar. Itulah Tok Guru yang ana kenal. Dia akan membela dan menjaga maruah orang, dia bertanggungjawab" balasnya penuh yakin.

Kata aktivis ini, sudah acap kali berlaku begitu. Tok Guru banyak menanggung beban yang dibuat oleh orang lain. Tok Guru menjadi pembela sukarelawan sehingga beliau disalah anggap berpihak kepada si anu dan si ani. Sebab itulah katanya, dia merasa sedih dan kesian kepada Tok Guru kerana terlalu banyak menyekang rasa dan semata-mata menjaga perasaan dan hati orang lain dari menjaga dirinya sendiri disalah anggapkan.

"Tapi kenapa dia sanggup menerima beban itu, bukan itu menyusahkannya?" tanya saya buat-buat tidak mengerti.

"Inilah tugas dan mulianya seorang pemimpin sepertinya. Tengok, Tok Guru berdoa siang malam untuk kesejahteraan rakyatnya. Untuk kebaikan negerinya. Kadang-kadang ana rasa dia terlupa untuk mendoakan untuk dirinya sendiri," katanya lagi bagi menjelaskan kemuliaan Tok Guru yang tidak ada tolak banding itu.

Aktivis ini memang seorang yang berani dan berterus terang. Bila saya tanya dia siapakah yang menjadikan Tok Guru sebagai alat dan menyusahkan kehidupan Tok Guru, dia menjawab tanpa berselindung. (Biarlah saya tidak menyebut nama-nama itu demi menjaga nama baik orang berkenaan dan juga Tok Guru serta aktivis ini).

"Kenapa orang-orang ini, apa logiknya," soal saya.

"Kalau sekali tengok ia tidak mungkin melakukan itu. Tetapi anta kena faham agenda ini sudah lama berjalan. Sejak muktamar lalu lagi. Yang menggerakkan ialah bukan orang yang takut kepada Tok Guru tetapi orang yang takut kepada Pas?" katanya.

"Ana tidak berapa faham?" akui saya.

"Anta tahukan cita-cita orang ini? Dia mahu jadi perdana menteri. Dalam perkiraanya kalau Pas tidak sokongnya dia tidak akan dapat jadi perdana menteri. Dan memang hakikatnya begitu. Baginya kalau Abdul Hadi jadi presiden bermakna impian itu akan melayang begitu saja.." ceritanya lagi.

"Maksudnya?" soal saya.

"Sebab dia kira Hadi dan the gengnya tidak akan bersamanya. Makanya dia mesti hapuskan Hadi untuk menyenangkan tugas-tugasnya. Hadi harus diganti dengan orang lain. Jadi apa yang Tok Guru lakukan ini adalah untuk memenuhi agenda itu. Sudah faham!?" jelasnya sedikit memerli akan kedugunan saya.

"Ana tidak fikir begitu!" saya cuba menafikannya.

"Anta kena baca sejarah hubungan mereka ini semua. Dari mana asal mereka. Apa pegangan politik mereka. Mereka ini semua bukan dari kumpulan ulama tradisi yang menerima terbiah awal Pas. Mereka ini adalah kumpulan moden yang datang bertenggek dengan gerakan Islam Pas. Latar belakang mereka sebegini menyebabkan mereka cemas takut mereka tidak akan diterima Pas.

"Jadi sebelum apa-apa dan untuk selamatkan diri mereka, mereka kena berusaha selamatkan diri mereka dan puak-puak mereka," khutbahnya panjang lebar.

"Hatta menggunakan jasa baik Tok Guruku?"

"Iya hatta menggunakan nama baik dan wibawa Tok Gurumu itu," tukasnya sambil mengilai sedikit manja.

"Tok Guru sedar dia diperalatkan?" saya membalik persoalan yang dikemukakannya.

"Ana rasa Tok Guru sedar!" katanya menyakini akan kemakrifatan Tok Guru dengan segala yang berlegar di sekelilingnya.

"Jadi EGM itu perlulah diadakan?" saya terus menduganya.

"Untuk apa? Tok Guru tidak ada masalah sehinggakan memerlukan EGM. Yang hendak EGM orang-orang itu! Orang bermasalah dalam Pas, Tok Guru tidak ada apa-apa masalah," katanya tanpa menghurai persoalan saya.

Baru saya nak ajukan persoalan lain, telefon kami putus, tup! [wm.kl. 6:00 pm 26/10/09]